Home > Khutbah Jumaat > Khutbah Jumaat Minggu Ini – "Membina Generasi"

Khutbah Jumaat Minggu Ini – "Membina Generasi"

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan mengerjakan segala perintah-Nya dan menjauhi setiap larangan-Nya. Semoga dengan bertakwa kita akan mendapat rahmat Allah SWT sama ada di dunia mahu pun di akhirat. Sesungguhnya manusia yang paling mulia ialah mereka yang paling bertakwa di sisi Allah SWT.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Saban hari kita dipertontonkan dengan pelbagai masalah sosial. Sebutlah apa sahaja kita akan dapat mengetahuinya melalui media massa sama ada di kaca televisyen, skrin komputer, paparan akhbar, majalah dan lain-lain. Seolah-olah tiada petanda bahawa masalah ini akan berkurangan, jauh sekali untuk dihapuskan. Setiap hari ada sahaja berita mengenai penipuan, rasuah, penderaan, rompakan, membunuh, mencabul, rogol, buang bayi, dan sebagainya.

Apakah mereka yang melakukan perbuatan jahat ini tidak pernah terdidik?. Kalau pernah belajar dan bersekolah tidakkah mereka telah diberi kefahaman tentang keburukan gejala ini dan kesannya terhadap diri, masyarakat dan negara. Bahkan keburukan yang akan dirasai bukan sahaja di dunia malah lebih teruk di akhirat nanti. Mungkin juga ketika bersekolah dulu, mereka tergolong dari pelajar cemerlang yang nama mereka pernah menghias halaman akhbar dalam mengharumkan nama keluarga, sekolah dan negara.

Ketika bergaul dengan masyarakat sudah tentu mereka pernah diingatkan supaya tidak terlibat dengan perkara jahat yang merosakkan. Itu di antara peranan masyarakat, yang turut terpanggil untuk membenteras gejala sosial ini daripada terus berlaku. Pada masa yang sama kita juga turut menuntut peranan

serta sumbangan yang patut dilakukan oIeh badan sukarela, persatuan penduduk, aktivis masyarakat, pihak-pihak yang bertangggungjawab dan pemerintah. Kita perlu merancang, menyusun langkah dan tindakan yang patut dilakukan ke arah mengurang atau mengatasi gejala ini.

Setiap anggota masyarakat tanpa mengira pangkat dan fahaman politik perlu tampil memberikan sumbangan berupa buah fikiran dan tenaga ke arah membendung dan mengawal gejala sosial daripada terus berlaku dan berleluasa. Kita hendaklah berusaha menyelamatkan golongan yang telah tewas dan hanyut dalam gelombang gelora fasad dan mungkar. Mereka terdorong melakukan kemungkaran kerana pengaruh sebaran media massa tanpa tapisan yang berleluasa. Lantaran itu mereka jadi lalai, lagho dan leka. Mereka selesa membuang masa, berfoya-foya, tenggelam dalam arus kebejatan moral yang ditaja oIeh para perosak yang memakai berbagai nama antaranya; hak asasi, kebebasan, malam amal dan macam-macam lagi. Ke mana hilangnya sikap amanah, istiqamah, sabar, ikhlas, jati diri, wibawa, pengorbanan, perjuangan, daya tahan dan daya saing.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Apakah generasi kini telah hilang segala kekuatan, kehebatan dan ketokohan seperti yang pernah dimilik oIeh umat Islam suatu ketika dahulu?. Generasi Islam terdahulu telah melakar sejarah gemilang dengan kejayaan

meletakkan Islam pada puncak dan mercu kehebatan. Masyarakat Islam ketika itu telah menjalani perubahan melalui amal cemerlang yang berterusan. Mereka mempunyai semangat daya juang yang tinggi serta sanggup mengharungi, menghadapi dan mengatasi apa jua cabaran. Mereka mengamal dan menyumbang kepada usaha pembaharuan yang berterusan. Mereka memenuhi kriteria ” Khaira Ummah ” seperti yang dinyatakan oIeh Al-Quran. Sekiranya kita mahu tergolong dalam kategori ” Khaira Ummah ” maka kita hendaklah sentiasa mengajak kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah SWT . Inilah di antara ciri penting yang telah mereka amalkan dengan istiqamah bagi mencapai kejayaan.

Kita juga perlu melakukan tindakan yang sama jika mahu melihat umat Islam mencapai kejayaan di pelbagai bidang. Kita hendaklah memiliki pelbagai ramuan yang diperlukan untuk menjadi umat yang berkualiti dan berdaya maju. Di manakah kita boleh mendapatkan ramuan yang dimaksudkan itu?. Ramuan tersebut ada pada akar budaya kehidupan insan dan masyarakat muslim. Sejarah kemajuan dan kejayaan masyarakat silam yang berteraskan akidah dan syariat Islam telah berjaya mengubah tatalaku manusia dari pelbagai segi sehingga menjadikan mereka sentiasa taat dan meyakini bahawa dengan melaksanakan segala nilai mulia yang diajarkan oIeh syariat Islam akan menentukan kejayaan yang dikehendaki dan diredhai oIeh Allah SWT.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Antara tindakan yang perlu dilakukan ialah kita hendaklah merancang untuk melahirkan generasi yang memiliki ciri umat berkualiti yang kehadirannya memberikan makna serta mampu menghadapi segala ujian kehidupan. Kualiti yang dimaksudkan tentulah berjiwa besar, berjiwa tauhid, bersemangat jihad, ikhlas, jujur, amanah, bertangggungjawab, berintegriti, berpandangan jauh dan luas serta mampu menjangka keperluan masa depan. Kita tidak mahu membiarkan masyarakat Islam hari ini memiliki ‘Kualiti Seumpama Buih’ sebagaimana yang dinyatakan oIeh Al-Quran dalam surah Ar-Ra’d ayat 17:

“Adapun buih itu, maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah membuat pelbagai perumpamaan” .

Salah satu dari nilai kualiti yang unggul ialah memiliki jiwa yang merdeka. Jiwa merdeka hanya mampu dilahirkan melalui keyakinan dan ketaatan sepenuhnya kepada Allah SWT. Untuk mencapai tahap keyakinan yang tinggi, Kita perlu mempunyai persekitaran yang baik. Maka setiap pihak bertangggungjawab mewujudkan suasana ini. Mereka yang berjiwa merdeka sentiasa peka untuk mempertahan maruah, martabat diri serta ummah. Mereka mengetahui bahawa maruah dan martabat itu punya harga dan ianya perlu dipertahankan. Untuk mempertahankannya memerlukan pengorbanan dan perjuangan. Kegagalan seseorang mempertahankan maruah dan martabat diri akan menjadikan mereka insan berjiwa pasif.

Manusia yang berjiwa pasif tidak akan mempunyai jati diri yang unggul. Mereka inilah yang sanggup melakukan apa sahaja termasuk gejala maksiat yang dinyatakan pada awal khutbah. Ini kerana mereka tidak memiliki hati nurani, tidak memiliki maruah diri dan juga tidak mengetahui martabat diri. Seterusnya mereka tidak mempunyai pendirian dan pegangan. Bahkah lebih hina lagi mereka yang berjiwa pasif rela diperlakukan apa sahaja oIeh orang yang lebih maju daripada mereka. Akhirnya mereka tidak merasa tercabar sekalipun maruah dan martabat dicabul. Manusia berjiwa pasif hanya akan bertindak jika diarah. Sebaliknya mausia yang berjiwa merdeka sentiasa kaya dengan cita-cita dan daya usaha. Mereka tidak terikat kepada sesiapa kecuali kepada Allah SWT. Jiwa merdeka inilah yang diungkapkan oIeh Rab’iy ibn ‘Amir ketika memberitahu Rustum panglima tentera Parsi ;

“Kami adalah pembawa misi Ilahi untuk membebaskan manusia daripada pengabdian sesama manusia kepada pengabdian hanya kepada Allah semata-mata… “

Manakala ungkapan puitis Doktor Burhanuddin Al-Helmy ketika mengobarkan semangat mempertahan martabat dan harga diri bangsa dengan mengatakan;

“Di atas robohan kota Melaka, kita dirikan jiwa merdeka”.

Sesungguhnya kita hendaklah membina generasi yang berwawasan, berdaya tahan, mampu menjangak dan menyedia keperluan masa depan. Mereka mesti disiapkan dengan pelbagai ilmu, kepakaran serta maklumat untuk memikul tanggungjawab bagi membina ummah. Mereka mesti memiliki kekuatan minda dan fizikal yang boleh merangsang untuk berfikir ke arah membebaskan diri daripada penjajahan pemikiran, kekeliruan dan ketidak pastian. OIeh itu kita kena mendidik mereka dengan menekankan betapa generasi kini perlu memiliki akidah yang teguh, keimanan yang mantap dan jati diri yang mapan. Demikianlah pesanan Saiyidina Umar Ibni Al-Khattab;

“Didiklah anak-anak kamu, sesungguhnya mereka dilahirkan untuk zaman yang bukan zaman kamu”.

Islam telah membawa cahaya kebenaran yang menampilkan penganutnya yang hebat, berwibawa dan mampu melakukan gerakan pembebasan ke arah menghayati persamaan darjat kemanusiaan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kesimpulan daripada khutbah ini ialah;

– Umat Islam perlu memiliki jiwa merdeka di samping membentuk generasi yang berkualiti .

– Kuantiti umat dan generasi baru hendaklah dibentuk dan diperkukuh dengan iman dan pegangan Islam yang murni dan tulen.

– Mereka hendaklah dididik menjadi insan mujahid, ikhlas, amanah, jujur, bertangggungjawab, berintegriti, berpandangan jauh dan mempunyai daya bersedia untuk masa depan.

– Generasi yang dapat bekerjasama, bergabung tenaga untuk menyelesaikan berbagai masalah.

– Umat Islam perlu bersatu membanteras kemurtadan, kezaliman, kemunafiqan, rasuah, salahlaku dan sikap khianat .

“Hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oIeh) orang (yang menjadi penjaganya) yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang dhaif (yatim) di belakang mereka (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka. Oleh itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang benar (menepati syarak)”.( An-Nisa’ : 9 )

KHUTBAH KEDUA
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Khutbah Jumaat Bacaan 11 Mac 2011
Sumber : JAIS


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35

Categories: Khutbah Jumaat
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: