Home > Adab / Akhlak, Tasawwuf > Sifat Sabar, Syukur Jadikan Hidup Lebih Tenteram

Sifat Sabar, Syukur Jadikan Hidup Lebih Tenteram

SIKAP terpuji yang sangat dianjurkan Islam ialah sabar dan syukur. Sabar berlaku dalam pelbagai keadaan, sabar apabila marah dan ditimpa musibah. Sabar menahan hawa nafsu supaya tidak melanggar larangan Allah. Bahkan, melakukan ibadah juga memerlukan kesabaran.

Syukur biasanya dikaitkan dengan memperoleh sesuatu yang menggembirakan. Syukur apabila sihat, berjaya serta mendapat rezeki melimpah. Dalam kehidupan, sabar dan syukur sentiasa beriringan. Ada ketikanya dituntut sabar dan ada ketika lain dituntut bersyukur.

Ada juga keadaan yang menuntut kedua-duanya seperti apabila seseorang ditimpa musibah, dia perlu bersabar menghadapi musibah itu dan pada masa sama bersyukur kerana tidak ditimpa musibah lebih dahsyat.

Begitu juga apabila diberi kesenangan, dia perlu bersyukur tetapi pada masa sama perlu sabar menahan nafsu supaya dapat menghindari diri daripada menggunakan kesenangan pada perkara yang dilarang Allah.

Rukun Iman yang keenam ialah percaya kepada qada’ dan qadar iaitu percaya dengan penuh yakin setiap sesuatu adalah ketetapan Allah. Penetapan Allah yang Maha bijaksana, Maha Mengetahui serta Maha Adil sudah tentu mempunyai hikmah terselindung untuk kebaikan insan.

Justeru, apabila berhadapan dengan ketetapan Allah, seorang hendaklah sama ada bersabar atau bersyukur atau kedua-duanya. Firman Allah yang bermaksud:

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” – (Surah al Baqarah, 216 )

Memiliki sifat sabar dan syukur sangat penting. Manusia merancang, Allah menentukan. Ada masa gembira dan ada masa duka. Pepatah Melayu ada menyebut ‘hidup tidak selalunya indah’. Allah memberi panduan kepada manusia supaya tenang dalam apa keadaan baik gembira mahupun duka.

Tenang ini terhasil daripada sifat sabar dan syukur. Firman Allah yang bermaksud:

“Dan (ingatlah juga) tatkala Tuhanmu memaklumkan: sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” – (Surah Ibrahim, ayat 7)

Firman Allah lagi yang bermaksud:

“Tiada satu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan sudah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita dengan apa yang luput daripada kamu dan jangan terlalu gembira dengan terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.” – (Surah al Hadid, 22-23)

Firman Allah lagi yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya akan kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar.” – (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Seorang manusia apabila ditimpa sesuatu musibah sama ada besar atau kecil lalu dia bersabar dan ingat kepada Allah serta yakin bahawa apa yang ditetapkan Allah kepadanya mempunyai hikmah, dia akan menjadi tenang.

Begitu jugalah apabila dia mendapat sesuatu yang menggembirakan, dia tidak akan bersikap terlalu gembira sehingga melanggar perintah Allah atau merasa bangga, riak, sombong atau tamak. Sebalik dia bersyukur dan ingat kepada Allah lalu dia menjadi tenang.

Ada juga hadis yang menganjurkan supaya manusia bersikap sabar dan syukur bagi memperoleh ketenangan. Sabda Baginda SAW yang bermaksud:

“Sungguh ajaib dalam urusan orang mukmin! Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang mukmin. Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka kebaikan baginya dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka kebaikan baginya.” – (Hadis riwayat Muslim)

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud:

“Tidak ditimpa seorang Muslim keletihan, penyakit, kerisauan, kesedihan, kesakitan, kesedihan yang amat sangat sehingga walaupun duri yang menyucuknya melainkan Allah menghapuskan dengannya dosanya.” – (Muttafaq ‘Alaih)

Hidup adalah ujian dan ujiannya juga berbeza-beza. Kekayaan, kemiskinan, kesihatan tubuh badan, sakit, sempurna atau cacat anggota badan, kecerdikan, kecantikan rupa paras dan sebagainya adalah ujian.

Dalam menghadapi ujian inilah biasanya manusia akan bersifat gusar, keluh kesah, tidak tenteram dan takut. Tidak kurang juga bersikap sombong, angkuh, rasa tidak cukup, tidak puas, hasad dan dengki yang akibatnya ialah perasaan menjadi tidak tenang.

Ubat dan penawar kepada rasa tidak tenang ini ialah sifat sabar dan syukur. Satu perkara harus disedari manusia ialah Allah mengurniakan rezeki kepada manusia dalam pelbagai bentuk.

Antaranya memperoleh harta, tidak mengalami kerosakan atau kehilangan harta, mendapat cahaya mata, memperoleh tubuh badan sihat, mempunyai keluarga bahagia dan bermacam lagi. Ketenangan perasaan juga adalah satu bentuk rezeki.

Orang yang tidak mempunyai ketenangan jiwa biasanya hidup dalam kesempitan dan kepayahan. Kesempitan dan kepayahan perasaan menghasilkan kecelaruan kehidupan. Ketika itu duit yang banyak, harta bertimbun, tidak dapat memberikan sebarang kesenangan dan ketenteraman.


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


Categories: Adab / Akhlak, Tasawwuf
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: