Home > Khutbah Jumaat > Khutbah Jumaat Minggu Ini – "Perbandingan Sistem Perbankan Islam Dan Konvensional"

Khutbah Jumaat Minggu Ini – "Perbandingan Sistem Perbankan Islam Dan Konvensional"

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita memperkasakan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T. dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan dan keredhaan-Nya di dunia mahupun di akhirat.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Masih ramai di antara kita yang keliru dengan keuntungan atau dividen yang kita peroleh hasil daripada simpanan kita di bank, sama ada ia dianggap riba’ atau tidak, haram atau halal. Ini disebabakan oleh kekeliruan dalam membezakan antara perbankan Islam dan perbankan konvensional.

Hakikatnya, kedua-dua sistem ini sangat berbeza, ia memisahkan antara syurga dan neraka, yang mana Allah S.W.T. telah menjanjikan azab neraka kepada pengamal-pengamal sistem berteraskan riba’. Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Baqarah ayat 275:

“Orang yang memakan (mengambil) riba’ itu tidaklah berdiri (ketika bangkit dari kubur-kubur mereka) melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan disebabkan penyakit gila yang menyerang mereka; yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan, “bahawa sesungguhnya berjual-beli itu sama sahaja seperti riba’ ” ; padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba’ ; oleh itu, sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) daripada Tuhannya lalu dia berhenti (daripada mengambil riba’), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya serta urusannya terserahlah kepada Allah; manakala sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba’ itu), maka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya”.

Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya:

“Apabila riba’ dan zina menjadi-jadi di sesebuah kampung (Negeri), maka sesungguhnya mereka telah membenarkan mereka itu diazab oleh Allah”. (Riwayat Al-Hakim)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Terdapat beberapa perkara yang membezakan diantara perbankan Islam dan perbankan konvensional. Antaranya:

Pertama : Sistem perbankan Islam ditubuh berdasarkan sistem muamalat Islam yang berteraskan iman dan taqwa kepada Allah S.W.T. manakala perbankan konvensional pula berdasarkan keuntungan tidak mengikut syariat Islam.

Kedua : Di dalam perbankan Islam juga, konsep pahala dan dosa sentiasa dititikberatkan berbeza dengan sistem perbankan konvensional yang langsung tidak mengendahkannya.

Ketiga : Kewujudan dan pelaksanaan sistem perbankan Islam adalah merupakan satu tanggungjawab agama yang wajib dilaksanakan, sebaliknya perbankan konvensional tidak mengaitkan persoalan syariat di dalam urusan yang dilakukan.

Keempat : Matlamat utama dalam pelaksanaan sistem perbankan Islam tidak lain untuk keredhaan Allah S.W.T.

Kelima : Antara prinsip-prinsip yang dijunjung oleh perbankan Islam adalah keadilan. Ia menunjukkan nilai moral yang ingin dijunjung tinggi melalui sistem perbankan Islam. Firman Allah S.W.T. dalam surah An-Nisa’ ayat 29 yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan (menggunakan) harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara rela di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepada kamu”.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Perbezaan antara perbankan Islam dapat dilihat daripada aspek konsep perbankan dan operasinya. Antara perbezaan tersebut ialah:

Pertama : Dalam perbankan Islam, segala aktiviti adalah berdasarkan sistem muamalat Islam yang bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah serta pandangan para ulama’. Manakala di perbankan konvensional, aktivitinya bersumberkan kepada sistem ekonomi riba’. Perbezaan ini dapat dilihat secara jelas dengan penubuhan Jawatankuasa Penasihat Syariah di kebanyakan bank yang menawarkan perkhidmatan sistem perbankan Islam. Keahlian Jawatankuasa Syariah ini terdiri daripada ulama’ dan pakar-pakar kewangan Islam. Mereka berperanan untuk memastikan sistem yang dilaksanakan selari dengan syariat Islam.

Kedua : Perbankan Islam menjalankan konsep jual-beli dalam mendapatkan keuntungan, yang mana keuntungan tersebut adalah hasil dari perniagaan jual-beli yang dijalankan. Manakala perbankan konvensional adalah dengan menggunakan konsep pinjaman atau hutang secara konvensional dalam menjalankan perniagaan mereka. Hasilnya, mereka mendapat riba’ atau tambahan yang dikenakan ke atas pinjaman yang diberikan dan sumber-sumber lain yang diharamkan oleh syarak.

Ketiga : Antara aktiviti-aktiviti perbankan Islam yang berlandaskan kontrak-kontrak perniagaan yang dibenarkan yang dibenarkan oleh Islam adalah seperti Al-Mudharabah, Al-Musyarakah, Al-Bai’ bi al-Tsaman, Al-Ijarah dan banyak lagi. Di mana kontrak-kontrak perniagaan ini adalah berperanan sebagai pilihan kepada sistem pinjaman riba’ yang dijalankan di bank-bank konvensional. Tambahan lagi, kontrak ini telah disahkan halal oleh Badan Pemantauan Syariah Bank Negara Malaysia dan Badan Pemantauan Syariah di bank-bank Islam berkenaan sebelum produk-produk tersebut di pasarkan.

Keempat : Dari sudut hubungan dengan para pelanggan, bank konvensional hanya terhad kepada hubungan antara penghutang dan pemiutang sahaja. Namun dalam perbankan Islam, hubungan dengan para pelanggan adalah di antara penjual dan pembeli, serta bertindak selaku pengurus projek ataupun ahli kewangan yang bergiat di dalam pengumpulan wang atau amanah yang berdasarkan kepada perkongsisan atau rugi.

Kelima : Selain menjalankan aktiviti perniagaan dan menunaikan zakat, menjadi tanggungjawab kepada perbankan Islam melaksanakan program-program kebajikan dan menghulurkan bantuan serta sumbangan kepada masyarakat. Ini telah dizahirkan melalui program-program seperti bantuan kepada rumah-rumah kebajikan, keluarga miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal dan saudara baru. Di samping itu, sumbangan dan bantuan kemanusiaan juga disalurkan kepada mangsa-mangsa bencana alam seperti gempa bumi, banjir kilat dan tsunami. Ini semua adalah hasil daripada keuntungan yang diperolehi melalui perniagaan yang dijalankan. Bagi sesetengah kes pula, pihak bank sanggup menggugurkan tuntutan terhadap baki hutang pelanggan yang telah ditimpa musibah sebagai contohnya pelanggan yang mengalami masalah hilang upaya kekal atau meninggal dunia.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Aspek lain yang membezakan di antara perbankan Islam dan perbankan konvensional adalah melalui produk-produk yang dipasarkan. Antaranya ialah:

Pertama :Dalam akaun simpanan biasa, perbankan Islam mengenengahkan kontrak simpanan Wadi’ah, iaitu simpanan dengan jaminan. Bank sebagai pemegang simpanan akan menggunakan wang tersebut bagi tujuan tertentu dan menjamin simpanan wang yang diletakkan oleh pelanggan tanpa ada penambahan atau pengurangan. Ini adalah kerana di dalam Islam janji pulangan di dalam akaun simpanan ini adalah riba’. Berbeza di dalam akaun simpanan bank konvensional, setiap pemegang akaun dijanjikan pulangan tertentu untuk simpanan yang dibuat. Akibatnya, pemegang akaun simpanan, disogok dan dikaburi dengan pulangan riba’ pada setiap akaun mereka.

Kedua :Dalam kontrak pelaburan, perbankan Islam menggunakan konsep perkongsian keuntungan dan risiko yang sebenar dan tidak membebankan kedua-dua pihak atau salah satu pihak. Sebagai contoh, dalam konsep Al-Mudharabah (pelaburan Islam), pelanggan sebagai pelabur dan bank sebagai pengusaha berkongsi keuntungan ketika mendapat keuntungan, manakala kerugian akan ditanggung oleh pelabur. Ini bertepatan dengan kaedah feqah yang bermaksud “setiap pulangan adalah dengan risiko”.

Perkongsian untung dan risiko secara sebenar ini adalah adil dan tidak membebankan mana-mana pihak yang terlibat. Berbeza dengan pelaburan konvensional yang memberikan pulangan tetap dijanjikan diawal kontrak, yang mana pelaburan ini tidak melibatkan perkongsian sebenar di antara pihak terlibat. Pulangan tetap yang dijanjikan diawal kontrak pelaburan adalah riba’ dan haram dalam Islam.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita segera bermuhasabah dan mentaati perintah Allah S.W.T dengan memastikan pengurusan kewangan, sumber rezeki dan makanan yang digunakan untuk diri sendiri dan keluarga adalah dari sumber yang halal. Kita hendaklah mendukung dan menyokong setiap institusi perbankan dan koperasi Islam dengan ikut serta menjadi pelanggan atau ahli institusi berkenaan. Janganlah bersikap acuh tidak acuh dan berdiam diri tanpa berusaha ke arah meneguhkan institusi berkenaan demi membangun masa depan umat Islam dan rakyat. Mudah-mudahan dengan demikian, kehidupan keluarga kita dan masyarakat Islam beroleh keberkatan dan menjadi insan soleh.

“Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan menjauhi saki-baki riba’ (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang yang beriman. Jika kamu tidak mahu melakukan (perintah mengenai larangan riba’ itu), maka ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangi kamu (akibatnya kamu tidak akan selamat), dan jika kamu bertaubat (menghentikannya), maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah modal pokok harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak menganiaya (kepada sesiapa), dan kamu juga tidak teraniaya”. (Surah Al-Baqarah: 278-279)

KHUTBAH KEDUA

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Khutbah Jumaat Bacaan 21 Januari 2011
Sumber : JAIS


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


Categories: Khutbah Jumaat
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: