Archive

Archive for the ‘Zikir’ Category

Keutamaan & Kelebihan Berzikir لا إله إلا الله

January 30, 2011 3 comments

Assalamualaikum.
Sebelum ini telah diterangkan “Peranan Zikrullah”. Kali ini pula saya ingin berkongsi berkaitan dengan keutamaan dan kelebihan berzikir dengan kalimah لاإله إلا الله berdasarkan dalil daripada hadis-hadis Rasulullah SAW. Semoga kita dapat beramal dengannya insyaAllah.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Ahzab, ayat 41-42:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّـهَ ذِكْرًا كَثِيرًا ﴿٤١﴾ وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا ﴿٤٢٢

Maksudnya :

Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; (41) Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang. (42)

FirmanNya ini merupakan titah yang umum untuk orang-orang beriman menyebut dan mengingat Allah Ta’ala sebanyak-banyaknya dengan mana-mana lafaz zikir yang diiktiraf oleh syarak.

Keutamaan Zikir لاإله إلا الله

  • Dari Abu Hurairah RA, katanya : Rasulullah bersabda : “Perbaharuilah iman kalian.” Mereka bertanya : “Wahai Rasulullah, bagaimana cara memperbaharui iman kami?” Baginda menjawab : “Banyakbanyaklah mengucapkanلاإله إلا الله” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Ath-Thabrani dengan sanad hasan)

  • Rasulullah SAW  juga pernah bersabda : “Yang paling utama yang diucapkan olehku dan para nabi sebelumku ialah لاإله إلا الله

  • Daripada Talhah bin Khirash katanya, saya mendengar Jabir bin ‘Abdullah berkata, saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : “Zikir yang paling utama ialah لاإله إلا الله dan doa yang paling utama ialah الحمد لله (al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Nasa`i, Ibn Hibban)

  • Diriwayatkan dari Ali Karramallaha Wajhah: “Suatu ketika aku bertanya kepada Rasulullah SAW : “Wahai Rasulullah, apakah jalan paling hampir kepada Allah dan paling mudah bagi hamba-hamba Allah dan paling utama di sisi Allah Ta’ala?” Rasulullah SAW menjawab: “Wahai Ali, hendaklah engkau sentiasa tetap zikrullah”. Ali RA bertanya lagi: “Semua manusia menyebut Allah”. Jawab Rasulullah SAW: “Tidak akan berlaku kiamat sehingga tiada tinggal lagi  di atas muka bumi ini orang yang menyebut “Allah”. Kemudian Ali RA bertanya lagi: “Bagaimanakah kaifiat(cara) untuk berzikir wahai Rasulullah?” Maka jawab Rasulullah SAW: “Pejamkan kedua matamu dan dengarlah daripadaku tiga kali, kemudian katakanlah seumpamanya sambil aku mendengar”. Maka Rasulullah SAW pun mengucapkan لاإله إلا الله sebanyak tiga kali dalam memejamkan kedua matanya, kemudian Ali RA mengucapkannya pula”

Beberapa Hadis Tentang Fadhilat لاإله إلا الله

Pertama : Pengamal akan mendapat syafaat dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

“Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu, ia berkata : Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Yang akan mencapai kebahagiaan dan keuntungan melalui syafaatku ialah orang yang mengucap kalimah Lailahaillallah dengan hati yang ikhlas”.(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Kedua : Mendapat jaminan masuk Syurga.

Dari Zaid bin Arqam Radiallahuanhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :

“Barangsiapa yang mengucapkan Lailahaillallah dengan ikhlas, dia akan dimasukkan ke dalam Syurga. Lalu ditanya kepada Baginda : Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan ikhlas itu? Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Ikhlas itu ialah yang mencegah dari melakukan perbuatan-perbuatan yang haram”.(Hadis riwayat Al-Imam At-Tabarani).

Ketiga : Tidak akan dimasukkan ke dalam api Neraka.

Dari Umar Radiallahuanhu meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya : “Aku mengetahui satu kalimah yang tidaklah seorang hamba pun yang mengucapkannya dan membenarkannya dengan hati kemudian ia mati dengannya melainkan haramlah ke atasnya Neraka Jahanam. Kalimah itu Lailahaillallah”.(Hadis riwayat Al-Imam Al-Hakim).

Keempat : Amalan zikir tersebut mendapat timbangan yang lebih berat dari amalan-amalan yang lain.

Dari Abi Abas Radiallahuanhuma bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud : “Demi yang diriku di tangan-Nya, jika sekiranya segala langit dan bumi dan siapa yang ada padanya dan apa-apa yang ada di antaranya dan apa-apa yang ada dibawahnya diletakkan di sebelah dacing dan kalimah Lailahaillallah di sebelah yang lain, maka dacing kalimah (Lailahaillallah) itulah yang lebih berat”.(Hadis riwayat Al-Imam At-Tabarani).

Kelima : Merupakan anak kunci Syurga.

Muaaz bin Jabal Radiallahuanhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya : Anak-anak kunci Syurga ialah mengakui kalimah Lailahaillallah (Hadis riwayat Al-Imam Ahmad).

Sesungguhnya orang-orang mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah Subhanahu Wataala yang ingin memperolehi kesempurnaan imannya tidak akan mempermudah dan melengah-lengahkan untuk berzikir, tiada mahu lalai dan dilalaikan oleh sesuatu dari berzikir kerana lalai dan lupa Allah Subhanahu Wataala itu adalah lantaran jiwa yang telah dipengaruhi oleh syaitan. Oleh itu pelajarilah zikir dan amalkanlah, mudah-mudahan kita dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang banyak berzikir serta berjaya hidup di dunia dan di akhirat. Amin Yarabbal’alamin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Ash-Shaaffaat ayat 143-144 yang tafsirnya :

“Maka kalaulah ia (Nabi Yunus) bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah dengan zikir dan tasbih, tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia di bangkitkan keluar dari kubur”.

Dalam zikir ini ada rasa ketenangan, keindahan, kemesraan, rindu, cinta dan kelazatan andainya dilakukan dengan penuh keikhlasan..InsyaAllah. Wallahua’lam..



http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


Peranan Zikrullah

January 20, 2011 6 comments

Assalamualaikum.
Mudah-mudahan entri ini menjadi asbab hidayah Allah untuk kita semua insyaAllah. Amin..

Perana zikir dalam kehidupan manusia ke arah untuk mengenali diri dan Allah sungguh besar dan bererti sekali. Dengan zikrullah seseorang itu dapat membersihkan hati dan dirinya yang sememangnya penuh dengan noda dan dosa. Diri (hati) manusia itu seperti perabut di dalam rumah yang sentiasa terdedah kepada hinggapan debu dan habuk. Maka ia selalulah kena bersih, sapu dan gilap. Alat untuk menyapu, membersih dan mengilap itu ialah ZIKIR. Kalau sembahyang (solat) mencegah kemungkaran, zikir pula mendekat dan merapatkan hamba dengan Tuhannya.

Maksud sebuah Firman Allah SWT: “Zikir untuk membersihkan hati” Dan Rasulullah S.A.W. pernah bersabda: ” Sucikan hati dengan berzikir”.

Dari Firman dan Hadis itu jelas menunjukkan zikir itu sangat besar peranan dan gunanya. Bolehlah dianggap bahawa zikir itu sebagai alat nombor satu ataupun “serbuk” pencuci yang tiada ada tolak banding. Zikir menjadi cermin kepada setiap insan yang bercita-cita untuk melihat dirinya serta perkara-perkara ghaib yang berlegar-legar disekeliling kehidupannya.

Hakikat akan kebesaran dan ketinggian hikmah zikir ini dibuktikan sendiri oleh Allah dalam FirmanNya bermaksud: “Kalau engkau tidak tahu, bertanya kepada ahli zikir”.

Ini menunjukkan ahli zikir menjadi “Prof.” yang serba tahu mengenai sesuatu yang ghaib ataupun yang zahir. Golongan zikirilah inilah yang boleh tenggelam dalam kecintaan makrifat kepada Allah yang sebenarnya. Yang kasyaf dan dapat mengetahui sesuatu yang terlindung dari pancaindera zahir.

Pengertian Zikir

Sebelum kita membicarakan perihal zikir ini lebih lanjut lagi, marilah dulu sama-sama kita mengetahui apakah erti dan pengertian zikir itu. Apakah yang dikatakan zikir itu yang sebenarnya? Pengertian ini perlu kita ketahui dengan sebenarnya untuk mengelakkan kita daripada salah membuat tanggapan. Bahana salah membuat tanggapan terhadap sesuatu hakikat amal ibadat tak ubah seperti salah menaruh umpan di mata joran, di mana menyebabkan ikan yang kita harapkan makan kail, ikan lain pula yang dapat. Harap Tenggiri, dapat ikan Duri!

Perkataan ZIKIR ialah dalam bahasa Arab yang bererti atau membawa makna, “sebut” dan “mengingat Allah”. Dalam pengertian ringkas ialah mengingati dan berdoa kepada Allah akan kesejahteraan, kebahagiaan dan kebermaknaan hidup kita dan umat Islam seluruhnya. Sebut itu baik pada mulut atau pun dalam hati. Dan ingat itu ialah di dalam hati tentang sesuatu apa-apa yang disebutkan.

Jadi ertinya kalau dikatakan zikir ialah ingat, sambil berdoa dan bermohon kepada Allah. Disebut berzikir, maknanya kita mengingati Allah, berdoa kepadaNya dan memohon kepadaNya, baik secara nyata ataupun diam. Sembahyang (solat), membaca al-Quran dan berpuasa juga termasuk dalam definasi “zikir” kepada Allah.

Tujuan zikir ialah untuk ingat akan kebesaran Allah, di mana bila kita mengingatkan kebesaranNya, maka dengan sendirinya pula kita tahu akan duduk dan martabat diri kita. Dengan berzikir juga kita sentiasa tahu duduk tara kita dengan Allah. Dengan berzikir juga boleh menguatkan Tauhid kita kepada Allah dan menguatkan i’tiqad kita kepada segala perintahNya.

Zikir adalah satu ibadat yang dituntut oleh Allah sendiri. Perintah supaya sentiasa mengingat Allah itu, adalah berdasarkan al-Quran dan Sunnah.

Antara lain sebagai berikut:

1. Firman Allah Ta’ala Surah Al-Baqarah 152 yang bermaksud:

“Ingatlah kamu kepadaKu nescaya Aku ingat kepadaMu dan bersyukurlah kepadaKu dan jangan kamu mengingkari (nikmat)Ku.”

2. Firman Allah Ta’ala Surah Al-Ahzab 41-42 yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang berIman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya di waktu pagi dan petang.”

3. Firman Allah Ta’ala Surah Ab-Nisa’ 103 yang bermaksud:

“Maka apabila kamu telah menyelesaikan solat (mu), ingatlah Allah di waktu berdiri, di waktu berdiri, di waktu duduk dan diwaktu berbaring.”

Dan Sunnah yang menjadi dalil dianjurkannya banyak berzikir itu, antaranya ialah:

1. Hadis At-Turmizi dan Ibnu Majah dan disahihkan oleh Al-Hakim, dari Abu Darda’ (marfu’) yang bermaksud:

“Tiadakah kuberitahukan kepada kamu tentang amalmu yang paling bersih disisi Tuhanmu dan paling tinggi (mengangkat) darjatmu, dan lebih baik bagimu dari (berperang) melawan musuh, lantas kamu memenggal batang leher mereka dan merekapun memenggal batang lehermu?”Para Sahabat menjawab:”Bahkan”. Rasulullah S.A.W. kemudian bersabda: “zikrullah!”

2. Hadis Muslim dari Abu Hurairah, menyatakan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Tiada satu kaum (kalangan) duduk berzikir mengingati Allah pada suatu majlis, melainkan Malaikat mengelilingi dan rahmat meliputi mereka dan Allah mengingat mereka, termasuk orang (yang dekat) disisiNya.”

3. Hadis Riwayat Bukhari juga ada menyatakan yang bermaksud:

“Sesungguhnya bagi Allah itu ada Malaikat yang berkeliling di jalan-jalan, mencari orang-orang yang berzikir. Apabila mereka mendapati satu kaum (kalangan) yang berzikir kepada Allah, mereka berseru: “Ayuh, mari kepada hajat kamu.”Lantas Rasulullah S.A.W. bersabda: “Maka malaikat-malaikat itu mengelilingi (melindungi) mereka dengan sayap-sayapnya sampai ke langit dunia.”

Hadis-hadis yang menerangkan kelebihan zikir itu cukup banyak. Adapun pengertian dan fungsi zikir atau berzikir ini boleh dibahagikan kepada 2 (dua) bahagian, iaiti pengertian Syariat dan pengertian Hakikat.

Pengertian Syariat

Seperti disebutkan tadi, pengertian syariat zikir itu ialah mengingat dan sebut, atau sebut dan mengingat. Sebut di sini ialah sebut Asma’ (nama) Allah serta ingat di dalam hati akan makna dan pengertian Asma’ itu. Misalnya lidah menyebut Al-jabar (Pemaksa), maka hati mengingatkan kepada sifat pemaksaanNya. Bila lidah sebut Ar-Rahman, hati akan ingat kepada sifat-sifat kemurahanNya. Bila lidah menyebut Al-Latiff, maka hati akan terkenang kepada sifat kelemah-lembutan- Nya. Bila lidah sebut Ar-Rahim, hati ingat kepada sifat pengampunan-Nya dan begitulah seterusnya. Setiap kali lidah menyebut NamaNya, hati akan mengenangkan kepada sifat-sifatNya.

Perlu diingatkan, mengenai butir zikir ini ia tidak terbatas kepada perkataan tertentu, atau pun kepada “asma’ ul’husna”, sebaliknya ada perkataan-perkataan atau sebutan lain. dan paling unik ialah sebutan diri yang lahir dari lubuk hati seseorang itu. Sebutan ini berbeda dengan kebanyakan atau pun dengan butir-butir zikir yang popular.

Pengertian Hakikat

Zikir dalam pengertian hakikat ialah apabila kita menyebut Asma’ Allah kita akan ingat kepada diri kita sendiri. Misalnya kita sebut “Jamal”, kita ingat akan sifat “Jamal” Allah itulah yang ada kepada kita. Justeru itu kita perlu menggunakan (apa yang kita sebutkan) itu untuk terus mengingatkanNya. Kita sebut Allah, maka kita kembalikan kekuasaan Allah itu ke atas diri kita. Kita ingat dan sedar, tanpa ada Dia tidak mungkin kita dapat hidup dan menyebut serta menerimaNya sebagai Tuhan kita.

Pengertian hakikat zikir itu ialah kita ingat kepada diri kita sendiri, sebagai hambaNya yang mulia dan harus melaksanakan tanggungjawab kita kepadaNya pada sepanjang masa. Di samping itu kita sedar bahawa kita adalah makhluk yang mulia yang diturunkan untuk menjadi khalifah dan pemimpin di atas muka bumi ini.

“Sebaik-baik kejadian ialah manusia.”

Zikir pada hakikatnya itu bukan untuk Allah sebab Allah tidak memerlukan apa-apa lagi seperti mana FirmanNya yang bermaksud:

“Wahai manusia sesungguhnya kamulah yang memerlukan Allah dan Allah yang Maha Kaya, tidak memerlukan apa-apa. Jika Dia mahu nescaya, Dia musnahkan kamu dan mendatangkan makhluk lain (sebagai ganti).” (Al-Fatir 15-16)

Allah berdiri di atas SifatNya sendiri, “mukhalafatuhuta’ala lilhawadith)”, malahan Dia tempat bergantung dan meminta.

Jadi, apabila kita berzikir itu kita mencari kekuatan untuk diri kita sendiri dan bukan lagi untuk Allah. Apa yang kita lakukan itu hanya sebagai menjalankan tanggungjawab dan sumpah janji kita sahaja semasa di alam “luh mahfuz” dahulu.

Bagaimana Zikir berperanan menyucikan diri?

Peranan dan hikmah zikir sungguh besar dan luas sekali, sehingga ia boleh menyucikan diri seseorang dan hasil dari penyucian (muhasabah) itu pula membolehkan seseorang itu kenal diri dan Tuhannya. Tetapi bagaimanakah ia berperanan menyucikan diri? Apakah cukup hanya setakat menyebut dan ingatkan diri kepada Allah, maka diri kita terus suci dan dapat berfungsi menjadi sebuah cermin untuk tilikan? Seperti mana serbuk penyuci berfungsi membersihkan kotoran kain baju. Begitukah?

Kalau setakat sebut sahaja atau ingat, maka diri terus menjadi suci, maka alangkah mudahnya zikir itu? Ia nampak semudah mengupas kulit pisang sahaja. Ataupun semudah serbuk penyuci menyentalkan kotoran di kain baju. Ternyata peranan penyucian zikir ke atas hati itu bukan seperti itu. Ia tidak semudah yang disangkakan.

Peranan zikir dan penyucian kepada hati, mesti melalui proses tertentu. Ada kaedah dan juga cara atau sistem tersendiri. Seperti juga usaha kita untuk melahirkan zuriat yang cerdas dan pintar, ada kaedah dan teknik persetubuhan tertentu dan amalan-amalan yang harus dilakukan.

Untuk memahami dengan cara mudah peranan zikir itu bolehlah kita huraikan begini, apabila kita sebut sesuatu kalimah zikir maka kita akan ingat dan tanamkan maknanya ke dalam hati. Misalnya kita sebut “Subhanallah” iaitu Maha Suci Allah, maka kita hayati dalam diri kita yang Allah itu adalah Zat yang suci. Kesucian itu tidak ada tolak banding dengannya. Maka kita harus bertindak dengan akal dan fizikal, bahawa yang suci adalah Allah semata-mata, tidak ada yang lain. Segala unsur syirik yang bersarang secara diam dan tersembunyi hendaklah disingkirkan dari menjadi warga hati kita dan kurungkan Allah semata-mata dalam diri.

Kalau kita menyebut “Allah Hu Akbar” Allah yang Maha Besar (Agung), maka keagungan itu kita masukkan ke dalam diri kita. Kita tanamkan bahawa yang agung hanya Allah dan tidak ada yang lain. Baik diri kita ataupun kuasa lain. Justeru itu kita harus komitkan (iltizam) diri kita kepada keagunganNya sahaja.

Dengan cara itulah baru wujud penyucian. Penyucian di sini bermaksud, dengan mengingatkan segala sifat Allah itu, seperti Ar-rahman. Al-Rahim, Al-Latiff dan sebagainya. dan menyuci diri itu bermakna menyucikan diri/hati kita daripada syirik, kufur, munafik dan kafir kepada Allah. Suci ialah apabila mematuhi dan kenal denganNya.

Ingat, selagi kita masih syirik, kufur, munafik dan kafir serta memiliki sifat-sifat mazmumah yang mutlak masih belum tercapai lagi. Apabila hati kita tidak didindingi oleh segala elemen-elemen itu baharulah ia bersih dan menjadi sekeping cermin khuwah yang memungkinkan kita kasyaf dan dapat melihat apa-apa yang ghaib.

Demikianlah secara ringkas dahulu mengenai peranan zikir membersihkan hati dan diri insan. Ingin saya berpesan, bahawa zikir yang sebenarnya bukan sahaja setakat menyebut kalimah-kalimah ataupun pengucapan tertentu sahaja. Kalau setakat sebut sahaja ia tidak menjadi. Yang penting menghayati kemudian seterusnya bertindak dengan fizikal dan akal terhadap pengertian apa yang disebut itu.

Kalau setakat berzikir ia tidak menjamin kebersihan hati dan diri seseorang. Malahan perbuatan itu tidak lebih daripada sia-sia sahaja. Sebab itu kalau kita perhatikan ada ahli zikir yang perangainya tidak pernah berubah. Kalau dulu dia pembohong, penipu, maka kini pun dia penipu dan pembohong, walau pun dia sudah mengerjakan zikir beratus juta kali. Kalau dulu dia mencuri dan mencaci, kini pun setelah berzikir sampai juta-juta kali, dia tetap juga dengan perangainya, mencaci orang itu dan orang ini. Itulah tanda zikir orang itu zikir pada lahir sahaja tetapi tidak meresap atau “jelira” ke dalam diri batinnya.

Dalam pada itu kalimah zikir bukan terbatas kepada “asma’ ul’husna” yang 99 atau kalimah-kalimah pujian yang melulu sahaja. Malahan apa saja kalimah yang terdetik di hati dan terdengar dibibir ia merupakan “Asma'” Allah dan boleh dijadikan kalimah zikir. Pokok pangkalnya pengertian dan niat itu sahaja yang dikira.

FirmanNya yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang berIman, berzikirlah (dengan menyebut nama Allah), dengan sebanyak-banyaknya (bermacam-macam sebutan).” (Al-Ahzab 41)

Sebaik-baik amalan itu elok pada Syariat, tepat pada Hakikat, kena pada Tariqat dan sampai pada Makrifat.

Wallahhu ta’ala a’lam.

“inna afdhalaz zikra fa’alam annahuu lailahaillallah”
InsyaAllah bersambung..


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


Selingan : Astaghfirullah..

December 15, 2010 Leave a comment

Laillahailla anta ya ya hoiyu ya koiyum
subhanalloh wabihamdi subhanalloh hil’azim

kubuka jendela pagi di udara yang letih
deru deram nyayian
bersama nerjuta wajah ku arungi mimpi hari
halalkan segala cara untuk hidup ini

nafsu jiwa yang menguncah
menutupi mata hati
seperti terlupa bahwa nafas kan berhenti
astarghfirulloh3x al’adzim (ulang….)

(kembali ke atas….)

kubuka jendela pagi dan dosapun menghampiri
suara jerit hati ku ingkari
nafsu jiwa yang mengunjah menutupi mata hati
seperti terlupa bahwa nafas kan terhenti
astarghfirulloh3x al’adzim

Hayati juga video ini : Munajat Keampunan

Categories: Video, Zikir

Sayyidul Istighfar (Penghulu Istighfar)

December 7, 2010 Leave a comment

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّـهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يَوْمَ لَا يُخْزِي اللَّـهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ ۖنُورُهُمْ يَسْعَىٰ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ” Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): “Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu” (At-Tahrim 66 : 8)


Penghulu Istighfar
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ
 أَعُوذُبِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya : 


Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan taat ) kepada-Mu sekuat mampuku. 
Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau
Fadhilat membaca penghulu istighfar :
Dari Syaddad bin Aus ra. dari Rasulullah saw. bersabda: Penghulu istighfar ialah “Allahumma anta……”.  Sesiapa yang membacanya dengan penuh keimanan waktu petang dan mati pada malam itu, maka masuk syurga.  Demikian juga siapa yang membacanya waktu pagi dan mati pada hari itu masuk syurga. (HR. Bukhari)

Terdapat banyak kelebihan istighfar jika amalan ini dilakukan secara istiqamah dan ikhlas semata-mata kerana Allah. Antara kelebihannya adalah:

1. Allah akan melapangkan dirinya dari segala kesusahan, dan melepaskannya daripada segala tekanan dan akan dikurniakan rezeki tanpa bisa dikira banyaknya.

2. Sesiapa yang beristighfar sebanyak 70 kali, nescaya Allah akan menghapuskan daripadanya sebanyak 700 dosa.

3. Sesiapa yang mengerjakan kejahatan, atau menganiayai dirinya, kemudian ia memohon ampun kepada Allah ,nescaya ia akan mendapati Tuhan itu Maha Pengampun, Maha Pengasihani.(Surah An Nisa’ : 110)

4. Tuhan tidak akan menyiksa mereka, selama mereka beristigfar. (Al Anfal: 33)

5. Mendekatkan diri kepada Allah dan mendapat keberkatan dan melorong jalan untuk menuju kepada segala macam kebajikan sama ada di dunia atau di akhirat .

6. Mengurniakan pemberian yang baik kepadanya sehingga ke waktu yang ditentukan ( Surah Hud : Ayat 3) (Imam Habib Abdullah Haddad, 1981 : 232-235)

Seperti amalan selawat, amalan istighfar yang dilakukan secara berterusan juga akan membersihkan hati yang penuh dengan zulmah hawa nafsu dan secara tidak langsung menyelesaikan kemelut hati dan kehidupan. Contohnya istighfar telah menyelesaikan kemelut Nabi Yunus A.S apabila baginda ditelan oleh ikan Nun . Nabi Yunus A.S dicampakkan oleh Allah Taala ke dalam laut kerana baginda masih ada ajalat (sifat-sifat mendahului qodo’ Tuhan). Allah Taala memelihara nabiNya daripada sifat-sifat ajalat ini dengan membenarkan ikan Nun menelan Nabi Yunus A.S. Nabi Yunus A.S beristighfar untuk memohon keampunan daripada Allah Taala iaitu :

Ertinya: ‘Tiada Tuhan melainkan Engkau, maha suci Engkau, sesungguhnya aku daripada golongan orang yang menzalimi dirinya.'(Surah Al Qalam : 87)

Sel-sel nabi Yunus yang maksum kemudiannya dibersihkan daripada sifat-sifat ajalat. Selepas itu barulah doanya diperkenankan oleh Allah Taala.

Nabi Muhammad SAW yang maksum juga sentiasa beristighfar iaitu sebanyak 70 kali sehari. Istighfar Nabi Muhammad SAW adalah untuk memperakui kehambaannya kepada Allah Taala dan membersihkan segala sel-selnya daripada segala rasa ‘Ada Diri’ atau ‘Rasa Keakuan’.

Sesungguhnya, istighfar adalah pernyataan kehambaan kita kepada Allah Taala yang sangat tinggi nilainya. Dengan wujudnya rasa kehambaan ini akan terhakislah segala bisikan-bisikan nafsu Ammarah dan Lawwamah di hati dan fikiran kita insyaAllah..


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


Categories: Fadhail Amal, Zikir