Home > Dakwah > Berdakwah Disertai Penguasaan Ilmu Lebih Berkesan

Berdakwah Disertai Penguasaan Ilmu Lebih Berkesan


PENDAKWAH kini berdepan dengan cabaran yang memerlukan persiapan diri dengan pelbagai disiplin ilmu. Usaha mencapai matlamat itu, pendakwah hendaklah memantapkan diri dengan pelbagai disiplin ilmu termasuk memiliki kemahiran menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai medium penyampaian dakwah yang berkesan.

Langkah itu dilihat berbaloi apabila jumlah pengguna internet di Malaysia dilaporkan mencecah 500,000 orang. Begitu pula dalam era globalisasi maklumat tanpa sempadan, kemahiran itu boleh digunakan sebagai mekanisme untuk menjawab segala tohmahan dan kritikan tidak berasas terhadap peribadi Nabi Muhammad SAW dan syariat Islam yang banyak disebarkan menerusi laman web serta blog.

Golongan pendakwah juga harus sentiasa mengamalkan prinsip cakap serupa bikin kerana mereka memikul amanah Allah. Justeru, mereka perlu melaksanakan ajaran agama dalam kehidupan sebelum menyuruh orang lain melakukannya.

Kealpaan pendakwah mempraktikkan prinsip itu bukan saja menyebabkan objektif dakwah tidak tercapai, malah bakal mengundang kemurkaan.

Allah berfirman bermaksud: “Wahai orang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang tidak kamu lakukan. Amat besar kebenciannya di sisi Allah (apabila) kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan.” (Surah al-Saf, ayat 2-3)

Situasi masa kini di mana berlaku kepincangan akhlak dan moral masyarakat Islam, dakwah menerusi personaliti mulia (dakwah bilhal) lebih elok dipraktikkan berbanding dakwah melalui mulut yang belum tentu mencapai hasil diharapkan. Pendakwah hendaklah mempersiapkan diri dengan akhlak mulia, penyabar dan tidak cepat melenting apabila ditegur.

Sikap terbuka dan tidak memandang rendah kepada kewibawaan orang lain adalah resipi kejayaan dakwah. Setiap individu harus menerima hakikat manusia dilahirkan dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Adalah mulia jika segala kelebihan itu dikongsi bersama bagi memantapkan misi dakwah, sementara kekurangan diperbaiki untuk faedah bersama.

Kaedah dan cara berdakwah pula perlu seiring dengan situasi semasa supaya dakwah tidak hanya tertumpu kepada segelintir masyarakat saja. Pendekatan dakwah secara bijaksana penting supaya segenap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada aktiviti dakwah yang dijalankan.

Golongan muda dan remaja Islam yang seperti hilang arah hidup sepatutnya menjadi tumpuan pendakwah kerana mereka bakal menjadi pewaris negara pada masa depan. Pendekatan dakwah yang sesuai untuk golongan ini perlu difikirkan bersama oleh semua pihak bagi menarik lebih ramai golongan muda mempraktikkan perintah agama seperti solat yang kemudiannya mampu mendidik sahsiah serta peribadi mereka.

Lebih daripada itu, pendakwah hendaklah sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dengan memperbanyak melakukan ibadah dan bermunajat kepada-Nya. Pendekatan ini adalah persediaan spiritual yang mampu menahan segala ujian dan cabaran dakwah yang bermacam ragam, kerana bukan mudah untuk membentuk akhlak serta peribadi manusia.

Ada yang menyokong dan tidak kurang pula membantah dengan melakukan tindakan di luar batasan. Kekuatan dalaman dan pergantungan mutlak kepada Allah diperlukan untuk menghadapi situasi getir itu.

Nabi dan rasul utusan Allah adalah golongan yang banyak menerima cabaran berat ketika berdakwah kepada kaumnya. Ada kalangan mereka yang bergelar Ulul Azmi, kerana hebatnya tribulasi dakwah terpaksa dihadapi.

Nabi Ibrahim pernah dibakar kaumnya namun dipelihara oleh Allah daripada musibah itu. Nabi Muhammad SAW juga menerima pelbagai ujian berat dalam usaha mengajak manusia supaya mengesakan Allah sehingga kemuncak daripada ujian itu Baginda SAW diracun lalu membawa kepada kewafatannya menurut pendapatan sebahagian ulama sirah.

Sifat buruk seperti keras hati, gemar berdebat, menyangka diri yang terbaik, sombong dan mata duitan adalah sifat yang merosakkan peribadi pendakwah di mata masyarakat. Amalan buruk itu bakal mengundang malapetaka dan merosakkan matlamat dakwah yang dicita-citakan. Pendakwah perlu menghindari sifat buruk ini jika mahu diterima masyarakat.

Pelbagai gerakan dakwah yang wujud di negara ini perlu bersatu hati bagi mencapai tujuan dan matlamat dakwah yang sama. Jangan asyik menuding jari menyalahkan orang lain sebaliknya sama-sama mencari jalan keluar kepada permasalahan yang berlaku. Pepatah ada menyebutkan, bersatu kita teguh bercerai kita roboh.

Masyarakat Islam juga diseru supaya turut sama dalam aktiviti dakwah menyeru kepada yang baik dan mencegah perkara mungkar, tidak hanya berharap kepada golongan agama bagi memikul tanggungjawab itu.

Kesedaran semua anggota masyarakat dalam melaksanakan gerak kerja dakwah amat diharapkan. Malah, cabang dakwah yang luas memberi peluang kepada semua pihak untuk sama-sama bertugas sebagai ejen penyampai dakwah.

Guru berdakwah dengan menyampaikan ilmu kepada murid, peruncit berdakwah melalui sifat amanah dan jujur dalam perniagaan, setiap individu Muslim berdakwah melalui akhlak serta peribadi mulia sehingga mampu memperlihatkan kecantikan Islam di mata masyarakat lain.

Selain pendakwah, setiap individu Muslim wajib memikul amanah memelihara diri dan keluarga daripada kesesatan. Perbuatan sesetengah ibu bapa yang tidak mempedulikan perlakuan buruk anak adalah sikap tidak bertanggungjawab yang bakal merosakkan masa depan mereka sebagai pemuda harapan bangsa dan agama. Bahkan ibu bapa akan dipertanggungjawabkan dengan persoalan itu di hadapan Allah di akhirat kelak.

Pendakwah semestinya memahami tugas dakwah adalah tugas yang berat dan memakan masa panjang. Pendakwah tidak boleh berputus asa kerana yang berhak dan berkuasa memberi petunjuk hanyalah Allah

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi Allah jugalah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).” (Surah al-Qasas, ayat 56)

Oleh itu, usaha dakwah tidak hanya meriah pada bulan dakwah saja. Dakwah sepanjang masa diperlukan bagi menarik lebih ramai orang Islam mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan seharian.

Sekali gus, menyumbang kepada minat masyarakat lain untuk mengenali dan mendalami Islam. Usaha ini juga mampu menangkis tanggapan buruk yang dilontarkan kepada Islam dan penganutnya.

Karya Asal Oleh : Mohd Ali Muhamad Don – Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.

http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35

Categories: Dakwah
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: