Archive

Archive for the ‘Hikmah’ Category

Hak Seorang Muslim Terhadap Saudaranya

Rasulullah saw bersabda :

“Hak seorang muslim terhadap muslim yang lain ada enam : jika bertemu maka berilah salam, jika tidak kelihatan maka bertanyalah, jika sakit maka jenguklah, jika mengundang maka penuhilah, jika bersin dan mengucapkan hamdalah maka jawablah (dengan mengucapkan ‘yarhamukallah’ , dan jika meninggal dunia maka hantarkanlah (ke kubur).” (HR Muslim)

PERTAMA : Jika bertemu maka berilah salam

Mengucapkan salam adalah langkah pertama dan ianya akan semakin mantap jika diikuti dengan berjabat tangan.

Ucapan salam mesti disertai dengan perasaan :

  • Cinta.
  • Senang hati.
  • Wajah yang berseri.

Ini adalah agar fungsi ucapan salam itu dapat diwujudkan. Selepas itu bolehlah saling memperkenalkan nama, pekerjaan dan tempat tinggal. Dengan yang demikian, kita telah memulakan tahap awal dalam berdakwah.

KEDUA : Jika tidak kelihatan maka bertanyalah

Watak sebuah perkenalan adalah jika seseorang yang sudah kita kenali itu tidak ternampak dalam waktu yang tertentu, maka kita mesti mencari khabar berita tentang keadaannya atau menghubunginya, samada melalui telefon, surat, e-mail ataupun SMS.

KETIGA : Jika sakit maka jenguklah

Sunnatullah akan berlaku pada setiap orang di mana pada suatu ketika ia akan merasa :

  • Gembira.
  • Sedih.
  • Sakit.

Maka setiap keadaan mesti dihadapi dengan sikap yang Islamik. Jika kita mendengar bahawa sahabat kita sakit, kita mesti cepat-cepat :

  • Menjenguknya.
  • Memberikan ketenangan kepadanya.
  • Mendoakan untuk kesembuhannya.
  • Membawa hadiah yang sesuai.

Rasulullah saw bersabda :

“Hendaklah kamu saling memberi hadiah, kerana hadiah itu akan menjadikan kamu saling mencintai.” (HR Malik dalam “Al-Muwatha” ‘)

Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda :

“Barangsiapa menjenguk orang sakit atau mengunjungi saudaranya sesama muslim kerana Allah, maka malaikat akan berseru kepadanya, ‘Kamu dalam keadaan baik dan baik pula tempat tujuanmu, kamu pun akan ditempatkan di syurga.'” (HR Muslim)

Di tempat sahabat kita tersebut, kita pun dapat berkenalan dengan sahabat-sahabatnya yang lain dan dengan yang demikian kita akan semakin ramai mempunyai kenalan.

Jangan sampai kunjungan itu kita pergunakan untuk membaca Al Qur’an, majalah atau berbual yang tidak ada gunanya agar tujuan dan matlamat kunjungan tersebut dapat dipenuhi.

Jika kita masuk rumahnya, hendaklah kita duduk di mana kita dipersilakan duduk.

Diriwayatkan dalam sebuah atsar :

“Barangsiapa masuk rumah salah seorang di antara kamu maka duduklah di tempat tersebut, kerana kaum itu lebih mengetahui aurat rumah mereka.” (HR Thabrani)

KEEMPAT : Jika ia mengundangmu maka penuhilah.

Setelah melewati tahapan-tahapan di atas maka hubungan antara kita dengan sahabat kita akan semakin erat. Suatu ketika, sahabat kita akan menghadapi keadaan-keadaan penting seperti kejayaan dalam tugas, perkahwinan atau yang lainnya, lalu ia mengundang kita untuk menghadiri acara-acara tersebut.

Kita mesti memenuhi undangan tersebut kerana ini merupakan kesempatan berharga yang tersedia tanpa perlu kita rancangkan terlebih dahulu. Begitu juga sebaliknya, kita pun mesti mengundangnya dalam acara-acara penting yang kita adakan.

KELIMA : Jika ia bersin dan mengucapkan “hamdalah” maka jawablah (ucapkan “yarhamukallah”)

Duduk bersebelahan dengan orang yang belum dikenali di suatu tempat, samada di perjalanan, majlis keramaian ataupun tatkala menjenguk orang sakit, lalu orang yang duduk di sebelah kita itu bersin maka hendaklah kita menoleh kepadanya dengan wajah berseri seraya mengucapkan, “yarhamukallah” (mudah-mudahan Allah memberi rahmat kepada Anda).”

Tentunya perkara ini akan menjadikan dirinya merasakan sesuatu yang baru dan selepas itu kita dapat bercakap-cakap dengannya.

KEENAM : Jika ia meninggal dunia maka hantarkanlah ke tempat pemakamannya.

Apa yang dapat kita lakukan setelah seseorang itu meninggal dunia dan dikuburkan?

Pada hakikatnya, menghantar orang lain yang meninggal ke tempat pemakaman adalah menghantar dirinya sendiri, yang ia akan dapat mengambil nasihat, pelajaran, dan merenungkannya.

Ini sebuah sunnah Rasulullah saw yang menggambarkan persatuan dan kesatuan kaum muslimin.

Jika sebelumnya, kita dapat mengenal peribadi orang yang telah meninggal dunia, maka sekarang kita dapat menggunakan kesempatan untuk berkenalan dengan keluarganya dan orang-orang yang berta’ziah ke rumahnya.

Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda :

“Barangsiapa menghadiri jenazah hingga menyolatkannya, maka baginya pahala satu qirath. Barangsiapa menyaksikan hingga di makamkan, maka baginya dua qirath.” Seorang sahabat bertanya, “Apakah dua qirath itu, wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “Seperti dua gunung yang besar.” (Muttafaqun ‘Alaih)

LANGKAH-LANGKAH YANG MESTI DITEMPUH

Dari Abu Hurairah ra, ia berkata, Rasulullah saw bersabda :

“Setiap angota badan manusia diwajibkan mengeluarkan sedekah setiap hari di mana matahari terbit. “Para sahabat bertanya, “WahaiRasulullah, bagaimana kita dapat bersedekah?” Rasul menjawab, “Sesungguhnya pintu untuk berbuat baik itu sangat banyak. Bertasbih, bertakbir, dan bertahlil adalah sedekah; menyingkirkan duri dijalanan adalah sedekah; menolong orang tuli atau buta adalah sedekah; dan menunjukkan orang yang kebingungan, menolong dengan segera orang yang sangat memerlukan adalah sedekahmu terhadap dirimu.”

PERTAMA : Bertasbih, Bertakbir Dan Bertahlil

Ucapan tersebut adalah ucapan yang diungkapkan dengan :

  • Lisan.
  • Rasa khusyu’ dalam hati.
  • Munajat kepada Allah.

Ini adalah agar seorang muslim tetap berhubung dengan Allah Yang Maha Berkuasa.

Ia juga merupakan kekuatan yang dapat membantu untuk bersabar dan istiqamah.

Berzikir merupakan ibadah yang dapat dilakukan setiap ketika. la juga merupakan mesin yang tiada henti-hentinya bergerak membersihkan jiwa dari berbagai kotoran. Orang yang berzikir akan mendapatkan pahala yang amat besar.

KEDUA : Menyingkirkan Duri Di Jalanan.

Pernahkah kita melihat ibubapa kita dan datuk nenek kita rajin menyingkirkan :

  • Batu.
  • Duri.
  • Tulang.

dari tengah jalan agar tidak mengganggu orang yang melalui jalan itu? Ini menunjukkan hukum dan ajaran Islam tertegak dalam masyarakat kita.

Jika mereka menemui kertas bertuliskan ayat Al-Qur’an, hadits atau huruf Arab, maka mereka membakarnya atau menyimpannya. Di samping itu, mereka juga menyapu depan rumah dan kedai serta membakar sampah yang sudah menumpuk.

Itu semua mereka lakukan kerana didorong oleh satu faktor iaitu Aqidah Islamiah yang telah tertanam dalam hati mereka.

Tatkala kaum muslimin tidak mahu melaksanakan ajaran Islam, kita melihat tumpukan-tumpukan sampah berada di merata tempat, lalat bertebaran di mana-mana dan penyakit tersebar di setiap rumah.

Rasulullah saw telah mengajarkan kepada kita agar menyingkirkan duri dari tengah jalan dan menjadikannya sebagai sedekah yang berpahala besar. Oleh yang demikian, jika ada di antara kita yang melempar duri atau yang lainnya ke tengah jalan, maka baginya suatu dosa.

Rasulullah saw bersabda :

“Tatkala seseorang berjalan di suatu jalan dan menjumpai duri, lalu ia singkirkan duri tersebut, maka Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuni dosanya.”
Ini bukan hanya tanggungjawab setiap peribadi seorang muslim, tetapi juga merupakan tanggung jawab yang mesti dilaksanakan oleh pemerintah Islam untuk menjaga kesihatan masyarakatnya dan “‘izzah” (kehormatan) umat Islam.

Umar bin Al Khatthab ra berkata :

“Seandainya seekor keledai ditemui (tersesat) di Iraq, maka sayalah yang bertanggung jawab, (kerana) kenapa saya tidak menunjukkan jalan pulang baginya.”

Orang-orang yang biasa pergi ke negara-negara Barat akan kehairanan melihat jalan-jalan dan lorong yang bersih. Pemerintah negara-negara tersebut menyediakan berbagai kemudahan berupa tong-tong khusus untuk mengumpulkan sampah, suratkhabar dan majalah lama pada hari-hari tertentu termasuk perabot rumah tangga yang sudah tidak dipakai lagi. Bahan-bahan yang kaca pula diletakkan dalam satu tempat khusus. Oleh yang demikian, barang-barang lama ini dapat dikitar semula.

Selain itu, setiap orang diwajibkan membersihkan lingkungan rumah dan kedainya, membersihkan salji dan daun-daun yang berjatuhan. Jika ada seseorang yang terpeleset dan tidak terima lalu membawa permasalahannya ke mahkamah, maka tuan punya rumah boleh dikenakan denda, kadang-kadang boleh sampai seribu dolar.

Dengan cara ini, setiap bandar atau desa berusaha untuk membersihkan dan menjaga keindahannya agar menarik perhatian pelancong.

Jika umat Islam mahu melaksanakan seruan Rasulullah saw ini, iaitu mahu menyingkirkan duri dan yang semacamnya dari jalan, niscaya masyarakat Islam akan tampil dengan penampilan yang indah dan berseri dan dengan yang demikian, mereka telah menunjukkan jati diri ajaran Islam yang sebenarnya.

KETIGA : Menolong Orang Yang Tuli Atau Buta.

Ada seorang yang “ummi” (buta huruf) menerima surat dari anaknya, seorang tentera yang sudah lama ia tunggu khabar beritanya. Tentu sahaja ia akan sangat memerlukan orang yang boleh membacakan surat tersebut. Begitu juga dengan orang yang tuli.

Bagi golongan ini, walaupun manusia di sekitarnya aktif berkomunikasi, namun mereka tidak menampakkan tanda-tanda interaksi sama sekali kerana mereka tidak mengerti apa yang sedang berlaku. Golongan ini tidak merasakan keberadaan mereka dan tidak merasakan nikmatnya hidup kecuali jika ada orang-orang di sekelilingnya mahu mengambil peduli terhadap permasalahan yang sedang mereka hadapi.

Ada satu kisah di salah satu Pusat Islam di Eropah, di mana terlihat seorang pemuda warga Jerman ketika ceramah berlangsung, dia hanya diam sahaja dan jelas sekali seolah-olah ia tidak mengikuti ceramah yang sedang berlangsung kerana tidak memahami bahasa Arab. Lalu seorang di antara orang-orang Arab di situ menterjemahkan isi ceramah tersebut kepadanya dan dia mula menunjukkan minatnya dan merasa cukup gembira.

Apakah perasaan yang dirasakan oleh orang yang tuli dan buta tatkala mereka tidak dihiraukan oleh masyarakatnya?

Tentu sahaja mereka akan menderita dan mungkin akan membenci orang-orang yang ada di sekitar mereka.

Menolong orang yang tuli dan buta menunjukkan sikap :

  • Saling mencintai.
  • Saling mengasihi.
  • Saling menolong.
  • Memperlihatkan karakteristik Islam.

Kita telah mengetahui kesusahan yang dialami oleh orang yang buta jika ia ingin pergi ke pasar, ia memerlukan seorang teman sebagai penunjuk jalan dan jika ia tidak mendapatkan teman lalu ia keluar ke jalan dengan menggunakan tongkat padahal ia tidak tahu arah ke pasar, pasti ia akan kebingungan.

Jika dalam keadaan semacam ini, kita tampil dan mendekati laki-laki itu kemudian membimbingnya dengan lembut dan sopan ke arah yang ia tuju, maka kita telah berbuat baik terhadap orang itu dan telah mengembalikan nama baik Islam.

KEEMPAT : Menunjukkan Orang Yang Kebingungan

Ramai orang yang kebingungan tatkala berada di daerah yang belum ia kenali. Tentu sahaja ia sangat memerlukan orang yang dapat menunjukkan jalan kepadanya.

Ia bertanya ke sana ke mari, tetapi jawaban yang ia terima adalah, “Saya tidak tahu.

Ia bertanya kepada orang kedua dan orang itu menjawab sambil menunjuk ke suatu arah, “Silakan berjalan terus ke arah itu dan apabila sampai di sebelah sana, maka bertanyalah.

Ia kemudiannya bertanya kepada orang ketiga dan orang itu menjawab, “Mari saya hantar ke tempat tujuan kamu.” Kemudian ia menghantarnya hingga sampai ke tujuan.

Orang ketiga inilah orang yang berbuat baik dan meninggalkan kesan yang baik pula di hati orang lain.

Allah swt berfirman :

“Wahai orang-orang yang beriman, ruku’lah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Rabb kamu, dan berbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan.” (QS Al-Hajj : 77)

Beberapa anak kecil yang bermain di luar rumah di mana mereka berlari-lari dan semakin lama semakin jauh dari rumah mereka. Tatkala tersedar, mereka kebingungan kerana tidak tahu jalan pulang ke rumah mereka.

Seandainya seorang dari mereka tidak menjumpai orang yang dapat menghantarnya pulang, maka cuba kita bayangkan apa yang akan berlaku jika ia terus berjalan dan memasuki tempat-tempat yang ia tidak kenali.

Orang yang kehilangan begnya yang berisi surat-surat penting akan sangat berterima kasih kepada orang yang menemui beg itu dan mengembalikan kepadanya.

Orang-orang yang mahu melaksanakan tugas-tugas ini akan dapat menumbuhkan rasa cinta dan menanamkan nilai-nilai Islam dalam masyarakat dan inilah tugas seorang pendakwah.

KELIMA : Menolong Dengan Segera Orang Yang Memerlukan Pertolongan.

Orang yang ditimpa musibah dan memerlukan pertolongan dengan segera seperti rumahnya terbakar, orang yang tenggelam, orang yang ditimpa bencana dan lain-lainnya, maka dalam keadaan seperti itu kita mesti segera berbuat sesuatu.

Sebuah syair Arab mengatakan ;

“Jangan menunda pertolongan hanya kerana mengharap datangnya bukti Tatkala saudaramu ditimpa musibah yang menghiris hati.”

Tatkala berada dalam keadaan yang berbahaya seperti ini, setiap orang akan benar-benar mengharapkan adanya orang yang mahu menolong. Oleh kerana itu, jika seseorang dalam keadaan seperti itu lalu ada orang yang tampil untuk menolongnya, ini merupakan sifat ‘muru’ah’ dan akan meninggalkan kesan yang amat baik yang tidak akan terhapus dengan bergantinya masa serta akan menumbuhkan rasa cinta dan kasih.

Ada sebuah kisah yang berlaku di sebuah universiti di Mesir di mana seorang mahasiswi yang tidak bertudung sedang berjalan-jalan di halaman fakulti dengan mahasiswi-mahasiswi yang lain yang memakai tudung.

Dengan secara tiba-tiba mahasiswi yang tidak memakai tudung itu jatuh pingsan dan tersungkur ke tanah. Teman-temannya dengan cepat menolongnya.

Setelah ia sedar, ia tercengang kehairanan kerana yang berada di sekitarnya adalah para wanita bertudung lalu ia berkata, “Demi Allah, saya tidak pernah terfikir atau membayangkan sikap kamu begitu baik.”

Mungkin ia telah termakan oleh kebohongan-kebohongan yang disebarkan tentang wanita bertudung sehingga ia beranggapan bahawa seorang wanita bertudung tidak mempunyai rasa kasih sayang dan berjiwa sosial.

Allah swt berfirman :

“Sebenarnya Kami melontarkan yang haq kepada yang batil, lalu yang haq itu menghancurkannya, maka dengan serta merta yang batil itu lenyap.” (QS Al-Anbiya’ : 18)

Allah swt juga telah menjelaskan tugas dan memberi tunjuk ajar kepada kita :

“Tolaklah kejahatan itu dengan cara yang lebih baik, sehingga orang yang antaramu dan dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang setia.” (QS Fushilat : 34)

Ada sebuah ungkapan yang mengatakan :

Berbuat baiklah, dan lemparkan kebaikan itu ke dalam lautan.

Tetapi para pendakwah mengatakan :

Berbuat baiklah kerana Allah, niscaya kebaikan itu akan kembali kepadamu di
dunia mahupun di akhirat.

Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami untuk kami amalkan sabda-sabda NabiMu sebagai wasilah dakwah yang akan memudahkan kami untuk berinteraksi sesama manusia dengan menanam benih ikatan kemasyarakatan serta menjadi sebab kepada manusia mendapat petunjuk dan hidayah dariMu untuk kembali tunduk dan menyerah diri kepadaMu. Amin..


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


Categories: Dakwah, Hikmah

Kasih Mengasihi..

February 13, 2011 Leave a comment

Masyarakat Islam adalah seperti satu jasad yang setiap anggota akan merasai apa yang dirasai oleh orang lain malah mereka juga bersama-sama berkongsi kegembiraan. Maka antara yang menjadi kewajipan penting seorang Muslim ialah agar segera melepaskan kesempitan yang dialami oleh saudaranya. Dengan cara ini masyarakat yang sempurna dan tolong-menolong dapat diwujudkan.

Sebaliknya mencari-cari keburukan orang lain dan menyebarkannya pula adalah satu tanda kemunafikan kerana disebabkan perkara tersebut sesuatu kejahatan yang dilakukan itu boleh menjadi pemangkin kepada orang yang sepertinya agar lebih agresif dan liar dengan kejahatan hingga seluruh masyarakat menjadi rosak. Sesungguhnya balasan Allah SWT kepada makhluk-Nya adalah dalam bentuk yang menyerupai amalan yang dilakukan itu.

Daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW bersabda maksudnya:

”Sesiapa yang melepaskan sesuatu kesusahan seorang mukmin dari kesusahan-kesusahan dunia Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan hari Akhirat dan sesiapa melapangkan seorang yang berada di dalam kesempitan Allah akan melapangkan untuknya di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menutup keburukan saudaranya maka Allah akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat dan Allah pasti menolong hamba-Nya selagi mana hambanya menolong saudaranya. Dan sesiapa mengikuti satu jalan untuk mencari ilmu Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga. Tidak berkumpul satu kaum di dalam rumah dari rumah-rumah Allah dan saling belajar dan mengajar antara satu sama lain melainkan turunlah ketenangan atas mereka, rahmat meliputi mereka, para malaikat mengerumuni mereka dan Allah akan menyebut (nama-nama) mereka di sisi-Nya. Dan sesiapa yang kurang amalannya maka nasab (keturunannya) tidak akan dapat menyempurnakannya.”
(Muslim)


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


Imam Muda Membantah Kenyataan Lee Kuan Yew

January 28, 2011 Leave a comment

Ada yang agak moderat dari beberapa insan yang saya kasihi bertanyakan pendapat saya berkenaan kenyataan Bekas Perdana Menteri Singapura baru-baru ini.Suatu ketika, sewaktu rancangan Imam Muda sedang berlangsung, kami dipanggil untuk bersama wartawan antarabangsa bagi menyatakan hala tuju Imam Muda.
Islam moderat antara isu yang amat diminati oleh mereka. Dengan pakaian  sut yang dikenakan, bersama ‘neck tie’ membuatkan wartawan luar Negara secara sendirinya melabel kami sebagai Islam Moderat. Walaupun ianya bukanlah satu deklarasi dari kesemua Imam Muda. Namun, pakaian kadang-kadang mencerminkan label tertentu. Walaupun bagi saya secara peribadi, jiwa moderat itu tidak memesrlukan sebarang uniform. Mungkin disebabkan anggapan kami agak ‘moderat’, maka sidia mengharapkan kata setuju dari saya berkenaan kenyataan Lee Kuan Yew tersebut.
Hasilnya, ada yang menyatakan persetujuan dengan apa yang diucapkan oleh Bekas Perdana Menteri Singapura terbabit. Walaupun ianya lahir dari surat beranak seorang berjenama Muslim. Ia meminta pandangan terhadap isu ini dari saya samada bersetuju ataupun tidak.
Berdasarkan keratan akhbar baru-baru ini :
“Singapore’s founding father Lee Kuan Yew has urged local Muslims to “be less strict on Islamic observances” to aid integration and the city-state’s nation-building process.
Kenyataan ini sebenarnya menghiris hati umat Islam secara tidak langsung. Penegasan secara mafhum mukhalafahnya bermaksud “Sekiranya anda Muslim yang benar-benar mengamalkan Islam secara tulen, maka anda sukar untuk disatupadukan dengan pengganut agama lain”.
Ya, Islam memang mempunyai prinsip tersendiri dalam berhubung sesama agama. Islam dari awal lagi meletakkan garis panduan dan tatacara integrasi agama. Walaupun ada beberapa kenyataan yang menunjukkan ketegasan umat Islam terhadap agama lain, namun ianya sama sekali tidak menyatakan konfrontasi malah menyeru berbuat baik sesama pengganut agama.
Firman Allah tentang umat yang terbaik : “Muhammad adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengannya adalah sangat tegas terhadap orang-orang kafir dan belas kasih (saling menyayangi) di antara mereka sendiri” (Al-Fath:29),
Dan firman Allah SWT lagi dalam mendeskripsikan orang-orang yang dicintai Allah dan mereka mencintai Allah yang bermaksud : “Senantiasa tunduk dan hormat terhadap orang-orang beriman dan tegas dihadapan orang-orang kafir” (Al-Maidah:54).
Walaupun ayat ini mengisyaratkan Islam bertegas dalam beberapa prinsip, namun ia tidak pernah menghalang dari berbuat baik dan bertoleransi sesama agama. Ini jelas di dalam firman Allah SWT :
Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan Berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu”. (Al-Mumtahanah : 8)
Jika kenyataan Lee Kuan Yew yang mahu melihat penganut Islam melonggarkan pegangan agama mereka, maka ini lebih berbahaya kepada Negara Singapura itu sendiri. Kerana orang yang benar-benar mengamalkan Islam, sudah pasti tidak akan mengabaikan ayat al-Quran ini. Maka mereka (orang yang benar-benar mengamalkan Islam) inilah yang akan mempertahankan sikap integrasi sesama agama di Singapura.
Lee Kuan Yew juga berkata :
“I would say today, we can integrate all religions and races except Islam,”
Kenyataan ini sekali lagi membuatkan kita ketawa. Ia seolah-olah dengan sendiri membuka pekung menunjukkan bahawa kegagalan beliau memahami perasaan umat Islam di Singapura yang selama ini di anak tirikan. Kebebasan beragama telah disekat. Azan dihadkan suaranya. Muslim dipersendakan.
Anaknya Lee Hsien Loong menegaskan (Februari 1987):  “..Malays do not hold sensitive positions in the armed forces…no Malay fighter pilots, for example, because of their religion might conflict with their duty to Singapore.” Dalam konteks yang sama akhbar Straits Times, Singapore bertarikh 9 September, 1999 melaporkan:  If for instance, you put a Malay officer who’s very religious and who has family ties in Malaysia, in charge of a machine gun unit, that’s very tricky business.
Dalam tesis doktoral Lily Zubaidah Rahim berjudul ‘The Singapore Dilemma’ beliau menegaskan:All these measures undertaken ensure that the Malays, no matter dissatisfied, can never gather enough electoral support to push for their agenda. Dalam konteks Melayu –Muslim dasar Kerajaan Singapura adalah jelas, iaitu pecah perintah atau pecah takluk (divide and rule/divide and conquer) .
Walaupun terdapat peruntukan perlembagaan untuk melindungi agama orang Melayu, Muslim tidak bebas mengamalkan agama mereka. Dalam rencana ‘Assessment for Malays in Singapore’ dicatatkan:  The Malays face restrictions on the practice of their religion and the celebration of group holidays.
Ibarat pepatah arab ‘anda memukul anda yang menangis’. Anda yang me’nyah’kan sikap dalam berintegrasi dengan penduduk Muslim. Anda pula yang mengkritik penganut Muslim. Kalau ini cara pemikiran seorang yang bersikap tidak mempedulikan sensitivity Umat Islam, maka anda tidak selayaknya bercakap soal integrasi.
Walaubagaimanapun, di Singapura, Masjid mereka lebih bermagnet. Semangat Muslim disana ramai yang berkayu cengal. Mungkin itu resam manusia. Bila diketuk makin memantul. Buku yang telah dilancarkan tersebut  yang bertajuk “Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going”, perlu dibaca dan diteliti agar sejarah lama tidak berulang dan ianya satu peringatan untuk kita semua.

Sumber Artikel : www.imamudasyraf.com


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


Categories: Dakwah, Hikmah

Hayati 25 Pesanan!

January 16, 2011 Leave a comment
Assalamualaikum.
Marilah bersama kita hayati 25 Pesanan Luqmanul Hakim Kepada Anaknya. Semoga ianya menjadi panduan dalam kehidupan harian kita insyaAllah..

01 – Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.

02 – Orang – orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemulian dari ALLAH juga.

03 – Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.

04 – Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.

