Home > Motivasi > Zaman Muda Siri 2 : Ciri-Ciri Ideal Belia Islam

Zaman Muda Siri 2 : Ciri-Ciri Ideal Belia Islam

Pertama : Ketahanan Iman dan Akidah

Seseorang belia muslim perlu mempunyai ketahanan iman dan akidah yang ampuh bagi menghadapi segala cabaran dalam kehidupan. Kalimah لااله الا الله hendaklah menjadi zikir harian yang akhirnya melahirkan jiwa yang berani dan kental serta komited dalam mengharungi perjuangan hidup. Mereka tidak pula senang mengaku kalah bila diuji di waktu susah dan senang. Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran, ayat 139 yang bermaksud:

“Janganlah kamu merasa lemah dan berdukacita. Kamu adalah lebih tinggi (darjatnya) sekiranya kamu beriman”

Untuk membina ketahanan iman dan akidah yang sejahtera, seseorang perlu sentiasa memahami dan mendalami agamanya melalui guru-guru yang mursyid dan pembacaan, sentiasa bertaqarrub (mendampingi) Allah SWT, bertaubat dan melakukan segala syariat agama dan menjauhi larangan-Nya.

Kedua : Taat Kepada Allah dan Ibadah Yang Betul

Manusia diciptakan Allah SWT semata-mata untuk kita semua menyembah-Nya. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Zariyat, ayat 56 yang bermaksud:

“Dan tidaklah aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku”

Taat kepada Allah SWT bermaksud menunaikan segala syariat-Nya dan menjauhi larangan-Nya.

Manakala ibadah yang betul adalah refleksi daripada akidah yang sejahtera lagi benar. Setiap orang Islam dituntut menunaikan ibadah wajib seperti yang terungkap di dalam rukun Islam yang lima. Selain menunaikan ibadah wajib, kita juga perlu menunaikan ibadah sunat seperti solat-solat sunat, berzikir, sentiasa bersuci, qiyamullail dan sebagainya bagi sentiasa terasa dekat kepada Allah SWT dan beribadah kepada Allah SWT merupakan manifestasi tanda kesyukuran kita kepada-Nya atas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita.

Ketiga : Berilmu dan Berpengetahuan Luas.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Menuntut ilmu adalah suatu kewajipan bagi setiap orang muslim”

Malah pepatah Arab ada mengatakan, “tuntutlah ilmu semenjak dari buaian hingga ke liang lahad”. Hadis dan pepatah di atas menggesa setiap orang Islam supaya menimba ilmu bagi menambah pengetahuan kedua-dua ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah. Proses menimba ilmu pula tidak akan pernah terhenti selagi mana nyawa dikandung badan. Ilmu yang sahih yang berpaksikan kepada falsafah tauhid akan menjadi guru terbaik dalam memandu diri ke arah kebaikan dan kebenaran.

Keempat : Akhlak dan Sahsiah Diri Yang Mantap

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak”

Baginda Rasulullah SAW merupakan qudwah hasanah bagi setiap individu muslim kerana akhlak baginda diumpamakan seperti al-Quran. Umum mengetahui Islam itu tidak lengkap sekiranya elemen akhlak ini diketepikan.

Sirah pernah menceritakan bahawasanya pada suatu hari Khalifah Harun Ar-Rasyid telah bertanya Imam Abi Yusuf yang menjadi mufti di kala itu tentang akhlak serta peribadi gurunya Imam Abu Hanifah. Beliau menjawab:
“Sesungguhnya beliau adalah seorang yang bersungguh-sungguh mempertahankan hukum-hukum Allah SWT. Beliau menjaga dirinya dari mendekati orang-orang yang cinta dunia, banyak berdiam tetapi akalnya sentiasa berfikir. Beliau tidak banyak bercakap tetapi bila saja ditanya apa juga masalah sudah pasti beliau akan dapat menjawabnya. Beliau terlalu menjaga diri dan agamanya dan tidak suka mengambil tahu keburukan orang lain, tidak akan menyebut nama seseorang melainkan beliau menceritakan kebaikan orang itu.
Khalifah pun berkata : “Inilah akhlak orang soleh”.

Kelima : Sihat Tubuh Badan

Menjaga kesihatan tubuh badan amat dituntut dalam Islam. Apabila anggota tubuh badan sihat, segala urusan agama dapat dilaksanakan dengan sempurna. Kita dilarang melakukan sesuatu yang boleh memberi mudarat kepada diri dan orang lain. Disebabkan itu, gejala ketagihan dadah, arak, zina, rempit dan seumpamanya wajib dijauhi. Sumber dan bahan makanan juga perlu diberikan perhatian kerana setiap makanan yang masuk ke dalam perut kita akan mempengaruhi kesihatan tubuh badan serta akhlak kita.

Keenam : Bermanfaat Kepada Orang Lain

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Sebaik-baik manusia adalah seorang yang memberi manfaat kepada orang lain”

Berguna kepada orang lain boleh difahami sebagai menunaikan tanggungjawab kebajikan dan sosial. Tanggungjawab boleh disalurkan melalui pelbagai kaedah antaranya melaksanakan hak-hak saudara seakidah dan sesama manusia seperti kasih sayang, hormat menghormati dan tolong menolong.

Kita juga boleh memberikan sumbangan kepada pembangunan ekonomi Islam melalui sistem keusahawanan Islam. Berpersatuan atau melakukan kerja-kerja sukarelawan juga salah satu kaedah untuk kita memberi khidmat dan tanggungjawab sosial kita kepada masyarakat. Slogan ‘Hidup Biar Berjasa’ boleh memberikan kita motivasi untuk sentiasa menyumbang sebanyak-banyaknya dan bukan menerima sebanyak-banyaknya.

Ketujuh : Peka Kepada Perubahan Sosio-politik-Ekonomi Lokal dan Global

Seseorang individu belia harus peka kepada setiap perubahan sosio-politik-ekonomi setempat dan pada peringkat global. Ini perlu bagi merangka teknik dan strategi bagi menghadapi segala kemungkinan.

Golongan belia harus melakukan perubahan dari segala sudut terutamanya sudut peribadi dengan menyemai dan menyuburkan peribadi dengan nilai-nilai Islam dan rabbani demi mengorak langkah menjulang kebangkitan ummah lalu dalam membina semula tamadun Islam yang telah terlepas daripada tangan kita.

Allah SWT berfirman dalam surah Ar-Ra’ad, ayat 11 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah SWT tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”.

Oleh kerana zaman belia adalah era paling gemilang dalam kehidupan manusia maka kitalah yang bertanggungjawab melaksanakan misi agung itu.

Harapan kepada belia Islam boleh diungkapkan melalui ucapan As-Syahid Imam Hassan Al-Banna dalam ‘Dakwah Kita di Era Baru’:

“Kita mahukan jiwa yang hidup, kuat dan bertenaga. Kita mahukan hati baru yang menyala. Kita mahukan perasaan yang bergelojak membara. Kita mahukan roh yang bercita-cita tinggi. Kita mahukan jiwa yang dapat membayang betapa tingginya impian dan matlamat ini supaya ia dapat mengejar dan mencapainya”.

wallahua’alam.

insyaAllah bersambung..


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


Categories: Motivasi
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: