Khutbah Jumaat Minggu Ini – "Jahiliyyah Moden"

April 14, 2011 Leave a comment

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan dalam segenap aspek kehidupan di dunia ini, dengan melaksanakan tuntutan mentaati segala perintah Allah S.W.T dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dengan ketaqwaan yang sebenar-benarnya kita semua akan beroleh kebahagian hidup di dunia dan disusuli kebahagiaan abadi di akhirat. Sesungguhnya, kebahagian di dunia hanya akan dapat direalisasikan apabila kita memahami, mengamalkan dan menghayati syariat Islam sebagai prinsip kehidupan.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Jahiliyyah bermaksud “sesat atau jahil“. Asalnya ia dimaksudkan kepada masyarakat jahiliyyah di semenanjung Tanah Arab yang hidup 1500 tahun dahulu sebelum kebangkitan Rasulullah S.A.W iaitu masyarakat yang mundur dari segi pembangunan, akhlak dan sosial ditambah pula dengan sikap keangkuhan, kesombongan dan kebodohan dari segi ilmu pengetahuan. Dengan ketiadaan Nabi dan kitab suci yang boleh dijadikan petunjuk, mereka menjadi sesat, jauh daripada jalan kebenaran dan tiada sistem hidup yang menjamin kebahagian. Inilah asal bentuk masyarakat jahiliyyah. Jelasnya setiap tindakan yang berupa pandangan, perbuatan, pemikiran dan sikap yang menentang Islam termasuk dalam kategori jahiliyyah.

Meskipun generasi jahiliyyah itu telah berakhir ditelan zaman, namun sikap dan perwatakan jahiliyyah bentuk baru masih wujud hingga ke hari ini. Ditengah-tengah kehidupan dunia yang pesat membangun, masih terdapat manusia yang berperilaku jahiliyyah di sudut sikap, emosi, minda dan tindakan.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Kaum jahiliyyah dahulu terkenal dengan budaya hidup yang menjijikkan dan tiada pedoman. Hanya akal dan nafsu dijadikan rujukan. Lalu lahirlah masyarakat yang bergelumang dengan segala bentuk kemunkaran dan penindasan. Anak-anak perempuan dubunuh, pelacuran dan perzinaan menjadi budaya, pergaduhan dan peperangan menjadi cara untuk mencapai matlamat hidup, yang berkuasa menindas, yang lemah diperhambakan dan ditindas, tiada keadilan dan pembelaan ditegakkan, tiada sistem hidup yang dapat membentuk keharmonian dan kedamaian, sihir dan khurafat menjadi amalan. Inilah antara identity masyarakat jahiliyyah dahulu akibat meninggalkan ajaran dan panduan hidup Nabi terdahulu. Hakikat ini dijelaskan oleh Allah dalam surah Yasin ayat 6:

“Supaya engkau memberi peringatan kepada kaum nenrk moyang mereka telah lama tidak diberikan peringatan, sebab itulah mereka lalai”

Dari ayat ini dapatlah difahami bahawa mereka wajar menjadi begitu rosak dan sesat kerana lama tidak didatangi peringatan dan pedoman utusan Allah kepada sesuatu kaum. Bagaimana pula dengan perlakuan dan sikap jahiliyyah hari ini? Mereka hidup selepas kedatangan Islam dan Rasulullah S.A.W, dibekalkan dengan syariat Islam dan sentiasa dipandu dengan pengajaran Al-Quran dan hadith Rasulullah S.A.W di setiap aspek kehidupan. Namun masih kekal dengan watak-watak dan sikap-sikap yang menjijikkan seperti kaum jahiliyyah zaman dahulu.

Saban hari kita diperlihatkan dengan pelbagai perlakuan jahiliyyah moden yang mewarnai masyarakat kita hari ini. Suatu ketika dahulu kita dikejutkan dengan berita seorang ibu muda menjerut dua anak lelakinya dengan wayar sterika kerana kecewa dengan hidup, seorang isteri menyimbah asid di muka suaminya akibat cemburu buta hingga membawa kepada perceraian, pelajar-pelajar tingkatan dua dan tiga di sebuah sekolah terlibat jenayah seperti perlakuan seks bebas, memeras ugut pelajar, ponteng sekolah dan minum arak. Selanjutnya isu mat rempit yang tidak berkesudahan.

Begitu juga terdapat seorang anak yang menetak kepala ibunya sehingga mati, kelahiran ramai anak luar nikah dibuang ke dalam tong sampah, di masjid-masjid dan ditinggalkan di perhentian bas. Begitu juga paparan kisah seorang anak kecil telah didera, ditampar, disepak dan dipijak sehingga mati. tidakkah semua ini perlakuan-perlakuan jahiliyyah yang ternyata lebih parah dan lebih hina daripada perlakuan jahiliyyah umat arab sebelum kedatangan Rasulullah S.A.W?.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita merenung kembali ke dalam diri kita mengapakah sampai begini hancur masyarakat kita hari ini?. Layakkah kita mengaku sebagai kaum muslimin dan umat Muhammad dengan situasi dan gaya hidup yang sebegini?. Wajarkah kepincangan dan kecelaruan ini kita biarkan sehingga ia menjadi tradisi yang akan diwarisi oleh anak cucu kita nanti?. Sebagai seorang yang beriman, kita pasti tidak akan senang dan tenang dengan bayangan ngeri ini.

Kita perlu akur bahawa perlakuan jahiliyyah moden dengan pelbagai bentuk ini adalah hasil keengganan kita menerima Islam sebagai panduan kehidupan. Sebahagian masyarakat kita hari ini semakin jauh dari kefahaman agama apatahlagi untuk mengamalkannya. Ilmu syariat tidak dipelajari, iman tidak dipupuk ke dalam diri, hidup hanya memburu kepuasan nafsu dan keperluan duniawi. Sepanjang hari, hanya sibuk mengurus dunia yang sementara, sedangkan kematian dan kehidupan akhirat yang pasti itu kita baikan tanpa sebarang persiapan yang menjamin kebahagiaan. Inilah identity masyarakat kita hari ini. Jiwa yang sarat dengan cinta dunia dan kosong iman ini sebenarnya terlalu rapuh, lalu mudah tewas dengan hasutan syaitan yang sentiasa mengheret manusia ke lembah kebinasaan.

Justeru, marilah kita kembali menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan hidup. Iman dan Islam hendaklah dihayati dan diamalkan. Kita hendaklah mulakan langkah-langkah baru ke arah cara hidup Islam yang nyata membawa kebahagiaan. Antara langkah-langkah yang perlu diambil bagi membendung gejala perlakuan jahiliyyah dalam masyarakat kita adalah;

Pertama : Ibubapa dan guru hendaklah berperanan sebagai pencorak halatuju anak-anak. Didiklah anak-anak kita dengan ilmu agama sebagai asas yang membentuk jati diri mereka. Pastikan anak kita mampu mendirikan solat dan menjaga batasan syariat di samping memburu kecemerlangan akademik dan pelajaran. Asuhlah mereka dengan budi pekerti mulia. Ingatlah setiap anak yang membesar dengan akhlak yang buruk, kitalah yang akan dipertanggungjawabkan di atas kegagalan ini. Dalam sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

“Setiap anak lahir dalam keadaan fitrah (suci dan bersih) maka kedua ibubapanyalah yang menjadikannya berperangai dengan perangai Yahudi, Nasrani atau Majusi”

Kedua : Kembali menjadi masyarakat yang peka dengan persekitaran dan saling ingat-mengingatkan. Umat Islam sewajarnya sedar hakikat ini. Kehilangan cirri-ciri ini menyebabkan kita bagaikan hidup bersendirian walaupun hidup di tengah-tengah manusia yang ramai. Tiada perpaduan dan hubungan ukhuwwah Islamiah menyebabkan kita hilang kekuatan. Lalu, bila mana melihat anak kecil disepak, dipijak di tengah padang pun kita hanya mampu melihat sehingga nyawa si kecil tidak berdosa ini terpisah dari badan. Bukankah ini sebenar-benar kerugian dan kehinaan?, sepertimana firman Allah dalam surah Al-Asr ayat 1-3:

“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran”

Ketiga : Bertaubat dan memohon ampun kepada Allah S.W.T. dan berazam untuk mengamalkan syariat Islam. Ingatlah bahawa dengan taubat dan istighfar akan mengundang rahmat Allah dan mengembalikan kekuatan kita sebagai umat Islam yang hidup berpandukan Al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W.

Firman Allah S.W.T. dalam surah Hud ayat 52:

“Dan Hud berkata lagi, “Wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya, semoga Dia menurunkan hujan yang lebat kepadamu dan menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; janganlah kamu membelakangkan seruan-Ku dengan terus melakukan dosa!”

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita mengimbas kembali beberapa perkara penting yang menjadi intipati khutbah pada hari ini:-

Pertama : Fenomena jahiliyyah moden adalah kesan daripada kegagalan umat hari ini menghayati dan memahami Islam sebagai cara hidup.

Kedua : Realiti jahiliyyah moden adalah keji dan sesat kerana ia lahir setelah kedatangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.

Ketiga : Perlakuan jahiliyyah moden perlu dibendung dan ditangani dengan kembali kepada ajaran Islam secara menyeluruh.

Keempat : Masyarakat Islam dan pihak berwajib tidak seharusnya membiarkan ketidakadilan, penindasan, kekejaman berleluasa dan berlaku di hadapan mata kita tanpa sebarang tindakan.

Kelima : Seluruh Gerakan Islam, NGO, individu dan anggota masyarakat hendaklah berperanan menangani gejala jahiliyyah ini agar tidak berkembang dan menular di kalangan masyarakat.

“Sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya; pada Hari Akhirat kelak dia tergolong daripada orang yang rugi”. (Ali-Imran : 85)

KHUTBAH KEDUA
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Khutbah Jumaat Bacaan 15 April 2011
Sumber : JAIS


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


Categories: Khutbah Jumaat

Notis Tender Masjid Al-Ehsaniah

KENYATAAN SEBUTHARGA
1)         Tawaran adalah dipelawa kepada kontraktor Bumiputra yang beralamat di kariah Masjid ini, dan Jamaah serta Anak-anak kariah Masjid Al-Ehsaniah atau di sekitar Rawang, yang Syarikat berdaftar dengan agensi-agensi berikut :-
            i)          Suruhanjaya Pendaftaran Syarikat Malaysia “SSM” atau
            ii)         Majlis Pembadaran Selayang (Lesen Perniaggaan)
2)         Kerja yang ditawarkan adalah seperti berikut :-
Bil
No.
Sebutharga
Tajuk Projek
Kelas/Kepala
Sub Kepala
Harga
(RM)
Tarikh Jual Dan Tutup
1



2
Masjid: 2011/01(SB)



Masjid:
2011/02 (SB)
Cadangan Kerja-kerja Penyelenggaran Memotong Rumput dan Mencantas “Trim” Pokok-pokok bunga hiasan dan kerja-kerja yang bersangkutan di Masjid Al-Ehsaniah Kg. Melayu Bt. 16, Rawang, Selangor Darul Ehsan.
Cadangan Kerja-kerja Pemasangan Jerigi Besi Jenis (Roller Shutter) untuk Ruang Meja Makan Dapor dan Jerigi Besi untuk Tandas Muslimat dan Muslimin dan kerja-kerja  yang bersangkutan di Masjid Al-Ehsaniah Kg. Melayu, Bt. 16, Rawang, Selangor Darul Ehsan.
Bebas



Bebas
10



15/04/2011
Hingga
15/05/2011



15/04/2011
Hingga
15/05/2011
3)         Borang Sebutharga boleh didapati di Masjid Al-Ehsaniah Kg. Melayu, Bt.16, Rawang, Selangor Darul Ehsan, di setiap waktu solat berikut. Zuhur : 01.00 Petang – 02.00 Petang, Asar : 04.30 Petang – 05.15 Petang Maghrib/Isyak : 07.00malam – 09.00Malam (Hari Sabtu – Khamis) Jumaat 12.00Tengahari – 02.30 Petang.
4)         Bayaran Borang boleh dibuat Tunai. Borang sebutharga akan dikeluarkan kepada orang perseorangan atau kontraktor yang berminat.
5)         Borang sebutharga hendaklah dimetri dalam sampul surat berukuran 4X9 tulis No.Sebutharga di sudut kanan dan masukan ke dalam Peti (Tabong Derma) di hadapan (Foyer) Masjid Al-Ehsaniah Kg. Melayu, Bt.16, Rawang, Tidak lewat dari jam 12.00 tengahari pada 15/05/2011.
6)         Untuk Lawatan Tapak dan maklumat lanjut, sila berhubung Nazir Masjid, Timbalan Nazir atau AJK Biro Pembangunan talian 03 6091 5619 / 017 348 0747 / 010 320 9306 / 017 680 1552 / 012 270 4546.
NAZIR
MASJID AL-EHSANIAH
Categories: # Pengumuman Admin

Tiga Amalan Harian Muslim Sejati

Saudaraku, setiap waktu merupakan ladang pahala bagi setiap muslim. Oleh sebab itu, janganlah kau lewatkan setiap jengkal waktu yang engkau lalui dengan kesia-siaan dan merugikan diri sendiri.

Berikut ini, akan kami sebutkan tiga buah amalan yang agung di sisi Allah, amalan yang dicintai-NYA, amalan yang akan mendekatkan dirimu kepada-NYA, amalan yang akan mententeramkan hatimu di manapun kau berada, amalan yang akan menjadi tabunganmu menyambut hari esok setelah ditiupnya sangkakala dan hancurnya dunia beserta segenap isinya.

Semoga Allah mengumpulkan kita bersama para nabi, shiddiqin, syuhada, dan orang-orang salih di dalam surga-NYA. Amin..

[1] Perbanyakkan berzikir kepada-Nya

Allah SWT berfirman yang bermaksud,

“Ingatlah kalian kepada-KU niscaya AKU pun akan mengingat kalian.” (al-Baqarah: 152).

Allah SWT berfirman yang bermaksud,

“Hai orang-orang yang beriman, ingatlah kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya…” (al-Ahzab: 41).

Allah SWT berfirman yang bermaksud,

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta dan anak-anak kalian melalaikan kalian dari mengingat Allah.” (al-Munafiqun: 9)

Rasulullah SAW bersabda,

“Tidaklah suatu kaum berkumpul seraya mengingat Allah, melainkan pasti malaikat akan menaungi mereka, rahmat meliputi mereka, ketentraman turun kepada mereka, dan Allah akan menyebut-nyebut nama mereka di hadapan malaikat yang di sisi-NYA.” (HR. Muslim)

[2] Tetaplah berdoa kepada-Nya

Allah SWT berfirman yang bermaksud,

“Rabb kalian berfirman; Berdoalah kepada-KU niscaya AKU kabulkan. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri sehingga tidak mau beribadah (berdoa) kepada-KU pasti akan masuk neraka dalam keadaan hina.” (Ghafir: 60).

Rasulullah SAW bersabda,

“Tiada suatu urusan yang lebih mulia bagi Allah daripada doa.” (HR. al-Hakim).

Rasulullah SAW bersabda,

“Barangsiapa yang tidak berdoa kepada Allah subhanah, maka Allah murka kepada dirinya.” (HR. Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Rasulullah SAW bersabda,

“Rabb kita tabaraka wa ta’ala setiap malam yaitu pada sepertiga malam terakhir turun ke langit terendah dan berfirman, ‘Siapakah yang mau berdoa kepada-KU niscaya AKU kabulkan, siapakah yang mau meminta kepada-KU niscaya AKU beri, siapa yang mau meminta ampunan kepada-KU niscaya AKU ampuni.” (HR. Bukhari dan Muslim)

[3] Mohonlah ampunan-Nya

Allah SWT berfirman yang bermaksud,

“Tidaklah Allah akan menyiksa mereka sementara kamu berada di tengah-tengah mereka, dan tidaklah Allah akan menyiksa mereka sedangkan mereka selalu beristighfar/meminta ampunan.” (al-Anfal: 33).

Rasulullah SAW bersabda,

“Demi Allah, sesungguhnya aku setiap hari meminta ampunan dan bertaubat kepada Allah lebih dari tujuh puluh kali.” (HR. Bukhari).

Saudaraku,

Perjalanan waktu menggiring kita semakin mendekati kematian. Oleh sebab itu marilah kita isi umur kita dengan dzikir, doa, dan taubat kepada-NYA. Mudah-mudahan kita termasuk golongan yang dicintai-NYA, diampuni oleh-NYA, dan mendapatkan rahmat dari-NYA

Sumber: Kitab adz-Dzikr wa ad-Du’a karya Syaikh Abdurrazzaq bin Abdul Muhsin al-Badr


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


Categories: Tazkirah

Jadual Kuliah (April 2011)

March 31, 2011 Leave a comment

Muslimin & Muslimat dijemput hadir bersama-sama mengimarahkan masjid dengan bersolat jemaah & menghadiri majlis ilmu. Mudah-mudahan kita semua beroleh rahmat dan hidayah daripada Allah SWT insyaAllah.

JADUAL PENGIMARAHAN MASJID
HARI
WAKTU
KATEGORI
PENCERAMAH / PERKARA
CATATAN
ISNIN
Lepas Solat Maghrib
Tasauf
Ust. Hj. Omar b. Hj. Saad
4 Apr shj
SELASA
Lepas Solat Maghrib
Sirah
Ust. Fadhil Bin Hj. Ayub
12 & 26 Apr shj
Lepas Solat Maghrib
Hadis
Ust. Rizal Bin Hj. Mokhter
19 Apr shj
RABU
3.00 petang
Pengajian Muslimat
KHAMIS
Lepas Solat Maghrib
Majlis Bacaan Yasin & Tahlil
JUMAAT
3.00 petang
Al-Quran
Pengajian Al-Quran, Muslimat
Lepas Solat Maghrib
Fiqh
Ust. Hj. Mohd Khirati b. Hj. Mohd Salleh
SABTU
Lepas Solat Subuh
Fiqh
Ust. Hj. Jais Bin Hj. Kamus
Lepas Solat Maghrib
Tauhid
Ust. Hj. Jihadi b. Hj. Ahmad
2 & 16 Apr shj
AHAD
Lepas Solat Subuh
Tauhid
Ust. Hj. Jihadi b. Hj. Ahmad
10 & 24 Apr shj
Lepas Solat Maghrib
Tafsir
Ust. Mohd Joraimee b. Hj. Awang Raimee
10 & 24 Apr shj
Categories: Program / Aktiviti

Ceramah Palestin: Kemenangan Yang Semakin Hampir

March 26, 2011 Leave a comment

Assalamualaikum,

Fahami isu sebenar rakyat Palestin MENGAPA IANYA PENTING kpd kita/umat Islam seluruhnya. Sehubungan itu muslimin & mulimat di jemput hadir pada tarikh, masa dan tempat seperti berikut :

Tarikh : 26 Mac 2011 / 21 Rabiulakhir 1432H (Sabtu)

Masa : Selepas Maghrib

Tempat : Masjid Al-Ehsaniah, Kg. Melayu Batu 16, Rawang.

Penceramah : Dr Hafizi Mohd Nor, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Aqsa Sharif

Ceramah akan disampaikan dengan maklumat/audio visual yang terkini. Tabung derma juga akan diedarkan.


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


Categories: Program / Aktiviti

Panduan Mudah Mencari Ayat Dan Kata Dalam Al-Quran

March 25, 2011 Leave a comment

Assalamualaikum. Di sini saya ingin kongsikan ‘Indeks Al-Quran’ iaitu satu perisian yang memudahkan kita untuk mencari ayat dan kata di dalam Al-Quran. Untuk menggunakannya anda perlu muatturun terlebih dahulu perisian tersebut. Semoga bermanfaat.

Nama Perisian : Indeks Quran
Platform : Microsoft Excel
Saiz : 2805 KB / 2.73 MB

Klik gambar di bawah atau sila ke ruangan Muat Turun Fail untuk muatturun ‘Indeks Al-Quran’.


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


Categories: Al-Quran, Panduan/Tips

Khutbah Jumaat Minggu Ini – "Tuntutan Amar Maaruf Nahi Munkar"

March 24, 2011 Leave a comment

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah bersama kita hayati seruan taqwa yang setiap minggu kita dengari, dengan melaksanakan segala perintah Allah dengan penuh sabar dan meninggalkan segala yang ditegah yang berupa maksiat dan kemungkaran.

Mimbar Jumaat hari ini akan membicarakan tajuk “Tuntutan Amar Makruf Nahi Mungkar“. Satu tanggungjawab yang perlu disedari, difahami dan dilaksanakan oleh setiap individu muslim demi menjamin kesejahteraan diri, masyarakat dan umat sejagat.

Secara ringkasnya boleh kita rumuskan bahawa Makruf bermaksud kebaikan dan ketaatan manakala Mungkar bermaksud kejahatan dan kemaksiatan. Maka ungkapan Amar Makruf dan Nahi Mungkar ini bermaksud “Menyuruh melakukan kebaikan dan Mencegah Kemungkaran.”

Tanggungjawab melaksanakan Amar Makruf dan Nahi Mungkar ini meliputi tanggungjawab setiap individu muslim mengikut tahap tanggungjawab yang diamanahkan ke atasnya. Hakikat ini dinyatakan berdasarkan sebuah hadits yang masyhur dari Abu Said Al-Khudri bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

“Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya, Jika dia tidak mampu hendaklah dia mencegahnya dengan lidahnya, jika dia tidak mampu hendaklah mencegah dengan hatinya. Namun yang demikian ini adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)

Untuk melaksanakan tugas yang berat ini, hendaklah dijalankan secara berjemaah atau berkelompok dalam masyarakat Islam. Tuntutan Amar Makruf dan Nahi Mungkar ini wajib dilaksanakan .Ini jelas dinyatakan dalam Surah Ali Imran ayat 104:

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian itulah orang yang berjaya”.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Realiti kehidupan hari ini menunjukkan bahawa maksiat dan kemungkaran begitu berleluasa di dalam masyarakat kita. Setakat manakah kita mampu menegur kemaksiatan yang berlaku di depan mata? Lazimnya tuntutan melaksanakan Amar makruf dan Nahi Mungkar pula kian dipinggirkan.

Kita lebih bersikap pasif dengan dosa dan kemungkaran seolah-olah sudah selesa mengamalkan cara hidup sendiri-sendiri atau berpegang dengan slogan hidup “Apa nak kisah? Kubur masing-masing!”.

Kita lupa bahawa sikap tidak peduli ini dan kegagalan melaksanakan tuntutan Amar Makruf dan Nahi Mungkar sebenarnya mengundang bencana dalam hidup kita, menjemput kemurkaan Allah yang Maha Keras seksaan-Nya. Marilah kita renungi dan mengambil iktibar akibat dan bencana yang berlaku pada kumpulan umat manusia yang meninggalkan tuntutan ini. Antaranya:-

Pertama : Laknat Allah dan Kemurkaan-Nya.

Insafilah kisah Bani Israel yang dilaknat oleh Allah seperti yang dirakamkan dalam Surah Al-Maidah ayat 78-79;

“Orang-orang kafir dari Bani Israil telah dilaknat melalui lidah (doa) Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Maryam. Demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu melampaui batas. Mereka antara satu sama lain tidak pernah mencegah tindakan mungkar yang mereka lakukan. Sesungguhnya amatlah buruka apa Yang mereka telah lakukan.”

Begitulah ketentuan Allah yang digambarkan di dalam ayat ini. Jika tiada lagi usaha mencegah kemungkaran dalam sesebuah masyarakat, Allah tidak lagi memandang mereka dengan pandangan rahmat-Nya bahkan melaknati mereka di atas kelalaian dan keingkaran yang mereka kerjakan.

Kedua : Tidak mendapat pengiktirafan sebagai muslim sebenar.

Dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

“Bukanlah dari kalangan kami sesiapa yang tidak mengasihi kanak-kanak dan menghormati orang tua dan tidak pula menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.” (Riwayat At-Tirmizi)

Ketiga : Hilang kedamaian hidup dan dikuasai penguasa yang zalim.

Suasana ini sudah kita saksikan di serata dunia dan wajar kita jadikan pengajaran.

Maka wajar kita mengambil peringatan agar sentiasa mempertahan dan mengajak kepada kebenaran walaupun terpaksa menghadapi tentangan daripada masyarakat. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud;

“Berkatalah benar walau dihadapan penguasa yang zalim”.

Keempat : Berlaku malapetaka dan doa tidak lagi diperkenankan.

Hakikat ini pernah disebut dalah sebuah hadis daripada Hudzaifah bin Al-Yaman bahawa Rasulullah S.A.W bersabda;

“Demi jiwaku ditangan-Nya, hendaklah kamu terus menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran atau jika tidak dibimbangi Allah akan mengutuskan satu azab ke atas kamu kerananya. Kemudian jika kamu berdoa kepada-Nya, tidak pula akan diperkenankan doamu itu.” (Riwayat At-Tirmizi)

Dunia hari ini telah membuktikan berlakunya amaran baginda Rasulullah S.A.W ini. Pelbagai malapetaka telah berlaku di sekeliling kita. Apabila tiada lagi usaha mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, kemaksiatan dan dosa akan meliputi seluruh kehidupan manusia. Maka tiada lagi kebaikan, ketaatan yang mengundang rahmat dan keredhaan Allah SWT. Suasana masyarakat Islam sebegini hina dan rendah mertabatnya tentu sahaja layak menjemput kemurkaan Allah yang Maha Perkasa.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita kembali mengamalkan tuntutan Amal Makruf dan Nahi Mungkar yang selama ini telah diabaikan. Sebagai contoh, membiarkan gejala maksiat dan perbuatan sumbang yang berlaku di depan mata kita tanpa memberi teguran dan nasihat. Kewajipan ini jika diabaikan mengundang akibat yang besar. Janganlah kita mengamalkan hidup bagai terkurung dalam sangkar, sekadar melihat kemungkaran dari dalam tanpa bertindak keluar. Ingatlah sikap pasif memandang remeh terhadap dosa perlu kita tukar, berubah kepada peka dan sensitif melihat hak Allah dan agama dicabar. Semoga kita tergolong dari kalangan hamba-Nya yang soleh dan Abrar.

Kesimpulannya, marilah kita semua sama-sama berganding bahu mencegah perbuatan mungkar mengikut kemampuan dan kuasa yang ada. Penglibatan ini juga merangkumi semua golongan seperti JKK, pegawai masjid, pegawai-pegawai, guru-guru dan ibubapa yang bertindak atas nama Islam.

Di samping itu tugas berdakwah hendaklah disuburkan di kalangan umat Islam sebagai tanggungjawab yang wajib dilaksanakan oleh semua umat Islam.

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman); Kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka, (tetapi) antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasik”. (Ali-Imran: 110)

KHUTBAH KEDUA
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Khutbah Jumaat Bacaan 25 Mac 2011
Sumber : JAIS


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


Categories: Khutbah Jumaat