05 – Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

06 – Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar benar takut ( takwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.

07 – Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.

08 – Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu,adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.

09 – Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.

10 – Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.

11 – Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.

12 – Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.

13 – Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

14 – Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.

15 – Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.

16 – Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu,maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati hatilah.

17 – Selalulah baik tuturkata dan halus budibahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.

18 – Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanyasebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.

19 – Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya~ yang akan mendatangkan cela pada dirimu.

20 – Hai anakku; janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan oleh dunia sahaja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.

21 – Hai anakku; usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.

22 – Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatun yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia siakan hartamu.

23 – Barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.

24 – Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.

25 – Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


Categories: Hikmah

Prinsip Kesepaduan Ad-Deen dan Kebersamaan Dalam Perjuangan

January 3, 2011 Leave a comment

Wahai sahabatku,

Manhaj kita bukannya mahu memperjuang tasawwuf semata-mata, atau fekah semata-mata, atau tauhid semata-mata atau fikrah semata-mata. Ia bukan jalan penyelesaian, bahkan jika dipisah-pisahkan atau dilebihkan salah satunya dengan meringankan yang lainnya, ia boleh membawa kepincangan dan kelemahan kepada insan dan ummah.

Justeru itu wahai sahabat, manhaj ku menekankan kepada kesepaduan Iman, Islam dan Ihsan untuk diri dan masyarakat. Oleh itu, hendaklah kita bersama dengan mana-mana perjuangan, ulama, sistem pendidikan dan apa jua badan yang menekankan pendidikan akidah yang berteraskan Ahlu Sunnah wal Jamaah (ASWJ) serta perjuangan dalam mempertahankan kemurnian agama dari serangan akidah wahabi, sekularisme, modenisme, liberalisme… juga fahaman Wujudiah yang sesat, fahaman Batiniah yang menolak syariat dan lainnya.

Hendaklah bersama dengan para Ulama, para Syaikh Tasawwuf yang benar, para pencinta tasawwuf, para pejuang tasawwuf dan pendidikan tasawwuf yang berada di atas disiplin yang benar dalam manhaj Ahlu Sunnah wal Jamaah walau apa jua aliran tarekahnya dan kaedahnya. Berusahalah mencari dalil dan hujah untuk membenarkan mereka kecuali tiada lagi jalan untuk mentakwilkannya kepada kebenaran.

Hendaklah engkau bersama dengan para Sahabat ridwanuLlah ‘alaihim, para ulama, para pejuang dan apa jua badan/institusi yang memperjuangkan keilmuan syariah dan perlaksanaannya secara syumul dalam segala sistem kehidupan berdasarkan mazhab yang muktabar.

Tiadalah sempurna iman melainkan dengan ibadah, tiada sempurna ibadah tanpa ihsan dan tiada sempurna ihsan melainkan dengan muraqabah dan musyahadah, tiada sempurna musyahadah melainkan mencapai cinta yang hakiki, tiada sempurna cinta melainkan fana’ segala ketuhanan yang lain dalam batin (sifat mazmumah).

Ilmu tanpa amal adalah sia-sia, amal tanpa Ihsan (tasawwuf) adalah sia-sia, Ihsan tanpa cinta yang hakiki adalah sia-sia, cinta tanpa meleburkan kecintaan nafsu mazmumah, dunia, harta benda, pangkat dan lain-lain adalah sia-sia, mencapai hakikat cinta Allah tanpa cinta Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam adalah juga sia-sia.

Cinta Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam tanpa fana’ cinta diri, keluarga dan cinta-cinta yang lain adalah sia-sia. Fana’ dalam cinta Allah tanpa cinta dan rindu untuk berkata-kata dengan kalamNya (al-Quran) dan mematuhinya adalah sia-sia.

Fana’ dalam cinta Rasul tanpa rindu dan cinta dalam mendengar sabda-sabda Baginda sallaLlahu ‘alaihi wassalam dan mematuhinya (Hadis Sahih @ Sunnah) adalah sia-sia. Kecintaan pada kalam Allah dan sabda Rasul tanpa dibuktikan dengan pengorbanan agar wahyu Allah dan sabda Rasul menjadi yang tertinggi dan mulia di bumi ini adalah sia-sia. Sesungguhnya Islam adalah agama kerahmatan, maka menyebarkan kerahmatan untuk sekelian alam adalah kewajiban.

Wahai sahabatku,

Ramai yang datang menziarahiku dari pelbagai golongan. Aku menerangkan pendidikan dan perjuanganku, mereka memahami dan berminat dan menjadi sahabat dan muhibbin perjuangan. Mereka kemudian kembali ke tempat masing-masing dengan membawa mesej manhaj pendidikan. Ada yang bergerak dalam jemaah yang mereka anggotai, ada yang membuka syarikat motivasi, ada yang mendaftar wadah sebagai NGO. Ada juga di kalangan ulama dan ustaz, mereka ini bergerak melalui kuliah dan program ceramah mereka.

Semua mereka ini hanya memperjuangkan satu mesej, iaitu mahu membangkitkan “Kesedaran Ketuhanan dan Kehambaan” dalam kesepaduan Iman, Islam dan Ihsan. Manusia sudah terlalai daripada mengenal diri mereka sendiri. Fitrah Ketuhanan insan telah tertutup tanpa mereka menyedari hakikat kewujudannya.

Justeru, marilah kita membukanya kembali pada setiap insan yang ada di atas muka bumi ini, agar mereka tiada hidup dalam mimpi dan ilusi, tiada diselubungi dengan kegelapan kejahilan dan silauan sihir dunia, agar mereka mencapai kebahagiaan hakiki.

Permata kenikmatan insan sesungguhnya berada dalam diri mereka, namun sedikit yang menyedari kewujudannya, apalagi memiliki kunci untuk membukanya.

Aku menyeru pada sahabat-sahabat yang memiliki kekuatan dan kefahaman, agar bersama kita merahmatkan kembali sekelian alam bermula dengan membuka hakikat kesedaran siapa manusia dan apa tanggungjawabnya hidup di dunia ini.

Dengan keimanan yang dimiliki, tasawwuf yang dimiliki (walau dari apa aliran dan syaikh sekalipun) dan keilmuan yang dimiliki dalam apa jua bidang ilmu, marilah kita bergabung dalam sifat saling hormat menghormati demi membangunkan kehidupan insaniah yang sejati.

Sesungguhnya akhirat tempat menanti pembalasan Tuhan rabbul ‘alamin pada insan yang berjaya membawa dirinya kepada makrifat kehambaan dan kemudian hamba yang lain pula turut mengecapi nikmat KESEDARAN KETUHANAN dan KEHAMBAAN..

Kesedihan
Merenggut batin setiap pencinta Illahi
Mengenangkan zaman mutakhir ini

Ad-Deen bersendikan Iman, Islam dan Ihsan
Namun bicara Ihsan telah hilang
Dzauk dan syuhud telah kering
Rahsia Fitrah Ketuhanan menjadi asing

Nusantara
Menerima cahaya dakwah para Auliya’-Auliya’
Iman, Islam & Ihsan bersatu
Tanpa ada yang diringankan

Semoga dakwah rahmatu lil ‘alamin
Kembali bersinar
Dalam setiap dada anak mukmin
Dengan bermulanya langkah hari ini…

Dipetik dari pesan dan kata² guruku..


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


Categories: Dakwah, Hikmah, Tasawwuf

Meneroka Makna Hijrah

December 4, 2010 Leave a comment

Alhamdulillah, kita diizinkan Allah SWT untuk memasuki tahun hijrah yang baru. Umat Islam menyambutnya dengan cara yang berbeza. Ada yang hanya menyedari ketibaannya kerana ia ditentukan sebagai cuti umum. Ramai juga yang menyambutnya dengan mengatur pelbagai majlis dan acara termasuk berkumpul di masjid dan surau dengan pengisian seperti bacaan doa akhir dan awal tahun, bacaan al-Quran, selawat dan tazkirah.

Semoga Allah SWT menerima niat baik dan doa-doa mereka yang tentunya merangkumi kebajikan dan kesejahteraan negara dan umat Islam seluruhnya dalam tahun baru ini. Kepekaan terhadap peredaran masa dan zaman memang suatu tuntutan Islam. Penggantian tahun dalam kalendar Islam turut diraikan kerana ia terkait dengan suatu peristiwa besar dalam sirah junjungan kita, Nabi Muhammad SAW iaitu peristiwa Hijrah. 
Hijrah memang mengandungi pelbagai makna dan erti. Sudut yang sering mendapat sorotan ramai adalah peralihan fasa risalah Islam daripada dakwah kepada fasa dawlah atau pembinaan negara. Tanpa menafikan kepentingan dimensi luaran peristiwa ini, adalah perlu diinsafi bahawa hijrah luaran dan fizikal ini tidak akan berhasil dan bermakna tanpa disertai hijrah rohani dalam hati dan jiwa umat. 
Hakikat ini ditegaskan dalam sabda Nabi SAW dalam hadis yang masyhur mengenai niat dan amalan, “Sesungguhnya amalan itu ditentukan oleh niat, dan bagi seseorang itu apa yang diniatkannya. Maka sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang berhijrah kepada dunia yang ingin diperolehinya atau wanita yang ingin dikahwininya maka hijrahnya adalah kepada apa yang menjadi maksud hijrahnya”
Sangat jelas dalam hadis ini yang merupakan antara induk segala hadis bahawa sebesar mana pun amalan agama seseorang itu, penentunya adalah niat dan maksud dalaman di sebalik amalan tersebut. 
Hijrah Nabi SAW adalah episod yang begitu hebat dan sangat menentukan kerana ia adalah suatu projek keagamaan yang dijayakan oleh sekelompok insan agung yang memiliki hati paling suci dan ikhlas di bawah pimpinan penghulu para mukhlisin, Nabi Muhammad SAW.
Menyedari hakikat ini, janganlah dimensi kerohanian ini diabaikan dalam kita menyambut Maal Hijrah. Dimensi Islam, iman dan ihsan dalam agama kita sentiasa utuh dan terkait. Tidak hairanlah, dalam salah satu karya terbesar dalam dunia kerohanian dan tasauf iaitu kitab Al-Hikam oleh Sheikh Ibnu ‘Atoillah al-Sakandari, hadis ini dan persoalan hijrah dalaman ini ada dinukilkan dan dihuraikan pula oleh para ulama tasauf yang mensyarahkan kata-kata hikmah tersebut. Sheikh Ibnu ‘Atoillah al-Sakandari menegaskan perlunya berlaku hijrah dalam diri kita keluar daripada keterikatan dengan alam-alam (kawn/ akwan) menuju kepada Sang Pencipta alam (Al-Mukawwin). 
Beliau berkata: “Janganlah kamu bergerak dari satu alam hanya ke satu alam yang lain maka jadilah kamu seperti keldai pengisar yang berjalan di sekitar pengisarnya sahaja; tempat tujuan perjalanannya sama dengan tempat asal perjalanannya. “Tetapi hendaklah kamu bergerak (berpindah) dari semua alam kepada Sang Pencipta alam. Sesungguhnya kepada Tuhanmulah puncak segala tujuan“.
Perhatikanlah sabda Rasulullah SAW, “Dan sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya …(hingga akhir hadis)” Inti kepada peringatan Sheikh Ibnu ‘Atoillah al-Sakandari ini adalah agar kita membulatkan keikhlasan kita kepada Allah SWT dalam segala amalan kebaikan kita. Tumpuan hati kita dalam beribadat adalah keredaan Allah SWT semata-mata. Hendaklah dielakkan ingatan kepada yang selain Dia hatta terhadap soal perhatian dan pandangan mulia oleh makhluk, karamah, ganjaran pahala, mahligai atau bidadari syurga walaupun ini adalah sunnah Ilahi bagi mereka yang bertakwa. 
Kesemua perkara ini hakikatnya masih merupakan alam dan makhluk. Kita masih belum berhijrah menuju Allah SWT dengan sebenar-benarnya jika masih terikat tumpuan kepada alam dan makhluk. Dalam ilmu tasauf, kalimah al-aghyar yang berakarkan kata ghayr yang bermakna ’selain’ sering digunakan kepada segala sesuatu yang selain daripada Allah SWT untuk menjelaskan maksud prinsip ini.
Harus diingat bahawa sesungguhnya Allah SWT itu amat cemburu. Dia tidak suka dan reda jika seseorang yang menuntut-Nya turut mencari sesuatu yang selain Dia di samping-Nya. Oleh itu, tidak akan sampai kepada-Nya seseorang yang masih terdapat di hatinya keinginan hawa nafsunya. 
Salah seorang ulama yang terkenal dengan syarahnya terhadap Hikam Ibnu ‘Atoillah, Sheikh Ibnu ‘Ajibah ada menyebut bahawa seseorang yang berjalan dari satu alam ke satu alam yang lain ialah orang yang berjalan dari selain Allah kepada selain Allah juga. 
Seseorang yang zuhud di dunia tetapi menuntut kerehatan badan dan perhatian dunia kepadanya masih termasuk dalam golongan ini. Hijrah dalam erti kata ini juga bolehlah dirumuskan sebagai berpindah dari tiga negeri kepada tiga negeri iaitu:
  • Dari negeri maksiat ke negeri taat.
  • Dari negeri kelalaian ke negeri kesedaran.
  • Dari alam asybah (jasad) ke alam arwah (roh).
Sheikh Ibnu ‘Ajibah juga meriwayatkan pesanan gurunya bahawa jika kita hendak menilai sama ada kita sedang benar-benar berpindah dari alam dunia menuju alam malakut atau tidak, kita hendaklah membentangkan segala keinginan dan kecenderungan kita satu persatu. 
Jika kita mendapati bahawa kita telah meninggalkannya dan perasaan kasih terhadap kesemuanya telah keluar daripada hati kita maka barulah kita boleh bergembira.  Mengeluarkan kecintaan dan keinginan terhadap selain Allah SWT bukanlah suatu yang mudah dan akan terjadi dengan sendiri. Ia menuntut keazaman, kesungguhan, perancangan, panduan dan bimbingan.
Satu perkara yang tidak harus luput daripada perhatian kita dalam merenungi hijrah adalah bagaimana peristiwa tersebut menagih perancangan, keperitan dan pengorbanan yang tinggi daripada Rasulullah SAW dan generasi awal Islam yang merupakan generasi para kekasih Allah. 
Jika mereka yang paling dikasihi Allah ini pun terpaksa bersusah payah merancang dan berkorban demi mendaulatkan Islam, maka sudah tentu kita hari ini perlu bersedia untuk berkorban dan berjerit-payah jika kita benar-benar serius dengan agama kita.
(Rujukan utama: Kitab Cahaya yang Lurus: Syarah Hikam Sheikh Ibnu ‘Atoillah al-Sakandari oleh Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki (Kuala Lumpur, Sofa Production, 2007)
Sumber Artikel : Arkib Utusan Malaysia
 

Categories: Bulan Islam, Hikmah

Peranan Seorang Teman

November 28, 2010 Leave a comment

Tidak ada seorang manusia pun di muka bumi  ini yang dapat  hidup tanpa bantuan orang lain. Manusia adalah makhluk sosial yang pasti memerlukan  pergaulan sesama manusia.
Di dalam pergaulan tersebut seseorang akan memiliki teman, baik teman di sekolahnya, di tempat kerjanya ataupun di sekitar tempat tinggalnya.  Teman atau sahabat merupakan eleman penting yang berpengaruh bagi kehidupan seseorang.
Islam sebagai agama yang sempurna dan menyeluruh telah mengatur bagaimana adab dan batasan-batasan di dalam pergaulan. Sebab betapa besar kesan yang akan menimpa seseorang akibat bergaul dengan teman-teman yang jahat, dan sebaliknya betapa besarnya manfaat yang dapat diperoleh oleh seseorang yang bergaul dengan teman yang soleh.
Banyak di antara manusia yang terjerumus ke dalam kancah kemaksiatan dan kesesatan disebabkan bergaul dengan teman-teman yang jahat dan banyak pula di antara manusia yang mereka mendapat hidayah disebabkan bergaul dengan teman-teman yang soleh.
Di dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w menyebut tentang peranan dan kesan seorang teman:
“Perumpamaan teman yang baik dengan teman yang jahat adalah seperti penjual minyak wangi dengan tukang besi. Adapun penjual minyak wangi tidak melalui kamu, baik engkau akan membelinya atau engkau tidak membelinya, engkau pasti akan mendapat baunya yang harum, sementara si tukang besi ia akan membakar bajumu atau engkau akan mendapat baunya yang tidak enak.”
Berdasarkan hadis tersebut, dapat diambil ikhtibar akan peri pentingnya bergaul dengan teman yang soleh yang mempunyai dua kemungkinan; yang kedua-duanya baik, iaitu:
Kita akan menjadi baik atau kita akan memperoleh kebaikan yang dilakukan oleh teman kita. Sedangkan bergaul dengan teman yang jahat juga mempunyai dua kemungkinan yang kedua-duanya jahat, (buruk) iaitu:
Kita akan menjadi jahat atau kita akan ikut memperoleh kejahatan yang dilakukan teman kita.
Bahkan Rasulullah s.a.w menjadikan seorang teman sebagai contoh terhadap baik dan buruknya agama seseorang. Oleh sebab itu, Rasulullah s.a.w memerintahkan kepada kita agar memilih dengan siapa kita bergaul.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Agama seseorang sesuai dengan agama temannya, maka hendaknya seseorang di antara kamu melihat dengan siapa dia bergaul.”
Dan dalam sebuah syair disebutkan yang bermaksud: “Jangan tanya tentang seseorang, tapi tanya tentang temannya, sebab orang itu pasti akan mengikuti kelakukan temannya.”
Demikianlah kerana memang fitrah manusia cenderung ingin selalu meniru tingkah laku dan keadaan temannya. Sehingga pengaruh kejahatan akan lebih mudah mempengaruhi kita disebabkan lemahnya hati kita.
Berhati-hati memilih teman adalah sikap yang diajarkan Ahli Sunnah Wal-Jamaah, iaitu menjauhi para penyeru bidaah, para pengikut hawa nafsu dan orang-orang fasik yang terang-terangan menampakkan dan menyerukan kefasikannya ini merupakan salah satu tindakan pencegahan terhadap bahaya lingkungan pergaulan dan agar umat terhindar daripada pengaruh kemaksiatan tersebut.
Seorang teman memberi pengaruh yang besar dalam kehidupan kita, maka janganlah ia menyebabkan kita menyesal pada hari kiamat nanti disebabkan pujuk rayu dan pengaruhnya sehingga kita tergelincir daripada jalan yang hak dan terjeremus dalam kemaksiatan.

Sumber Artikel : http://ummatanwasatan.net 

Selingan Video :


Categories: Hikmah, Motivasi

Atas Nama Cinta

November 25, 2010 Leave a comment

PROLOG

Hidupku kini amat bahagia, aku amat bersyukur ke hadrat Allah yang memberikan kebahagiaan yang tiada taranya ini, hidup dikelilingi kasih sayang, cinta, kesenangan yang berkekalan….

Ditambah dengan kehadiranmu, aku tahu, kau amat menyintai diriku, dan saban hari pasti aku akan mendengar kata-katamu ini yang tak pernah jemu kau ucapkan:

*Demi ALLAH, tidak ada sesuatu yang lebih indah dari awak disini…
“Demi ALLAH tidak ada sesuatu yang lebih aku cintai disini selain daripada awak….”

KISAHNYA

 
Aku masih ingat detik pertama pertemuanku dengannya..

ketika itu aku sedang berjalan di sebuah dataran pesisiran pantai yang amat indah dan tak pernah kujejaki sebelum ini. Aku sendiri bagai lupa jalan pulang. Aku meneruskan langkah dengan harapan bertemu sesiapa yang boleh menunjukkan arah supaya aku dapat pulang ke destinasi asalku.

Tiba-tiba aku terlihat kelibat seorang wanita dari kejauhan. Aku mempercepatkan langkah menuju kearah wanita itu. Dan aku semakin hampir padanya.

Semakin aku mendekatinya, aroma yang amat harum dan mengasyikkan menerpa hidungku. Wanita itu berdiri merenung ke arah laut dan tidak memperdulikan kedatanganku. Selindang putih mentupi bahagian kepalanya berbuai-buai ditiup angin pantai.

” cik..boleh saya tumpang bertanya…”

Dia pun menoleh ke arahku…

MasyaAllah!…alangkah jelitanya wanita ini..tidak pernah kulihat kecantikan yang sebegini rupa! Aku terlopong dan terleka seketika melihat kecantikan wajahnya.Hatiku menjadi terus terpaut padanya. Aku jadi lupa untuk bertanya arah, kerana hanya yang terkeluar dari mulutku adalah:

“siapakah awak ni cik? sudikah menjadi isteri saya?”

Dia terus menjawab dengan selamba:
“Saya Ainul Mardhiah, kalau inginkan saya, masuklah meminang..”

Dengan pantas aku bertanya kembali:
” Betul ke ni?..bagaimana caranya?

Dia menjawab : “Pinanglah aku daripada TUHANku dan berilah mas kahwinnya.”

Aku menjadi keliru seketika, dan bertanya lagi: berapa harga maskahwin tu?

” Solat Tahajjud yang istiqamah...akulah bidadari syurga”
seketika itu juga aku terjaga dari tidurku…..

Demikian kisah yang diceritakan oleh bapa Thabit al-Bunani, seorang ulama tabiin di Basrah, dalam kitab al-Tazkirah oleh Imam al-Qurtubi.

EPILOG

Apabila kita renungkan berbagai-bagai nas yang menceritakan tentang bidadari syurga ini, kita akan dapati bahawa mereka ialah makhluk yang terlalu sempurna untuk dijangkau imaginasi manusia yang terbatas. Kecantikan, kejernihan, kelembutan, dan kewangian tubuh mereka mengatasi wanita mana pun di muka bumi ini.

ALLAH menyebut mereka dengan panggilan hurul ain, iaitu wanita yang berkulit putih dan bermata lebar dengan bola mata yang sangat hitam bak mata rusa yang sangat cantik. Begitu indah dan jernihnya tubuh mereka, sehingga seakan-akan mereka itu ialah permata yakut dan marjan. (Ar-Rahman : 58)

Dalam hadith al-Bukhari daripada Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud,

Andai seorang wanita syurga menampilkan diri kepada penduduk dunia, nescaya teranglah apa yang ada di antara timur dan barat, penuhlah apa yang ada di antara kedua-duanya dengan wangian. Tudung yang menutup kepalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya.
WANITA-WANITA MUKMINAT LEBIH CANTIK DARIPADA BIDADARI SYURGA!

Secantik apa pun bidadari-bidadari ini, namun wanita-wanita mukminat jauh lebih cantik daripada mereka, iaitu orang-orang yang membasuh mukanya setiap hari dengan air wudhuk, melaksanakan solat, dna taat akan suaminya demi mencapai keredhaan ALLAH swt.

Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), (Al-Waqiah : 35-36)

Menurut beberapa orang ahli tafsir, antara lain Abu al-Hasan al-Mawardi, ayat ini berbicara tentang wanita-wanita mukminat di dunia. ALLAH mengembalikan mereka menjadi gadis-gadis muda meskipun sebelumnya telah menjadi nenek tua yang lemah. Mereka akan dibangkitkan kembali sebagai wanita yang sangat cantik lalu dipersatukan kembali dengan suami-suami mereka di dunia.

Apa yang dikisahkan didalam PROLOG diatas pula adalah sebuah hadis dari Ibn Abbas, ‘uruban ertinya bidadari ini sangat merindui dan mencintai suami-suami mereka. Mereka sering berkata, “Demi ALLAH, tidak ada di dalam syurga ini, sesuatu yang lebih indah daripada engkau. Demi ALLAH tidak ada di dalam syurga ini sesuatu yang lebih aku cintai daripada engkau.” Demikian sebagaimana dinyatakan dalam hadis panjang riwayat Abu Ya’la daripada Abu Hurairah.

Kerana besarnya cinta seorang bidadari kepada suaminya, mereka seringkali mengintip calon suaminya yang masih di dunia lagi. Mereka marah apabila melihat calon suaminya ini disakiti oleh isteri-isteri mereka di dunia.

At-Timirzi meriwayatkan daripada Muaz bin Jabal sabda Rasulullah saw yang bermaksud,
“Tidaklah seorang isteri menyakiti suaminya di dunia, melainkan isterinya dalam kalangan bidadari berkata, “Jagalah engkau wahai isteri yang tidak menghormati suami! Dia hanya sementara bersamamu. Tidak lama lagi ia akan segera berpindah kepada kami.”

KISAH UMMU DARDA’

Ummu Darda’, nama asalnya ialah Hujaimah al-Himyariah. Beliau ialah isteri Abu Darda’, seorang sahabat rasulullah saw yang hidup di Syam. Ummu Darda’ dan Abu Darda’ adalah pasangan bahagia.

Suatu hari, Ummu Darda’ berdoa di hadapan suaminya, “Ya ALLAH, sesungguhnya Abu Darda’ meminangku di dunia, lalu aku menikahinya. Maka sekarang aku meminangnya kepadaMU untuk menjadi suamiku di syurga.”

Mendengar ucapan ini, Abu al-Darda’ berkata, “Jika engkau ingin menjadi isteriku di syurga, janganlah menikah lagi setelah aku meninggal dunia.”

Ummu al-Darda’ seorang wanita yang cantik dan cerdas. Maka setelah Abu Darda’ wafat, Khalifah Muawiyah bin Abi Sufyan datang untuk meminangnya. Namun, isteri yang setia dengan cinta pertamanya ini menolak pinangan tersebut.

Kisah Ummu al-Darda’ mengingatkan kita bahawa cinta yang terjalin kerana ALLAH dan mengharapkan redha Ilahi tidak akan berakhir dengan kematian. Akan tetapi, akan terus menyala dan hidup kekal di dalam syurga abadi.

Oleh : arjunasetia
Artikel asal susunan : Majalah Solusi isu 24 – karya Umar M Noor
*Artikel ini adalah sumbangan ahli komuniti Forum Ehsan 


Categories: Hikmah