Home > Khutbah Jumaat > Khutbah Jumaat Minggu Ini – "Peluang Hidup Sebelum Mati"

Khutbah Jumaat Minggu Ini – "Peluang Hidup Sebelum Mati"

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita merealisasikan seruan taqwa dengan melaksanakan segala tuntutan perintah Allah dan menghindari segala yang ditegah demi kesejahteraan hidup kita di dunia dan di akhirat. Semoga dengan kesungguhan usaha ke arah itu, kita akan terus dibantu, dipandu dan dikekalkan di atas jalan ketaqwaan sehingga akhir hayat kita.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Rasulullah S.A.W pernah mengingatkan kita tentang kepentingan mengejar peluang yang diberikan dalam hidup. Kita diingatkan agar memanfaatkan waktu sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati. Ternyata kurniaan peluang hidup sebelum mati adalah peluang yang paling bernilai bagi seorang hamba Allah di dunia ini. Sesungguhnya kematian yang pasti itu adalah penamat segala ruang dan peluang bagi kita untuk membuktikan pengabdian kita kepada Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Mulk ayat 2:

“Dialah yang telah menciptakan adanya mati dan hidup untuk menguji kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalannya, Dia Maha Perkasa (dalam melakukan pembalasan terhadap orang yang derhaka) lagi Maha Pengampun (bagi orang yang bertaubat)”.

Justeru, walaupun di tahap mana usia kita, ruang kehidupan ini perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk beramal soleh sebagai bekalan untuk bertemu Allah S.W.T. Apatah lagi di ketika usia meniti senja, maka sewajarnya kesempatan ini digunakan sebaik mungkin sebagai bukti syukur kita kepada Allah S.W.T yang telah mengurniakan bonus usia kepada kita selaku hamba-Nya.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W bahawa seorang pemuda telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W :

“Wahai Rasulullah, siapakah insan yang paling baik?” Rasulullah menjawab, “Orang yang panjang usianya dan baik amalannya.” Pemuda itu bertanya lagi, “Maka siapa pula insan yang paling keji?” Baginda menjawab, “Orang yang panjang usianya namun jahat pula perlakuannya”.
(Riwayat At-Tarmizi)

Di atas kenyataan ini, kita seharusnya sedar dan mempersiapkan jadual dan rancangan hidup agar ia bertepatan dengan panduan Rasulullah S.A.W sehingga ke penghunjung usia. Semoga dengan umur yang panjang kita berjaya menjadi hamba Allah yang paling baik dengan kekal beramal soleh hingga ajal menjemput kita.

Antara perancangan yang perlu dilakukan untuk mencapai hasrat menjadi manusia terbaik ialah :

Pertama : Memperuntukkan masa untuk menuntut ilmu bagi memastikan segala amal ibadah kita tepat dan sah menurut Sunnah Rasulullah S.A.W. Kita sewajarnya lebih serius menuntut ilmu agama dan beramal. Tanpa ilmu dan maklumat yang tepat, kita bimbang segala amal kita tidak diterima oleh Allah S.W.T.

Kedua : Mendampingi orang-orang yang mampu memperbaiki kelemahan dan kekurangan kita, membantu mempertingkatkan kefahaman Islam, bersedia menegur dan menasihati kesilapan kita dan dan berada di samping kita ketika kita memerlukan. Memilih rakan dan sahabat yang baik adalah faktor penting kerana sahabat adalah penentu dan pencorak peribadi dan gaya hidup kita. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

“Agama seseorang itu dipengaruhi oleh rakannya, kerana itu awasilah setiap diri kamu dengan siapa dia bergaul”. (Riwayat Ahmad)

Ketiga : Segera bertaubat dan mengembalikan segala hak-hak Allah dan manusia yang pernah diceroboh. Taubat dan mengembalikan hak kepada yang empunya hak adalah satu tuntutan yang perlu dipandang serius untuk menjamin keselamatan di akhirat kelak. Renungilah sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud :

“Adakah engkau semua tahu, siapakah orang yang muflis itu?” Para sahabat menjawab: “Orang muflis di kalangan kita ialah orang yang sudah tidak memiliki lagi sesuatu benda apapun.” Baginda S.A.W. lalu bersabda: ” Orang muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat dengan membawa amalan solat, puasa dan zakatnya ketika di dunia dahulu, dia pernah mencaci, menuduh, memakan harta dan membunuh seseorang (tanpa alasan yang benar). Maka orang yang dianiaya itu diberikan pahala orang tadi. Mangsa yang lain pun diberikan pahalanya juga. Jikalau pahala-pahalanya sudah habis sebelum terlunas tanggungan kezalimannya, maka ambillah dari dosa-dosa orang-orang yang dianiayanya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut, kemudian orang tersebut dilemparkanlah ke dalam neraka” (Riwayat At-Tarmizi)

Keempat : Berdoa dan mengharap bantuan dan pimpinan Allah S.W.T hingga ke akhir usia. Antara doa yang terbaik diamalkan untuk tujuan ini adalah doa yang dirakamkan Allah S.W.T di dalam Surah Ali Imran ayat 8 :

“Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau memesongkan hati Kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Bersyukur kepada Allah di atas kurniaan-Nya dengan dilanjutkan usia dan kesihatan kepada kita. Kita perlu membajainya dengan perlakuan akhlak yang baik dan membuang segala tabiat dan perilaku yang buruk. Akhlak yang baik diibaratkan sebagai bunga yang kekal mengharum dan dikenang meskipun sewaktu kita telah tiada lagi di atas muka bumi ini. Pamerkan akhlak yang baik seperti taat beribadah, suka menasihati dan memberi panduan kepada seseorang dengan penuh kasih sayang. Ini merupakan punca utama yang mengundang rahmat dan keredhaan Allah di samping kasih sayang manusia. Hadis daripada Abdullah bin Amru bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

“Orang-orang yang penyayang itu dikasihi Allah yang bersifat ‘Ar Rahman’. Kasihi mereka yang berada di bumi pasti kamu akan dikasihi oleh mereka yang berada di langit”.
(Riwayat At-Tarmizi)

Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Akhirnya, marilah kita imbas kembali intipati khutbah hari ini agar ia menjadi panduan berguna dalam hidup kita. Antaranya adalah;

Pertama : Pengurniaan usia yang panjang adalah nikmat yang perlu dihargai.

Kedua : Meningkatkan usaha dalam menuntut ilmu dan beramal soleh serta menghiasi diri dengan akhlak yang mulia.

Ketiga : Mencari rakan yang baik dan hidup dalam suasana yang boleh mendekatkan diri kepada Allah dan mentaati perintah-Nya.

Keempat : Segera bertaubat mengikut landasan perjuangan hidup Islam dan berdoa agar kekal dalam hidayah Allah hingga ke akhir usia.

Kelima : Melibatkan diri dengan perkara-perkara amar maaruf nahi mungkar serta memahamkan syariat Islam dalam masyarakat.

Keenam : Mengasihi manusia agar Allah dan para malaikat mengasihi kita.

“Katakanlah (Wahai Muhammad) : “Sebenarnya maut yang kamu cuba larikan diri daripadanya itu, tetap akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)”. (Al-Jumuah: 8)

KHUTBAH KEDUA
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Khutbah Jumaat Bacaan 4 Mac 2011
Sumber : JAIS


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


Categories: Khutbah Jumaat
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: