Home > Motivasi, Tazkirah > Bagaimana Kembali Menjadi Umat Contoh?

Bagaimana Kembali Menjadi Umat Contoh?

ALLAH menegaskan di dalam al-Quran bahawa umat Islam adalah generasi terbaik dan menjadi contoh kepada umat lain di bumi ini. Hakikat ini dibuktikan generasi Rasulullah dan sahabat selepasnya janji Allah itu benar apabila mereka benar-benar berpegang teguh pada ajaran Islam.


Justeru, bukan perkara mustahil bagi umat Islam kini untuk memartabatkan kembali maruah dan imej mereka sebagai umat terbaik dan menjadi contoh.


Sehubungan itu, ulama terkenal Syeikh Abdullah Nasih ‘Ulwan menggariskan lima kriteria utama yang melayakkan umat Islam meraih kembali kecemerlangan dan keunggulan dalam pelbagai lapangan hidup. Lima ciri itu juga penentu hala tuju masa depan umat Islam ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.


# Antara kriteria utama yang wajib dihayati dan diterjemahkan dalam realiti kehidupan ialah mu’ahadah iaitu ungkapan yang mengingatkan manusia kepada perjanjian termeterai antaranya dengan Allah pada alam arwah sebelum dilahirkan ke dunia.


Dalam perjanjian itu, manusia mengakui Allah pencipta sekalian manusia dan juga pentadbir mutlak alam semesta. Perjanjian itu kemudian dirakamkan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: 

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun temurun) dari (tulang) belakang manusia, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar, (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian itu supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat: Sesungguhnya kami lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini. (Surah al-A’raf, ayat 172)

Di samping itu, perjanjian ini mendedahkan hakikat sebenar asal usul manusia hanya hamba Allah yang tujuan penciptaannya untuk mengabdikan diri ke hadrat Allah Maha Esa. Oleh itu, Allah mentaklifkan pelbagai kewajipan mesti dilaksanakan setiap Muslim yang beriman kepada-Nya.

Perlu diinsafi semua kewajipan yang difardukan itu pada hakikatnya adalah manifestasi perjanjian mengandungi makna akidah, ibadat dan akhlak.


# Kedua, muraqabah pula bermaksud merasai kehadiran dan pengawasan Allah dalam setiap gerak geri dan perlakuan manusia sepanjang hidupnya. Dengan ada kesedaran seumpama itu akan mendorong manusia untuk melaksanakan titah dan perintah Ilahi dan menjauhi larangan-Nya.


Rasa muraqabah inilah perisai utama Muslim daripada melakukan perkara mungkar yang dilarang Allah seperti berzina, mencuri dan merogol kerana dia menyedari Allah Maha Melihat di samping pengawasan dua Malaikat yang mencatat perbuatan manusia biarpun sebesar biji sawi.


Pada masa sama, seorang Muslim sentiasa bersemangat dan ikhlas melaksanakan amalan salih demi meraih keredaan Ilahi biar tidak ada orang yang menyaksikan amalan itu. Dalam hati seorang Muslim, Allah dan Rasul-Nya adalah perkara paling dicintainya mengatasi kecintaan terhadap anak isteri, kemewahan harta benda lain. Itulah kriteria Muslim sejati yang dijanjikan Allah sebagai penghuni syurga di akhirat kelak.


# Ketiga, muhasabah pula ialah menilai dan merenung kembali terhadap apa yang berlaku sama ada manis atau pahit. Detik suka duka dan pelbagai peristiwa yang tercatat dalam diari kehidupannya kerana tidak ada seorang manusia di dunia ini kecuali nabi dan rasul yang boleh mendakwa dirinya maksum iaitu terpelihara daripada melakukan sebarang dosa mahupun kesalahan.


Baginda Rasulullah pernah bersabda bermaksud: 

Setiap insan pasti melakukan kesilapan dan sebaik-baik manusia yang melakukan kesilapan itu ialah mereka yang sentiasa bertaubat.(Hadis riwayat Tirmizi & Ibnu Majah)

Maksud hadis itu jelas mengisyaratkan perlunya amalan muhasabah diri diterapkan dalam budaya hidup manusia melalui proses penilaian, mengambil iktibar daripada peristiwa silam dan seterusnya bertaubat serta berazam dengan semangat yang jitu untuk terus mara ke hadapan. Ia mampu bertindak sebagai medium kukuh yang akan menentukan kejayaan pada masa akan datang di samping berupaya untuk mengelakkan diri daripada terjebak ke kancah penyesalan dan kerugian buat ke sekian kalinya.

# Keempat, mu’aqabah ialah memberikan hukuman atau denda terhadap diri apabila melakukan kesilapan ataupun kekurangan dalam amalan. Mu’aqabah ini lahir selepas Muslim melakukan ciri ketiga iaitu muhasabah. Hukuman ini bukan bermaksud deraan atau pukulan memudaratkan, sebaliknya bermaksud Muslim yang insaf dan bertaubat berusaha menghapuskan kesilapan lalu dengan melakukan amalan lebih utama meskipun dia berasa berat.


Dalam Islam, orang yang paling bijaksana ialah orang yang sentiasa bermuhasabah diri dan melaksanakan amalan salih.


# Akhirnya, mujahadah kriteria penting melonjakkan umat Islam ke arah kecemerlangan, bermaksud daya usaha bersungguh-sungguh menegakkan kalimah Allah. Umat Islam dituntut berjihad dalam konteks cukup luas, bukan melawan hawa nafsu, bahkan dituntut berjihad untuk menepis ancaman musuh Islam, membasmi kemiskinan, meningkatkan ekonomi, menegakkan keadilan Islam.


Hanya umat yang menepati lima kriteria itu saja dijanjikan Allah kecemerlangan dan kegemilangan dalam pelbagai aspek kehidupan.


Oleh Dr Engku Ahmad Engku Alwi – Berita Harian


Categories: Motivasi, Tazkirah
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: