Archive

Archive for the ‘Fadhail Amal’ Category

Golongan Yang Masuk Syurga Tanpa Hisab

March 23, 2011 Leave a comment

Terdapat 70,000 umat Muhammad s.a.w yang dapat masuk syurga tanpa hisab dan tiada azab. Ini bersumberkan hadis yang diriwayat Bukhari dan Muslim bersumber daripada Ibnu Abbas r.a. Muka mereka bercahaya seperti bulan purnama. Mereka adalah:

1. Ahl al-fadl (ahli kemuliaan) – orang yang menanggung kesakitan apabila diperbodohkan, bersabar apabila dizalimi dan memaafkan apabila dilakukan kejahatan terhadap mereka.

2. Ahli as sabr (ahli kesabaran) – bersabar dalam menjalankan ketaatan kepada Allah dan menghindarkan maksiat terhadap-Nya.

3. Jiran-jiran Allah – saling berziarah dalam berkasih-sayang kerana Allah, duduk dan bangun bersama-sama saudara mereka kerana Allah. (hadis riwayat Abu Nu’aim daripada Ali bin Husain)

4. Orang yang mati dalam perjalanan ke Mekah samada pergi atau balik. (hadis riwayat Jabir)

5. Penuntut ilmu, perempuan yang taat kepada suami dan anak yang berbakti kepada ibu bapa (hadis marfu’ sumber Abu Ayyaub al-ansari)

6. Sesiapa yang berjalan kerana hendak menunaikan hajat saudaranya yang muslim sehingga tertunai hajat itu dan meninggal dalam masa tersebut. (hadis marfu’ sumber daripada Anas)

7. Sesiapa yang mengasuh kanak-kanak sehingga berupaya mengucapkan ‘lailahaillallah” (hadis sumber daripada A’isyah r.a)

8. Orang islam lelaki dan perempuan yang mati pada malam dan siang hari Jumaat (hadis marfu’ sumber daripada ‘Ata’)

9. Hamba yang bersabar apabila diuji dengan bala bencana pada tubuhnya dan anaknya (hadis marfu’ riwayat Hakim at-Tirmidzi)

10. Orang yang menggali perigi di tengah padang dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran Allah (Ibn Mas’ud)

Al-Hakim dan al-Baihaqi mengeluarkan hadis yang bersumber daripada Jabir secara marfu’:

“Barangsiapa yang lebih kebajikannya atas kejahatannya, maka mereka itulah yang masuk ke syurga tanpa hisab, dan barang siapa yang sama kebajikannya dan kejahatannya maka mereka itulah yang dihisabkan dengan hisab yang sedikit, dan barang siapa yang kejahatannya lebih banyak, maka dialah yang diberikan syafaat setelah menerima siksaannya.”

**Sumber daripada buku Misteri di Sebalik Tiupan Sangkakala saringan daripada kitab At-Tazkirah fi Ahwal al-Mauta wa Umur al-Akhirah oleh Imam al-Qurtubi dan Kasyful Ghummah pada menyatakan orang mati & hal hari kiamat oleh Syeikh Daud al-Fatani yang disusun oleh Muhammad Ramzi Omar.


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


Categories: Fadhail Amal, Tazkirah

Peringatan Nabi Berkaitan Akhlak

February 18, 2011 Leave a comment

Assalamualaikum.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”

Kita sebagai umat nabi Muhammad SAW perlulah sentiasa mengambil perhatian berhubung dengan akhlak. Berikut dikongsikan beberapa hadis Rasulullah SAW dan huraiannya berkaitan dengan akhlak. Sama-sama kita hayati!

1- Menjaga Imej Agama

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

”Sesungguhnya Allah SWT telah menyerahkan agama itu pada diri seseorang, maka tidak baik agama itu melainkan dengan ketinggian dan keelokkan akhlak. Adakah kamu mengelokkan agama kamu dengan kedua-dua sifat mulia ini? ” (Riwayat at-Tabrani)

Huraian

  • Akhlak yang mulia merupakan perhiasan diri selain daripada cerminan agama yang dianuti.
  • Islam memerintahkan penganutnya agar sentiasa memperelokkan akhlak mereka dan menjauhi segala sifat-sifat yang buruk sehingga menjadi fitnah pada agama. Contohnya banyak berlaku dalam kehidupan umat Islam hari ini yang menyalahtafsirkan ajaran agama dan melakukan berbagai perbuatan buruk dan zalim yang didakwa dilakukan di atas nama Islam.
  • Allah mengetahui segala yang tersirat di dalam hati manusia. Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dalam melakukan segala sesuatu agar tidak menjatuhkan maruah diri, agama dan masyarakat sekeliling.

2- Berakhlak Baik Dan Meninggalkan Perkara Yang Tidak Bersangkutan Dengannya

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

”Orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya dan sebaik-baik manusia daripada kalangan kamu ialah mereka yang paling baik kepada isterinya.” (Riwayat Abu Daud)

Huraian

  • Seorang mukmin yang sebenar akan melakukan kebaikan terhadap manusia tanpa mengharapkan balasan melainkan keredhaan daripada Allah S.W.T.
  • Perbuatan baik yang ikhlas adalah yang paling tinggi nilainya di sisi Allah.
  • Akhlak yang mulia menandakan kebaikan. Begitulah sebaliknya. Oleh itu umur yang berkat ialah orang yang hidupnya dipenuhi dengan jasa bakti dan kebaikan yang menjadikan masyarakat di sekelilingnya sayang terhadapnya dan merasa kehilangan apabila ketiadaannya. Bak kata pepatah”harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”.
  • Begitu juga dalam kehidupan berumahtangga, suami isteri akan kekal bahagia jika di antara satu sama lain saling hormat-menghormati serta kasih mengasihi di antara satu sama lain. Mereka akan disayangi oleh anak-anak dan kaum keluarga.

3- Mengekalkan Akhlak Yang Baik

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

”Bukankah aku telah memberitahu kamu semua tentang orang yang diharamkan masuk ke neraka atau orang yang diharamkan ke atasnya neraka? Mereka ialah orang yang berdamping rapat dengan orang ramai (baik pergaulannya), hatinya tenang, berlemah lembut serta mudah dibawa berunding.” (Riwayat at-Tarmizi)

Huraian

  • Setiap Muslim hendaklah sentiasa beramal dengan ajaran Islam yang sebenar serta bergaul rapat dengan masyarakat dengan menggunakan budi bahasa yang lembut, selalu bertolak ansur, tolong menolong dan bantu membantu dan tidak melakukan perkara-perkara yang menimbulkan sakit hati orang lain dan mendatangkan dosa seperti berbuat khianat, merompak, menipu dan seumpamanya.
  • Tabiat manusia adalah berhubungan rapat dengan keteguhan iman dan kesabarannya. Jika baik akhlak seseorang itu maka dia akan selamat daripada balasan api neraka dan begitulah sebaliknya kerana baik buruknya seseorang terletak pada sejauhmana pandangan masyarakat umum terhadap dirinya selain daripada penilaian yang dihitung oleh Allah S.W.T sendiri.

4- Mukmin Yang Berakhlak Mendapat Darjat Yang Tinggi

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya seseorang mukmin itu dapat mencapai darjat orang yang berpuasa yang mendirikan sembahyang ditengah malam disebabkan akhlaknya yang mulia”. (Riwayat Abu Daud)

Huraian

  • Allah S.W.T. memberi ganjaran yang amat tinggi kepada orang yang berakhlak mulia, setaraf dengan orang yang berpuasa serta mendirikan sembahyang di tengah malam.
  • Setiap Muslim hendaklah berusaha mempertingkatkan kualiti akhlaknya agar menjadi baik dan lebih baik sepanjang menjalani kehidupan di dunia ini kerana setiap amalan akan dihitung dan dihisab di akhirat kelak.
  • Mukmin yang mempunyai akhlak mulia, bukan sahaja mendapat kemulian di dunia, bahkan mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah di akhirat nanti.

5- Manusia Yang Dikasihi Dan Dibenci Oleh Nabi Saw

Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang paling aku kasihi di kalangan kamu dan orang yang paling dekat tempat duduknya denganku dihari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya. Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku pada hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap perkara sia-sia, dan berlagak angkuh, sombong malah ia merasa bangga dengan kesombongannya.” Para sahabat bertanya lagi, “wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui maksud perkataan orang-orang yang suka bercakap banyak yang sia-sia, dan yang berlagak angkuh dan sombong, tetapi apakah maksud orang yang bangga dengan kesombongannya? Jawab Rasulullah “ialah orang yang takbur.” (Riwayat at-Tarmizi)

Huraian

  • Orang yang berakhlak mulia adalah orang yang paling dikasihi oleh Rasulullah dan diberi tempat yang paling dekat dengan baginda di hari kiamat nanti.
  • Bercakap-cakap kosong atau perkara-perkara yang sia-sia dan membuat fitnah adalah perbuatan yang dilarang oleh agama kerana ia tidak mendatang apa-apa kebaikan bahkan bakal mengundang azab di hari akhirat kelak.
  • Islam juga melarang umatnya bersifat membangga diri dan memandang rendah serta menghina orang lain tetapi hendaklah bersifat tawaduk dan rendah diri demi menjaga hati dan perasaan orang lain.

6- Kesempurnaan iman

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang mempunyai akhlak mulia, orang-orang yang terpilih antara kamu ialah mereka yang baik pergaulan serta hubungannya dengan isteri-isteri mereka.” (Riwayat At – Tirmidzi)

Huraian

  • Kesempurnaan iman seseorang itu adalah dinilai dari segi akhlaknya yang mulia.
  • Para suami dituntut oleh Islam supaya berlaku adil dan baik terhadap isteri serta bijaksana dalam mengendalikan urusan rumahtangga.
  • Asas keluarga bahagia adalah membentuk keluarga dengan sifat takwa dan mempunyai ilmu pengetahuan dunia dan akhirat.

7- Syafaat rasulullah

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

“Aku adalah sebagai penjamin yang memberi jaminan untuk seseorang memperolehi sebuah rumah di halaman syurga iaitu bagi orang yang meninggalkan perbuatan berbantahan sekalipun perbantahan itu benar, dan juga sebuah rumah di pertengahan syurga bagi orang yang meninggalkan perbuatan dusta sekalipun dengan tujuan bergurau senda, dan juga sebuah rumah di puncak syurga bagi orang yang memperbaiki akhlak dan berbudi mulia.” (Riwayat Abu Daud)

Huraian

  • Orang yang suka bertengkar walaupun di dalam perkara yang baik adalah dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya kerana ia adalah antara perbuatan yang keji yang boleh merosakkan hubungan baik di dalam masyarakat.
  • Orang yang suka bergaduh, berdusta dan tidak berakhlak mulia tidak akan mendapat jaminan dan syafaat daripada Rasulullah s.a.w di akhirat kelak.
  • Islam melarang umatnya berdusta kerana berbuatan tersebut akan membawa kepada fitnah yang menimbulkan permusuhan seterusnya boleh mencetuskan huru-hara di dalam masyarakat.
  • Kita hendaklah berusaha untuk memperbaiki akhlak dari semasa ke semasa iaitu dengan meninggalkan segala perbuatan yang dilarang agama di mana dengan itu barulah seseorang itu dikatakan layak mendapat syafaat daripada Rasulullah sebagaimana yang tersebut di dalam hadith tersebut.

8- Kepentingan Berakhlak Mulia

Daripada Abdullah bin Amru bin al-’As r.a, katanya,

“Bukanlah rasulullah s.a.w seorang yang bersifat keji dan baginda tidak pernah melakukan perkara-perkara yang keji. Baginda bersabda, “Sesungguhnya orang-orang yang terpilih antara kamu ialah orang-orang yang mulia akhlaknya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Huraian

  • Rasulullah adalah manusia yang paling sempurna. Baginda terpelihara dari sifat-sifat keji dan tidak pernah melakukan perbuatan keji.
  • Orang-orang yang berakhlak mulia adalah menjadi pilihan Allah dan mereka diberikan beberapa keistimewaan di dunia dan kedudukan yang tinggi di akhirat.
  • Kita hendaklah sentiasa berusaha menghindarkan diri daripada semua sifat-sifat yang buruk dan keji serta memperbaiki kualiti diri dengan menambahkan amal ibadat dan mengamalkan sifat-sifat mulia dari semasa ke semasa.

9- Kemulian Diri Dengan Berakhlak Baik

Rasulullah saw. Bersabda bermaksud:

“Sebesar-besar kebajikan itu ialah berakhlak dengan akhlak yang baik, dan dosa itu ialah perasaan bimbang dalam jiwa dan engkau tidak suka keadaan itu diketahui oleh orang lain”. (Riwayat Muslim)

Huraian

  • Seseorang yang berakhlak mulia akan mendapat pahala dan boleh mendatangkan kebaikan untuk diri sendiri dan kebajikan kepada orang lain.
  • Orang yang melakukan dosa tidak akan mendapat ketenangan jiwa didalam hidupnya.
  • Berakhlaklah dengan akhlak yang mulia kerana ia sebesar besar kebajikan dan janganlah melakukan dosa kerana dosa itu ialah azab seksa, yang dirasai baik didunia mahupun diakhirat.

10- Menjaga akhlak

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

”Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia berkata perkara yang baik atau diam. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan jirannya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian maka hendaklah ia memuliakan tetamunya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Huraian

  • Islam adalah agama yang mengajar umatnya nilai peradaban yang tinggi serta sopan santun yang terpuji. Maka individu yang benar-benar beriman semestinya akan mengamalkan segala ajaran Islam untuk menjaga keselamatan dirinya iaitu dengan memelihara percakapannya demi menjaga hubungan baik dengan jiran-jiran dan sahabat-sahabatnya sesuai dengan keadaan masing-masing.
  • Sebelum berkata hendaklah berfikir terlebih dahulu, bila didapati tidak ada bahaya kerananya, berkatalah, tetapi jika sebaliknya diamlah kerana diam yang tepat pada waktunya adalah sifat orang yang terpuji melainkan jika diam dari mengatakan yang hak dan menegur sesuatu yang salah kerana diam seperti ini adalah diam yang dicela oleh agama.
  • Setiap umat Islam hendaklah bertimbang rasa dalam pergaulan sesama jiran kerana jiran adalah orang yang paling dekat selain daripada sanak-saudara yang tinggal di sekeliling.
  • Memuliakan tetamu pula maksudnya ialah melakukan kebaikan kepada mereka sebagai orang yang datang berkunjung ke rumah di mana selaku tuan rumah hendaklah melayan tetamu mereka dengan senang hati, sopan dan memberikan jamuan kepada mereka sesuai dengan keadaan dan kemampuan. Manakala bagi tetamu pula hendaklah sebaik mungkin tidak sampai menyusahkan tuan rumah.

11- Sikap Yang Baik


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

“Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar. Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredhaannya di dalam hatinya pada hari Qiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya(ketika melalui pada hari Qiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu.” (Riwayat Ibnu Abi Dunya)

Huraian

  • Berbuat baik dan memberi keselesaan kepada orang lain akan diganjari Allah dengan balasan yang berlipat ganda sama ada berupa pahala, kebaikan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
  • Semua ini akan dapat dilakukan sekiranya seseorang itu mempunyai keimanan dan keikhlasan di hatinya sehingga segala tindakan-tindakan yang dilakukannya sentiasa melahirkan kebaikan pada dirinya dan dalam hubungannya dengan orang lain serta masyarakat di sekelilingnya.
  • Demikian juga kita dilarang agar jangan membalas kejahatan orang lain dengan kejahatan juga tetapi hendaklah membalasnya dengan kebaikan seperti api yang menyala dan membakar nescaya akan terpadam apabila disirami air. Maka begitulah dengan kebaikan, lambat laun akan melembutkan hati yang keras dan menghapuskan kejahatan yang melanda.
  • Sebaliknya jika kecenderungan berbuat perkara-perkara yang jahat terus dibiarkan menguasai diri maka akan rosaklah segala kebaikan yang pernah dilakukan kerana lazimnya kejahatan itu biarpun hanya sekali dilakukan ia mudah dilihat (diketahui) berbanding dengan banyaknya kebaikan yang pernah dilakukan oleh seseorang itu. Bak kata pepatah Melayu “ Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali”.
  • Sesungguhnya keimanan itu sentiasa terbuka untuk ditingkatkan sebaliknya iman akan merosot sekiranya kita melakukan perbuatan maksiat.


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


Kasih Mengasihi..

February 13, 2011 Leave a comment

Masyarakat Islam adalah seperti satu jasad yang setiap anggota akan merasai apa yang dirasai oleh orang lain malah mereka juga bersama-sama berkongsi kegembiraan. Maka antara yang menjadi kewajipan penting seorang Muslim ialah agar segera melepaskan kesempitan yang dialami oleh saudaranya. Dengan cara ini masyarakat yang sempurna dan tolong-menolong dapat diwujudkan.

Sebaliknya mencari-cari keburukan orang lain dan menyebarkannya pula adalah satu tanda kemunafikan kerana disebabkan perkara tersebut sesuatu kejahatan yang dilakukan itu boleh menjadi pemangkin kepada orang yang sepertinya agar lebih agresif dan liar dengan kejahatan hingga seluruh masyarakat menjadi rosak. Sesungguhnya balasan Allah SWT kepada makhluk-Nya adalah dalam bentuk yang menyerupai amalan yang dilakukan itu.

Daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW bersabda maksudnya:

”Sesiapa yang melepaskan sesuatu kesusahan seorang mukmin dari kesusahan-kesusahan dunia Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan hari Akhirat dan sesiapa melapangkan seorang yang berada di dalam kesempitan Allah akan melapangkan untuknya di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menutup keburukan saudaranya maka Allah akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat dan Allah pasti menolong hamba-Nya selagi mana hambanya menolong saudaranya. Dan sesiapa mengikuti satu jalan untuk mencari ilmu Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga. Tidak berkumpul satu kaum di dalam rumah dari rumah-rumah Allah dan saling belajar dan mengajar antara satu sama lain melainkan turunlah ketenangan atas mereka, rahmat meliputi mereka, para malaikat mengerumuni mereka dan Allah akan menyebut (nama-nama) mereka di sisi-Nya. Dan sesiapa yang kurang amalannya maka nasab (keturunannya) tidak akan dapat menyempurnakannya.”
(Muslim)


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


Selingan : Qasidah Burdah

February 11, 2011 Leave a comment




Fadhilat BURDAH
(Petikan ceramah Maulid oleh Habib Salim asy-Syathiri, Pengetua Institut Pengajian Islam Ribath di Tarim, Hadramaut, Yaman)

Burdah ertinya “selendang” dan juga dikenal sebagai Bur’ah[1] yang bererti shifa’ (kesembuhan). Ia merupakan syair yang memuji Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam dan luahan kecintaan yang mendalam terhadap Baginda yang dikarang oleh Imam al-Busyiri[2] rahimahullah.

Imam Al-Busyiri adalah seorang penyair yang suka memuji raja-raja untuk mendapatkan wang. Kemudian beliau terkena sakit faalij (setengah lumpuh) yang tak kunjung sembuh setelah berubat dengan pelbagai cara. Tak lama kemudian beliau mimpi bertemu Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam yang memerintahkannya untuk menyusun syair yang memuji Baginda. Maka beliau mengarang Burdah dalam 10 pasal pada tahun 6-7 H. Seusai menyusun Burdah, beliau kembali mimpi bertemu Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam yang menyelimutinya dengan Burdah (kain selendang). Ketika bangun, sembuhlah beliau dari sakit lumpuh yang dideritanya.

Qasidah Burdah ini tersebar ke seluruh penjuru bumi dari timur ke barat. Bahkan disyarahkan oleh sekitar 20 ulama, diantaranya yang terkenal adalah Imam Syaburkhiti dan Imam Baijuri.


Habib Husein bin Mohammad Al-Habsyi (saudara Habib Ali Al-Habsyi Sohibul Maulid Simtud Duror) biasa memimpin Dalail Khairat di Mekah. Kemudian beliau mimpi bertemu RasulullahsallaLlahu ‘alaihi wassalam yang memerintahkannya untuk membaca Burdah di majlis tersebut. Dalam mimpi tersebut, Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam berkata bahawa membaca Burdah sekali lebih afdhal daripada membaca Dalail Khairat 70 kali.

Ketika Hadramaut (di Yaman) tertimpa malapetaka hingga banyak binatang buas berkeliaran di jalan, Habib Abdulrahman Al-Masyhur memerintahkan setiap rumah untuk membaca Burdah. Alhamdulillah, rumah-rumah mereka aman dari gangguan binatang buas. 

Beberapa Syu’araa (penyair) di zaman itu sempat mengkritik bahawa tidaklah patut pujian kepada Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam dalam bait-bait Burdah tersebut diakhiri dengankasroh/khofadz (baris di bawah). Memadailah Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam agung dan tinggi (rofa’). Kemudian Imam Busyiri menyusun qasidah yang bernama Humaziyyah yang bait-baitnya berakhir dengan dhommah (marfu’ – baris di depan)[3].

Imam Busyiri juga menyusun Qasidah Mudhooriyah. Pada qasidah tersebut terdapat bait yang ertinya, “Aku berselawat kepada Rasulullah sebanyak jumlah haiwan dan tumbuhan yang diciptakan Allah.” Kemudian dalam mimpinya, beliau melihat Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam berkata bahawa sesungguhnya malaikat tak mampu menulis pahala selawat yang dibaca tersebut.

Habib Salim juga bercerita tentang seseorang yang telah berjanji kepada dirinya untuk menyusun syair hanya untuk memuji Allah dan Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam. Suatu ketika ia tidak mempunyai wang dan terpaksa menyusun syair untuk memuji raja-raja agar mendapat wang. Ia pun mimpi Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam bersabda, “Bukankah engkau telah berjanji hanya memuji Allah dan Rasul-Nya?! Aku akan memotong tanganmu.”

Kemudian datanglah Sayidina Abubakar r.a. meminta syafaat untuknya dan dikabulkan oleh Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam. Ketika ia terbangun dari tidurnya, ia pun langsung bertaubat. Kemudian ia melihat di tangannya terdapat tanda bekas potongan dan keluar cahaya dari situ.

Habib Salim mengatakan bahawa Burdah ini sangat mujarab untuk mengabulkan hajat-hajat kita dengan izin Allah. Namun terdapat syarat-syarat yang harus dipenuhi. Yaitu mempunyai sanad sampai kepada Imam Busyiri, mengulangi bait “maula ya solli wa sallim”, berwudhu’, menghadap kiblat, memahami makna bait-bait, dibaca dengan himmah (penghayatan) yang mendalam, beradab dan memakai wangian.

Khusus tentang memakai wangian ini, Habib Salim mengatakan, “Tidak seperti orang sekarang, membaca Burdah namun badannya bau rokok. Padahal salaf telah sepakat untuk mengharamkan rokok.”

Di akhir ceramah beliau, Habib Salim menyampaikan bahawa jika seseorang tidak berjalan di thariqah salaf maka dikhawatirkan tiga hal. Pertama, umurnya pendek. Kedua, hidup dalam keadaan bingung/akalnya gila. Ketiga, tak akan dihargai masyarakat.
(Disampaikan di Majlis Burdah Habib Syekh Al-Aydrus Jl. Ketapang Kecil Surabaya).

Tambahan : Burdah adalah amalan yang dikembarkan bersama dalam ijazah kebanyakan tarekah. Ini kerana besarnya manfaat yang diperolehi para pengamalnya kepada rohaniah mereka. Ia sebagai wasilah dalam  membuka  hijab-hijab dan ketajaman pandangan rohaniah para salik yang menuju kepada kasyaf makrifat melalui pintu nur kecintaan pada Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam.
__________
[1] Kitab Hashiah Baijuri ‘ala Syarhi Burdah
[2] Juga diberi gelaran “Sayyidul Muddah” iaitu Penghulu para pemuji Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam. Nama penuh beliau, Muhammad bin Said bin Hamad al-Shonhaji al-Bushiri. Lahir di Bahtim, Mesir pada 608H (1212M). Berasal dari keturunan keturunan Maghribi. Beliau ialah murid kepada Shaikh Abu Hasan ash-Shadhili.Wafat di Iskandariyah Mesir pada 696H (1296M).
[3] Sekadar perbahasan dalam Ilmu Nahu.

Sumber Artikel: Kuliah Ad-Deen

http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35

Categories: Fadhail Amal, Video

Syafaat Nabi & Al-Quran

February 10, 2011 Leave a comment

Assalamualaikum pembaca yang dikasihi sekalian,
Di sini saya ingin berkongsi beberapa hadis berkaitan syafaat. Sama-sama kita hayati!

Pertama : Jauhi Pertengkaran, Dusta dan Perbaiki Akhlak

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

“Aku adalah sebagai penjamin yang memberi jaminan untuk seseorang memperolehi sebuah rumah di halaman syurga iaitu bagi orang yang meninggalkan perbuatan berbantahan sekalipun perbantahan itu benar, dan juga sebuah rumah di pertengahan syurga bagi orang yang meninggalkan perbuatan dusta sekalipun dengan tujuan bergurau senda, dan juga sebuah rumah di puncak syurga bagi orang yang memperbaiki akhlak dan berbudi mulia.”(Hadis Riwayat Abu Daud)

Huraian

Orang yang suka bertengkar walaupun di dalam perkara yang baik adalah dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya kerana ia adalah antara perbuatan yang keji yang boleh merosakkan hubungan baik di dalam masyarakat.

Orang yang suka bergaduh, berdusta dan tidak berakhlak mulia tidak akan mendapat jaminan dan syafaat daripada Rasulullah s.a.w di akhirat kelak.

Islam melarang umatnya berdusta kerana berbuatan tersebut akan membawa kepada fitnah yang menimbulkan permusuhan seterusnya boleh mencetuskan huru-hara di dalam masyarakat.

Kita hendaklah berusaha untuk memperbaiki akhlak dari semasa ke semasa iaitu dengan meninggalkan segala perbuatan yang dilarang agama di mana dengan itu barulah seseorang itu dikatakan layak mendapat syafaat daripada Rasulullah sebagaimana yang tersebut di dalam hadith tersebut.

Kedua : Banyakkan Berselawat Kepada Rasulullah SAW

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

“Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari kiamat ialah oarang yang lebih banyak selawatnya kepadaku.” (Hadis Riwayat Ibn Mas’ud r.a)

“Barangsiapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barangsiapa berselawat kepadaku dari jauh, maka selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya.” (Hadis Riwayat Al Baihaqi dan Al Khatib)

Syafaat Nabi di akhirat nanti ada 5 jenis

  1. Syafaat Nabi untuk membebaskan ummat manusia daripada kedahsyatan Padang Mahsyar.
  2. Syafaat Nabi untuk memasukkan suatu kaum ke dalam syurga tanpa hisab dan perhitungan apa pun.
  3. Syafaat kepada kaum setelah dihisab dan diputuskan untuk menerima hukumnya yang setimpal, agar dicabut hukuman itu.
  4. Syafaat mengeluarkan mereka yang berdosa, dari azab neraka.
  5. Syafaat untuk menaikkan ke tingkat yang lebih tinggi di syurga.

Ketiga : Bacalah Al-Quran dan Fahami Maksudnya

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

“Bacalah al- Quran kerana ia akan datang pada Hari Akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

”Bacalah al-Quran kerana dia akan datang memberikan syafaat kepada pembacanya pada hari kiamat nanti. Bacalah Zahrawain, iaitu surah al-Baqarah dan Aali-Imran , kerana keduanya akan datang pada hari kiamat nanti seperti dua kumpulan awan menaungi pembacanya atau seperti dua kelompok burung yang sedang terbang dalam matlamat hendak membela pembacanya. Bacalah al-Baqarah kerana dengan membacanya beroleh berkat dan dengan tidak membacanya beroleh penyesalan dan pembacanya tidak dapat dikuasai (dikalahkan oleh tukang-tukang sihir).” (Hadis Riwayat Muslim)

Huraian

Al-Quran merupakan kalam Allah dan perlembagaan syariatnya yang kekal abadi. Allah telah menurunkannya kepada manusia sebagai panduan dalam mengharungi kehidupan agar dapat mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Membaca al-Quran merupakan satu ibadah yang boleh menghampirkan diri seseorang itu kepada Allah S.W.T. Pahalanya amat besar iaitu sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, ganjarannya satu kebaikan dan sepuluh ganjaran yang sama dengannya. Selain itu ia juga boleh meberikan syafaat di hari akhirat kelak.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ada menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : ”Perumpamaan Mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti limau yang mempunyai bau yang harum dan rasanya sedap. Manakala perumpamaan mukmin yang tidak membaca al-Quran pula adalah seperti tamar yang tidak ada bau tetapi rasanya manis dan sedap.”

Membaca al-Quran hendaklah dilakukan dengan beradab sebagai menghormati kalimah Allah di antaranya ialah seseorang itu hendaklah berada dalam keadaan suci (berwudhu’) dan membacanya di tempat yang bersih, memulakan dengan membaca Ta’auwuz dan Basmallah, membaca dengan teliti dan perlahan, menjaga makhraj (bertajwid) serta memperelokkan suara sekadar termampu.

Pembacaan al-Quran yang paling baik ialah apabila difahami apa yang dibaca. Dengan ini barulah seseorang itu akan dapat merasai nikmatnya yang sebenar.

Al-Quran merupakan petunjuk bagi umat manusia, di dalamnya tersimpan berjuta fadhilat atau hikmat yang tidak diketahui oleh manusia. Di samping itu al-Quran juga berfungsi sebagai penawar atau pendinding bagi jasmani dan rohani manusia yang mengerti dan mengamalkannya menurut ketentuan sunnah. Yang penting adalah keyakinan diri kita terhadap kebesaran Allah dan keagungan kalimah-kalimah Allah yang dijadikan sebagai pendinding daripada kejahatan kuasa-kuasa ghaib yang dihantar oleh pengamal ilmu-ilmu kebatinan yang sesat (ilmu hitam). Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Berkuasa dan Dia-lah sebaik-baik pelindung yang tiada siapa dapat menandingi-Nya.

“Ya Allah! bantulah kami dalam memperbanyakkan selawat kepada kekasihMu SAW dan permudahkan bagi kami untuk membaca kalamMu yang suci siang dan malam. Semoga dengan rahmatMu kami tergolong dikalangan orang-orang yang beroleh syafaat” Amin..

Wallahua’lam..


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


Keutamaan & Kelebihan Berzikir لا إله إلا الله

January 30, 2011 3 comments

Assalamualaikum.
Sebelum ini telah diterangkan “Peranan Zikrullah”. Kali ini pula saya ingin berkongsi berkaitan dengan keutamaan dan kelebihan berzikir dengan kalimah لاإله إلا الله berdasarkan dalil daripada hadis-hadis Rasulullah SAW. Semoga kita dapat beramal dengannya insyaAllah.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Ahzab, ayat 41-42:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّـهَ ذِكْرًا كَثِيرًا ﴿٤١﴾ وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا ﴿٤٢٢

Maksudnya :

Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; (41) Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang. (42)

FirmanNya ini merupakan titah yang umum untuk orang-orang beriman menyebut dan mengingat Allah Ta’ala sebanyak-banyaknya dengan mana-mana lafaz zikir yang diiktiraf oleh syarak.

Keutamaan Zikir لاإله إلا الله

  • Dari Abu Hurairah RA, katanya : Rasulullah bersabda : “Perbaharuilah iman kalian.” Mereka bertanya : “Wahai Rasulullah, bagaimana cara memperbaharui iman kami?” Baginda menjawab : “Banyakbanyaklah mengucapkanلاإله إلا الله” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Ath-Thabrani dengan sanad hasan)

  • Rasulullah SAW  juga pernah bersabda : “Yang paling utama yang diucapkan olehku dan para nabi sebelumku ialah لاإله إلا الله

  • Daripada Talhah bin Khirash katanya, saya mendengar Jabir bin ‘Abdullah berkata, saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : “Zikir yang paling utama ialah لاإله إلا الله dan doa yang paling utama ialah الحمد لله (al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Nasa`i, Ibn Hibban)

  • Diriwayatkan dari Ali Karramallaha Wajhah: “Suatu ketika aku bertanya kepada Rasulullah SAW : “Wahai Rasulullah, apakah jalan paling hampir kepada Allah dan paling mudah bagi hamba-hamba Allah dan paling utama di sisi Allah Ta’ala?” Rasulullah SAW menjawab: “Wahai Ali, hendaklah engkau sentiasa tetap zikrullah”. Ali RA bertanya lagi: “Semua manusia menyebut Allah”. Jawab Rasulullah SAW: “Tidak akan berlaku kiamat sehingga tiada tinggal lagi  di atas muka bumi ini orang yang menyebut “Allah”. Kemudian Ali RA bertanya lagi: “Bagaimanakah kaifiat(cara) untuk berzikir wahai Rasulullah?” Maka jawab Rasulullah SAW: “Pejamkan kedua matamu dan dengarlah daripadaku tiga kali, kemudian katakanlah seumpamanya sambil aku mendengar”. Maka Rasulullah SAW pun mengucapkan لاإله إلا الله sebanyak tiga kali dalam memejamkan kedua matanya, kemudian Ali RA mengucapkannya pula”

Beberapa Hadis Tentang Fadhilat لاإله إلا الله

Pertama : Pengamal akan mendapat syafaat dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

“Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu, ia berkata : Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Yang akan mencapai kebahagiaan dan keuntungan melalui syafaatku ialah orang yang mengucap kalimah Lailahaillallah dengan hati yang ikhlas”.(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Kedua : Mendapat jaminan masuk Syurga.

Dari Zaid bin Arqam Radiallahuanhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :

“Barangsiapa yang mengucapkan Lailahaillallah dengan ikhlas, dia akan dimasukkan ke dalam Syurga. Lalu ditanya kepada Baginda : Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan ikhlas itu? Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Ikhlas itu ialah yang mencegah dari melakukan perbuatan-perbuatan yang haram”.(Hadis riwayat Al-Imam At-Tabarani).

Ketiga : Tidak akan dimasukkan ke dalam api Neraka.

Dari Umar Radiallahuanhu meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya : “Aku mengetahui satu kalimah yang tidaklah seorang hamba pun yang mengucapkannya dan membenarkannya dengan hati kemudian ia mati dengannya melainkan haramlah ke atasnya Neraka Jahanam. Kalimah itu Lailahaillallah”.(Hadis riwayat Al-Imam Al-Hakim).

Keempat : Amalan zikir tersebut mendapat timbangan yang lebih berat dari amalan-amalan yang lain.

Dari Abi Abas Radiallahuanhuma bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud : “Demi yang diriku di tangan-Nya, jika sekiranya segala langit dan bumi dan siapa yang ada padanya dan apa-apa yang ada di antaranya dan apa-apa yang ada dibawahnya diletakkan di sebelah dacing dan kalimah Lailahaillallah di sebelah yang lain, maka dacing kalimah (Lailahaillallah) itulah yang lebih berat”.(Hadis riwayat Al-Imam At-Tabarani).

Kelima : Merupakan anak kunci Syurga.

Muaaz bin Jabal Radiallahuanhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya : Anak-anak kunci Syurga ialah mengakui kalimah Lailahaillallah (Hadis riwayat Al-Imam Ahmad).

Sesungguhnya orang-orang mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah Subhanahu Wataala yang ingin memperolehi kesempurnaan imannya tidak akan mempermudah dan melengah-lengahkan untuk berzikir, tiada mahu lalai dan dilalaikan oleh sesuatu dari berzikir kerana lalai dan lupa Allah Subhanahu Wataala itu adalah lantaran jiwa yang telah dipengaruhi oleh syaitan. Oleh itu pelajarilah zikir dan amalkanlah, mudah-mudahan kita dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang banyak berzikir serta berjaya hidup di dunia dan di akhirat. Amin Yarabbal’alamin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Ash-Shaaffaat ayat 143-144 yang tafsirnya :

“Maka kalaulah ia (Nabi Yunus) bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah dengan zikir dan tasbih, tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia di bangkitkan keluar dari kubur”.

Dalam zikir ini ada rasa ketenangan, keindahan, kemesraan, rindu, cinta dan kelazatan andainya dilakukan dengan penuh keikhlasan..InsyaAllah. Wallahua’lam..



http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


Peranan Zikrullah

January 20, 2011 6 comments

Assalamualaikum.
Mudah-mudahan entri ini menjadi asbab hidayah Allah untuk kita semua insyaAllah. Amin..

Perana zikir dalam kehidupan manusia ke arah untuk mengenali diri dan Allah sungguh besar dan bererti sekali. Dengan zikrullah seseorang itu dapat membersihkan hati dan dirinya yang sememangnya penuh dengan noda dan dosa. Diri (hati) manusia itu seperti perabut di dalam rumah yang sentiasa terdedah kepada hinggapan debu dan habuk. Maka ia selalulah kena bersih, sapu dan gilap. Alat untuk menyapu, membersih dan mengilap itu ialah ZIKIR. Kalau sembahyang (solat) mencegah kemungkaran, zikir pula mendekat dan merapatkan hamba dengan Tuhannya.

Maksud sebuah Firman Allah SWT: “Zikir untuk membersihkan hati” Dan Rasulullah S.A.W. pernah bersabda: ” Sucikan hati dengan berzikir”.

Dari Firman dan Hadis itu jelas menunjukkan zikir itu sangat besar peranan dan gunanya. Bolehlah dianggap bahawa zikir itu sebagai alat nombor satu ataupun “serbuk” pencuci yang tiada ada tolak banding. Zikir menjadi cermin kepada setiap insan yang bercita-cita untuk melihat dirinya serta perkara-perkara ghaib yang berlegar-legar disekeliling kehidupannya.

Hakikat akan kebesaran dan ketinggian hikmah zikir ini dibuktikan sendiri oleh Allah dalam FirmanNya bermaksud: “Kalau engkau tidak tahu, bertanya kepada ahli zikir”.

Ini menunjukkan ahli zikir menjadi “Prof.” yang serba tahu mengenai sesuatu yang ghaib ataupun yang zahir. Golongan zikirilah inilah yang boleh tenggelam dalam kecintaan makrifat kepada Allah yang sebenarnya. Yang kasyaf dan dapat mengetahui sesuatu yang terlindung dari pancaindera zahir.

Pengertian Zikir

Sebelum kita membicarakan perihal zikir ini lebih lanjut lagi, marilah dulu sama-sama kita mengetahui apakah erti dan pengertian zikir itu. Apakah yang dikatakan zikir itu yang sebenarnya? Pengertian ini perlu kita ketahui dengan sebenarnya untuk mengelakkan kita daripada salah membuat tanggapan. Bahana salah membuat tanggapan terhadap sesuatu hakikat amal ibadat tak ubah seperti salah menaruh umpan di mata joran, di mana menyebabkan ikan yang kita harapkan makan kail, ikan lain pula yang dapat. Harap Tenggiri, dapat ikan Duri!

Perkataan ZIKIR ialah dalam bahasa Arab yang bererti atau membawa makna, “sebut” dan “mengingat Allah”. Dalam pengertian ringkas ialah mengingati dan berdoa kepada Allah akan kesejahteraan, kebahagiaan dan kebermaknaan hidup kita dan umat Islam seluruhnya. Sebut itu baik pada mulut atau pun dalam hati. Dan ingat itu ialah di dalam hati tentang sesuatu apa-apa yang disebutkan.

Jadi ertinya kalau dikatakan zikir ialah ingat, sambil berdoa dan bermohon kepada Allah. Disebut berzikir, maknanya kita mengingati Allah, berdoa kepadaNya dan memohon kepadaNya, baik secara nyata ataupun diam. Sembahyang (solat), membaca al-Quran dan berpuasa juga termasuk dalam definasi “zikir” kepada Allah.

Tujuan zikir ialah untuk ingat akan kebesaran Allah, di mana bila kita mengingatkan kebesaranNya, maka dengan sendirinya pula kita tahu akan duduk dan martabat diri kita. Dengan berzikir juga kita sentiasa tahu duduk tara kita dengan Allah. Dengan berzikir juga boleh menguatkan Tauhid kita kepada Allah dan menguatkan i’tiqad kita kepada segala perintahNya.

Zikir adalah satu ibadat yang dituntut oleh Allah sendiri. Perintah supaya sentiasa mengingat Allah itu, adalah berdasarkan al-Quran dan Sunnah.

Antara lain sebagai berikut:

1. Firman Allah Ta’ala Surah Al-Baqarah 152 yang bermaksud:

“Ingatlah kamu kepadaKu nescaya Aku ingat kepadaMu dan bersyukurlah kepadaKu dan jangan kamu mengingkari (nikmat)Ku.”

2. Firman Allah Ta’ala Surah Al-Ahzab 41-42 yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang berIman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadaNya di waktu pagi dan petang.”

3. Firman Allah Ta’ala Surah Ab-Nisa’ 103 yang bermaksud:

“Maka apabila kamu telah menyelesaikan solat (mu), ingatlah Allah di waktu berdiri, di waktu berdiri, di waktu duduk dan diwaktu berbaring.”

Dan Sunnah yang menjadi dalil dianjurkannya banyak berzikir itu, antaranya ialah:

1. Hadis At-Turmizi dan Ibnu Majah dan disahihkan oleh Al-Hakim, dari Abu Darda’ (marfu’) yang bermaksud:

“Tiadakah kuberitahukan kepada kamu tentang amalmu yang paling bersih disisi Tuhanmu dan paling tinggi (mengangkat) darjatmu, dan lebih baik bagimu dari (berperang) melawan musuh, lantas kamu memenggal batang leher mereka dan merekapun memenggal batang lehermu?”Para Sahabat menjawab:”Bahkan”. Rasulullah S.A.W. kemudian bersabda: “zikrullah!”

2. Hadis Muslim dari Abu Hurairah, menyatakan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Tiada satu kaum (kalangan) duduk berzikir mengingati Allah pada suatu majlis, melainkan Malaikat mengelilingi dan rahmat meliputi mereka dan Allah mengingat mereka, termasuk orang (yang dekat) disisiNya.”

3. Hadis Riwayat Bukhari juga ada menyatakan yang bermaksud:

“Sesungguhnya bagi Allah itu ada Malaikat yang berkeliling di jalan-jalan, mencari orang-orang yang berzikir. Apabila mereka mendapati satu kaum (kalangan) yang berzikir kepada Allah, mereka berseru: “Ayuh, mari kepada hajat kamu.”Lantas Rasulullah S.A.W. bersabda: “Maka malaikat-malaikat itu mengelilingi (melindungi) mereka dengan sayap-sayapnya sampai ke langit dunia.”

Hadis-hadis yang menerangkan kelebihan zikir itu cukup banyak. Adapun pengertian dan fungsi zikir atau berzikir ini boleh dibahagikan kepada 2 (dua) bahagian, iaiti pengertian Syariat dan pengertian Hakikat.

Pengertian Syariat

Seperti disebutkan tadi, pengertian syariat zikir itu ialah mengingat dan sebut, atau sebut dan mengingat. Sebut di sini ialah sebut Asma’ (nama) Allah serta ingat di dalam hati akan makna dan pengertian Asma’ itu. Misalnya lidah menyebut Al-jabar (Pemaksa), maka hati mengingatkan kepada sifat pemaksaanNya. Bila lidah sebut Ar-Rahman, hati akan ingat kepada sifat-sifat kemurahanNya. Bila lidah menyebut Al-Latiff, maka hati akan terkenang kepada sifat kelemah-lembutan- Nya. Bila lidah sebut Ar-Rahim, hati ingat kepada sifat pengampunan-Nya dan begitulah seterusnya. Setiap kali lidah menyebut NamaNya, hati akan mengenangkan kepada sifat-sifatNya.

Perlu diingatkan, mengenai butir zikir ini ia tidak terbatas kepada perkataan tertentu, atau pun kepada “asma’ ul’husna”, sebaliknya ada perkataan-perkataan atau sebutan lain. dan paling unik ialah sebutan diri yang lahir dari lubuk hati seseorang itu. Sebutan ini berbeda dengan kebanyakan atau pun dengan butir-butir zikir yang popular.

Pengertian Hakikat

Zikir dalam pengertian hakikat ialah apabila kita menyebut Asma’ Allah kita akan ingat kepada diri kita sendiri. Misalnya kita sebut “Jamal”, kita ingat akan sifat “Jamal” Allah itulah yang ada kepada kita. Justeru itu kita perlu menggunakan (apa yang kita sebutkan) itu untuk terus mengingatkanNya. Kita sebut Allah, maka kita kembalikan kekuasaan Allah itu ke atas diri kita. Kita ingat dan sedar, tanpa ada Dia tidak mungkin kita dapat hidup dan menyebut serta menerimaNya sebagai Tuhan kita.

Pengertian hakikat zikir itu ialah kita ingat kepada diri kita sendiri, sebagai hambaNya yang mulia dan harus melaksanakan tanggungjawab kita kepadaNya pada sepanjang masa. Di samping itu kita sedar bahawa kita adalah makhluk yang mulia yang diturunkan untuk menjadi khalifah dan pemimpin di atas muka bumi ini.

“Sebaik-baik kejadian ialah manusia.”

Zikir pada hakikatnya itu bukan untuk Allah sebab Allah tidak memerlukan apa-apa lagi seperti mana FirmanNya yang bermaksud:

“Wahai manusia sesungguhnya kamulah yang memerlukan Allah dan Allah yang Maha Kaya, tidak memerlukan apa-apa. Jika Dia mahu nescaya, Dia musnahkan kamu dan mendatangkan makhluk lain (sebagai ganti).” (Al-Fatir 15-16)

Allah berdiri di atas SifatNya sendiri, “mukhalafatuhuta’ala lilhawadith)”, malahan Dia tempat bergantung dan meminta.

Jadi, apabila kita berzikir itu kita mencari kekuatan untuk diri kita sendiri dan bukan lagi untuk Allah. Apa yang kita lakukan itu hanya sebagai menjalankan tanggungjawab dan sumpah janji kita sahaja semasa di alam “luh mahfuz” dahulu.

Bagaimana Zikir berperanan menyucikan diri?

Peranan dan hikmah zikir sungguh besar dan luas sekali, sehingga ia boleh menyucikan diri seseorang dan hasil dari penyucian (muhasabah) itu pula membolehkan seseorang itu kenal diri dan Tuhannya. Tetapi bagaimanakah ia berperanan menyucikan diri? Apakah cukup hanya setakat menyebut dan ingatkan diri kepada Allah, maka diri kita terus suci dan dapat berfungsi menjadi sebuah cermin untuk tilikan? Seperti mana serbuk penyuci berfungsi membersihkan kotoran kain baju. Begitukah?

Kalau setakat sebut sahaja atau ingat, maka diri terus menjadi suci, maka alangkah mudahnya zikir itu? Ia nampak semudah mengupas kulit pisang sahaja. Ataupun semudah serbuk penyuci menyentalkan kotoran di kain baju. Ternyata peranan penyucian zikir ke atas hati itu bukan seperti itu. Ia tidak semudah yang disangkakan.

Peranan zikir dan penyucian kepada hati, mesti melalui proses tertentu. Ada kaedah dan juga cara atau sistem tersendiri. Seperti juga usaha kita untuk melahirkan zuriat yang cerdas dan pintar, ada kaedah dan teknik persetubuhan tertentu dan amalan-amalan yang harus dilakukan.

Untuk memahami dengan cara mudah peranan zikir itu bolehlah kita huraikan begini, apabila kita sebut sesuatu kalimah zikir maka kita akan ingat dan tanamkan maknanya ke dalam hati. Misalnya kita sebut “Subhanallah” iaitu Maha Suci Allah, maka kita hayati dalam diri kita yang Allah itu adalah Zat yang suci. Kesucian itu tidak ada tolak banding dengannya. Maka kita harus bertindak dengan akal dan fizikal, bahawa yang suci adalah Allah semata-mata, tidak ada yang lain. Segala unsur syirik yang bersarang secara diam dan tersembunyi hendaklah disingkirkan dari menjadi warga hati kita dan kurungkan Allah semata-mata dalam diri.

Kalau kita menyebut “Allah Hu Akbar” Allah yang Maha Besar (Agung), maka keagungan itu kita masukkan ke dalam diri kita. Kita tanamkan bahawa yang agung hanya Allah dan tidak ada yang lain. Baik diri kita ataupun kuasa lain. Justeru itu kita harus komitkan (iltizam) diri kita kepada keagunganNya sahaja.

Dengan cara itulah baru wujud penyucian. Penyucian di sini bermaksud, dengan mengingatkan segala sifat Allah itu, seperti Ar-rahman. Al-Rahim, Al-Latiff dan sebagainya. dan menyuci diri itu bermakna menyucikan diri/hati kita daripada syirik, kufur, munafik dan kafir kepada Allah. Suci ialah apabila mematuhi dan kenal denganNya.

Ingat, selagi kita masih syirik, kufur, munafik dan kafir serta memiliki sifat-sifat mazmumah yang mutlak masih belum tercapai lagi. Apabila hati kita tidak didindingi oleh segala elemen-elemen itu baharulah ia bersih dan menjadi sekeping cermin khuwah yang memungkinkan kita kasyaf dan dapat melihat apa-apa yang ghaib.

Demikianlah secara ringkas dahulu mengenai peranan zikir membersihkan hati dan diri insan. Ingin saya berpesan, bahawa zikir yang sebenarnya bukan sahaja setakat menyebut kalimah-kalimah ataupun pengucapan tertentu sahaja. Kalau setakat sebut sahaja ia tidak menjadi. Yang penting menghayati kemudian seterusnya bertindak dengan fizikal dan akal terhadap pengertian apa yang disebut itu.

Kalau setakat berzikir ia tidak menjamin kebersihan hati dan diri seseorang. Malahan perbuatan itu tidak lebih daripada sia-sia sahaja. Sebab itu kalau kita perhatikan ada ahli zikir yang perangainya tidak pernah berubah. Kalau dulu dia pembohong, penipu, maka kini pun dia penipu dan pembohong, walau pun dia sudah mengerjakan zikir beratus juta kali. Kalau dulu dia mencuri dan mencaci, kini pun setelah berzikir sampai juta-juta kali, dia tetap juga dengan perangainya, mencaci orang itu dan orang ini. Itulah tanda zikir orang itu zikir pada lahir sahaja tetapi tidak meresap atau “jelira” ke dalam diri batinnya.

Dalam pada itu kalimah zikir bukan terbatas kepada “asma’ ul’husna” yang 99 atau kalimah-kalimah pujian yang melulu sahaja. Malahan apa saja kalimah yang terdetik di hati dan terdengar dibibir ia merupakan “Asma'” Allah dan boleh dijadikan kalimah zikir. Pokok pangkalnya pengertian dan niat itu sahaja yang dikira.

FirmanNya yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang berIman, berzikirlah (dengan menyebut nama Allah), dengan sebanyak-banyaknya (bermacam-macam sebutan).” (Al-Ahzab 41)

Sebaik-baik amalan itu elok pada Syariat, tepat pada Hakikat, kena pada Tariqat dan sampai pada Makrifat.

Wallahhu ta’ala a’lam.

“inna afdhalaz zikra fa’alam annahuu lailahaillallah”
InsyaAllah bersambung..


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


Sayyidul Istighfar (Penghulu Istighfar)

December 7, 2010 Leave a comment

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّـهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يَوْمَ لَا يُخْزِي اللَّـهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ ۖنُورُهُمْ يَسْعَىٰ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ” Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): “Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu” (At-Tahrim 66 : 8)


Penghulu Istighfar
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ
 أَعُوذُبِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya : 


Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan taat ) kepada-Mu sekuat mampuku. 
Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau
Fadhilat membaca penghulu istighfar :
Dari Syaddad bin Aus ra. dari Rasulullah saw. bersabda: Penghulu istighfar ialah “Allahumma anta……”.  Sesiapa yang membacanya dengan penuh keimanan waktu petang dan mati pada malam itu, maka masuk syurga.  Demikian juga siapa yang membacanya waktu pagi dan mati pada hari itu masuk syurga. (HR. Bukhari)

Terdapat banyak kelebihan istighfar jika amalan ini dilakukan secara istiqamah dan ikhlas semata-mata kerana Allah. Antara kelebihannya adalah:

1. Allah akan melapangkan dirinya dari segala kesusahan, dan melepaskannya daripada segala tekanan dan akan dikurniakan rezeki tanpa bisa dikira banyaknya.

2. Sesiapa yang beristighfar sebanyak 70 kali, nescaya Allah akan menghapuskan daripadanya sebanyak 700 dosa.

3. Sesiapa yang mengerjakan kejahatan, atau menganiayai dirinya, kemudian ia memohon ampun kepada Allah ,nescaya ia akan mendapati Tuhan itu Maha Pengampun, Maha Pengasihani.(Surah An Nisa’ : 110)

4. Tuhan tidak akan menyiksa mereka, selama mereka beristigfar. (Al Anfal: 33)

5. Mendekatkan diri kepada Allah dan mendapat keberkatan dan melorong jalan untuk menuju kepada segala macam kebajikan sama ada di dunia atau di akhirat .

6. Mengurniakan pemberian yang baik kepadanya sehingga ke waktu yang ditentukan ( Surah Hud : Ayat 3) (Imam Habib Abdullah Haddad, 1981 : 232-235)

Seperti amalan selawat, amalan istighfar yang dilakukan secara berterusan juga akan membersihkan hati yang penuh dengan zulmah hawa nafsu dan secara tidak langsung menyelesaikan kemelut hati dan kehidupan. Contohnya istighfar telah menyelesaikan kemelut Nabi Yunus A.S apabila baginda ditelan oleh ikan Nun . Nabi Yunus A.S dicampakkan oleh Allah Taala ke dalam laut kerana baginda masih ada ajalat (sifat-sifat mendahului qodo’ Tuhan). Allah Taala memelihara nabiNya daripada sifat-sifat ajalat ini dengan membenarkan ikan Nun menelan Nabi Yunus A.S. Nabi Yunus A.S beristighfar untuk memohon keampunan daripada Allah Taala iaitu :

Ertinya: ‘Tiada Tuhan melainkan Engkau, maha suci Engkau, sesungguhnya aku daripada golongan orang yang menzalimi dirinya.'(Surah Al Qalam : 87)

Sel-sel nabi Yunus yang maksum kemudiannya dibersihkan daripada sifat-sifat ajalat. Selepas itu barulah doanya diperkenankan oleh Allah Taala.

Nabi Muhammad SAW yang maksum juga sentiasa beristighfar iaitu sebanyak 70 kali sehari. Istighfar Nabi Muhammad SAW adalah untuk memperakui kehambaannya kepada Allah Taala dan membersihkan segala sel-selnya daripada segala rasa ‘Ada Diri’ atau ‘Rasa Keakuan’.

Sesungguhnya, istighfar adalah pernyataan kehambaan kita kepada Allah Taala yang sangat tinggi nilainya. Dengan wujudnya rasa kehambaan ini akan terhakislah segala bisikan-bisikan nafsu Ammarah dan Lawwamah di hati dan fikiran kita insyaAllah..


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


Categories: Fadhail Amal, Zikir

Sebaik-baik Orang Yang Berhijrah Adalah??

November 29, 2010 Leave a comment
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr r.a: Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang maksudnya:” Seorang Muslim adalah orang yang tidak merugikan Muslim lainnya dengan lidah, mahupun dengan kedua tangannya. Dan seorang Muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan semua larangan Allah SWT (al-Bukhari) 

Huraian:
 
Hijrah mengandungi hikmah yang besar sekali peranannya dalam pembangunan ummah. Suatu kumpulan masyarakat tidak akan menjadi baik jika setiap individu yang ada di dalamnya telah rosak kerana kumpulan masyarakat itu bergantung kepada individu itu sendiri. 

Oleh itu hijrah amat ditekankan di dalam al-Quran dan disebutkan sebanyak lebih 28 kali di dalam berbagai bentuk dan makna. Dengan hijrah, hati, perkataan dan perbuatan kita akan menjadi bersih dari segala maksiat, dosa dan syirik seperti kisah khalifah Umar bin al-Khathab r.a yang menarik untuk kita renungkan bahawa beliau sebelum memeluk Islam dikenali dengan julukan “penghulu para pelaku kejahatan”, namun setelah berhijrah, beliau menjadi pemimpin yang disegani, tawaddhu’ dan suka menolong orang miskin, menjadi tonggak bagi berkembangnya agama Islam. 

Hakikatnya hijrah sangatlah berat, kerana di samping harus memiliki kesabaran, kita juga dituntut memiliki keteguhan aqidah dan keyakinan agar tidak mudah termakan dengan pujuk rayu dan godaan dari kenikmatan dunia yang fana.
================================================================

Bulan Muharram

Muharram (محرّم) adalah bulan pertama dalam Sistem Takwim Hijrah (Hijriah). Pada asasnya, Muharram membawa maksud ‘diharamkan’ atau ‘dipantang’, iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91).

Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan. Rasulullah s.a.w telah menamakan bulan Muharram sebagai bulan Allah (shahrullahi).

Sandaran yang dilakukan oleh Baginda s.a.w kepada Allah s.w.t lantaran kemuliaan dan kelebihan bulan ini kerana sesungguhnya Allah s.w.t tidak merujukkan kepadaNya melainkan oleh golongan khowas (terkhas) di kalangan makhluk – makhlukNya.

Daripada Al-Hassan Al-Basri rahimahumullah sesungguhnya Allah s.w.t telah membuka lembaran tahun baru di dalam takwim Islam dengan bulan Muharram. Tidaklah kedapatan bulan yang lebih mulia dalam takwim Islam di sisi Allah s.w.t itu selepas bulan Ramadhan melainkan bulan Muharram. Ia dinamakan bulan Allah yang khas disebabkan besarnya kehormatannya.

Peristiwa Penting
  
1 Muharram
  • Penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi

  • Khalifah Umar Al-Khattab menetapkan adalah hari pertama bagi setiap tahun baru Islam (Kalendar Hijriah).
10 Muharram
  • 10 Muharram – Dinamakan juga Hari Asyura. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran. 
  • Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
  • Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
  • Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
  • Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
  • Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
  • Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
  • Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
  • Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
  • Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
  • Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
  • Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
  • Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
  • Hari pertama Allah menciptakan alam.
  • Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
  • Hari pertama Allah menurunkan hujan.
  • Allah menjadikan ‘Arasy.
  • Allah menjadikan Luh Mahfuz.
  • Allah menjadikan alam.
  • Allah menjadikan Malaikat Jibril.
  • Nabi Isa diangkat ke langit
    Amalan di Bulan Muharram

    Doa Akhir Tahun

    Doa Akhir Tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib  pada akhir bulan Zulhijjah.
    Sesiapa yang membaca doa ini, syaitan berkata: “Kesusahan bagiku dan sia-sia lah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun”
      
    Doa Awal Tahun

    Doa Awal Tahun dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram. Sesiapa yang membaca doa ini, syaitan berkata:
     “Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan” 

    Berpuasa Sunat
    1 – 10 Muharram adalah  disunatkan berpuasa.  

    16 perkara yang sunat dilakukan pada hari yang ke 10 Muharram 

    1.    Selepas waktu Asar hari yang ke 9 Muharram 

    Ambil satu bekas yang berisi air dan dibacakan surah Al-Fatihah sebanyak    7 kali (Apabila sampai bacaan kita pada ayat “Iyyaka na’budu”(Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah) kita berdoa di dalam hati  tentang hajat kita – terutamanya untuk anak-anak.  Kemudian air tersebut disapukan ke muka anak-anak ataupun diberi minum. 

