Home > Sejarah > Pemurnian Sejarah Zaman Rasulullah

Pemurnian Sejarah Zaman Rasulullah

1. Bilakah Sayyidina Hasan Dilahirkan

Pengenalan: Adalah amat penting tarikh sebenar kelahiran Sayyidina Hasan dipastikan dengan tepat kerana ada banyak hadis yang berlegar di dalam masyarakat dan di dalam kitab-kitab besar merujuk kepada Sayyidina Hasan yang sudah besar ketika hayat Rasulullah s.a.w. Kami akan menganalisa kesahihan hadis-hadis tersebut di dalam siri-siri akan datang, insyaAllah, berdasarkan fakta umur sebenar Sayyidina Hassan ini.

Peperangan Uhud berlaku bulan Syawwal pada tahun ketiga hijrah. Selepas peristiwa yang besar ini, Rasulullah s.a.w. mengahwinkan Sayyidiana Ali dengan Fatimah.(Hasyiah al-Bukhari, jil. 1, hal. 532). Dalam hal ini kemungkinan perkahwinan tersebut berlangsung pada akhir tahun ke 3H atau awal 4H. Ahli sejarah Syiah, Mulla Baqir al-Majlisi menyebutkan perkahwian itu pada bulan Muharram. (Jila’ al-`Uyun, jil. 1 hal. 166)

Jika dilihat kepada kenyataan di atas, bagaimana mungkin ahli sejarah mendakwa bahawa Hasan dilahirkan pada tahun ke 3H sedangkan ibubapanya berkahwin pada akhir tahun ke 3H atau awal 4H.

Fatimah r.ha. mempunyai lima orang cahaya mata, Hasan, Husin, Muhsin, Ummu Kulthum dan Zainab. Ahli sejarah sepakat mengatakan Muhsin meninggal dunia ketika masih kecil. Begitu juga mereka sependapat bahawa Husin lebih muda daripada Hasan.

Persoalannya siapakah yang mula-mula dilahirkan oleh Fatimah. Syiah Rafidhah dan ahli sejarah mendakwa Hasanlah yang sulung. Dengan huraian di atas, dakwaan ini dengan sendirinya tertolak.

Dalam hal ini Mulla Baqir menulis: ” Mendengarkan perkara itu, Fatimah berada dalam keadaan sedih dan sugul. Beginilah keadaan sehingga ke malam. Apabila malam menjelang beliau meletakkan Hasan di bahu kanan dan Husain di bahu kiri sementara memimpin tangan Ummu Kulthum….. Dalam perjalanan pulang Rasulullah s.a.w. mengangkat Hasan dan Fatimah pula mengangkat Husain dan memegang tangan Ummu Kultum menuju ke masjid.” (Jila’ al-`Uyun, jil. 1 hal. 217,218)

Perhatikan adakah Hasan dan Husain yang berada di atas dukung lebih besar atau Ummu Kulthum yang dipimpin itu lebih besar? Peristiwa ini sendiri membuktikan bahawa Ummu Kulthum lebih tua daripada Hasan dan Husain. Ketika Sayyidina Ali berkahwin pada tahun 4H maka anak yang pertama dilahirkan itu adalah Ummu Kulthum. Nampaknya seolah-olah tidak mungkin Hasan dilahirkan sebelum tahun 5H. Ummu Kulthum ini kemudiannya diperisterikan oleh Sayyidina Umar yang melahirkan dua orang cahaya mata untuk beliau iaitu Zaid dan Ruqayyah.

Segala bunga-bunga indah ini ditaburkan oleh Syiah Rafidhah untuk menyatakan bahawa Umar berkahwin dengan Ummu Kulthum ketika beliau masih kanak-kanak berumur 5 tahun. Kekeliruan yang ditimbulkan oleh golongan Rafidhah menyebabkan ulama yang besar sekalipun terkena fitnah. Sebagai contoh Hafiz Ibn Hajar dalam al-Isabah dan Ibn Hajar al-Hathami dalam al-Sawa`iq al-Muhriqah telah menukilkan kisah perkahwinan Ummu Kulthum ketika berusia 5 tahun.

Walhal keadaan begitu jelas sekali bahawa Ummu Kulthum dilahirkan pada tahun 4H dan berkahwin dengan Umar pada tahun 17H ketika berusia lebih darpada 13 tahun.

Semua ahli sejarah bersetuju bahawa ketika Hasan dilahirkan, orang yang menyambut beliau ialah Asma’ binti `Umais. Ini satu fakta penting dan tidak dapat dipertikaikan lagi. Asma’ pada mulanya berkahwin dengan Ja`far bin Abi Talib, iaitu abang kepada Sayyidina Ali. Setelah Ja`far syahid di dalam pertempuran Mu’tah, Abu Bakar mengahwini Asma’. Setelah Abu Bakar meninggal dunia Ali pula berkahwin dengannya.

Di awal zaman Islam, Asma’ dan suaminya Ja`far telah berhijrah dengan membawa iman masing-masing ke Habsyah kerana gangguan yang dilakukan oleh musyrikin Mekah. Hijrah ini berlaku pada tahun 5 kenabian. Mereka menyampaikan dakwah Islamiah kepada Raja Habsyah yang bernama Najasyi sehingga beliau memeluk Islam bersama-sama dengan beberapa orang lain. Persoalannya sehingga bilakah Ja`far dan isterinya berada di sana dan bilakah mereka kembali ke Hijaz? Jawapan kepada persoalan ini akan merungkai segala kekeliruan.

Semua ulama Ahli Sunnah, ulama hadis dan ahli sejarah serta golongan Rafidhah sepakat bahawa para sahabat yang berhijrah ke Habsyah tiba di Madinah setelah selesai peperangan Khaibar.

Imam al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis yang panjang daripada Abu Musa al-Asy`ari, kata beliau: “Apabila kami mendapat tahu Rasulullah s.a.w. hendak berhijrah lalu kami bersedia untuk berangkat untuk hijrah bersama. Bersama saya dua orang saudara iaitu Abu Burdah dan Abu Ruhm. Sayalah yang paling muda pada ketika itu. Kami bersama kaum kami seramai 53 orang atau 52 orang menaiki kapal. Tetapi kapal kami membawa kami kepada al-Najasyi di Habsyah. Di sana kami bertemu dengan Ja`far bin Abi Talib dan kami tinggal di sana bersamanya sehinggalah kami datang menemui Rasulullah s.a.w. ketika Khaibar telah ditawan. Ada beberapa orang yang berkata kepada kami yakni yang berhijrah dengan kapal: “Kami mendahului kamu dalam hijrah. Asma’ datang menziarahi Hafsah, isteri Rasulullah s.a.w..” Abu Musa berkata lagi: Beliau antara wanita yang datang bersama kami dan termasuk dari kalangan orang Islam yang berhijrah ke negeri al-Najasyi. Kemudian Umar bin al-Khattab masuk menemui Hafsah pada ketika itu Asma’ berada dekat dengan Hafsah. Lalu Umar bertanya sambil memandang kepada Asma’: “Siapa ini? Dia menjawab: “Asma’ binti `Umais. Umar bertanya lagi: Orang Habsyah atau orang Bahriyyah (orang laut) Asma’ menjawab: “Ya”. Umar berkata lagi: Kami mendahului kamu berhijrah maka kami lebih berhak dengan Rasulullah s.a.w. daripada kamu. Lalu Asma’ binti ‘Umais marah seraya berkata: “Tidak sekali-kali. Demi Allah kamu berada bersama Rasulullah s.a.w. Dia memberi makan kepada orang lapar di kalangan kamu dan memberi peringatan kepada orang jahil di kalangan kamu sedangkan kami berada di negeri yang sangat jauh, dibenci orang. Itu semua kerana Allah dan kerana Rasul-Nya. Demi Allah, saya tidak akan menjamah sebarang makanan dan tidak akan minum sedikit airpun kecuali saya akan beritahu kepada Rasulullah s.a.w. tentang apa yang kamu ucapkan tadi. Kami sering diseksa dan mengalami ketakutan. Saya akan sebutkan kepada Rasulullah s.a.w. dan saya akan tanyakan baginda. Demi Allah, saya tidak akan berdusta, tersilap dan tambah apa-apa”. Tatkala Rasulullah s.a.w. datang Asma’ berkata kepada baginda: “Sesungguhnya Umar telah berkata begini dan begini…” Kemudian Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Asma’: “Apa jawapan kamu kepadanya? Asma’ menjawab: Saya kata begini dan begini… Rasulullah s.a.w. bersabda: “Umar tidaklah lebih berhak dengan diriku daripada kamu. Dia dan sahabat-sahabatnya itu hanya memiliki satu hijrah sahaja. Sedangkan kamu, wahai ahli kapal, memiliki dua hijrah. Asma’ menceritakan bahawa Abu Musa al-Asy`ari dan ahli kapal yang lain datang menemui saya secara kumpulan demi kumpulan untuk menyebut-nyebutkan hadis ini. Tidak ada sesuatupun di dunia yang lebih mengembirakan mereka dan sangat besar di dalam diri mereka selain daripada hadis ini yang diucapkan oleh Rasulullah s.a.w. Abu Burdah berkata bahawa Asma’ berkata: “Saya sering dapati Abu Musa meminta saya mengulang-ngulang hadis ini”.

Abu Burdah berkata daripada Abu Musa berkata: “Kami menemui Rasulullah s.a.w. selepas pembukaan Khaibar lalu baginda membahagikan untuk kami harta ghanimah dan tidak memberikan kepada orang lain selain kami yang tidak menyertai pembukaan itu” (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Maghazi, Bab Ghazwah Khaibar).

Sekarang terpulanglah kepada anda sendiri, wahai Ahli Sunnah untuk berfikir dan membuat keputusan bilakah sebenarnya Hasan dilahirkan. Ini kerana peperangan Khaibar disepakati berlaku pada tahun 7 H.

Bagi menguatkan lagi hujah, kami akan mengemukakan lagi sebuah riwayat al-Bukhari yang menceritakan peristiwa semasa Abu Bakar menjadi khalifah:

“Abu Bakar bersembahyang asar kemudian keluar berjalan-jalan lalu terlihat Hasan sedang bermain dengan kanak-kanak lalu mendukungnya ke atas bahunya sambil berkata: Ku tebus ayah dan ibuku, kamu ini mirip Rasulullah s.a.w. dan tidak mirip Ali. Dan Sayyidina Ali pada ketika itu senyum ketawa.” (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Manaqib, Bab Sifat al-Nabi s.a.w.)

Hasan masih lagi kecil ketika Abu Bakar menjadi khalifah sehingga dalam keadaan usia beliau yang sudah tua itu sanggup mendukung Hasan. Biasanya, paling tua kanak-kanak itu didukung dalam usia empat atau lima tahun. Perawi yang menukilkan kisah ini menyebutkan bahawa Hasan sedang bermain dengan kanak-kanak. Ini membuktikan Hasan masih lagi kecil ketika Abu Bakar dilantik menjadi khalifah.

Segala perbincangan di atas membawa kepada kesimpulan yang jelas iaitu Hasan tidak dilahirkan pada tahun 3 H tetapi pada 7 H. Beliau bukanlah anak sulung Fatimah dan mengikut kepada kaedah ulama hadis, beliau tidak berpeluang untuk mendapat kemuliaan menerima gelaran sahabat.

2. Kepalsuan Kisah Hindun Memamah Hati Hamzah

Dipetik dengan sedikit ubahsuai dari buku ‘IBNU ISHAK – Peranannya Dalam Penyebaran Fahaman Syi’ah Di Kalangan Ummah’ karangan Maulana Muhammad Asri Yusoff.

Sebuah kisah yang boleh dikatakan tiada sebuah buku sirah pun yang ditulis kemudian tidak menyebutkannya ialah kisah Hindun memamah, mengunyah atau memakan hati Sayyidina Hamzah semasa atau selepas peperangan Uhud.

Kisah ini adalah ciptaan dan rekaan Ibnu Ishaq. Dialah orang yang mula-mula sekali di dalam dunia ini yang mengemukakan kisah tersebut. Kemudian at-Thabari menyebarkannya tetapi melalui jalan riwayat Ibnu Ishaq. Ringkasnya Ibnu Ishaqlah merupakan satu-satunya paksi dalam meriwayatkan kisah ini.

Ibnu Ishaq berkata, “Mengikut cerita yang sampai kepada saya menerusi Saleh bin Kaisan, Hindun Binti Utbah dan perempuan-perempuan lain bersamanya melakukan ‘mutslah’ terhadap sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. yang terbunuh.

Mereka memotong telinga-telinga dan hidung-hidung (sahabat-sahabat yang terbunuh itu) sehingga Hindun menyucuk telinga-telinga dan hidung-hidung orang-orang yang terbunuh itu untuk dijadikan sebagai gelang kaki dan kalung-kalung. Dia memberikan gelang kaki, kalung dan subangnya (anting-anting) kepada Wahsyi, hamba Jubair Bin Muth’im. Dia membelah perut Hamzah dan mengambil hatinya lalu dikunyahnya tetapi tidak dapat ditelannya kerana itu dia memuntahkannya keluar.” (Lihat Sirah Ibnu Ishak m.s. 385, Sirah Ibn Hisyam jilid 3 m.s. 36)

Ibnu Jarir at-Thabari pula meriwayatkan dari Muhammad Bin Humaid, dia mengambil cerita ini dari Salamah Al Abrasy. Salamah pula mengambil dari Ibnu Ishaq. Ibnu Ishaq mengatakan, “Saleh Bin Kaisan menceritakan kepadanya…” (Lihat Tarikh al-Umam Wa al-Muluk-at-Thabari jilid 2 m.s. 204)
Salah seorang yang tersebut dalam isnad ini ialah Muhammad Bin Humaid ar-Razi. Beliau ialah penduduk Ray. Dia selalu menukilkan riwayat dari Ya’kub al-Qummi (seorang penulis kitab-kitab Syiah dan selainnya).

Ya’kub bin Syaibah berkata, “Dia selalu mengemukakan riwayat-riwayat yang sangat mungkar.” Imam Bukhari berkata, “Kedudukannya dipertikaikan.” Abu Zura’ah ar-Razi seorang alim senegeri dengannya berkata, “Dia seorang pendusta besar.” Fadlak ar-Razi juga seorang alim senegeri dengannya berkata, “Saya mempunyai 50,000 riwayat Muhammad bin Hummaid ar-Razi tetapi satupun darinya tidak saya kemukakan kepada orang ramai.”

Pernah Ibnu Kharasy mengemukakan riwayat Muhammad bin Humaid lantas dia berkata, “Demi Allah! Dia berbohong.” Ulama’ hadis yang lain berkata bahawa dia selalu mengambil hadis-hadis orang-orang tertentu kemudian menisbahkannya kepada orang lain. Imam Nasa’i berkata, “Dia seorang yang lemah.” Saleh Jazarah berkata, “Tidak pernah saya lihat dalam hidup saya seorang yang lebih mahir berbohong dari dua orang iaitu pertama, Muhammad bin Humaid (ahli sejarah) dan kedua, Sulaiman as-Syazkumi.”

Imam Fadhlak ar-Razi pernah menceritakan bahawa, “Saya pernah pergi kepada Muhammad bin Humaid. Ketika itu dia sedang mereka sanad-sanad cerita-cerita palsu.” Imam Zahabi berkata, “Muridnya Muarrikh (sejarawan) at-Thabari telah menulis dengan penuh yakin bahawa Muhammad bin Humaid tidak ingat al-Quran.” Di akhir hayatnya hanya dua orang yang menerima riwayat-riwayat darinya iaitu:

1) Abul Qasim Baghawi

2) Muhammad bin Jarir at-Thabari

Ibnu Humaid meninggal dunia pada tahun 248 H – (Lihat Mizanu al-I’tidal jilid 3 halaman 530, Tahzibu al-Kamal jilid 6 m.s. 286-287).

Seorang lagi yang ada dalam isnad Ibnu Ishak ini ialah Salamah al-Abrasy yang nama penuhnya Salamah bin Fadhl. Dia terkenal dengan gelaran al-Abrasy. Pernah menjadi qadhi di Ray kerana itulah dia dinisbahkan dengan ar-Razi. Kuniahnya ialah Abu Abdillah. Dia terkenal sebagai sejarawan di zamannya selain dianggap sebagai salah seorang perawi penting Maghazi Ibnu Ishaq. Pandangan ulama’ hadis dan rijal terhadapnya dapat dilihat melalui nukilan Imam Zahabi. Beliau menulis, “………Ishaq bin Rahawaih berkata, “Dia seorang dhaif.” Bukhari berkata, “Sesetengah hadisnya mungkar.” Imam Nasa’i berkata, “Dia seorang dhaif.” Ali Ibnu Madini menceritakan, “Setelah kami pulang dari Ray, riwayat-riwayat yang pernah kami dengar dari Salamah kami buangkan dengan anggapan ia adalah karut dan dusta.”

Yahya bin Ma’in berkata, “Salamah al-Abrasy ar-Razi adalah seorang Syiah.” Abu Hatim ar-Razi berkata, “Dia tidak boleh dijadikan hujjah.” Abu Zur’ah ar-Razi berkata, “Penduduk Ray sama sekali tidak suka kepadanya, lantaran fahamannya yang salah. Sebagai seorang qadhi, beliau selalu berlaku zalim terhadap orang ramai meskipun dia bersembahyang dengan khusyuk’. Sebelum menjadi qadhi beliau mengajar kanak-kanak dan beliau meningggal dunia pada tahun 191 H.” (Mizanu al-I’tidal jilid 2 m.s. 12, Tahzibu al-Kamal jilid 3 m.s. 252-253)

Ibnu Ishaq mendakwa riwayat ini diambilnya dari Saleh Bin Kaisan. Siapakah Saleh Bin Kaisan itu? Beliau ialah seorang tabi’i kecil dan tsiqah (perawi yang boleh dipercayai) tetapi beliau lahir selepas 70H dan meninggal dunia pada tahun 140H. Dia lebih tua sedikit dari Muhammad Bin Ishaq sedangkan peristiwa peperangan Uhud telah berlaku 70 tahun sebelum kelahirannya. Siapakah pula yang menceritakannya kepada Saleh? Tentu sekali beliau bukan merupakan penyaksi peristiwa itu dengan mata kepala sendiri. Sudah tentu sekurang-kurangnya seorang yang ‘ghaib’ dalam isnad ini menjadikannya riwayat munqati’. Sepertimana dimaklumi riwayat munqati’ tidak boleh diterima (sebagai hujah).

Sebenarnya Saleh Bin Kaisan tidak pun meriwayatkan kisah ini. Ibnu Ishaq sahaja yang mengaitkannya dengan Saleh. Selain dari Ibnu Ishaq, tidak ada sesiapapun mengambil cerita ini baik dari Saleh Bin Kaisan atau orang lain sepanjang pengetahuan sejarah. Di antara sekian ramai anak murid Ibnu Ishaq pula, tidak ada yang meriwayatkan cerita ini darinya selain Salamah al-Abrasy. Kemudian tidak ada seorang pun yang meriwayatkan dari Salamah al-Abrasy selain Muhammad Bin Humaid ar-Razi. Seterusnya tidak ada seorang pun yang meriwayatkan dari Muhammad bin Humaid ar-Razi selain dari Ibnu Jarir at-Thabari.