    2.    Puasa sunat pada hari 9 Muharram  (Tasua’) dan 10 Muharram (Asyura). Pahalanya adalah seperti 10 ribu kali mengerjakan haji dan 10 ribu kali mengerjakan umrah. 

    3.    Menyapu kepala anak yatim.  Caranya ialah dari bahagian belakang kepala ke hadapan.  Allah akan mengangkat darjat kita. 

    4.    Memberi makan kepada orang yang berpuasa. Pahalanya adalah sama seperti memberi makan kepada semua umat Muhammad. 

    5.    Mandi sunat.  Allah akan menghilangkan penyakit-penyakit/jauhkan dari penyakit.

    6.    Menziarahi rumah orang alim. 

    7.    Menziarahi orang sakit.  Sama seperti kita menziarahi seluruh anak Adam 

    8.    Melebihkan perbelanjaan dari hari biasa/Meluaskan nafkah keluarga. 

    9.    Bercelak mata – Boleh menghindarkan dari sakit mata 

    10.   Menziarahi kaum keluarga 

    11.   Mengerat kuku 

    12.   Membaca surah Al-Ikhlas sebanyak 1 ribu kali.  Allah akan memandang dengan belas kasihan. 

    13.   Sembahyang  sunat 4 rakaat – 2 salam  (2 rakaat x 2). (Sahaja aku sembahyang sunat mutlak 2 rakaat kerana Allah Taala) Baca surah Al-Ikhlas 15 kali bagi 1 rakaat.  Allah akan mengampunkan dosa  50 tahun yang lalu 

    14.   Banyakkan bersedekah.  Allah akan menggandakan pahala 1 kepada 700. 

    15.   Beri makan/pakaian kepada fakir miskin.  Allah akan beri balasan 70 kali ganda semasa di dalam syurga. 

    16.   Berzikir  (Hasbi Allahu wanikmalwakil, nikmal maula wanikmannasir) sebanyak 70 kali

    Sumber Artikel : JAKIM, Wikipedia


    http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


    Ketenangan Hati

    November 25, 2010 Leave a comment

    Ketenangan hati adalah satu perkara yang sangat penting. Tidak mungkin ada seorang manusia walau apapun latarbelakang agama, budaya dan pemikiran yang tidak bersetuju bahawa ketenangan hati dan ketenteraman jiwa ialah satu perkara paling penting bagi seseorang manusia. Mungkin mereka berbeza dari segi cara untuk mencapai ketenangan hati, ketenteraman jiwa dan keheningan rohani, tetapi mereka tetap bersetuju bahawa perkara ini adalah satu perkara yang maha kritikal bagi setiap insan.

    Keutuhan dan kemantapan emosi berkait rapat dengan keheningan spiritual dan kemantapan minda. Seseorang yang pemikirannya meyakini bahawa dirinya adalah berasal daripada sesuatu ketidaksengajaan biologi berevolusi daripada monyet kepada manusia, tentunya tidak sama dalam menghadapi kejadian hidup ini dengan seorang yang berkeyakinan bahawa insan adalah ciptaan Tuhan yang paling baik, dan di sana Tuhan tetap berperanan dalam setiap gerak hukum apa yang berlaku di bumi mahupun di langit. Dan Tuhan bukan sahaja berurusan dengan manusia, tetapi setiap atom dan molekul yang ada di atas muka bumi ini, antara langit dan  bumi ini serta apa yang ada di atas langit yang tujuh ini, semuanya adalah milik mutlak Tuhan yang Maha Esa dan berfungsi berdasarkan ketetapan ilmuNya dan izinNya.
    Seseorang yang menjalani hidup ini dengan hanya melihat bahawa Tuhan ialah Tuhan dan aku ialah aku, sama sekali tidak sama dengan seseorang yang hidup di atas muka bumi ini dengan mengenal Tuhan ialah satu-satunya Tuhan, dan aku ialah hamba ciptaanNya. Menyelami hakikat rasa hina seorang hamba dijalin dengan rasa mulia menjadi hamba kepada Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Agung. Seseorang yang menyedari bahawa sentiasa ada di sana satu Kudrat yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang serta sentiasa berkata : “Wahai hambaKu, mintalah kepadaKu, akan Kupenuhi segala permintaan kamu!” tentulah tidak sama dengan seseorang yang hanya melihat hidup ini hanyalah antara aku dan kemampuanku.
    Seorang anak kecil akan berasa selamat dan tenang apabila berada di sisi ibu dan bapanya. Bukan sekali kita melihat senario seorang kanak-kanak yang menangis kerana terpisah daripada ibu dan bapanya semasa membeli belah di pasar raya. Kenapa? Adakah kerana fizikalnya tercedera? Tentu tidak, tetapi “ketenteraman” dan “ketenangan hatinyalah” yang tercedera. Kita dapat lihat bagaimana seorang anak kecil yang menangis kerana lututnya berdarah lantaran jatuh, berhenti menangis hanya kerana si ibu berkata, “Dah, jangan menangis..sikit je tu. Nanti ibu sapukan ubat”. Adakah dengan berkata demikian, sakit luka yang dirasainya sudah hilang? Tidak! Sakit luka di lututnya masih terasa, tetapi tangisannya terhenti kerana rasa “sakit” pada jiwa dan emosinya telah pun diubati dan telah hilang diganti dengan rasa tenteram, kerana anak itu yakin ibunya memahami “penderitaannya” dan ibunya “mampu” mengubati luka dilututnya dengan ubat yang akan disapu nanti. Hal ini menunjukkan bahawa ketenteraman hati dan ketengan hidup adalah satu kuasa maha ajaib yang sangat diperlukan dalam hidup seorang manusia. Adalah menjadi satu hukum serta prinsip alam, sesorang itu akan berasa aman dan tenang apabila mengetahui bahawa di sana adanya satu “kuasa” yang mampu mengatasi segala kebimbangan dan rasa terancam yang ada.
    Seorang genius sekalipun, tanpa kemantapan dan kecemerlangan emosi pasti tidak dapat menggunakan kegeniusan dan ketinggian IQ-nya dengan betul jika jiwanya sentiasa bercelaru dan tidak mantap. Kecemerlangan dan kemantapan jiwa inilah yang disebut sebagai EQ. Tetapi seseorang yang mantap EQnya, walaupun dia hanya seorang yang buta huruf, tetapi dengan ketenangan jiwa yang dimilikinya, dia dapat menghadapi hidup dan segala masalah hidup ini dengan penuh ketenangan dan ketertiban. Malahan, seringkali terlontar daripada patah bicaranya perkatan-perkataan yang bersifat “teraputik” yang mampu menyegarkan kerengsaan jiwa dan kegersangan emosi.
    Kekuatan rohaniah (SQ) akan menjadi penjana EQ yang kental, dan EQ yang ada akan menyempurnakan IQ seseorang walau pada tahap manapun IQnya berada. Bukan semua orang dapat menjadi pandai tetapi semua orang boleh menjadi bijaksana. Allah, Tuhan yang telah menciptakan manusia malah seluruh alam ini telah menyatakan sebagai satu prinsip, “Bukankah dengan berzikir kepada Allah, hati akan menjadi tenang?” (Ar-Ra’d):28. Berzikir membawa maksud yang luas, iaitu kita dapat menyebut dan mengingati Allah, merasakan kehadiranNya dan berasa keagunganNya dalam setiap masa dan keadaan. Mana mungkin mungkin seseorang yang melihat Tuhan itu (dengan segala kebesaran dan kekuasaanNya) berada begitu hampir dengan dirinya masih boleh berasa tidak tenteram dan aman?
    Mereka yang benar-benar membina kekuatan dan “nur” kerohanian yang jernih, pasti akan mampu merasa ketenangan hidup dan kekentalan serta keharmonian emosi. Allah berfirman. “ Dialah yang menurun ‘sakinah’ ke dalam hati orang-orang yang beriman” (Al-Fath:4). Sakinah bermaksud ketenangan yang tetap.
    Jika demikian, sudah tentu dalam apa yang diperintahNya itu ada alat-alat untuk membolehkan kita membawa dan membina ketenangan hati seperti amalan zikrullah, solat, tafakur, amalan doa, wuduk dan lain-lain lagi. Semoga hati kita tidak ‘buta’ daripada melihat dan merasai kebesaran Allah, Tuhan sekalian alam.
    Selingan Video : Hayati & Runungkan Lirik Lagu di bawah


    http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


    Categories: Fadhail Amal, Tazkirah