Thabari meninggal dunia pada tahun 310H. Ini bermakna dari tahun 70H hingga tahun 310H, di setiap peringkat hanya ada seorang sahaja yang meriwayatkan kisah ini, seolah-olah ia suatu perkara yang sulit dan perlu dirahsiakan. Ia hanya boleh diterima dari setiap generasi, seorang sahaja!

Sekiranya peristiwa ini benar-benar berlaku dan ia mempunyai saksi yang melihatnya dengan mata kepala, tentu sekali ia tersebar lebih awal dari itu dan sepatutnya perawi-perawi cerita ini semakin ramai dari satu generasi ke generasi selepas itu. Terbuktilah bahawa kisah ini tidak popular kecuali setelah masyarakat Islam menerima apa sahaja riwayat yang dikemukakan oleh Ibnu Ishaq dan at-Thabari dengan membuta tuli. Kisah ini sebetulnya tidak diketahui oleh sesiapa pun sebelum tahun 70H.

PENILAIAN LOGIK

Dari segi Logiknya, bagaimana Ibnu Ishak hanya nampak Hindun sahaja melakukan perbuatan keji ini dan menuding jari kepadanya sedangkan ramai lagi perempuan-perempuan lain yang turut serta dalam peperangan Uhud selain Hindun seperti Ummu Hakim binti al-Harits Bin Hisyam, Barzah (isteri kepada Safwan bin Umayyah), Barrah binti Mas’ud bin Amar bin Umair as-Saqafiyyah (ibu kepada Abdullah Bin Safwan), Buraithah binti Munabbih bin al-Hajjaj (isteri kepada Amar bin al-’As dan ibu kepada Abdullah bin Amar bin al-As). Sulafah binti Saad, Khunas binti Malik dan Amrah binti Alqamah dan lain-lain lagi. Dalam kesibukan perang dan hingar bingar kedua-dua pasukan yang berperang itu, bagaimana kelihatan kepada Ibnu Ishaq Hindun sedang memakan hati Hamzah dan menjadikan telinga, hidung dan lain-lain anggota Hamzah sebagai gelang kakinya di samping menghadiahkan pula kalung dan subangnya kepada Wahsyi yang telah mensyahidkan Hamzah.

Untuk mengetahui semua tindakan Hindun dengan sah dan tepat, seolah-olahnya Ibnu Ishaq telah mengutus wartawan-wartawan dan juru-juru kamera yang tidak terbabit langsung dalam peperangan, tugas mereka hanyalah menyaksikan dan merakamkan apa yang berlaku dalam peperangan itu lalu melaporkannya kepada Ibnu Ishaq dan menyerahkan pula gambar-gambar sebagai bukti sokongan kepada apa-apa yang disampaikan oleh mereka itu. Untuk mendapat kepastian sedemikian rupa semestinya Ibnu Ishaq dibantu oleh orang-orang tadi. Ini kerana tidak pula orang-orang yang ikut serta secara langsung sama ada dari kalangan orang-orang Islam atau mereka yang ada di pihak orang-orang kafir tetapi kemudiannya memeluk Islam menceritakan sepertimana yang diceritakan oleh Ibnu Ishaq.

Perempuan-perempuan yang dikatakan oleh Ibnu Ishaq telah bersama-sama dengan Hindun melakukan mutslah (memotong-motong anggota orang yang telah mati dengan maksud melepaskan geram dan dendam) juga tidak menceritakan seperti mana yang diceritakan oleh Ibnu Ishaq itu. Maka bagaimana kita akan menerima riwayat yang melaporkan kisah tersebut menerusi Saleh Bin Kaisan yang lahir setelah lebih 70 tahun berlakunya peristiwa ini dan mengenepikan pula saksi-saksi mata kepala yang turut serta dalam peperangan ini sama ada dari kalangan orang-orang Islam atau dari kalangan orang-orang kafir.

Wahsyi yang diketahui dan diterima oleh semua sebagai pembunuh Sayyidina Hamzah kemudiannya telah memeluk agama Islam. Jubair bin Muth’im tuan kepada Wahsyi kemudiannya juga memeluk agama Islam. Hindun binti Utbah, isteri Abu Suffian, ibu kepada Sayyidina Muawiyah yang dikatakan oleh Ibnu Ishaq telah memakan hati Hamzah, kemudiannya juga telah memeluk agama Islam. Semua mereka ini tidak ada pun menceritakan apa yang diceritakan oleh Ibnu Ishaq pada hal merekalah orang-orang yang terlibat secara langsung dalam peristiwa ini dan paling patut dirujuk dan diselidiki penjelasan mereka.

SIKAP IMAM BUKHARI

Imam Bukhari jauh berbeza dari Ibnu Ishaq kerana meriwayatkan kisah pembunuhan Sayyidina Hamzah melalui pembunuhnya sendiri bukan melalui orang yang lahir 70 tahun selepas peristiwa itu berlaku. Menurut metod ilmu riwayat, riwayat yang dikemukakan oleh Imam Bukhari lebih wajar diterima kerana beliau mengambil dari orang yang terlibat secara langsung dalam peristiwa itu. Mari kita perhatikan riwayat Imam Bukhari dalam Sahihnya berhubung peristiwa itu.

RIWAYAT IMAM BUKHARI

Imam Bukhari menukilkan dari Ja’far bin Amar bin Umaiyyah ad-Dhamri dia berkata, “Saya telah berangkat untuk satu perjalanan dengan Ubaidullah bin Adiy bin al-Khiyar. Bila kami sampai di Hims, Ubaidullah bin Adi bertanya kepada saya, “Mahukah engkau berjumpa dengan Wahsyi? Boleh kita tanya kepadanya tentang pembunuhan Sayyidina Hamzah.” Saya berkata, “Tentu sekali.”

Pada hari-hari itu Wahsyi menetap di Hims. Kami bertanya seseorang, “Di mana rumah Wahsyi?” Orang itu menceritakan, “Itu dia Wahsyi sedang duduk di bawah naungan (bayang) rumahnya. Bila kami ternampak dia dalam rupanya yang gemuk dan tidak berambut itu tak ubah seperti sebuah gereba. Kami berdiri sejenak setelah sampai di hadapannya lalu kami memberi salam kepadanya. Beliau menjawab salam kami. Perawi berkata, “Ketika itu Ubaidullah bin Adi bin al-Khiyar menutup muka dan kepalanya dengan serban. Wahsyi tidak nampak apa-apa darinya melainkan dua mata dan kakinya sahaja.”

Ubaidullah pun bertanya Wahsyi, “Kamu kenalkah siapa saya?” Wahsyi mengangkat pandangannya ke arah Ubaiullah, kemudian dia berkata, “Demi Allah! Tidak! Ya, Cuma saya tahu bahawa Adi bin al-Khiyar telah berkahwin dengan seorang perempuan dipanggil Ummul Qital binti Abi al-‘Is. Dengannya Adi bin al-Khiyar telah mendapat seorang anak lelaki. Sayalah yang telah mencari seorang pengasuh untuk anaknya itu dan saya dengan ibunya membawakan anak itu untuk diserahkan kepada pengasuh tersebut. Sekarang saya sedang memerhatikan kaki awak. Saya rasa engkaulah anak itu.” Ubaidullah pun mengalihkan kain dari mukanya. Dia bertanya Wahsyi, “Bolehkah kamu ceritakan kepada kami tentang pembunuhan Hamzah?” Wahsyi menjawab, “Ya, tentu boleh. Ceritanya begini: Hamzah telah membunuh Thu’aimah bin Adi bin al-Khiyar dalam peperangan Badar. Tuan saya Jubair bin Mut’im berkata kepada saya, “Kalau engkau dapat membunuh Hamzah, engkau merdeka.”

Bila saya keluar untuk berperang pada tahun ‘Ainain’ (Ainain ialah salah satu bukit di Uhud, di hadapannya terletak Wadi Uhud), saya juga keluar bersama orang lain untuk berperang. Bila masing-masing pasukan telah membetulkan saf, maka Siba’ bin Abdul Uzza pun tampil kehadapan seraya berkata, “Adakah sesiapa yang akan berlawan?” Wahsyi menceritakan, “Dari kalangan pihak lawan, Hamzah bin Abdul Muthalib tampil ke hadapan seraya berkata, “Oh Siba’! Oh anak Ummu Anmar! Mudim anak-anak perempuan, adakah engkau memerangi Allah dan Rasulnya?” Kemudian dengan pantas Hamzah menyerang lalu dia (Siba’) menjadi seperti kelmarin yang telah berlalu (terus mati). Wahsyi berkata, “Saya ketika itu bersembunyi di sebalik satu batu besar sambil mengintai-intai Hamzah. Bila dia lalu dekat saya, terus saya membaling lembing saya ke arahnya. Lembing itu mengenai bahagian pusatnya lalu menembusi belakangnya. Itulah pertemuan saya yang terakhir dengannya. Bila semua orang pulang dari medan perang, saya juga pulang bersama mereka dan terus menetap di Mekah (selepas merdeka) sehingga Islam tersebar di sana, kemudian saya pun keluar ke Ta’if.”

Bila orang Ta’if menghantarkan utusan-utusan kepada Rasulullah s.a.w. maka ada orang berkata kepada saya, “Nabi tidak mengganggu utusan,” kerana itu saya pun menyertai golongan utusan itu untuk mengadap Nabi s.a.w. Bila Nabi s.a.w. melihat saya, Baginda pun bertanya, “Adakah engkau Wahsyi?” Saya menjawab, “Ya.” Baginda s.a.w. bertanya lagi, “Engkaukah yang telah membunuh Hamzah?” Saya menjawab, “Berita yang sampai kepada tuan itu adalah benar.” Nabi s.a.w. pun bersabda, “Bolehkah engkau sembunyikan mukamu dari pandanganku?” Wahsyi berkata, “Aku pun pergi dari situ.”

Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w., Musailamah al-Kazzab memberontak. Saya berfikir dalam hati saya bahawa seharusnya saya keluar untuk menentang Musailamah. Boleh jadi saya akan dapat membunuhnya dengan itu terbalaslah (terbayarlah) pembunuhan Hamzah oleh saya. Setelah terfikir begitu saya pun keluar bersama orang ramai untuk berperang. Tiba-tiba (dalam peperangan) saya ternampak seorang sedang berdiri di celah tembok. Dia kelihatan seperti unta yang kehitaman warnanya. Rambutnya berselerak. Saya lepaskan lembing saya ke arahnya dan tepat mengenai dadanya sehingga menembusi belakangnya. Selepas itu tampil seorang Ansar Madinah lalu menetak kepalanya. Abdullah Bin al-Fadhl menceritakan bahawa Sulaiman bin Yasr menceritakan kepada saya bahawa beliau mendengar Ibnu Umar berkata, “Seorang perempuan yang ketika itu berdiri di atas bumbung rumah lantas berteriak mengatakan, “Demi Amirul Mukminin (Musailamah al-Kazzab)! Dia telah dibunuh oleh budak Habsyi.” (Lihat Sahih Bukhari jilid 2 m.s. 583)

Demikianlah kedudukan sebenar kisah ini mengikut cerita dari mulut pembunuh Sayyidina Hamzah sendiri. Dari riwayat ini dapat disimpulkan beberapa perkara seperti berikut;

1. Wahsyi adalah hamba kepada Jubair bin Muth’im. Jubair bin Muth’imlah yang mendorongnya membunuh Hamzah dengan janji akan memerdekakannya jika dia berjaya membunuh Hamzah. Di dalam riwayat ini tidak ada isyarat pun tentang campurtangan Hindun dalam pembunuhan Hamzah. Bukan Hindun yang mendorong Wahsyi supaya membunuh Hamzah, bukan juga Hindun yang dapat memerdekakan Wahsyi kerana Wahsyi bukan hambanya, malah dalam riwayat Ibnu Ishaq sendiri pun Wahsyi adalah hamba Jubair bin Muth’im.

2. Di dalam riwayat ini juga tidak tersebut Hindun memberikan gelang kaki, kalung dan subangnya kepada Wahsyi kerana kejayaannya membunuh Hamzah. Bahkan Wahsyi tidak mendapat apa-apa hadiah dari sesiapa pun selain dari hadiah kemerdekaan yang dijanjikan tuannya Jubair bin Muth’im. Sekiranya ada, maka tidak ada sebab kenapa Wahsyi menyembunyikannya.

3. Wahsyi ikut serta dalam peperangan Uhud dari awal hingga akhir di pihak orang-orang kafir Quraisy dan akhir sekali beliau pulang ke rumah bersama orang-orang lain. Di dalam riwayat Bukhari ini beliau tidak menyebutkan cerita perempuan-perempuan membuat kalung dari anggota orang-orang Islam yang syahid yang telah dipotong oleh mereka. Tidak ada juga beliau menyebutkan kisah sesiapa memakan hati sesiapa. Jika diandaikan beliau tidak melihat apa yang dilakukan oleh perempuan-perempuan Quraisy terhadap orang-orang Islam yang mati syahid dalam peperangan Uhud itu terutamanya Hindun sekalipun tetap berkemungkinan juga beliau mendengar cerita itu di Mekah setelah pulang tetapi tiadanya cerita Wahsyi ini daripada perbuatan-perbuatan perempuan tersebut menunjukkan bahawa semua itu tidak benar.

4. Kerana Wahsyi telah membunuh Hamzah yang begitu disayangi oleh Rasulullah s.a.w., Nabi s.a.w. meminta beliau supaya tidak bersemuka dengannya. Tetapi Jubair bin Muth’im, pada ketika pembukaan Mekah tidak pula diminta oleh Rasulullah s.a.w. supaya tidak bersemuka dengannya seperti Wahsyi. Apa yang dilakukan oleh Hindun, jika benar seperti yang didakwa oleh Ibnu Ishaq, bahawa Hindun telah membelah perut Hamzah dan mengunyah hatinya – maka kelakuan itu lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Wahsyi terhadap Hamzah, kerana sudah lumrah dalam peperangan seseorang membunuh pihak lawannya. Tetapi adalah sesuatu yang luar biasa seseorang membelah perut orang yang telah mati dalam peperangan lalu memotong hatinya untuk dikunyah atau dimakan. Sepatutnya Rasulullah s.a.w. juga tidak sanggup bersemuka dengan Hindun sama seperti Wahsyi tetapi sebaliknya apabila Nabi s.a.w. menakluk Mekah, di samping Baginda s.a.w. mengisytiharkan damai, Baginda s.a.w. juga telah mengisytiharkan nama-nama orang yang perlu dihukum bunuh.

Pada ketika itu Hindun tidak tersenarai dalam orang-orang yang perlu dihukum bunuh. Tidak juga Nabi s.a.w. menyatakan kebencian dan dendamnya kepada Hindun malah sebaliknya mengisytiharkan kepada umum bahawa sesiapa yang masuk ke dalam rumah Abi Sufyan (juga merupakan rumah Hindun) untuk menyelamatkan dirinya, dia terselamat dan mendapat keamanan. Pengisytiharan seperti ini membuktikan dengan sejelas-jelasnya bahawa Hindun atau Abu Sufyan tidak terlibat sama sekali dalam pembunuhan Sayidina Hamzah apa lagi untuk dikatakan beliau telah membelah perut Hamzah lalu memakan hatinya. Hindun seperti juga ramai orang-orang Quraisy yang lain telah memeluk agama Islam, selepas berbai’ah dengan Nabi s.a.w. dalam keadaan bersemuka dengan Nabi s.a.w., beliau secara terbuka menyatakan perasaannya setelah memeluk Islam terhadap Nabi s.a.w. Kata beliau, “Wahai Rasulullah! Dulu tidak ada manusia yang berkhemah di atas muka bumi ini lebih dipandang hina olehku darimu tetapi hari ini tidak ada orang yang berkhemah di muka bumi ini lebih ku kasihi darimu.”

Lihatlah bagaimana beliau menyatakan isihatinya terhadap Nabi s.a.w. dengan bersemuka dan lihatlah pula apa jawapan Nabi s.a.w. dan bagaimana Nabi s.a.w. menyambut kata-katanya itu. Dari kata-kata Nabi s.a.w. itu kiranya sirnalah segala tuduhan yang dilemparkan oleh musuh-musuh Islam terhadap Hindun, ibu mertua Nabi s.a.w., ibu kepada Ummu Habibah dan juga ibu kepada Sayyidina Mu’awiyah. Baginda s.a.w. lantas bersabda, “Ya, demikian juga aku. Demi Tuhan yang nyawaku berada ditanganNya.” (Lihat Sahih Bukhari jilid 1 m.s. 539)

Ini bermakna Nabi s.a.w. juga kasih kepada Hindun seperti mana Hindun mengasihinya. Malah untuk menyatakan kasihnya yang sungguh-sungguh itu, Baginda s.a.w. bersumpah dengan Tuhan yang nyawanya berada ditanganNya.

5. Daripada dua riwayat berlainan kandungannya yang dikemukakan oleh dua orang tokoh, Ibnu Ishaq dan Imam Bukhari, tergambar dengan jelas aliran pemikiran dan aqidah masing-masing. Yang pertama berfahaman Syi’ah yang sememangnya membenci para sahabat dan memusuhi mereka sementara yang kedua pula mengasihi sahabat seperti Rasulullah s.a.w. sendiri mengasihi mereka.

6. Ibnu Ishaq mendakwa mendapat cerita yang dikemukakannya dari Saleh bin Kaisan yang lahir 70 tahun selepas peristiwa peperangan Uhud itu berlaku. Imam Bukhari pula menerima riwayat yang dikemukakannya dengan sanad yang bersambung-sambung dan tidak terputus. Perawi-perawinya terdiri dari orang-orang yang kuat dengan isnad yang kuat dan tidak terputus-putus. Imam Bukhari mengambil riwayat tentang pembunuhan Hamzah dari pembunuhnya sendiri iaitu Wahsyi. Siapakah yang lebih boleh dipercayai? Seorang yang mengambil riwayat dari orang yang lahir 70 tahun selepas kejadian atau orang yang meriwayatkan sesuatu peristiwa dari orang yang menyaksikan sendiri peristiwa itu malah terlibat secara langsung dalam peristiwa itu?

7. Ibnu Ishaq dan kuncu-kuncunya sebenarnya mahu menanam rasa benci di dalam hati ummah terhadap Sayyidina Muawiyyah yang telah memusnahkan pergerakan musuh Islam selama pemerintahannya 20 tahun sebagai Gabenor dan 20 tahun sebagai Khalifah. Dia seolah-olahnya menghujah para pembaca riwayatnya dengan cerita yang dikemukakan itu, iaitu Sayyidina Muawiyah adalah seseorang yang jahat, kejam dan tidak berperikemanusiaan. Kejahatan dan kekejaman itu bukanlah suatu yang baru bahkan ia adalah suatu yang turun temurun diwarisinya dari ibunya yang telah sanggup membelah perut Hamzah dan mengunyah hatinya, juga diwarisi dari ayahnya yang merupakan kepala kafir Quraisy dalam peperangan Uhud itu. Inilah sebenarnya motif yang telah melahirkan cerita ini ke alam nyata.

8. Ibnu Ishaq sebetulnya mahu mencabar fikiran ummah dengan suatu alasan di sebalik cerita yang dipersembahkan itu. Bahawa jika Wahsyi yang telah melakukan suatu perkara yang lumrah berlaku dalam sesuatu peperangan pun diminta oleh Nabi s.a.w. supaya tidak menunjukkan mukanya kepada Baginda s.a.w., bagaimanakah pula dengan orang yang telah membelah perut Sayyidina Hamzah lalu mengunyah hatinya? Adakah mungkin Rasulullah s.a.w. dapat menerima orang seperti itu? Kalau pun orang itu kemudiannya memeluk agama Islam dan berbai’ah dengan Nabi s.a.w., tetap juga ada kemungkinan bahawa Nabi s.a.w. menerima keislamannya secara taqiyyah!

Imam Bukhari mengemukakan hadis, “Hindun menyatakan isihatinya kepada Rasulullah s.a.w. secara terbuka dan bersemuka dengan Rasulullah s.a.w. seperti disebutkan tadi di bawah bab ‘Kelebihan Hindun Binti Utbah’. Apa yang Imam Bukhari mahu abadikan melalui bab ini ialah Hindun bukan sahaja telah diterima keislamannya, bahkan beliau mempunyai kelebihan dan keistimewaannya tersendiri. Apa yang dapat difahami secara mudah ialah sekurang-kurangnya beliau merupakan mertua kepada Nabi s.a.w. dan ibu kepada Amirul Mukminin Sayyidina Mu’awiyah bin Abu Sufyan. Itu sahaja pun bagi umat Islam bukan alang kepalang keistimewaannya.

3. Kisah Isra’ Mi’raj Dari Rumah Ummu Hani’

Kisah Isra’ Mi’raj’ yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w. bermula dari rumah Ummu Hani ‘ adalah begitu popular di kalangan masyarakat dan diutarakan dalam pelbagai bentuk yang menarik terutamanya pada musim Isra’ Mi’raj’.

Kisah ini diterima bulat-bulat tanpa dipersoalkan dan diperiksa kecacatannya oleh kerana ia telah dimasukkan ke dalam sukatan-sukatan mata pelajaran Agama Islam termasuklah sukatan yang disediakan oleh Universiti al-Azhar- Sila rujuk buku sukatan pelajaran Muthala’ah yang diterbitkan oelh Universiti al-Azhar untuk peringkat menengahnya.

Kita berasa sedih dengan nasib ummah yang malang ini. Setelah merosot dalam segala-galanya dan berada dalam keadaan tenat, umat Islam disuapkan pula dengan ubat-ubat beracun berupa cerita -cerita yang karut marut seperti ini. Apa agaknya yang akan terjadi kepada ummah ini jika keadaan ini dibiarkan terus merebak.

Walaupun al-Quran secara lantang mengatakan, “Maha Suci Tuhan yang telah menperjalankan hambaNya pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa”- (Surah al-Isra’ ayat 11); walaupun Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan lain-lain kitab hadis yang muktabar dengan terang-terang menyebutkan riwayat dari Anas bin Malik dan Malik bin Sa’sa’ah bahawa Nabi s.a.w. bersabda, “Ketika saya berada di Baitullah, ketika saya berada dalam hatim (yakni di Masjidil Haram)”, namun sebahagian besar ulama’ masih lagi dengan lantang berkhutbah di atas mimbar dengan mengemukakan riwayat mi’raj Nabi s.a.w. bermula dari rumah Ummu Hani ‘!

Mereka adalah golongan yang membaca al-Quran dan hadis, tetapi masih tidak mahu meninggalkan riwayat tersebut. Sebaliknya mereka cuba mengemukakan bermacam-macam ta’wilan dengan mengatakan umpamanya, rumah Ummu Hani’ itu terletak dalam hatim! Padahal telah diketahui umum bahawa tiada rumah sesiapapun dalam hatim itu! Ada juga yang mengatakan bahawa ketika Baginda s.a.w. beristirehat di rumah Ummu Hani’, tiba-tiba datang dua orang malaikat, mereka menebuk bumbung rumah Ummu Hani’ lalu mengangkat Baginda s.a.w. ke Ka’bah.

Ta’wilan-ta’wilan seumpamanya ini terpaksa dilakukan oleh mereka untuk mengkompromikan keterangan al-Quran dan hadis yang jelas dengan riwayat “Imam al-Maghazi” Muhammad bin Ishaq.

Begitu mendalamnya kesan dan pengaruh Ibnu Ishaq itu dalam fikiran umat Islam dan ia melekat dengan begitu kuat sekali sehingga tidak boleh ditanggalkan lagi !

Sebenarnya, cerita yang mengatakan dua malaikat menebuk bumbung rumah Ummu Hani’ untuk membawa keluar Rasulullah s.a.w. ke Baitullah atau ke Masjidil Haram itu lebih cocok dikaitkan dengan inovasi kumpulan penculik dari mengaitkannya dengan sabda Nabi s.a.w.! Akan ada pula nanti orang yang bersangka baik terhadap pengendap-pengendap atau penyamun-penyamun yang mengintai-intai mereka dari atas bumbung rumah…..manalah tahu jangan-jangan mereka juga malaikat seperti yang tersebut dalam riwayat ini !!!.

Kisah ini bukan sahaja telah dikemukakan oleh Ibnu Ishaq, malah ia juga telah dikemukakan oleh al-Kalbi- seorang pendusta besar dan Syi’ah pekat seperti Ibnu Ishaq dan ramai lagi orang-orang yang seperti mereka.

Riwayat yang dikemukakan oleh Ibnu Ishaq adalah sebagaimana berikut: Di antara kisah yang sampai kepada saya dari Ummu Hani’ binti Abi Thalib berhubung Isra’ Rasulullah s.a.w ialah beliau (Ummu Hani’) menceritakan, “Rasulullah s.a.w. tidak diIsra’kan melainkan ketika Baginda s.a.w berada di rumahku. Baginda s.a.w tidur di samping ku pada malam itu di rumah ku. Mula-mula Baginda s.a.w bersembahyang Isya’ kemudian tidur. Kami pun turut tidur. Sebelum fajar Rasulullah telahpun mengejutkan kami lalu bersembahyang Subuh. Kami bersembahyang bersamanya.”

Setelah itu Rasulullah bersabda, “Wahai Ummu Hani’! Malam tadi saya telah bersembahyang bersama kamu seperti yang kamu tahu di wadi ini. Selepas itu saya pergi ke Baitul Maqdis dan bersembahyang di sana dan sekarang saya bersembahyang Subuh bersama kamu seperti yang kamu saksikan.”

“Setelah itu Rasulullah s.a.w bangkit untuk keluar. Aku memegang hujung selimut Baginda s.a.w, maka tersingkap perut Nabi s.a.w bagaikan kain qibti yang berlipat lalu aku pun berkata kepada Baginda s.a.w, “Wahai Nabiyallah! Janganlah engkau ceritakan perkara ini kepada orang ramai, nanti mereka akan mendustakan engkau dan menyakitimu”. Baginda s.a.w berkata, “Demi Allah! Aku tetap akan menceritakan kepada mereka”. Ummu Hani’ berkata, “Akupun memerintahkan seorang sahaya perempuanku berketurunan Habsyi, “Eh! Ikutlah Rasulullah s.a.w. supaya engkau dapat mendengar apa yang disampaikannya kepada orang ramai dan apa pula reaksi mereka terhadap keterangan Baginda itu.”

Sebelum itu Ibnu Ishaq telah pun mengemukakan peristiwa Isra’ Mi’raj yang dinukilnya dari Hasan Basri di mana diceritakan, “Setelah pagi sekembalinya Rasulullah s.a.w dari Isra’ Mi’raj, Baginda s.a.w menceritakan kepada orang-orang Quraisy peristiwa perjalanannya. Berkatalah kebanyakan orang, “Demi Allah! Pelik betul cerita ini. Jarak yang direntasi oleh unta sebulan perjalanan dari Mekah ke Syam dan sebulan pula perjalanan balik dari sana ke Mekah mungkinkah boleh direntasi oleh Muhammad dalam hanya satu malam dan sudah pun ia sampai ke Mekah? ” Maka ramailah orang-orang yang telah memeluk Islam menjadi murtad. Orang ramai terus pergi kepada Abu Bakar untuk bertanya beliau..” – (Ibid jilid 2 m.s. 32,33 & 34)

Ibnu Ishaq, Ibnu Sa’ad dan al-Kalbi langsung tidak mengemukakan isnad mereka dalam menyampaikan kisah ini. Tetapi Ibnu Jarir, at-Thabari, Baihaqi, Ibnu Abi Hatim, Abu Ya’la dan Ibnu Asakir telah mengemukakan isnad bagi kisah ini. Perawi-perawi yang tersebut dalam isnad mereka ialah Abu Ja’far -ar Razi, Abu Harun al-Abdi dan Khalid bin Yazid atau Abu Malik. Marilah kita berkenalan sebentar dengan perawi-perawi tersebut :-

1) Abu Ja’far ar-Razi

Namanya Isa bin Abi Isa. Lahir di Basrah dan menetap di Ray. Di antara orang yang meriwayatkan daripada beliau ialah anak beliau sendiri Abdullah dan Abu Nu’aim. Meskipun Yahya bin Ma’in dan Abu Hatim mengatakan beliau seorang tsiqah namun Ali Ibnu Madini mengatakan beliau seringkali melakukan kesilapan. Riwayat-riwayatnya bercelaru. Fallas berkata, “Ingatannya sangat teruk.” Ibnu Hibban berkata, “Dia seringkali mengemukakan riwayat-riwayat yang mungkar dengan menghubungkan kepada Imam-Imam yang masyhur.” Abu Zur’ah berkata, “Selalu dia mengalami kecelaruan fikiran (waham).” Imam Zahabi pula berkata, “Dia telah mengemukakan peristiwa Mi’raj dalam satu riwayat yang panjang melalui Rabi’ bin Anas. Diambilnya dari Abu al-‘Aaliah dan Abu al-‘ Aaliah pula mengambilnya dari Abu Hurairah. Di dalam riwayatnya itu banyak sekali perkara-perkara mungkar “.- (Mizan al-I’tidal jilid 3 m.s. 320)

Imam Zahabi telah menghukum mungkar riwayat ini kerana terdapat dalam sanadnya Abu Ja’far ar-Razi, kerana kecacatan pada buruknya ingatannya dan beliau selalu mengaitkan cerita karut dengan Imam-Imam yang masyhur. Bagaimana dengan dua orang lagi perawi dalam isnad tersebut? Selepas Abu Ja’far ar-Razi mari kita lihat perawi seterusnya.

2) Khalid bin Yazid

Abu Malik ad-Dimasyqi – Dia adalah penduduk Damsyik. Yahya bin Ma’in berkata, “Dia adalah seorang manusia yang lemah”. Imam Ahmad berkata, “Dia tiada bernilai langsung.” Nasa’i berkata, “Dia tidak tsiqah”. Daraquthni berkata berkata, “Dia seorang da’if”. Ibnu Abi al-Hawari menceritakan bahawa, “Saya pernah mendengar Yahya bin Ma’in berkata, “Di Iraq ada sebuah kitab yang perlu dikebumikan iaitu tafsir al-Kalbi (yang kemudiannya terkenal dengan Tafsir Ibnu Abbas). Di Syam pula ada sebuah kitab yang juga perlu dikebumikan iaitu kitab ad-Diyat tulisan Khalid bin Yazid. Hati Khalid ini tidak akan senang selagi tidak berbohong tentang ayahnya dan para sahabat “.

Ahmad bin Abi al-Hawari ini juga berkata, “Dulu saya pernah menyalin kitab Khalid ini tetapi kemudiannya saya memberikannya kepada penjual ubat untuk dijadikan kertas pembungkus ubat-ubatnya.” Imam Zahabi berkata, “Dia dilahirkan pada tahun 105H dan mati ketika berumur 80 tahun.” – (Lihat Mizan al-I’tidal jilid 1 m.s 654)

Keterangan di atas membuktikan bahawa Khalid bin Yazid adalah seorang yang tidak boleh diterima menurut sekalian ulama’ hadis. Imam Yahya bin Ma’in bahkan mengatakan beliau seorang pendusta besar. Dia banyak berbohong tentang para sahabat.

3) Perawi ketiga ialah Abu Harun al-Abdi

Namanya ialah Umarah bin al-Juwain. Riwayat-riwayatnya terdapat dalam Sunan Tirmidzi dan Sunan Ibnu Majah. Imam Zahabi berkata, “Dha’if.” Hammaad bin Zaid berkata, “Pembohong.” Imam Ahmad berkata, “Tidak bernilai langsung.” Yahya bin Ma’in berkata, “Dia seorang dha’if (lemah). Riwayat-riwayatnya tidak boleh dibenarkan.” Nasa’i berkata, “Matrukul hadis (seorang yang ditinggalkan dan tidak dipakai hadisnya).” Ibnu Hibban berkata, “Dia selalu mengaitkan riwayat-riwayat dengan Abu Sa’id al-Khudri iaitu riwayat-riwayat yang tidak pernah dikemukakan oleh Abu Sa’id.” Imam Syu’bah berkata, “Kalau aku diberi pilihan di antara 2 perkara, sama ada aku dibunuh atau mengemukakan kepada orang ramai riwayat-riwayat Abu Harun, maka aku akan memilih supaya dibunuh, aku tidak akan mengemukakan riwayatnya. Sebelum ini aku selalu bertanyakan halnya dari setiap qafilah yang datang tetapi kemudian dia datang ke Basrah. Padanya ada sebuah kitab. Saya membaca kitab itu. Saya mendapati dia menuliskan keburukan-keburukan Ali di dalamnya.”

Iman Daraquthni berkata, “Dia seorang yang sentiasa berubah-ubah. Kadang-kadang menjadi seorang Rafidhi (Syi’ah), kadang-kadang menjadi seorang Khariji (orang Khawarij).”

Ibnu Hibban berkata, “Riwayat-riwayat yang dikaitkannya dengan Abu Sa’id al-Khudri semuanya bohong. Abu Sa’id tidak pernah meriwayatkan begitu.” Jauzajani berkata, “Abu Harun adalah seorang pendusta besar. Dia selalu menuduh para sahabat dengan pelbagai tuduhan.” Syu’bah berkata lagi, “Pernah aku pergi kepadanya dan meminta supaya menunjukkan kepadaku riwayat-riwayat yang dikaitkan Abu Sa’id dengannya. Dia meletakkan sebuah kitab di hadapanku. Di antara yang tersebut di dalam kitab itu ialah Abu Sa’id al-Khudri berkata bahawa Utsman bin Affan telah benar-benar kufur terhadap Allah s.w.t. sebelum beliau wafat. Saya mengembalikan kitab itu kepadanya dan terus pulang.

Itulah dia Abu Harun al-Abdi yang menulis tentang keburukan-keburukan Sayyidina Ali dan juga keburukan-keburukan Sayyidina Utsman. Jika orang seperti ini mengemukakan riwayat yang menyebut bahawa, ” Setelah Nabi S.A.W menceritakan peristiwa Isra’ Mi’raj yang dialaminya, maka murtadlah sekian ramai orang-orang yang telah memeluk Islam; barangkali mengikut Abu Harun al-Abdi ini termasuklah juga Sayyidina Ali dan Sayyidina Utsman, kerana bukanlah ramai sangat orang-orang yang telah memeluk agama Islam hingga ke waktu itu.

Yahya bin Ma’in berkata, “Abu Harun mempunyai satu sahifah yang dipanggilnya Sahifah al-Washi (penerima wasiat atau Sahifah Ali). Saleh bin Muhammad pula berkata bahawa, “Abu Harun lebih bohong daripada Firaun. Dia telah meninggal dunia pada tahun 134H.” – (Lihat Mizanu al-I’tidal jilid 3 m/s 173-174).

Itulah sekilas pandang tentang perawi-perawi kisah Isra’ Nabi S.A.W dari rumah Ummu Hani’. Mereka terdiri dari orang-orang Syi’ah seperti Ibnu Ishaq juga dan telah dihukum oleh ulama’ Rijal dengan pelbagai hukuman seperti yang telah dikemukakan tadi.

Sekarang mari pula kita menilai riwayat tersebut dengan neraca dirayah dan logik untuk menentukan di mana letaknya kepalsuan dan serentak dengan itu dapat kita faham apa maksud sebenar di sebalik cereka itu.

1) Isra’ dan Mi’raj Nabi s.a.w. berlaku sebelum Nabi berhijrah ke Madinah. Pada waktu itu Ummu Hani’ masih belum memeluk agama Islam. Beliau hanya memeluk agama Islam setelah Mekah ditakluk Nabi pada tahun 8 Hijrah.

2) Sembahyang Isya’ dan Subuh baru difardhukan pada malam Mi’raj itu. Bagaimana mungkin seperti yang tersebut di dalam riwayat ini di mana Nabi s.a.w telah bersembahyang Isya’ bersama Ummu Hani’ yang belum Islam di rumahnya?

3) Siapakah yang dimaksudkan oleh Ummu Hani’ dengan perkataan ‘ kami’ dalam riwayat ini iaitu……”Kami bersembahyang bersama Nabi”? Kalau yang dimaksudkan ‘ kami’ di sini termasuk suami beliau Hubairah, maka suaminya adalah di antara musuh ketat Rasulullah s.a.w pada ketika itu bahkan setelah Mekah dikuasai Nabi s.a.w pun dia tidak memeluk agama Islam sebaliknya cabut lari ke Najran. Kemudian dari sana dia berangkat pula ke Rom lalu menganut agama Kristian dan mati sebagai seorang Kristian.

4) Tersebut juga dalam sirah bahawa Nabi s.a.w telah melamar Ummu Hani’ kepada Abu Thalib sebelum Baginda s.a.w berkahwin dengan Khadijah tetapi Abu Thalib menolak mentah-mentah lamaran itu dengan alasan Nabi s.a.w seorang yang papa kedana dan tidak mulia. Setelah itu Abu Thalib mengahwinkan Ummu Hani’ dengan Hubairah yang merupakan musuh ketat Rasulullah s.a.w.

Dalam keadaan sebegini wajarkah Nabi s.a.w bermalam di rumah Ummu Hani’? Sememangnya musuh-musuh Islam mereka cerita ini dengan maksud menuduh Nabi s.a.w dengan 2 tuduhan iaitu :-

1) Jika kita andaikan Hubairah pada malam itu berada di rumah maka ia menunjukkan betapa tidak malunya Nabi s.a.w kerana telah bermalam di rumah seorang yang Nabi sendiri telah dianggap sebagai papa kedana dan tidak mulia berbanding orang itu. Lebih penting dari itu, bagaimana Rasulullah s.a.w boleh bermalam di rumah musuhnya? Tidakkah mungkin Hubairah juga telah mengetahui bahawa Nabis.a.w pernah melamar Ummu Hani’ sebelumnya? Tidakkah mungkin timbul rasa cemburu di dalam hati Hubairah, manalah tahu kalau-kalau Nabi s.a.w masih menaruh hati kepada isterinya? Apalagi bila diingatkan Muhamamd adalah musuh ketatnya?

2) Jika diandaikan pada malam itu Hubairah tiada di rumah pula, maka cerita ini akan membuka peluang seluas-luasnya untuk meragui kesucian peribadi Nabi s.a.w., kerana Nabi s.a.w. digambarkan telah tidur bersama seorang perempuan yang pernah dilamarnya dahulu, di rumah perempuan itu pada ketika ketiadaan suaminya. Malah cerita ini menunjukkan betapa intimnya perhubungan Nabi s.a.w dengan Ummu Hani’. Keadaan ini dapat dilihat dengan jelas pada keesokan paginya bila mana Nabi s.a.w bersedia untuk keluar memberitahu orang ramai tentang Isra’ Mi’rajnya, bagaimana Ummu Hani memegang hujung selimutnya sehingga terdedah perut Nabi s.a.w yang digambarkan seperti kain qibti yang berlipat.

3) Kisah ini jelas bertentangan dengan al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w yang sahih menurut ilmu usul hadis. Salah satu tanda kepalsuan sesuatu hadis itu ialah ia bercanggah dengan al-Quran dan hadis-hadis yang sahih.

4) Tidak masuk akal sama sekali Nabi s.a.w akan meninggalkan rumahnya sepanjang malam untuk bermalam di rumah seorang perempuan asing dalam keadaan di rumah Baginda s.a.w. sendiri masih ada dua orang anak perempuan Baginda iaitu Fatimah dan Ummi Kultsum. Dalam kisah ini tidak diterangkan pula kepada siapakah Nabi s.a.w meninggalkan mereka berdua dan untuk apa Nabi s.a.w bermalam di rumah Ummu Hani ‘?

5) Tindakan Ummu Hani’ memegang hujung selimut Nabi s.a.w pada keesokan paginya menunjukkan dengan jelas bahawa Hubairah tiada di rumah. Kalau Hubairah tiada di rumah maka siapakah lagi yang tidur di rumah Ummu Hani ‘ pada malam itu dan bersembahyang secara berjamaah? Sesungguhnya kisah ini merupakan satu serangan yang amat dahsyat terhadap kesucian peribadi Nabi s.a.w. Ia tidak mungkin dicipta dan direka kecuali oleh musuh-musuh Nabi s.a.w

6) Dalam riwayat Hasan Basri pula tersebut bahawa setelah Nabi s.a.w mengemukakan peristiwa Isra’ dan Mi’raj, maka murtadlah ramai orang yang telah memeluk agama Islam. Tetapi tidak pula dalam riwayat ini disebutkan nama orang-orang yang telah murtad itu. Siapakah mereka? Sedangkan orang-orang yang memeluk agama Islam pada ketika itu tidaklah begitu ramai. Nama-nama mereka pun disebutkan dengan jelas dalam kitab-kitab sirah. Sesungguhnya kisah ini juga merupakan satu serangan ke atas keikhlasan dan keteguhan para iman para sahabat Nabi s.a.w ia hanya rekaan musuh-musuh sahabat semata-mata.

7) Sebenarnya orang-orang yang mereka kisah ini adalah orang-orang Syi’ah seperti yang terbukti pada latar belakang perawi-perawinya yang telah disebutkan sebelum ini. Sesuatu cerita rekaan Syi’ah pasti akan mempunyai unsur melebih-lebihkan Sayyidina Ali dan mengistimewakannya dari sahabat-sahabat Nabi s.a.w yang lain. Bukankah Ummu Hani’ ini kakak kepada Sayyidina Ali, anak kepada Abu Thalib? Bagaimana Syi’ah akan melepaskan peluang ini? Mereka tidak menerima sesuatu peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w tanpa adanya peranan Sayyidina Ali atau keluarganya di sebalik peristiwa itu.

4. Penilaian Semula Tarikh Kelahiran Dan Kewafatan Nabi Muhammad S.A.W.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang

Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. serta para sahabatnya.

Masyarakat Islam di negara kita umumnya menerima tarikh 12hb. Rabiul Awwal sebagai hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. ( Maulidur Rasul ) . Fakta ini perlu di kaji semula kerana didapati bercanggah dengan fakta sejarah, hadis dan sains.

Disamping itu, sekiranya diterima juga tarikh wafat Nabi s.a.w. pada 12hb. Rabiul Awwal, (sebagaimana dipercayai umum), ia akan menimbulkan satu konflik di dalam jiwa masyarakat yang mana di satu pihak mereka merayakan kelahiran Nabi s.a.w. dan bergembira kerananya sedangkan di pihak lain pula pada hari yang sama sepatutnya mereka bersedih dan tidak boleh merayakan hari tersebut kerana ia juga merupakan hari kewafatan Nabi saw. Jadi di manakah adanya kewajaran masyarakat merayakan Maulidur Rasul yang juga merupakan hari perkabungannya? (Tanpa mengambil kira perayaan Maulidur Rasul itu sendiri adakah bersesuaian dengan sunnah atau ia satu bida’ah).

Di samping itu angka 12 yang dipilih untuk hari lahir dan hari wafat Nabi saw berkemungkinan besar berpunca daripada Syiah Imam Dua Belas. Justeru angka 12 ini bagi mereka merupakan angka sakti yang mereka kaitkan sekian banyak keistimewaan dengannya. Apalagi jika orang yang mula-mula mempopularkan tarikh ini adalah Ibnu Ishaq yang juga seorang Syiah. (Taqribut Tahdzib, Al Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani, jilid 2, halaman 144).

Pendapat yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w. dilahirkan pada 12hb. Rabiul Awwal itu walaupun masyhur tetapi ia berasaskan riwayat yang lemah kerana ia berpunca daripada Ibmu Ishaq seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam di dalam kitab sirahnya. Menurut ulama-ulama rijal hadis, Ibnu Ishaq selain dianggap sebagai seorang Syiah, dia juga seorang yang lemah dalam riwayat-riwayatnya. Imam Nasa’i mengatakan bahawa dia tidak kuat. Daraqutni mengatakan hadisnya tidak boleh menjadi hujjah. Imam Abu Daud ada berkata, “Dia adalah seorang yang berfahaman Qadariah dan Mu’tazilah.” Imam Sulaiman At-Taimy, Hisyam bin Urwah, Yahya bin Said Al-Qatthan dan Imam Malik mengatakan dia seorang pendusta besar. Malah Imam Malik pernah berkata, “Dia seorang dajjal” (Mizanul I’tidal, Imam Zahabi, jilid 3, halaman 468 – 475). Ibnu Ishaq sendiri tidak menyebutkan sanad-sanad tempat ambilannya.

Pendapat yang sahih dan kuat bagi tarikh kelahiran Baginda ialah pada hari Isnin, 9hb Rabiul Awwal Tahun Gajah. Di antara ulama yang berpendapat sedemikian ialah Humaidi, Uqail, Yunus bin Yazid, Ibnu Abdillah, Ibnu Hazam, Muhammad bin Musa Al-Khuwarazmi, Abdul Khattab Ibnu Dihyah, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim, Ibnu Kathir, Ibnu Hajar dan Badruddin `Aini (Al-Bidayah wa An Nihayah, jilid 2 halaman 260-261)

Pendapat ini juga disokong oleh penyelidikan yang dibuat oleh seorang ahli falak yang terkenal iaitu Mahmud Pasya yang cuba menentukan tarikh gerhana matahari dan gerhana bulan yang berlaku semenjak zaman Nabi s.a.w. hingga ke zaman beliau. Berdasarkan kajian beliau, hari Isnin tidak mungkin bertepatan dengan 12hb. Rabiul Awwal mengikut perkiraan bagaimana sekalipun bahkan hari Isnin pada bulan berkenaan (Rabiul Awwal) jatuh pada 9 haribulan. Beliau mengemukakan beberapa alasan untuk menyokong hasil kajiannya. Antara alasan-alasan yang dikemukakan oleh Mahmud Pasya ialah:

• Dalam Sahih Bukhari disebut ketika anak Rasulullah saw iaitu Ibrahim wafat, telah berlaku gerhana matahari iaitu pada tahun ke 10 Hijrah dan Nabi Muhammad saw ketika itu berusia 63 tahun.

• Berdasarkan kaedah kiraan falak, diketahui bahawa gerhana matahari yang berlaku pada tahun 10H itu adalah bertepatan dengan 7hb. Januari 632M pukul 8.30 pagi.

• Berdasarkan kepada kiraan ini, sekiranya kita undurkan 63 tahun ke belakang mengikut tahun qamariah, maka kelahiran Nabi saw jatuh pada tahun 571M. Berdasarkan kira-kira yang telah dibuat beliau, 1hb. Rabiul Awwal menepati 12hb. April 571M.

• Perselisihan pendapat berlaku tentang tarikh kelahiran Nabi saw, walau bagaimanapun semua pihak telah sepakat mengatakan ia berlaku pada hari Isnin bulan Rabiul Awwal tersebut. Tetapi Mahmud Pasya mendapati hari Isnin jatuh pada 9hb. Rabiul Awwal bersamaan 20hb. April 571M. Ini menguatkan lagi pendapat ulama-ulama muktabar yang telah disebutkan di atas.

Di antara penulis sirah mutaakhir yang menyokong pendapat ini ialah Syeikh Muhammad Al Khudhori Bik di dalam “Nurul Yaqin” (hal. 6), Safiyyuul Rahman Al Mubarakpuri di dalam “Ar Rahiqul Makhtum” (halaman 54), `Allamah Sibli Nu’mani di dalam “Siratun Nabi” (jilid 1 hal. 176), Maulana Abdul Kalam Azad di dalam “Rasul Rahmat” (hal. 37) dan lain-lain.

Berhubung dengan tarikh wafat Nabi Muhammad s.a.w. pula, beberapa perkara yang telah diterima oleh ulamak hadis dan sirah perlu diletakkan di hadapan untuk menentukan tarikhnya iaitu:

• Tahun kewafatan Baginda s.a.w. ialah 11H

• Dalam bulan Rabiul Awwal

• Antara 1hb. Hingga 12hb.

• Hari Isnin (Sahih Muslim, jld. 8 hal. 51-52)

• Hari wuquf di Arafah dalam Haji Wada’ pada 9 Zulhijjah tahun ke 10H jatuh pada hari Jumaat. (Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2, hal. 15, Sahih Al Bukhari, Sahih Muslim, dll).

• Daripada hari itu (wuquf) sampai kepada hari wafatnya Nabi Muhammad SAW adalah 81 hari. (Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2 hal. 15, At Tafsir Al Kabir, Fakhrul Razi, j.11 hal. 139, Tafsir Baghawi, Fathul Bari).

Berdasarkan kepada beberapa perkara yang telah diterima oleh para ulama tadi, maka boleh diandaikan tarikh kewafatan Baginda s.a.w. seperti berikut:

o Diandaikan ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar mempunyai 30 hari (walaupun tidak pernah berlaku begitu tetapi diandaikan mungkin juga berlaku) maka hari Isnin menepati 6 atau 13hb. Rabiul Awwal.

o Jika diandaikan ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar mempunyai 29 hari (walaupun ini juga tidak pernah berlaku) maka hari Isnin menepati 2,9 atau 16hb. Rabiul Awwal.

Selain daripada dua andaian tersebut itu, terdapat enam andaian lagi seperti yang terdapat dalam jadual berikut:

Jumlah hari bagi bulan Tarikh Hari Isnin dalam bulan Rabiul Awwal

Zulhijjah (30) Muharram (29) Safar (29) 1 8 15

Zulhijjah (29) Muharram (30) Safar (29) 1 8 15

Zulhijjah (29) Muharram (29) Safar (30) 1 8 15

Zulhijjah (30) Muharram (29) Safar (30) 7 14 21

Zulhijjah (30) Muharram (30) Safar (29) 7 14 21

Zulhijjah (29) Muharram (30) Safar (30) 7 14 21

Daripada tarikh-tarikh yang diandaikan tadi; 6, 7, 8, 9, 13, 14, 15 dan 16hb. Rabiul Awwal tidak dapat diterima kerana selain daripada alasan-alasan yang tersebut tadi, tidak ada satupun riwayat yang menyokongnya. Berkenaan dengan 2hb. pula , selain daripada tidak mungkin terjadinya ketiga-tiga bulan Zulhijjah, Muharram dan Safar terdiri daripada 30 hari di dalam kesemuanya, tidak ada juga riwayat yang sahih mengenainya. Apa yang ada hanyalah riwayat Hisyam bin Muhammad Al Kalbi dan Abu Mikhnaf yang dianggap sebagai pendusta oleh ulama-ulama hadis.

Berhubung dengan 1hb. pula, ia adalah daripada riwayat tokoh utama sirah iaitu Musa bin Uqbah dan ulama hadis yang terkenal Imam Laith bin Saad, Abu Nua’im Fadhal bin Dukain dan lain-lain. Pendapat ini juga disokong oleh Imam Suhaili dan Al Khuwarazmi. (Fathul Bari, Jilid 16. hal. 206, “Ar Raudhul Unuf,” jilid 7, hal. 579). Daripada kenyataan-kenyataan yang disebut di atas, tarikh yang lebih tepat bagi kewafatan Nabi S.A.W. ialah pada hari Isnin 1hb. Rabiul Awwal tahun 11H bersamaan dengan 25hb. Mei 632M.

Berdasarkan kepada fakta-fakta yang telah kami kemukakan pihak kami berharap agar masyarakat menilai semula tarikh sebenar kelahiran nabi s.a.w. dan tidak merayakan suatu hari yang kononnya hari kelahiran Nabi s.a.w. padahal ia bukanlah harinya yang sebenar.

(Dipetik dari Siri Risalah Suluhan terbitan Darul Quran Was Sunnah dengan sedikit pindaan)

5. Peristiwa Hijrah Nabi s.a.w. Ke Madinah Berlaku Pada Siang Hari

Dipetik dengan sedikit ubahsuai dari buku ‘IBNU ISHAK – Peranannya dalam penyebaran fahaman Syi’ah di kalangan ummah’ karangan Maulana Muhammad Asri Yusoff.

PERISTIWA HIJRAH YANG KITA KETAHUI

Bukalah dan bacalah buku sirah dan maghazi mana sekalipun, hampir-hampir tidak akan kita temui suatu gambaran peristiwa hijrah Nabi s.a.w. yang berbeza dari yang selalu kita dengar dan kita ketahui iaitu :

• Nabi s.a.w. berhijrah dari rumah Baginda s.a.w. pada waktu malam.

• Baginda s.a.w. memerintahkan supaya Ali tidur di atas katil Baginda s.a.w. pada malam berlakunya hijrah itu.

• Orang-orang kafir Quraisy mengepung rumah Nabi s.a.w. pada malam itu dan pada keesokan paginya barulah mereka sedari bahawa yang tidur di atas katil Nabi itu ialah Sayyidina Ali r.a. bukan Nabi s.a.w. sendiri.

• Sambil keluar dari rumah untuk berhijrah itu Nabi s.a.w. menaburkan tanah atau pasir di atas kepala orang-orang kafir yang menanti peluang untuk menyerbu rumah Rasulullah s.a.w. demi untuk membunuh Baginda s.a.w. dan dengan itu mereka tidak sedar lagi bilakah Rasulullah s.a.w. keluar dari rumah Baginda s.a.w.

• Sambil manabur pasir atau tanah itu Rasulullah s.a.w. membaca ayat 9, surah Yasin.

• Cadangan supaya Nabi s.a.w. dibunuh disyorkan oleh Abu Jahal dan disokong oleh seorang tua Najdi dalam mesyuarat sebelum tindakan menyerbu dan mengepung rumah Rasulullah s.a.w. pada malam hijrah itu.

RUJUKAN UTAMA PERISTIWA HIJRAH

Tetapi adakah kita tahu siapakah yang menjadi rujukan kepada penyusun buku-buku yang memuatkan peristiwa hijrah Nabi s.a.w. dengan perincian seperti yang disebutkan tadi?

Rujukan mereka dalam soal ini juga sama seperti rujukan mereka dalam soal-soal lain berkaitan sirah nabi saw, Muhammad Ibnu Ishaq ( Ibnu Ishaq) melalui Ibnu Hisyam dan Salamah al-Abrasy, Waqidi, melalui Thabari dan Ibnu Saad. ( Lihat Sirah Ibnu Ishaq m.s. 221-223, Sirah Ibnu Hisyam jilid 2 m.s. 89-92, Tarikh al-umam Wa al-Muluk at-Thabari jilid 2 m.s. 98-100, at-Thabaqat al-Kubra Ibnu Sa’ad jilid 1 ms. 175-177).

PERISTIWA HIJRAH MENGIKUT RIWAYAT BUKHARI

Sebagai perbandingan dengan riwayat yang dikemukakan oleh Ibnu Ishaq berhubung dengan peristiwa hijrah, baik sekali kiranya kita mengemukakan di sini riwayat Bukhari di dalam Sahihnya yang agak panjang berhubung dengan peristiwa ini tetapi kita akan memetik sekadar yang berkaitan sahaja. Setelah ini diharapkan kita akan dapat menyimpulkan beberapa fakta berkenaan perbezaan dan kelainan yang terdapat di antara riwayat Ibnu Ishaq dan riwayat Imam Bukhari.

Nabi saw pernah berkata kepada orang-orang Islam pada hari-hari sebelum hijrah, “Sesungguhnya aku telah bermimpi melihat negeri hijrah itu, letaknya dalam kebun tamar di antara dua kawasan berbatu hitam”.

Setelah itu berhijrahlah sesiapa yang mahu berhijrah ke Madinah. Kebanyakan orang-orang yang telah berhijrah ke bumi Habsyah kembali ke Madinah. Abu Bakar juga telah bersedia berangkat ke Madinah. Rasulullah s.a.w. berkata kepadanya, “Engkau tunggu dulu kerana saya berharap akan diizinkan kepada saya untuk berhijrah”. Abu Bakar lantas berkata, “Kutebus engkau dengan ayahku dan ibuku. Adakah engkau berharap demikian?”. Abu Bakar pun menahan dirinya dari terus pergi ke Madinah untuk bersama-sama Rasulullah s.a.w. nanti. Beliau memberi daun samur sebagai makanan kepada 2 ekor unta kepunyaannya selama 4 bulan.

Ibnu Syihab berkata, “Kata Urwah, “A’ishah terus bercerita, “Pada suatu hari, ketika kami sedang duduk-duduk di rumah Abu Bakar pada waktu tengahari, tiba-tiba ada orang berkata kepada Abu Bakar, “Itu Rasulullah datang pada waktu yang tidak pernah ia datang kepada kami padanya”. Abu Bakar pun berkata, “Demi Allah ! Kutebus engkau dengan ibubapaku. Pasti ada perkara penting yang mendorongnya datang pada waktu ini”. A’ishah menceritakan, Rasululllah s.a.w. pun sampai. Baginda s.a.w. meminta izin (untuk masuk). Terus diizinkan kepada Baginda s.a.w. lalu masuklah nabi s.a.w. sambil berkata kepada Abu Bakar, “Keluarkanlah sesiapa yang ada di rumahmu”. Abu Bakar berkata, “ Tiada orang lain, mereka ahli keluargaku. Kutebus engkau dengan ayahku wahai Rasulullah!”. Rasulullah pun berkata, “Sesungguhnya aku telah diizinkan untuk keluar”. Abu Bakar pun berkata, “Kutebus engkau dengan ayahku, wahai Rasulullah, adakah engkau mahukan saya bersama?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Ya”. Abu Bakar berkata, “Kalau begitu ambillah salah satu dari dua ekor unta saya ini, wahai Rasulullah ! Kutebus engkau dengan ayahku”. Rasulullah s.a.w. berkata, “Dengan dibeli”.

A’ishah berkata, “Kami pun menyediakan keperluan-keperluan perjalanan untuk mereka berdua dengan segera dan kami memasukkan makanan untuk mereka ke dalam satu bungkusan. Asma’ membelah dua tali pinggangnya lalu mengikat bungkusan itu dengannya kerana itulah beliau dinamakan ‘perempuan yang mempunyai dua tali pinggang’ (Zaatu an Nithaqain)”.

Kata A’ishah, “Kemudian Rasulullah saw dan Abu Bakar pun sampai ke sebuah gua di Jabal Tsaur. Disitulah mereka bersembunyi selama tiga malam ditemani oleh Abdullah anak Abu Bakar. Ketika itu beliau masih muda belia, sangat pintar dan cerdas. Dia keluar dari tempat itu sebelum fajar. Di waktu pagi beliau sudah berada di Mekah bersama orang Quraisy seolah olah dia juga bermalam di Mekah. Tidak didengarnya sesuatu yang mengancam Rasulullah s.a.w. dan ayahnya melainkan dibawanya berita itu kepada mereka pada waktu malam.

Amir bin Fuhairah, hamba bebasan Abu Bakar pula menternak kambing dan melepaskannya di kawasan itu pada waktu Isyak dengan itu Rasulullah saw dan Abu Bakar bermalam dalam keadaan kenyang kerana meminum susunya. Bila tiba waktu dinihari, Amir Bin Fuhairah menghalau kambing-kambing itu (ke kawasan lain). Demikianlah dilakukannya pada tiga malam itu.

Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar telah mengupah seorang lelaki dari Bani Dil sebagai pemandu perjalanannya. Dia merupakan sekutu keluarga ‘As Bin Wa’il as-Sahmi dan ketika itu masih bersama dalam ugama orang-orang Quraisy. Bagaimanapun mereka berdua mempercayainya dan menyerahkan dua ekor unta kepadanya dengan perjanjian dia akan datang ke Gua Tsaur pada pagi hari yang ketiga. Selepas itu Amir Bin Fuhairah dan pemandu tadi berangkatlah bersama Rasulullah saw dan Abu Bakar. Pemandu mereka membawa mereka melalui jalan tepi pantai.( Lihat Sahih Bukhari jilid 1 m.s. 552- 554)

Riwayat-riwayat yang dikemukakan oleh Ibnu Ishaq dan riwayat yang dikemukakan oleh Bukhari ini apabila diteliti, di sana terdapat banyak perbezaan di antara kedua-duanya. Di antara yang dapat disimpulkan dari riwayat Bukhari ini ialah seperti berikut :

KESIMPULAN DARI RIWAYAT BUKHARI

Daripada riwayat Bukahri ini dapat diambil beberapa kesimpulan sebagaimana berikut :

I. Hijrah ke Madinah berlaku dari rumah Abu Bakar pada waktu tengahari bukannya pada waktu malam. Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w. mendapat perintah supaya berhijrah, Baginda s.a.w. terus ke rumah Abu Bakar pada waktu tengahari, iaitu suatu waktu yang tidak biasa Rasulullah s.a.w. pergi ke rumah Abu Bakar. Fakta yang sama juga terdapat dalam satu keterangan Ibnu Ishaq. Malah Ibnu Ishaq dengan jelas menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersama-sama Abu Bakar telah keluar melalui jendela belakang rumah Abu Bakar pada waktu siang itu dan mereka terus menuju ke gua di atas Bukit Thaur (Lihat Sirah Ibnu Ishaq m.s. 224, Sirah Ibnu Hisham jilid 2 m.s. 93) Hijrah Rasulullah s.a.w. ke Madinah bukan suatu yang dirancang sekurang-kurangnya dua atau tiga hari sebelum itu menurut sesetengah penulis Sirah.

II. Di dalam riwayat Bukhari ini, tidak pun disebutkan Sayyidina Ali diminta supaya tidur di atas tempat tidur Nabi saw dan tidak juga disebutkan Nabi saw keluar dari rumahnya dalam keadaan rumahnya dikepung oleh musuh-musuh baginda saw sambil baginda saw menaburkan tanah atau pasir di atas kepala musuh-musuh yang mengepung rumah itu.

III. Apa yang didapati dalam tulisan sesetengah penulis sirah bahawa Rasulullah saw pergi ke rumah Abu Bakar sebanyak dua kali. Kali pertama pada waktu siang (seperti apa yang tersebut dalam riwayat Bukhari), menurut penulis-penulis sirah itu hijrah tidak berlaku pada kepergian kali pertama ini dan kali kedua ialah pada waktu malam di mana peristiwa hijrah itu benar-benar berlaku (menurut riwayat Ibnu Ishaq) ertinya menurut pendapat mereka hijrah berlaku pada waktu malam dari rumah Abu Bakar. Ini tidak benar sama sekali dan tidak benar juga penulis-penulis yang menyebutkan Rasulullah s.a.w. ke rumah Abu Bakar pada waktu siang itu adalah 3 hari sebelum berlakunya peristiwa Hijrah sebenar pada waktu malam. Tujuannya ialah untuk memaklumkan kepada Abu Bakar dan menyiapkan bekalan berupa makanan dan sebagainya di rumah Abu Bakar.

IV. Riwayat Bukhari ini dengan jelas menolak pandangan penulis-penulis tersebut. Ini kerana tidak tersebut di dalamnya Rasulullah s.a.w. berhijrah pada waktu malam dari rumah Abu Bakar. Sementara riwayat Ibnu Ishaq pula menceritakan Rasulullah s.a.w. berhijrah dari rumah baginda s.a.w. sendiri pada waktu malam. Di samping itu tidak ada lagi keperluan memaklumkan kepada Abu Bakar seperti yang didakwa itu. Bukankah Rasulullah s.a.w. telah memaklumkan kepada Abu Bakar 4 bulan sebelum itu seperti yang terdapat dalam riwayat Bukhari ini?. Kerana itu Abu Bakar telah pun menyiapkan dua ekor unta dan sebagainya. Bekalan makanan bagaimanakah harus disediakan oleh Rasulullah s.a.w. di rumah Abu Bakar selama 3 hari sebelum berhijrah itu?

V. Apa yang sebenarnya ialah hijrah berlaku pada waktu siang seperti yang jelas kelihatan dalam riwayat Bukhari tadi. Segala kecelaruan berlaku tidak lain melainkan kerana sikap penulis-penulis sirah yang cuba mengkompromikan riwayat Ibnu Ishaq dengan riwayat-riwayat sahih Bukhari seolah-olah mereka menaiki dua buah sampan, sebelah kaki berada di dalam satu sampan dan sebelah kaki lagi berada di sampan yang lain. Mereka tidak mahu meninggalkan Bukhari dan tidak juga mahu meninggalkan Ibnu Ishaq. Alangkah sukar dan sia-sianya percubaan yang telah dilakukan oleh mereka itu!

VI. Sayyidatina A’ishah bersama Asma’ menyiapkan bekal untuk perjalanan Rasulullah saw dengan cepat-cepat kerana permulaan hijrah berlaku pada masa itu juga.

VII. Boleh dikatakan semua anggota keluarga Sayyidina Abu Bakar memainkan peranan dalam menjayakan langkah-langkah hijrah yang berlaku pada saat yang sangat genting itu. Abdullah Bin Abu Bakar selama 3 malam berturut-turut menemani Rasulullah s.a.w. dan Sayyidina Abu Bakar di Gua Thaur. Pada waktu siang pula beliau bersama dengan masyarakat mengintip sesuatu yang mungkin mengancam mereka berdua. Amir Bin Fuhairah hamba bebasan Abu Bakar menghalau kambingnya ke kawasan sekitar bukit itu dengan maksud menyediakan susu untuk Rasulullah s.a.w. dan Sayyidina Abu Bakar pada waktu malamnya. Semuanya berlaku dalam keadaan yang tidak disangka atau diragui oleh sesiapapun.

VIII. Di dalam riwayat Bukhari itu tidak disebutkan kisah syaitan telah menyamar sebagai orang tua Najdi dan menghadiri majlis mesyuarat pembesar-pembesar Quraisy yang merancang untuk membinasakan Rasulullah saw tetapi ia terdapat di dalam riwayat Ibnu Ishaq.

Demikianlah sebahagian dari kenyataan-kenyataan penting yang membezakan di antara riwayat Imam Bukhari dan riwayat Ibnu Ishaq. Tetapi berapa keratkah dari kalangan Ahlus Sunnah sendiri yang menerima hijrah ini berlaku pada waktu tengahari? Siapakah di antara penulis sirah di kalangan Ahlus Sunnah baik dahulu mahupun sekarang yang tidak menyebutkan peranan Sayyidina Ali yang tidur di atas katil Nabi saw sehingga mengelirukan orang-orang yang mengepungnya??

PERANAN IBNU ISHAQ DAN KUNCU-KUNCUNYA

Sungguh besar peranan Ibnu Ishaq dan orang-orang sepertinya dalam mengelirukan ummah. Suntikan-suntikan yang diberikan oleh mereka hingga sekarang masih belum dapat mengembalikan kesedaran umat Islam dari pengsan! Siapakah yang mengatakan kitab Sahih Bukhari adalah kitab rujukan terpenting dan tertinggi bagi umat Islam selepas al-Quran. Ulama’-ulama’ itulah! Tetapi dalam soal ini riwayat siapakah yang dipegang oleh mereka? Bagaimana riwayat Bukhari boleh tercicir dari ingatan mereka? Bukankah musuh-musuh Islam telah berjaya melalui ejen-ejennya yang menyelinap masuk sebagai perawi-perawi hadis dan sebagai penulis-penulis kitab sirah dan maghazi dalam memesongkan pemikiran umat Islam!?

KEBATHILAN RIWAYAT IBNU ISHAQ

Setelah mengetahui titik-titik perbezaan di antara Sahih Bukhari dan riwayat-riwayat Ibnu Ishaq sekarang marilah pula kita teliti secara kritis riwayat-riwayat yang dikemukakan oleh Ibnu Ishaq itu. Dimanakah letak kelemahannya, sudut-sudut yang boleh dipertikaikan dan aspek-aspek yang tidak dapat bertahan bila diuji dengan lojik dan akal yang sejahtera. Di antara yang boleh disebutkan adalah seperti berikut:

1) Di dalam riwayat Ibnu Ishaq tersebut ketika ketua-ketua Quraish berbincang di Dar an-Nadwah berkenaan apakah tindakan yang seharusnya mereka ambil terhadap Rasulullah s.a.w. disebutkan iblis datang dalam rupa seorang tua yang hebat. Syeikh ini dikatakan orang Najd. Akhir sekali setelah Abu Jahal mengemukakan pendapat, “Dibunuh saja oleh sekumpulan anak-anak muda dari setiap qabilah,”. Syeikh Najdi itu menyokong dan membenarkan pendapat itu.

Persoalan yang timbul di sini ialah apakah nama Sheikh itu? Tidak adakah dari kalangan anggota majlis mesyuarat itu sebelum itu memang mengenalinya? Apa yang nyata dari riwayat tersebut ialah Syeikh itu tiba-tiba muncul ketika menyuarat itu akan bermula, ini bermakna mereka tidak mengenalinya sebelum itu. Tidak tersebut langsung dalam riwayat Ibnu Ishaq qabilah manakah yang diwakilinya. Mungkinkah satu mensyuarat penting dan sulit untuk merancang seseorang dijalankan dengan dihadiri oleh seorang yang tidak diketahui dari mana datangnya dan siapa namanya? Bagaimana pula Ibnu Ishaq mengetahui bahawa Syeikh itu ialah seorang Iblis? Atau adakah sesiapa dari ahli menyuarat itu menceritakan kepada Ibnu Ishaq bahawa orang itu ialah iblis? Ini semua tidak lebih dari khurafat semata-mata!

2) Dalam riwayat Bukhari tidak tersebut langsung peranan Sayyidina Ali dalam peristiwa Hijrah ini. Apa yang ada ialah peranan Abu Bakar dan keluarganya dan orang-orang yang ada kaitan dengannya. Sebaliknya di dalam riwayat Ibnu Ishaq, Sayyidina Ali telah memainkan satu peranan yang palng penting di mana beliau diarahkan supaya tidur di tempat tidur Rasulullah s.a.w. pada malam berlakunya hijrah, setelah rumah Baginda s.a.w. dikepung oleh pemuda-pemuda yang akan menyerbu untuk membunuh Rasulullah s.a.w.

Melalui riwayatnya Ibnu Ishaq mahu menonjolkan keberanian luarbiasa Sayyidina Ali kerana sanggup berbaring di tempat tidur Rasulullah s.a.w. yang pada bila-bila masa mungkin diserang oleh pihak musuh. Tetapi Ibnu Ishaq sendiri meriwayatkan bahawa nabi s.a.w. telah pun bersabda pada Ali bin Abi Thalib supaya tidur di atas tilamnya dan berselimut dengan selimutnya dengan tenang tanpa sebarang kebimbangan kerana, “ tidak ada sesuatu yang tidak baik akan menimpa engkau.” Bukankah sabda Rasulullah s.a.w. kepada Sayyidina Ali yang diriwayatkan oleh Ibnu Ishaq ini bertentangan dengan apa yang ingin dibuktikan olehnya? Dia mahu membuktikan keberanian Sayyidina Ali yang tiada tolok bandingnya tetapi bagaimana akan terbukti keberanian itu bila sudah ada jaminan dari nabi s.a.w. bahawa tidak akan ada sesuatu yang tidak baik akan menimpa Sayyidina Ali dengan mengambil tempat tidur Baginda s.a.w. dan berselimut dengan selimut Baginda s.a.w.? Seorang mukmin yang paling pengecut sekalipun akan berani tidur di atas tilam Nabi s.a.w. setelah mendapat jaminan seperti itu dari Rasulullah s.a.w. sendiri!

3) Menurut as-Suhaili, pensyarah kepada kitab Sirah Ibnu Hisham bahwa sebabnya anak-anak muda yang ditugaskan membunuh Rasulullah s.a.w tidak menyerbu masuk ke dalam rumah tetapi menunggu sahaja di luar rumah kerana orang-orang Arab menganggap aib besar jika seseorang menyerbu masuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya orang-orang perempuan- (Lihat ar-Raudhu al-Unf jilid 4 ms.s. 201)

Jika sudah diketahui begitu adat orang-orang Arab maka apalah mencabar sangat Sayyidina Ali tidur di atas tilam Rasulullah s.a.w. itu? Kerana beliau boleh tidur senyenyak-nyenyaknya tanpa ada sebarang kekhuatiran lantaran sudah menjadi kebiasaan orang Arab tidak akan menyerbu ke dalam rumah yang ada orang-orang perempuan di dalamnya. Sememangnya pun ada orang-orang perempuan di dalam rumah Rasulullah s.a.w. iaitu anak-anaknya Ruqayyah, Ummul Kulthum, Fatimah, Ummul Aiman dan isterinya Saudah.

4) Jika Hijrah ini tidak diterima berlaku pada waktu malam malah berlaku pada waktu tengahari seperti yang tersebut dalam riwayat Imam Bukhari maka di manakah ruang yang ada untuk menonjolkan Sayyidina Ali? Sayyidina Ali akan kelihatan tidak berperanan langsung jika diterima hijrah itu berlaku pada waktu siang dan kepada orang-orang seperti Ibnu Ishaq terlalu berat untuk mengakui dan mengiktiraf kelebihan Abu Bakar dan ahli keluarganya, oleh itu semestinya dilakukan sesuatu. Melalui cerita ini Ibnu Ishaq cuba memindahkah kelebihan Abu Bakar dan keluarganya kepada Ali. Dengan menerima cerita ini secara tidak langsung akan berkuranglah kelebihan Abu Bakar seperti yang kelihatan dalam riwayat Bukhari. Di sinilah letaknya punca penyakit golongan Syiah dan inilah sebenarnya punca kemunculan cerita ini ke alam nyata.

5) Riwayat Ibnu Ishaq menyatakan hijrah berlaku pada waktu malam. Sekali pandang riwayat ini lebih sesuai untuk diterima kerana pada waktu malam biasanya orang tidur dan keadaan sekeliling pun gelap, kerana itulah tidak ada sesiapapun mempertikaikan riwayat Ibnu Ishaq ini. Kalau pun ada riwayat Bukhari yang menyatakan hijrah berlaku pada waktu tengahari, para ulamak akan c1uba menyesuaikannya dengan riwayat Ibnu Ishaq tadi dengan mengatakan misalnya nabi s.a.w. ke rumah Abu Bakar pada waktu tengahari itu bukanlah dengan maksud untuk berhijrah pada waktu tengahari itu tetapi semata-mata untuk menyatakan keizinan Allah s.w.t. untuk berhijrah bersama Abu Bakar dan juga untuk persiapan perjalanan yang akan berlangsung sehari selepas itu menurut setengah-setengah penulis atau 3 hari selepas itu menurut sesetengah penulis yang lain pula.

Mereka semua lupa bahawa keadaan cuaca panas dan kebiasaan masyarakat Arab mendorong mereka berurusan pada waktu malam seperti membeli-belah dan lain-lain. Pada waktiu siang pula mereka tidak keluar rumah, samada tidur atau berehat di dalam rumah. Keadaan ini boleh lagi disaksikan menjadi kebiasaan mereka hingga ke hari ini, samada di Mekah, Madinah, di Jeddah atau lain-lain tempat.

6) Dari riwayat Bukhari dapat difahami bahawa Nabi s.a.w. baru mengetahui keputusan orang-orang Quraisy supaya Baginda s.a.w. ditangkap dan dibunuh melalui Suraqah yang mengejar Nabi s.a.w. setelah Baginda s.a.w. keluar dari gua selepas tiga hari bersembunyi di dalamnya. Dalam keputusan mesyuarat ketua-ketua kafir Quraisy itu tidak disebutkan Rasulullah s.a.w. sahaja malah Abu Bakar pun termasuk dalam senarai yang dikehendaki supaya ditangkap dan dibunuh itu. Kepada orang-orang yang dapat menangkap dan membunuh Rasulullah s.a.w atau Abu Bakar ditawarkan saguhati yang begitu besar iaitu 100 ekor unta untuk setiap orang. Kerana tertarik dengan tawaran itu Suraqah telah mengejar untuk menangkap mereka tetapi tidak berjaya. Akhirnya Suraqah masuk Islam.

Di dalam riwayat ini tidak tersebut pun Sayyidina Ali di antara orang-orang yang dikehendaki dan ditawarkan saguhati kepada sesiapa yang dapat menangkapnya. Ini menunjukkan bahawa Sayyidina Abu Bakar adalah seorang yang sangat penting di sisi Rasulullah s.a.w. dan juga pada pandangan orang kafir. Adapun Sayyidina Ali mengikut riwayat Ibnu Ishaq setelah keesokan paginya ditangkap oleh orang-orang kafir lalu disoal siasat sekejap dan dilepaskan dengan begitu sahaja.

7) Mengikut cerita Ibnu Ishaq seolah-olah nabi s.a.w. telah pun mengetahui sebelum berhijrah lagi bahawa mereka akan menangkap atau membunuhnya pada malam Baginda s.a.w. keluar dari rumahnya. Ini berbeza dengan riwayat Imam Bukhari di mana nabi s.a.w. seolah-olahnya tidak mengetahui pun mesyuarat yang diadakan oleh ketua-ketua kafir Quraisy untuk merancang sesuatu yang buruk terhadapnya di mana iblis yang menyamar sebagai orang tua atau Syeikh Najdi ikut serta di dalamnya. Kalau lah majlis mensyuarat itu begitu terbuka sehingga orang yang tidak dikenali seperti Najdi tersebut pun boleh menyertainya, besarlah kemungkinan Nabi s.a.w. telah mengetahui apa yang dirancang dan diputuskan dalam mesyuarat itu. Mungkin ada orang berkata, “Boleh jadi Nabi s.a.w. mengetahuinya melalui wahyu dari Allah s.w.t.” Tetapi kita tetap mengatakan dakwaan ini memerlukan bukti dan riwayat-riwayat orang-orang seperti Ibnu Ishaq tidak memadai untuk dijadikan bukti.

6. Peristiwa Muakhat (Ikatan Persaudaraan Di Antara Muhajirin Dan Ansar)

Oleh: Maulana Muhammad `Asri Yusuff

Saringan oleh : http://www.darulkautsar.net

Peristiwa ‘ muakhat’ ialah ikatan persaudaraan yang dijalinkan oleh Nabi s.a.w. di antara sahabat – sahabat Muhajirin dan Ansar.

Ibnu Ishaq menulis: Rasulullah s.a.w. mempersaudarakan di antara sahabat – sahabat Muhajirin dan Ansar. Maka Baginda s.a.w. bersabda mengikut apa yang sampai kepada kami dan kami berlindung dengan Allah s.w.t. dari mengatakan atas nama Nabi sesuatu yang tidak diucapkannya -” Bersaudaralah kamu kerana Allah dua – dua orang “. Kemudian Baginda s.a.w. memegang tangan Ali seraya berkata, ” Ini saudaraku”. Rasulullah adalah penghulu sekalian Rasul, ikutan orang – orang bertaqwa dan pesuruh Tuhan Semesta Alam yang tidak mempunyai bandingan dan tandingan dari kalangan hambaNya, dengan ini menjadi saudara kepada Ali bin Abi Thalib. Hamzah bin Abdul Muttalib Singa Allah dan Singa RasulNya dan bapa saudara Rasulullah s.a.w. menjadi saudara kepada Zaid bin Haritsah, hamba yang telah dibebaskan oleh Rasulullah s.a.w. Kepadanyalah Hamzah berpesan pada hari peperangan Uhud, sekiranya beliau gugur dalam peperangan itu. Ja’far bin Abli Thalib, Zuljanahain (yang mempunyai dua sayap yang terbang di dalam syurga) menjadi saudara kepada Muadz bin Jabal. – (Lihat Sirah Ibnu Ishaq m/s 234, Sirah Ibnu Hisyam jilid 2 m/s 108 – 110)

Cerita dari Ibnu Ishaq ini perlu dinilai semula dan diuji dengan neraca riwayat dan dirayat untuk menentukan kesahihannya. Oleh kerana Ibnu Ishaq tidak mengemukakan sanadnya (dan untuk menggantikan ‘sanad’ dia telah bersumpah dengan nama Allah bahawa apa yang diceritakannya adalah sesungguhnya dari Rasullullah s.a.w.!) maka kita akan menilainya menggunakan kaedah dirayah sebagaimana berikut:

(i) Jalinan persaudaraan yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w. di antara sahabat Muhajirin dan Ansar itu adalah dengan maksud supaya sahabat – sahabat Muhajirin tidak kesepian dan bersedih hati kerana perpisahan dengan ahli keluarga dan sanak-saudaranya di Makkah selain dari untuk sama – sama berganding bahu, bantu-membantu terutamanya dalam memberikan peluang pekerjaan dan mewujudkan kesempatan – kesempatan untuk hidup berdikari bagi Muhajirin. Tetapi dalam riwayat ini kita melihat beberapa orang Muhajir telah dipersaudarakan Nabi s.a.w. dengan Muhajir juga termasuklah diri Baginda s.a.w. sendiri yang telah bersaudara dengan Sayyidina Ali. Apa perlunya Rasulullah s.a.w. bersaudara dengan Sayyidina Ali kerana sememangnya Baginda s.a.w. mempunyai pertalian darah dengan Sayyidina Ali selain dari telah memelihara Ali semenjak kecilnya lagi. Rasulullah s.a.w dengan kedudukannya tidak memerlukan ‘persaudaraan’ dalam konteks supaya boleh hidup berdikari atau mendapat pekerjaan untuk hidup. Ikatan persaudaraan yang sebegini sebenarnya menjatuhkan martabat Baginda s.a.w. sebagai nabi Allah!

Ketika menyebutkan kelebihan – kelebihan Rasulullah s.a.w. sebagai penghulu sekalian Rasul, Rasulullah s.a.w ikutan orang – orang bertaqwa dan seterusnya tidak lain kerana untuk menyatakan kelebihan Sayyidina Ali itu sendiri kerana tentunya seorang yang dipilih sebagai saudara oleh Rasulullah s.a.w.. adalah seorang yang cukup istimewa dan tiada tolok bandingnya.

Persaudaraan Nabi s.a.w. dengan Sayyidina Ali ditolak oleh para ulama’ dan mereka menganggapnya tidak sahih kerana persaudaraan yang diadakan itu adalah di antara Muhajirin dengan Ansar supaya terjalin kasih sayang di antara mereka, justeru itu persaudaraan Nabi s.a.w. dengan Sayyidina Ali begitu juga persaudaraan di antara Muhajirin dengan Muhajirin yang lain sama seperti persaudaraan Hamzah dan Zaid adalah suatu yang tidak berfaedah, begitu juga persaudaraan antara Muaz bin Jabal dengan Ja’far.

ii) Seterusnya Ibnu Ishaq menyebutkan persaudaraan yang dijalinkan di antara Hamzah dengan Zaid bin Haritsah sedangkan mereka berdua ini juga dari kalangan Muhajirin. Untuk apa pula dipersaudarakan mereka berdua ? Mungkin Ibnu Ishaq cuba memintas lintasan fikiran kita yang mungkin ragu dengan ikatan persaudaraan di antara Nabi s.a.w. dengan Sayyidina Ali padahal mereka berdua adalah Muhajirin. Untuk menenangkan kita, sengaja Ibnu Ishaq mempersaudarakan Hamzah dan Zaid bin Haritsah, bukankah mereka berdua itu dari kalangan Muhajirin ?

(iii) Dalam riwayat tersebut di atas, Ja’far bin Abi Thalib telah dipersaudarakan dengan Muadz bin Jabal. Bagaimana mungkin Nabi S.A.W mempersaudarakan Ja’far dengan Muadz kerana Ja’far telah berhijrah ke Habsyah pada tahun kelima dari kenabian s.a.w. iaitu lapan tahun sebelum Hjirah dan berangkat dari Habsyah ke Madinah pada tahun ketujuh selepas Hijrah (semasa penaklukan Khaibar) sedangkan peristiwa mu’akhat ini berlaku lapan bulan selepas berlakunya Hijrah ke Madinah ? Riwayat ini sebenarnya menunjukkan bercelarunya fikiran Ibnu Ishaq ini. Ibnu Katsir membuat komentar terhadap riwayat Ibnu Ishaq ini dengan menulis bahawa keterangan Ibnu Ishaq dalam riwayat ini boleh dipertikaikan. Malah Ibnu Hisham sendiri mempertikaikan cerita ini. ((Lihat al-Bidayah Wa an-Nihayah jilid 3 m/s 227)

(iv) Dalam riwayat yang sama juga disebutkan persaudaraan di antara Salman dan Abu Darda’. Ini juga tidak mungkin berlaku kerana di permulaan hijrah Nabi S.A.W, Salman merupakan hamba kepada seorang Yahudi. Selepas memeluk Agama Islam, beliau telah meminta dari tuan nya supaya memerdekakan beliau. Tuannya telah meletakkan beberapa syarat yang berat yang mana terpaksa disempurnakan syarat – syarat itu oleh Salman dalam masa empat tahun. Pada tahun yang ke-lima Hijrah barulah Salman dimerdekakan. Bagaimana mungkin seorang yang terbelenggu dengan belenggu perhambaan itu dipersaudarakan dengan seorang sahabat Ansar pula ? Mungkin sekali di sebalik ikatan persaudaraan Salman dengan Abu Darda’ itu adalah agenda Ibnu Ishaq yang tersendiri memandangkan beliau (Salman) adalah orang Farsi. Mengikut dakwaan orang – orang Syi’ah, beliau (Salman) mempunyai ilmu – ilmu orang – orang dahulu dan orang – orang kemudian, malah beliau adalah yang kelima dari 5 orang atau menurut riwayat yang lain ketiga dari 3 orang yang tetap di atas keimanannya selepas kewafatan Nabi S.A.W, sedangkan sahabat-sahabat yang
lain telah murtad.

Masalahnya bagaimanakah beliau (Ibnu Ishaq) boleh menerima seorang mukmin sejati seperti Salman dipersaudarakan dengan seorang yang tidak tersenarai dari kalangan yang tetap dengan keimanannya (menurut akidah Syiah) selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Zubair bin Awwam dan Abdullah bin Mas’ud adalah di antara yang dipersaudarakan di permulaan hijrah itu tetapi yang anehnya mereka berdua dari kalangan Muhajirin juga !!

Seterusnya Zubair bin Awwam dan Abdullah bin Mas’ud adalah di antara yang dipersaudarakan di permulaan hijrah itu dan mereka berdua pun dari kalangan Muhajirin juga !!

(v) Ammar bin Yasir dan Huzaifah merupakan 2 orang yang tersenarai di antara sahabat – sahabat yang dipersaudarakan Nabi S.A.W. meskipun kedua – dua mereka dari golongan Muhajirin

Hujah-hujah di atas telah membuktikan palsunya riwayat yang dikemukakan oleh Ibnu Ishaq itu walaupun dipermulaan riwayatnya beliau menegaskan dengan pasti dan penuh yakin bahawa, ” Kami berlindung dengan Allah dari mengatakan atas nama nabi s.a.w sesuatu yang tidak diucapkan oleh baginda. ” tetapi bagaimana pula dengan riwayat yang dikemukakan oleh Tirmidzi dalam Sunahnya dan Hakim dalam Mustadraknya ?

HADIS TENTANG PERSAUDARAAN RASULLULLAH DENGAN ALI DALAM SUNAN TIRMIZI DAN MUSTADTRAK HAKIM

Bagaimana pula dengan riwayat yang dikemukakan oleh Tirmidzi dalam Sunannya dan Hakim dalam Mustadraknya ? Riwayat ini adalah sebagaimana berikut:

“Dari Ibnu Umar bahawa, ” Setelah Rasulullah s.a.w mempersaudarakan sahabat – sahabat Baginda s.a.w., maka Ali pun datang sambil menangis dan berkata, ” Wahai Rasulullah ! Engkau telah mempersaudarakan sahabat – sahabat yang lain tetapi tidak mempersaudarakan saya dengan sesiapapun. ” Maka Nabi s.a.w. pun bersabda, ” Engkau adalah saudaraku di dunia dan di akhirat”. – (Lihat Sunan Tirmidzi jilid 2 m/s 236 dan as-Mustadrak jilid 3 m/s 14)

Sebelum membincangkan hadis ini terlebih dahulu perlu disedari oleh kita semua bahawa musuh – musuh Islam dipermulaan sejarah Islam telah menggunakan berbagai – bagai cara untuk memecahbelahkan umat Islam di zaman itu merancang dengan rapi untuk mengelirukan ummah tentang sejarah awal mereka melalui orang – orang tertentu seperti Ibnu Ishaq dan orang – orang yang menyelinap masuk di kalangan Ahlus Sunnah dan menjadi sebagai perawi mereka.

Pendek kata sukar sekali untuk ditemui suatu kitab yang betul – betul bersih dari puak – puak penyangak ini. Walaupun begitu kita merasa amat bertuah dan berbangga kerana ulamak-ulamak kita telah meninggalkan pusaka yang amat berguna untuk menilai, mengesan dan menjejaki golongan yang tidak bertanggungjawab ini.

Perawi pertama di dalam hadis yang dikeluarkan oleh Tirmidzi ini ialah Hakim bin Jubair yang merupakan seorang dha’if dan Syi’ah. Bukhari berkata Imam Syu’bah mempertikaikannya. Ahmad berkata bahawa Hakim bin Jubair ialah seorang yang dha’if, mungkarul hadis (seorang perawi dha’if yang mana riwayatnya selalu bercanggah dengan riwayat – riwayat perawi – perawi yang tsiqah). Nasa’i berkata, ” Dia seorang yang tidak kuat”. Daruquthni menulis, ” Dia seorang yang matrukul hadis (seorang yang ditinggalkan hadisnya dan tidak dihiraukan ceritanya). Muadz menceritakan bahawa, ” Kami pernah meminta kepada Syu’bah supaya dikemukakannya hadis – hadis Hakim bin Jubair. Dengan permintaan kami itu beliau lantas menjawab, ” Dengan mengemukakan hadisnya saya bimbang saya akan masuk neraka.” Fallas berkata, ” Bahawa Abdul Rahman bin Mahdi tidak mahu menerima riwayat – riwayatnya dan selalu berkata, ” Walaupun riwayat – riwayatnya adalah sedikit, namun kebanyakannya adalah mungkar (menyalahi riwayat – riwayat orang yang tsiqah). ” Jauzajani berkata, ” Hakim bin Jubair adalah seorang pendusta besar”. Abu Hatim berkata,
“Dia seorang yang dhaif dan matrukul hadis selain dari seorang yang melampau dalam fahaman Syi’ahnya” – (Lihat Mizanu al-I’tidal jilid 1 m/s 583 – 584, Tahzibu at-tahzib jilid 2 m/s 383 dan lain – lain)

Perawi kedua dalam isnad Tirmidzi ini ialah Ali bin Qadim Abu al Hasan al-Khuzaa’i al-Kufi. Yahya bin Ma’in mengatakan, ” Dia seorang yang dhaif”. Ibnu Adi menulis, ” Banyak dari riwayatnya menurut pandangan saya adalah mungkar”. Ibnu Sa’ad juga berkata, ” Dia seorang mungkarul hadis dan dia seorang Syi’ah pekat”. (Mizanu al-I’tidal jilid 3 m/s 150)

Perawi terakhir dalam isnad Tirmidzi ialah Juma’i bin Umar at-Taimi. Dia telah menukilkan hadis ini dari Abdullah bin Umar.

Imam Bukhari menulis tentang Juma’i bin Umar at-Taimi sebagaimana berikut, ” Walaupun dia telah mendengar hadis – hadis dari Ibnu Umar dan A’isyah namun ulama’ hadis mempertikaikan riwayat – riwayatnya.” Ibnu Hibban menulis, ” Dia seorang Rafidhi (Syi’ah pekat). Dia mereka hadis sesuka hatinya.” Ibnu Numair berkata, ” Dia terbilang di antara orang – orang yang paling dusta.” Ibnu ‘ Adi pula menulis, ” Bahawa cerita yang dikemukakannya adalah mungkar. Kebanyakan riwayat – riwayatnya tidak dikemukakan oleh orang lain “. (Mizanu al-I’tidal jilid 1 m/s 421)

Jelaslah sudah bahawa terkumpul dalam isnad Tirmidzi itu tiga orang Syi’ah berturut – turut. Dua daripadanya tertuduh mereka hadis. Perawi – perawi yang tertuduh mereka hadis, riwayat – riwayatnya dihukum maudhu’ dan palsu.

Isnad Hakim pula mengandungi dua orang perawi yang lain iaitu Ishak bin Bishr dan Salim bin Abi Hafsah al-Ijli al-Kufi. Mereka menukilkan dari Jumai’ yang disebut tadi.

(1) Ishak bin Bishr:

Imam Zahabi menulis bahawa Abu Bakar Ibnu Abi Syaibah, Musa bin Harun dan Abu Zura’ah ar-Razi mengatakan dia seorang pendusta besar. Daraquthni menulis bahawa, ” Dia terbilang di antara orang – orang yang selalu mereka hadis. Dia seorang pendusta besar dan pereka hadis”. – (Lihat Mizanu al-I’tidal jilid 1 m/s 186, Kitabu ad -Dhu’afa Wa al-Matrukin m.s. 61)

(2) Salim bin Abi Hafsah al-Ijli al-Kufi

Berkenaannya Fallas berkata, ” Dia seorang dha’if, seorang Syi’ah pelampau.” Nasa’i berkata, ” Tidak tsiqah”. Ibnu ‘ Adi berkata, ” Dia tercela kerana fahaman Syia’ahnya yang melampau”. Muhammad bin Bishr al-Abdi menceritakan bahawa, ” saya pernah melihat Salim bin Abi Hafsah – janggutnya sangat panjang tetapi dia sangat bodoh. Dia selalu berkata, ” Ingin sekali aku ikut serta dalam setiap peperangan yang dilancarkan oleh Ali Alaihissalam”. Jarir b. Abd. Hamid berkata, ” Pernah saya melihat Salim bertawaf Ka’bah sambil mengucapkan talbiah seperti ini, ” Labbaika Muhlika Bani Umayyah (Ku sahut seruanMu oh Tuhan yang membinasakan Bani Umayyah).”

Pernah Umar bin Dzar berkata kepada Salim bin Abi Hafsah, ” Engkau telah membunuh Sayyidina Utsman. ” Dia bertanya,” Bunuh macam mana?” Umar bin Dzar menjawab, ” Bila engkau senang hati dengan pembunuhannya bermakna engkau telah membunuhnya”. Husain bin Ali al Ju’fi menceritakan bahawa, ” Saya pernah melihat Salim bin Abi Hafsah. Dia berjanggut panjang dan sangat bodoh. Salim selalu mengucapkan talbiah begini, ” Labbaika qaatila Na’tsal (Ku sambut seruanMu wahai Tuhan yang membunuh Na’tsal). ” Na’tsal ialah nama seorang Yahudi di Madinah. Golongan Syi’ah telah memanggil Sayyidina Utsman dengan Na’tsal (seolah – olah mereka mahu mengaitkan Sayyidina Utsman dengan si Yahudi yang jahat itu)

Ali bin al-Madini berkata,” Saya pernah mendengar Jarir bin Abdul Hamid berkata, ” Bahawa saya telah meninggalkan riwayat – riwayat Salim kerana dia selalu memusuhi dan menentang orang – oang Sunni bagi pihak Syi’ah”. Ali bin al-Madini berkata, ” Orang – orang yang riwayatnya ditinggalkan oleh Syiah seperti Jarir tentu sekali dia seorang Syi’ah melampau. ” Bukhari menulis bahawa, ” Dia tidak tsiqah”. – (Kitabu ad-Dhu’afa as-Saghir m/s 36). Khalab bin Hausyab pula menyatakan bahawa, ” Dia adalah kepala kepada golongan yang memburuk-burukkan Abu Bakar dan Umar.” – (Lihat Mizanu al-I’tidal jilid 2 m/s 110)

Sekarang lihat pula apa kata pengarang – pengarang kitab hadis maudhu’ tentang cerita ini :

Muhamamd bin Tahir al – Fattani al- Hindi menulis, ” Semua riwayat – riwayat yang menyatakan Sayyidina Ali telah dipersaudarakan oleh Rasulullah s.a.w. dengan dirinya termasuklah riwayat Tirmidzi adalah dha’if” – (Lihat Tazkiratu al – Maudhu’aat m.s. 97). Nasiruddin al- Albani menulis bahawa Imam Ibnu Taimiyah ada menulis dalam kitabnya ‘Minhaju as-Sunnah’ bahawa semua riwayat yang menyatakan Ali dipersaudarakan dengan Rasulullah s.a.w. adalah maudhu’. Imam Zahabi juga menulis demikian dalam ‘Mukhtasar Minhaj as-Sunnah’- (Silsillah al-Hadis ad-Dha’ifah Wa al-Maudhu’aat jilid 1 m.s. 356).

Imam Zahabi dalam Mizan al-I’tidal telah pun menulis bahawa riwayat Jumai’ bin Umair adalah mungkar. Dalam Talkhis Mustadrak pula beliau menulis, ” Jumai’ adalah perawi yang tertuduh dan Ishaq bin Bishr al- kahili adalah seorang yang punah ranah”- (Talkhis al-Mustadrak jilid 3 m/s 14)

Apa yang sebenarnya berlaku ialah Sayyidina Ali telah dipersaudarakan oleh Rasulullah s.a.w. dengan Sahl bin Hunaif al-Ansari. Lihatlah apa yang ditulis oleh Ibnu Katsir, ” Muhammad bin Ka’ab al-Qurazi berkata bahawa Ali telah berhijrah setelah keluarnya Rasulullah s.a.w. dari Mekah. Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan supaya beliau membayar hutang – hutang Baginda s.a.w. dan supaya mengembalikan barang – barang simpanan penduduk Mekahyang disimpan oleh Baginda s.a.w. Rasulullah s.a.w. memerintahkan beliau supaya mengiringi Baginda s.a.w, setelah menyelesaikan semua perintah – perintah yang tersebut tadi. Selepas berhijrah Nabi s.a.w. telah mempersaudarakan beliau dengan Sahl bin Hunaif.” – (Lihat al-Bidayah Wan an-Nihayah jilid 7 m.s. 224)

Daripada keterangan yang lalu, para pembaca sekalian dapat melihat bahawa perawi – perawi dalam Isnad Tirmidzi dan Hakim yang meriwayatkan cerita ini sama bulu dan warnanya dengan Ibnu Ishaq.

7. Umur Aishah r.a. Semasa Berkahwin Dengan Rasulullah

1. Pengenalan
2. Penghargaan Kepada Penulis
3. Mukaddimah

Hujah Pertama – Bertentangan Dengan Fitrah Manusia

Hujah Kedua – Bertentangan Dengan Akal Yang Waras

Hujah Ketiga – Tiada Contoh Ditemui Di Negeri Arab Atau Di Negeri Panas

Hujah Keempat- Riwayat Ini Bukan Hadis Rasulullah S.A.W.

Hujah Kelima – Riwayat Ini Diriwayatkan Oleh Hisham Selepas Fikirannya Bercelaru

Hujah Keenam – Hanya Perawi Iraq Yang Menukilkan Riwayat Ini

Hujah Ketujuh – Aishah R.A Masih Ingat Ayat Al-Quran Yang Diturunkan Di Tahun Empat Kerasulan

Hujah Kelapan – Aishah R.A Masih Ingat Dengan Jelas Peristiwa Hijrah Abu Bakar R.A. Ke Habshah

Hujah Kesembilan – Aishah R.A. Mengelap Luka Dan Hingus Usamah Bin Zaid R.A. Yang Dikatakan Sebaya Dengannya

Hujah Kesepuluh – Ummul Mu’minin R.A. Turut Serta Di Dalam Peperangan Badar

Hujah Ke-11 – Aishah R.A. Menyertai Perang Uhud Sedangkan Kanak-Kanak Lelaki Berumur Empat Belas Tahun Tidak Dibenarkan Menyertai Perang

Hujah Ke-12 – Aishah R.A. Lebih Muda 10 Tahun Dari Kakaknya Asma, Dan Semasa Peristiwa Hijrah Asma R.A. Berumur 27 Atau 28 Tahun

Hujah Ke-13 – Ahli Sejarah At-Tabari Mengatakan Aishah R.A. Lahir Di Zaman Jahilliyah (Sebelum Kerasulan)

Hujah Ke-14 – Aishah R.A. Adalah Antara Orang-Orang Yang Terawal Memeluk Islam

Hujah Ke-15 – Abu Bakar R.A. Bercadang Mengahwinkan Aishah R.A. Sebelum Berhijrah Ke Habshah

Hujah Ke-16 – Aishah R.A. Disebut Sebagai Gadis Dan Bukan Kanak-Kanak Semasa Dicadangkan Untuk Bernikah Dengan Rasulullah
Hujah Ke-17 – Rasullulah Tidak Tinggal Bersama Aishah R.A. Kerana Masalah Mendapatkan Mahar, Bukan Kerana Umur Aishah Yang Terlalu Muda

Hujah Ke-18 – Hadis Yang Mensyaratkan Mendapat Persetujuan Seorang Gadis Sebelum Dikahwinkan Memerlukan Gadis Tersebut Telah Cukup Umur

Hujah Ke-19 – Kebolehan Luarbiasa Aishah R.A Mengingati Syair Yang Biasa Disebut Di Zaman Jahiliyah Membuktikan Beliau R.A. Lahir Di Zaman Jahiliyah

Hujah Ke-20 – Kemahiran Dalam Sastera, Ilmu Salasilah Dan Sejarah Sebelum Islam

Hujah Ke-21 – Keinginan Mendapatkan Anak Dan Naluri Keibuan Tidak Mungkin Timbul Dari Kanak-Kanak Bawah Umur

Hujah Ke-22- Aishah R.A. Sebagai Ibu Angkat Kepada Bashar R.A. Yang Berumur Tujuh Tahun Selepas Perang Uhud

Hujah Ke-23- Wujudkah Perkahwinan Gadis Bawah Umur Di Tanah Arab Dan Dalam Masyarakat Bertamadun?

Hujah Ke-24 – Kesepakatan (Ijmak) Umat Dalam Amalan
Perbahasan Tentang Usia Sebenar Khadijah R.A. Semasa Berkahwin Dengan Rasulullah S.A.W

1. PENGENALAN

Hazrat Allama Mohammad Habibur Rahman Kandhalwi (almarhum) dikenali sebagai salah seorang ulama yang unggul di India -Pakistan. Dalam satu masa yang sama, dia merupakan seorang hafiz dan qari, ulama yang terkemuka dalam bidang tafsir dan hadis, juga seorang penyusun dan pengarang kepada kajian akademik yang tinggi serta penterjemah bahan-bahan akademik dari Bahasa Arab ke Bahasa Urdu.

Kertas kerja ringkas ini adalah berhubung dengan sesuatu isu yang sangat sensitif dan penting. Ia adalah mengenai umur Ummul Mu’minin Saiditina ‘Aishah Siddiq (r.a), semasa berkahwin dan mula tinggal bersama Rasullullah s.a.w. Isu ini menjadi perbahasan berlarutan di antara ulamak dan penyelidik sejak dahulu. Tuan Allama telah mengemukakan idea baru dalam isu ini dan telah menyelesaikan masalah yang penting dan selalu dipertikaikan ini, dan telah berjaya menentukan ‘umur’ sebenar Saidatina ‘Aishah (r.a) berpandukan kepada Ilmu Rijal dan pernyataan para sahabat r.a., ahli hadis dan ahli tafsir, termasuklah pernyataan mutlak oleh Ummul Mu’minin r.a. sendiri.

Adalah penting untuk kebaikan ummah buku ini yang asalnya di dalam bahasa Urdu, diterbitkan dalam Bahasa Inggeris (dan juga Bahasa Melayu). Dengan rahmat Allah, kami telah mencapai objektif ini dengan jayanya. Usaha ini dan juga khidmat-khidmat agama Almarhum Allama Habibur Rahman Kandhalwi adalah layak mendapat setinggi-tinggi penghargaan dan penghormatan. Semoga Allah taala memberi ganjaran yang tidak terhingga kerana khidmatnya yang tidak pernah mengenal penat dan lelah ini. Aamin!

Akhir kata, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada En. Nigar Erfaney, seorang wartawan dan juga penulis berpengalaman, yang telah mengalihbahasa kertas kerja yang rumit dari Bahasa Urdu ke dalam Bahasa Inggeris yang ringkas dan jelas, tanpa menghiraukan kesakitan dan kesulitannya yang berpanjangan.

Shafaat Ahmed
Al-Rahman Publishing Trust (Regd)
Nazimabad, Karachi (PC-74600)
Pakistan.

9 Dis 1997

2. PENGHARGAAN KEPADA PENULIS

Ini adalah kertas kerja bertajuk “Umer-e-Aishah” (Umur ‘Aishah), yang asalnya ditulis dalam Bahasa Urdu dan telah diterjemah dalam Bahasa Inggeris (yang kemudiannnya diterjemah ke dalam Bahasa Melayu pula). Ia adalah tentang umur Saidatina ‘Aishah r.a, anak perempuan Saidina Abu Bakar r.a dan isteri kedua Nabi Muhammad s.a.w, ketika berkahwin dengan Rasullullah s.a.w. Buku ini mengupas tiga persoalan penting iaitu : (1) Bilakah beliau dilahirkan? (2) Berapakah umur beliau semasa bekahwin? (3) Bilakah beliau mula tinggal bersama suaminya s.a.w? Tujuan kertas kerja ini ialah untuk menolak daayah dan propaganda tidak berasas yang dipelopori oleh golongan munafik dan Syiah. Dengan berbekalkan sedikit pengetahuan, saya telah menterjemahkan karangan yang berharga ini atas permintaan peneraju “Al-Rahman Publishing Trust” (Karachi, Pakistan). Sungguhpun ianya adalah tugas yang berat namun kecintaan saya terhadap Ummul Mu’minin r.a. telah memberikan peransang dan kekuatan kepada saya. “Al-Rahman Publishing Trust” yang merupakan sebuah institusi sukarela yang bekerja untuk Islam, seharusnya mendapat pujian yang tinggi kerana mengendalikan amanah penting ini.

Penulis telah mengenalpasti beberapa agenda propaganda oleh puak Syiah, berdasarkan kepada riwayat Hisham seperti berikut:

1- Saidatina ‘Aishah r.a. telah berkahwin dengan Nabi Muhammad s.a.w. ketika berumur enam tahun dan mereka mulai tinggal bersama semasa umurnya sembilan tahun, iaitu selepas Hijrah ke Madinah; dan beliau membawa bersama-sama anak patungnya ke rumah suaminya (Nabi s.a.w.).

2- Saidatina Khadijah r.a. berkahwin dengan Nabi Muhammad s.a.w. pada ketika umurnya 40 tahun.

3- Saidatina Fatimah r.a., anak perempuan Nabi s.a.w telah berkahwin dengan Saidina Ali r.a. sewaktu berumur sembilan tahun, di Madinah selepas Hijrah.

Allama Habibur Rahman Kandhalwi telah menolak sekeras-kerasnya pernyataan di atas dengan mengatakannya adalah tidak berasas dan merupakan suatu pengkhianatan. Beliau seterusnya mengatakan bahawa pernyataan tersebut merupakan konspirasi orang Syiah untuk mencemarkan kehormatan Nabi s.a.w., (yang telah diketahui umum semenjak dari Zaman Jahiliyyah). Tidak syak lagi, hasil kajian oleh Allama Habibur Rahman Kandhalwi ini telah menyedarkan Dunia Islam. Ianya unik dan mempunyai nilai akademik yang tinggi. Meskipun ia adalah sebuah kertas kerja yang ringkas, namun ianya lengkap dan tepat. Beliau telah mengemukakan 24 hujah yang kukuh untuk menyokong pendapatnya. Beliau berhujah berdasarkan al-Qur’an, hadis-hadis dan tafsir atau kata-kata sahabat, termasuklah semua pendapat berhubung dengan al-Qur’an dan as-Sunnah, khususnya dalam bahagian pertama buku ini iaitu daripada hujah pertama hingga hujah kesebelas. Dalam bahagian kedua, daripada hujah ke dua belas sehingga hujah ke dua puluh empat, Allama telah berhujah berdasarkan fakta sejarah, sosiologi, saikologi, seksologi dan statistik. Beliau berjaya membuktikan bahawa cerita yang disebarkan adalah tidak berasas dan direka-reka, dengan tujuan untuk menjatuhkan keperibadian tinggi Nabi s.a.w., isterinya yang soleh iaitu ‘Aishah r.a., dan mereka yang terkemuka dalam Islam, dengan niat jahat dan kempen kotor yang didalangi oleh golongan munafik dan Syiah.

Allama Habibur Rahman Kandhalwi telah didorong oleh kekuatan Iman dan pemahaman yang mendalam orang yang beriman. Beliau telah menyampaikan hujah dan pendapatnya dengan tepat. Pengetahuannya tentang ilmu mantik, sains perubatan, saikologi terutamanya saikologi wanita berkahwin, minatnya kepada prosa dan puisi, dan juga statistik dengan kemahirannya menganalisa fakta-fakta dan perangkaan sepatutnya mendapat sanjungan tinggi. Beliau juga mempunyai kemahiran sebagai seorang guru dalam merumuskan keputusan sebagai seorang pakar statistik.

Dengan izin dan kurnia Allah s.w.t., penulis telah menyelesaikan kekeliruan yang dicipta oleh golongan Syiah di dalam buku-buku yang telah ditulis pada 13 abad yang lalu. Beliau telah membuktikan bahawa:

(1) Saidatina ‘Aishah r.a. telah berkahwin pada usia yang sesuai iaitu 16 tahun (bukannya enam tahun), dan mula tinggal bersama suaminya s.a.w. ketika umurnya 19 tahun (bukannya sembilan tahun) selepas peristiwa Hijrah ke Madinah.

(2) Umur Saidatina Khadijah r.a. adalah 25 tahun (bukannya 40 tahun) semasa beliau mengahwini Nabi Muhammad s.a.w. yang mana pada ketika itu juga turut berumur 25 tahun. Khadijah r.a. bukanlah seorang wanita yang tua semasa berkahwin dengan Rasullullah s.a.w., malah kedua-duanya adalah sebaya. Nabi s.a.w. telah melalui zaman mudanya bersama dengan seorang wanita sebaya di mana mereka memperoleh empat orang anak perempuan dan tiga orang anak lelaki. Mereka saling menyayangi dan menghormati satu sama lain, dan menikmati kebahagiaan hidup bersama.

(3) Anak perempuan Nabi s.a.w., Saidatina Fatimah r.a. telah dilahirkan di Mekah sebelum Nabi dilantik sebagai rasul, dan telah berkahwin dengan Saidina Ali r.a. di Madinah pada usia yang sesuai iaitu 19 tahun (bukannya sembilan tahun).

Beliau telah berjaya membuktikan bahawa Muhammad s.a.w., rasul terakhir, adalah manusia yang paling agung di alam semesta ini dan juga pembimbing serta guru yang terhebat di kalangan umat manusia, tidak mengahwini seorang wanita tua demi kekayaan, juga tidak mengahwini gadis bawah umur (yang berumur sembilan tahun). Baginda ialah seorang yang tinggi adabnya dan bertamadun dan hidup dalam masyarakat yang bertamadun, di mana perkahwinan di bawah umur adalah sesuatu yang hina. Jadi, bagaimana mungkin baginda s.a.w. mengahwini seorang kanak-kanak yanh masih mentah ? Dan juga beliau berjaya membuktikan bahawa tiada perbezaan umur di antara baginda dan Saidatina Khadijah r.a., sorang janda muda, yang mana menunjukkan bahawa baginda melepasi masa mudanya bersama dengann seorang wanita yang sama padan iaitu seorang bangsawan yang telah mendapat gelaran ‘Wanita Suci’ semasa Zaman Jahiliyah di Mekah.

Penulis juga telah menjelaskan mengapa orang-orang munafik dan Syiah terus menerus mengganggu Islam dan orang-orang Islam. Jelasnya mereka mahu menghalang Islam dari disebarkan dan mahu mencampakkan keraguan orang Islam terhadap Nabi s.a.w., Ummul Mu’minin r.a., dan juga pengikut-pengikut Islam yang mulia. Juga mereka ingin menyediakan alasan rapuh kepada orang bukan Islam supaya menolak Islam. Semoga Allah menimpakan laknat ke atas penipu-penipu itu. Orang-orang munafik dan Syiah telah melampaui batas apabila menyebarkan fitnah bahawa Nabi s.a.w. telah mengahwini seorang janda tua yang kaya untuk mengambil kesempatan ke atas harta kekayaannya. Tidak hairanlah masyarakat Kristian di Eropah dan Amerika, mempersendakan Islam dan nabinya dengan menyindir : “Jika kamu tidak ingin papa, kahwinilah seorang janda kaya.”

Penulis juga mendedahkan bagaimana puak Munafik dan golongan Syiah telah memutarbelitkan fakta mengenai Nabi Muhammad s.a.w., isteri pertama, isteri kedua dan anak perempuannya, Saidatina Fatimah r.a. Mereka menggugurkan angka sepuluh daripada 19 (tahun), menjadikan ianya 9 (tahun) daripada umur sebenar Saidatina Fatimah r.a. dan Saidatina ‘Aishah r.a. (yang mana kedua-keduanya sama usia), dan melancarkan dakyah bahawa kedua-duanya berkahwin pada usia sembilan tahun. Yakni, Saidina Ali r.a. mengahwini Saidatina Fatimah r.a. semasa umurnya sembilan tahun, dan Nabi Muhammad s.a.w. telah mengahwini Saidatina ‘Aishah r.a. semasa usianya sembilan tahun. Apakah tujuannya? Puak munafik dan Syiah mahu menunjukkan bahawa umat Islam adalah kaum bangsawan yang penuh nafsu yang berjuang untuk bangsa Arab sahaja (untuk mewujudkan keamanan, perpaduan dan kuasa untuk bangsa Arab sahaja di mana berabad-abad lamanya sebelum ini telah berperang sesama mereka dengan sia-sia);iaitu mereka itu telah berjuang demi ‘perkauman’ dan bukannya untuk segenap umat manusia; dengan ini menenggelamkan mesej Islam yang sebenar iaitu untuk manusia sejagat dan menyeluruh, untuk setiap zaman dan seluruh negara.

Manusia-manusia munafik ini, telah hidup bersama Rasullullah s.a.w. di Madinah. Allah telah membongkar tentang keadaan, niat dan kegiatan-kegiatan orang Munafik ini di dalam Surah Al-Baqarah. Sejak daripada waktu itu mereka tidak mensia-siakan setiap peluang untuk menghalang Islam dan orang-orang Islam. Mereka terus mengganggu, dan mengukuhkan kedudukan mereka di abad kedua Islam. Mereka telah mencampuradukkan fakta sejarah dan adat resam dengan pembohongan. Dengan berlalunya masa, mereka berjaya mencampur-adukkan pernyataan yang benar dan palsu.

Kepalsuan dan pembohongan ini kekal selama berabad disebabkan oleh faktor-faktor berikut:

Pertama sekali, keadaan geografi di abad Pertengahan telah terbukti menguntungkan puak munafik dan para pendusta itu. Kehidupan pada ketika itu adalah ringkas dan terbatas kepada sesuatu masyarakat tertentu. Manusia mengembara apabila benar-benar perlu. Masyarakat pada ketika itu hidup berjauhan dan berasingan dan tidak banyak berhubung.

Meskipun begitu, ilmu pengetahuan terus berkembang dalam setiap aspek, terutama pengetahuan tentang agama. Seni kaligrafi (khat) telah berkembang pesat, tetapi proses percetakan belum dicipta lagi. Seseorang yang menulis buku mati tanpa mencetak dan menyebarkannya. Apabila masa berlalu, manusia-manusia jahat yang menyedari nilai ilmiah penulisan tersebut mula menokok tambah ke dalam buku-buku tersebut perkara-perkara baru berdasarkan khabar angin, cerita dusta dan rekaan. Kesannya, tulisan-tulisan dan buku-buku palsu banyak tersebar di dalam masyarakat. Amalan ini telah berlanjutan dan terus-menerus berlaku sehingga ke Abad Pertengahan.

Keduanya, keadaan sosio-agama yang mempengaruhi keadaan sosial dan politik. Orang-orang bukan Arab seperti Yaman, Mesir, Turki, Parsi dan India yang telah menerima Islam, mula berpindah ke Kufah. Mereka tidak dapat memahami Islam dan masyarakat Islam dengan benar. Mereka tertarik dan condong kepada polisi pemerintah (yang menyeleweng daripada ajaran sebenar) menyebabkan wujudnya perbezaan yang bersifat agama-politik. Beransur-ansur mereka menjadi golongan yang tersendiri, dengan menunjukkan perbezaan yang ketara dalam semua aspek kehidupan dan kepercayaan. Ini merupakan perpecahan yang besar di dalam Islam. Pengikut kepada golongan baru ini dipanggil ‘Sabaites’, dengan Hasan Bin Sabah sebagai ketuanya. Kemudiannya mereka telah dikenali sebagai “Syi’ah” oleh tokoh-tokoh pemikir Islam, terutamanya golongan ahli Sunnah. Syiah adalah bercanggah dengan Islam. Puak-puak Syiah ini sentiasa berusaha keras untuk meyelinapkan masuk penipuan dan tambahan palsu ke dalam ajaran Islam dan seterusnya dianggap ‘benar’ oleh orang-orang Islam.

Yang ketiganya, Ulama Ahli Sunnah telah gagal melihat peristiwa ini secara rasional dan menganggap apa saja yang berlaku ke atas keluarga nabi sebagai sesuatu yang khusus dan istimewa; tanpa menganalisa secara logik untuk membezakan mana yang benar dan dan mana yang palsu, bahkan ramai di kalangan mereka (yang terperangkap dengan daayah golongan munafik dan Syiah) menerima cerita-cerita palsu ini sebagai ‘benar’ dan seterusnya menyebarkannya di dalam ucapan dan penulisan mereka. Akibatnya golongan awam ahli sunnah, dengan tanpa sedar, telah mengiktiraf perkara-perkara karut yang dicipta oleh golongan Syiah dan ianya kekal hingga ke hari ini.

Bagaimanapun, terdapat ramai juga Ulama’ Sunni dan orang awam Sunni yang tahu untuk membezakan antara yang benar dan yang palsu. Mereka dengan lantangnya menentang cerita-cerita karut yang dicipta oleh golongan Syiah ini samada dalam ceramah atau tulisan mereka. Meskipun mereka tidak berdaya menghapuskan pembohongan yang beracun ini sepenuhnya, mereka telah berjaya menyediakan panduan yang jelas untuk generasi akan datang.

Keempat, telah termaktub dalam sejarah bahawa para pendeta Yahudi telah meminda ayat-ayat suci Taurat dan Injil. Mereka juga telah cuba untuk meminda al-Qur’an yang mulia tetapi gagal oleh kerana Al-Quran merupakan Ayat-ayat Suci yang datang daripada Allah yang Maha Kuasa dan Allah S.W.T. sendiri yang bertanggungjawab untuk melindunginya. Namun begitu, mereka telah berjaya menambah cerita-cerita Israiliyat di dalam tafsir-tafsir al-Qur’an. Mereka juga telah berjaya menyebarkan cerita-cerita dan pemikiran karut dan salah tentang adat resam, budaya dan sejarah Islam. Mereka telah menyebabkan sebahagian besar di kalangan orang awam Islam terpesong dari jalan lurus seperti yang dikehendaki oleh Allah taala sebaliknya mengikut ajaran Syiah dalam kepercayaan dan amalan tanpa mereka sedari.

Akhirnya, adalah perlu untuk kita mengenalpasti siapa sebenarnya orang-orang munafik dan Syiah ini, supaya kita tidak berprasangka buruk terhadap penulis-penulis dahulu, samada mereka di kalangan ahli hadis dan tafsir, perawi atau penyusun, ulama ataupun ahli sejarah, atau pun penulis secara umumnya. Mereka adalah Muslim yang baik dan telah meninggalkan warisan yang berharga. Mereka telah meninggalkan kepada kita khazanah ilmu dan penulisan yang amat bernilai. Jadi, sekarang adalah tugas kita untuk menggunakannya sebaik mungkin. Amatlah perlu untuk kita mencari kaedah untuk mengesan dan menilai hasil tulisan mereka untuk membersihkannya dari unsur-unsur palsu dan bohong dan juga cerita-cerita Israliyat. Ini bukanlah suatu perkara baru kepada kita (orang-orang Islam) kerana kita telahpun melakukannya seawal dua abad yang pertama dahulu dalam menilai ketulinan hadis. Kajian dan analisis ini akan membantu membersihkan kotoran daripada tubuh Islam yang bersih ini. Kita juga hendaklah sentiasa ingat bahawa apa-apa perbezaan pendapat di antara kita hanyalah kerana Allah. Dan juga, kita tidak patut melemahkan semangat dan memalukan seseorang tanpa apa-apa keperluan.

Allama Habibur Rahman Siddiqui Kandhlawi telah menunjukkan cara yang praktikal melalui buku kecilnya ini, bagaimana cara yang wajar dan bijak untuk membersihkan hasil-hasil penulisan kita daripada cerita-cerita karut Syiah. Ia merupakan satu sumbangan yang besar daripada Tuan Allama kepada aqidah, sejarah dan adat resam kita.

Allama Habibur Rahman Siddiqui Kandhalwi ialah seorang penulis yang berkaliber. Hasil tulisannnya sebagaimanana buku kecil ini menggambarkan niat baik dan keikhlasannya terhadap Islam. Beliau cuba untuk tidak menyakitkan hati mana-mana Muslim atau golongan Sunni, sebaliknya dengan beraninya mendedahkan penipuan dan kepalsuan dan sifat hipokrit malah kata-kata kufur oleh golongan Syiah yang dilakukannya secara profesional dan penuh ilmiah. Dia meminta ulama dan pengarang-pengarang di kalangan ahli Sunnah supaya sedar dan membetulkan kesilapan mereka apabila menerima dan menganggap cerita-cerita karut Syiah sebagai benar, sebagaimana Allama Iqbal telah berkata dalam satu bait:

“Ummah ini telah hilang warisan budayanya, (dan) kebenaran telah sesat dalam karut marut.”

Hasil kajian oleh Tuan Allama bukan sahaja telah membersihkan kekotoran yang menyelaputi sejarah malah menjadi tauladan kepada masyarakat Islam keseluruhannya. Hendaknya, para ulama, dan pengarang menyemak kembali fakta-fakta yang ada pada mereka dan menyebarkan fakta sebenar terutamanya tentang peribadi-peribadi agung dalam Islam.

Akhir kata, saya ingin berterima kasih kepada kawan saya, Salim Faruqi yang telah banyak memberi nasihat dalam pelbagai peringkat kerja saya. Dan juga, saya amat berterimakasih terhadap En. Sahafa’at Ahmad dari Yayasan Penerbitan Ar-Rahman yang telah mengamanahkan tugas yang penting dan amat bermakna ini dan usaha beliau menerbitkan risalah kecil ini patut mendapat penghargaan setingginya. Moga-moga Allah taala melimpahkan rahmat-Nya terhadap kerja dalam Bahasa Inggeris ini (dan juga Bahasa Melayu.- penterjemah)

8. Anak Cucu Nabi s.a.w. Yang Dilupa Dan Dipinggirkan – Video

9. Perbahasan Tentang Usia Sebenar Khadijah R.A. Semasa Berkahwin Dengan Rasulullah S.A.W.

(Adaptasi dari terjemahan Bahasa Inggeris kertas kerja hasil kajian oleh Maulana Habibur Rahman Siddiqui Kandhalawi. Beberapa pindaan dari teks asal dibuat untuk tujuan menjelaskan fakta.)

Dikatakan bahawa Ummul Mu’minin Saidatina Khadijah r.a. berumur 40 tahun ketika beliau berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Ia adalah suatu riwayat yang yang tidak berasas tetapi telah disebarkan sebegitu rupa dan digarap seolah-olah sebahagian daripada ugama.

Ini adalah percubaan untuk membuktikan bahawa Rasulullah s.a.w. telah melalui zaman mudanya bersama-sama dengan seorang wanita tua. Dalam usia lanjut, beliau r.a telah melahirkan empat orang anak perempuan iaitu Zainab, Ruqayyah, Ummu Kalthum dan Fatimah r.a.; dan tiga orang anak lelaki yang dinamakan Qasim, Tayyab and Tahir. Menurut sesetengahnya pula, beliau r.a. telah melahirkan empat orang anak lelaki; ada seorang yang bernama Abdullah, sedangkan setengah yang lainnya pula menyatakan bahawa yang sebenarnya Abdullah telah dipanggil sebagai Tayyab dan Tahir.

Saidatina Khadijah r.a. telah berkahwin sebanyak dua kali sebelum berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Perkahwinan pertamanya adalah dengan Abu Halah Hind bin Banash bin Zararah. Daripadanya, beliau telah mendapat seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Nama anak lelakinya ialah Hind dan anak perempuannya bernama Halah. Setelah kematian Abu Halah, Khadijah r.a. berkahwin dengan Atiq bin ‘Aid Makhzumi. Daripadanya dia mendapat seorang anak perempuan yang juga bernama Hind. Inilah sebabnya mengapa Saidatina Khadijah r.a. mendapat kunniyah sebagai Ummu Hind. Anak lelaki Saidatina Khadijah, Hind, telah memeluk Islam. (Seerat-un-Nabi, Jilid II, m/s 402).

Di sini, timbul satu persoalan, iaitu Saidatina Khadijah r.a. telah melahirkan empat orang anak sahaja di usia mudanya, namun semasa usia tuanya beliau telah melahirkan tujuh atau lapan orang anak, yang mana ia agak bertentangan dengan logik akal. Sebabnya, menurut Sains Perubatan, seorang wanita menjadi tidak subur untuk melahirkan anak, biasanya apabila melewati usia 45 tahun. Bagaimana pula boleh dipercayai bahawa lapan orang anak telah dilahirkan setelah melepasi usia 40 tahun?

Pihak Orientalis dan musuh-musuh Islam telah memberi perhatian khusus terhadap riwayat ini, kerana peristiwa ini jelas bertentangan dengan akal. Dengan mendedahkan peristiwa seperti ini, mereka mengambil kesempatan untuk mencemuh Islam.

Namun begitu, ulama kita sebaliknya menganggap kejadian ini sebagai ‘satu mukjizat’ Rasulullah s.a.w. Tambahan lagi mereka menganggap inilah keistimewaan nabi s.a.w. kerana sanggup mengahwini wanita yang tua sedangkan baginda s.a.w. sendiri muda belia.

Di pihak yang lain golongan Syiah mendakwa adalah tidak mungkin melahirkan sebegitu ramai anak di usia tua. Oleh itu, Zainab, Ruqayyah dan Ummu Kalthum tidak diiktiraf sebagai anak nabi s.a.w.

Golongan Syiah mengatakan bahawa umur Khadijah r.a. ialah 40 tahun semasa berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Meskipun mereka amat mahir bermain dengan angka, mereka telah melakukan kesilapan bodoh bila mendakwa bahawa Fatimah r.a. dilahirkan lima tahun selepas kenabian. Dalam hal ini, Khadijah sudah berumur 60 tahun semasa melahirkan Fatimah r.a.. Dengan ini tidak mungkin Ruqayyah dan Kalthum adalah anak kepada Khadijah kerana mereka adalah lebih muda dari Fatimah.

Kita akan membuktikan bahawa empat orang anak perempuan ini adalah dilahirkan oleh Saidatina Khadijah r.a. dari Rasulullah s.a.w. Tetapi sebelum itu orang Syiah perlu membuktikan bahawa seorang wanita yang berusia 60 tahun boleh melahirkan anak. Dan apabila mereka membuktikannya, mereka mesti juga membuktikan bahawa Fatimah r.a. adalah anak kepada Khadijah r.a.

Sebenarnya terdapat perbezaan pendapat tentang usia sebenar Khadijah r.a bila berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Ada yang berkata umurnya 40 tahun. Ada yang berpendapat usianya 35 tahun. Yang lain pula mengatakan 30 tahun, dan sesetengah pula mengatakan 27 tahun, manakala ada pula yang menyatakan bahawa usianya 25 tahun. Ahli-ahli sejarah Syiah sependapat mengatakan umurnya 40 tahun, dan mereka menolak pendapat lain. Dan mereka riuh rendah menyebarkan pendapat ‘40 tahun’ ini seolah-olah pandangan lain tidak pernah wujud. Ulama kita dan ahli-ahli sejarah yang terkemudian juga terpengaruh dengan daayah ini dan menyangkakan bahawa pendapat golongan Syiah inilah yang ‘tepat’.

Hafiz Ibn Kathir menulis:

“Baihaqi telah memetik daripada Hakim iaitu apabila Rasulullah mengahwini Khadijah r.a., baginda s.a.w. adalah berumur dua puluh lima tahun dan Saidatina Khadijah r.a. berumur tiga puluh lima tahun, dan ada pendapat lain mengatakan usianya dua puluh lima tahun.” (al-Bidayah, Jilid II, m/s 295)

Dengan lain perkataan, Baihaqi dan Hakim menyatakan bahawa Saidatina Khadijah r.a. berusia tiga puluh lima tahun pada waktu itu. Bersama-sama dengan itu, mereka juga turut mengatakan bahawa ada pendapat bahawa beliau r.a. berusia dua puluh lima tahun.
Di tempat lain, Hafiz Ibn Kathir mengatakan usia Saidatina Khadijah r.a. pada masa kewafatannya, sebagaimana berikut: “Usia Saidatina Khadijah mencapai 65 tahun. Satu pendapat mengatakan beliau meninggal pada usia 50 tahun. Dan pendapat ini (iaitu 50 tahun) adalah yang benar.” (al-Bidayah wan Nihayah, Jilid II, m/s 294)

Ulama Hadis dan ahli sejarah bersetuju bahawa Saidatina Khadijah r.a. menjalani hidup sebagai isteri Rasulullah s.a.w. selama 25 tahun dan beliau r.a. meninggal dunia pada tahun ke-10 Kerasulan. Hafiz Ibn Kathir berkata; ‘pendapat yang benar adalah usianya mencecah 50 tahun’ telah membuktikan bahawa usia Saidatina Khadijah pada masa perkahwinannya ialah 25 tahun. Dan juga, Hafiz Ibn Kathir juga telah membuktikan bahawa ‘maklumat’ yang diterima pada hari ini (iaitu umur Khadijah r.a. 40 semasa berkahwin dengan Rasulullah s.a.w.) adalah salah dan tidak benar sama sekali..

Meskipun dengan fakta yang sebegini jelas, kita masih mempercayai (dan terperangkap) dalam berita yang lebih merupakan khabar angin semata-mata.

Apabila kami mengkaji ‘Al-Bidayah wan-Nihayah’ yang ditulis oleh Ibn Kathir, barulah kami menyedari akan kesilapan kami. Semoga Allah yang Maha Kuasa mengampuni kami, kerana kami adalah mangsa kepada suatu salah faham yang besar. Moga Allah yang Berkuasa mengurniakan kepada kita semua kefahaman akan Kebenaran.

Wallahua’lam

10. Isu Yang Berlegar Di Sekitar Perkahwinan Zainab Binti Jahsy Dan Penjelasan Mengenainya – Video

Sumber Asal Artikel : http://www.darulkautsar.net

http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35

Categories: Sejarah
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: