Home > Khutbah Jumaat > Khutbah Jumaat Minggu Ini – "Peranan Rakyat & Pemimpin"

Khutbah Jumaat Minggu Ini – "Peranan Rakyat & Pemimpin"

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT. dengan mengerjakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita semua beroleh kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Sempena menyambut hari Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada tahun ini, marilah kita sebagai rakyat negeri ini meningkatkan kesyukuran kita kehadrat Allah S.W.T. atas limpah kurnia-Nya yang telah menganugerahkan nikmat yang tidak terhingga banyaknya kepada kita, terutama nikmat kemantapan iman dan kesejahteraan hidup serta hubungan kemesraan antara kita sebagai rakyat dengan raja yang memerintah.

          Hubungan mesra antara rakyat dengan raja merupakan amalan yang sudah sekian lama terjalin, yang memberi kebaikan kepada semua rakyat jelata. Oleh itu, kita sewajarnya meneruskan suasana ini.

          Menurut Ibnu Khaldun, sesebuah masyarakat tidak dapat dipisahkan daripada wujudnya seorang pemimpin. Kewujudan pemimpin masyarakat Islam sama ada bergelar imam, khalifah, raja atau sebagainya, adalah sesuatu keperluan. Ini bertepatan dengan Firman Allah S.W.T. di dalam surah An-Nur ayat 55:

“Allah menjanjikan orang yang beriman dan beramal soleh di kalangan kamu, bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

          Menurut sejarah, cetusan awal yang mendorong semangat menuntut kemerdekaan adalah lahir daripada pemikiran Tokoh-tokoh Islam seperti Jamaluddin Al-Afghani, Muhammad Iqbal dan Muhammad ‘Abduh. Sebahagian daripada mereka memperoleh semangat itu dengan melihat himpunan besar umat Islam dalam peristiwa Ibadat Haji saban tahun. Seruan itu kemudiannya disebut pula oleh Tokoh Pemimpin Dan Ilmuan dari Nusantara termasuk dari tanahair kita. 

          Justeru, adalah wajar kita menyedari bahawa Islam mengajar kita agar tidak tunduk kepada sebarang kuasa luar yang menghalang manusia mengikut ajaran Allah S.W.T.

          Islam jugalah yang mengajar kita supaya tunduk menjadi hamba Allah S.W.T.   Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Mukmin ayat 66 yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku dilarang menyembah benda-benda yang kamu sembah selain daripada Allah, setelah datang kepadaku keterangan-keterangan yang jelas daripada Tuhanku, dan aku diperintahkan supaya patuh kepada Tuhan sekalian alam”.   

Demikianlah misi agama Islam, yang mengajak manusia hanya tunduk kepada Allah S.W.T., tidak tunduk kepada manusia atau kuasa yang lain. Oleh itu, kita tidak wajar sama sekali membiarkan tanahair kita dikuasai atau dipengaruhi oleh mana-mana pihak, amat wajarlah kita mempertahankan kedaulatan  dan kemerdekaan negara kita.

Sidang Jumaat sekalian,

          Kedaulatan bererti kekuasaan tertinggi. Aspek pertama kedaulatan adalah kedaulatan pemerintahan. Ia bererti pemerintah dan rakyatnya bebas dalam menguruskan hal-hal pemerintahan dan pentadbiran tanpa campur tangan dari orang luar.

          Aspek kedua dalam kedaulatan pula adalah Kedaulatan Wilayah. Setiap negara mempunyai sempadan dan batasan wilayahnya. Dalam hubungan ini, Islam meletakkan Unsur Pertahanan Negara sebagai keutamaan.

          Islam mewajibkan umatnya berjuang dan berjihad mempertahankan tanah air. Kewajipan itu menjadi fardhu ‘ain ke atas setiap umat apabila musuh telah berada di dalam wilayah Islam.  Dalam suasana aman, maruah dan kedaulatan negara Islam, wajib terus dipertahankan. Janganlah ada di kalangan kita yang menjadi pengkhianat dan rela pula menjual maruah agama dan kedaulatan negaranya untuk mendapatkan habuan bagi dirinya sendiri. Sebarang tindakan dalam bentuk penghinaan mahu pun campur tangan luar perlu ditentang, demi memelihara agama dan tanahair kita.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

          Pemimpin menurut pandangan Islam ialah mereka yang menganggap bahawa jawatan yang disandangnya itu bukanlah satu keuntungan dan kebanggaan. Akan tetapi, ia dilihat sebagai amanah dan tanggungjawab berat lagi mencabar.  Makin tinggi kepimpinan itu, semakin banyaklah tanggungjawab yang mesti diselesaikannya.

          Sebagai contoh, umat Islam terdahulu patuh dan taat kepada pimpinan Rasulullah s.a.w.  Segala perintah yang disampaikan, dipatuhi dan larangannya ditinggalkan. Kewajipan ibadat solat, membayar zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dipatuhi dengan penuh ikhlas. Demikian juga apabila Baginda membacakan wahyu yang diterima, seperti melarang minum arak. Mereka semua segera mencurahkan arak yang ada dalam simpanan mereka ke tanah dan berhenti meminumnya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

          Pembangunan insan hendaklah disemarakkan lagi bagi membentuk Insan-insan Rabbani yang progresif, cergas dan tangkas dalam membangunkan diri, masyarakat, negeri dan negara, iaitu:

Peranan pemimpin yang baik adalah;

Pertama:   Membentuk rakyat yang berilmu, beriman dan berakhlak.

Ketinggian ilmu, kemantapan iman dan kecemerlangan akhlak, adalah unsur-unsur penting kepada pembinaan kemajuan syakhsiah dan negara yang cemerlang. Jatuh bangunnya tamadun manusia bergantung pada penghayatan ilmu, pemilikan iman dan akhlak oleh setiap lapisan masyarakat.

Kedua:    Mengekalkan perpaduan, keharmonian dan keamanan negeri dan negara.

Adalah menjadi tanggungjawab setiap lapisan masyarakat untuk mengekalkan perpaduan, keharmonian dan keamanan. Usaha bersungguh-sungguh hendaklah dilaksanakan untuk mengeratkan hubungan sesama Islam, meskipun mereka berbeza pendapat, budaya dan adat.  Inilah asas kekuatan untuk mengekalkan perpaduan, keharmonian dan keamanan sebuah negara. 

Ketiga:    Sentiasa memberi contoh terbaik agar sentiasa menjadi ikutan.

Rasulullah s.a.w. telah diutuskan oleh Allah S.W.T. sebagai model untuk diikuti dalam setiap perkara. Dalam sirah Islam, Rasulullah s.a.w. dihormati bukan sahaja di kalangan sahabat dan orang Islam, malah dikagumi oleh orang bukan Islam. Ini disebabkan peribadi Baginda yang unggul. Kita perlu menyedari bahawa setiap langkah dalam kehidupan yang baik sudah tentu akan membawa kejayaan yang lebih besar dan mendapat keredhaan Allah S.W.T. Firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 120:

“Sesungguhnya Allah S.W.T. tidak menghilangkan pahala bagi  orang yang berbuat baik”.    

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

          Rasulullah s.a.w. sering mengingatkan umatnya tentang urusan pemerintahan.  Antaranya sabda Baginda yang bermaksud:

“Akan wujud kemudian nanti pemerintah yang menjalankan tugas dengan penuh pengetahuan dan melakukan perkara-perkara yang ditugaskan. Di samping itu, akan wujud juga nanti pemerintah yang menjalankan tugas tanpa pengetahuan dan melakukan perkara-perkara yang tidak ditugaskan. Sesiapa yang membetulkan pemerintah sedemikian, bermakna dia telah menjalankan tugasnya dan sesiapa yang menyekat pemerintahan sedemikian, ia akan selamat”.
        (Maksud Hadis Riwayat Abu Ya’la)

          Sebagai manusia yang diciptakan Allah S.W.T. mereka tidak sunyi daripada sifat lupa dan melakukan kesilapan, sama ada sedar atau tidak. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memberikan peringatan atau teguran kepada siapa juga yang melakukan kesilapan.  Allah S.W.T. memberikan pengiktirafan terhadap budaya ingat-mengingati sebagaimana Firman-Nya dalam surah Adz-Dzariyaat ayat 55:

“Teruskanlah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah bagi orang yang beriman”.

          Bagaimanapun, di samping memberikan ruang yang luas untuk sesiapa sahaja menegur dan menasihati mereka yang melakukan kesilapan. Islam juga menggariskan adab serta tatacara tertentu dalam tegur-menegur. Ini bertujuan bagi memastikan teguran atau nasihat yang diberikan dapat memelihara ukhuwwah, selain menyedarkan individu yang melakukan kesilapan tersebut. Teguran dan kritikan itu juga berkemungkinan dapat membangun nilai dan kesan positif, kepada orang yang ditegur. Antara perkara yang diambil kira ketika memberi teguran ialah keikhlasan hati, baik sangka dan menjaga maruah atau kehormatan individu yang ditegur itu.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

          Setiap rakyat dan para pemimpin mempunyai peranan dan fungsi masing-masing. Oleh itu, amat wajar kita semua menjalankan tugas seperti yang diamanahkan supaya hidup kita di atas dunia ini dikurniakan keberkatan dan kesejahteraan oleh Allah S.W.T.  Sikap suka bantu-membantu, tolong-menolong, bertolak ansur, berbaik sangka, adalah antara sifat-sifat utama yang perlu diamalkan untuk membina perpaduan yang teguh.
Kecuaian kita menjalankan amanah Allah akan mengakibatkan kita terdedah kepada kemurkaan Allah S.W.T.

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Kalaulah ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasiq”.

KHUTBAH KEDUA

Ya Allah, Engkaulah  Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan. 

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat,  suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujianMu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Khutbah Jumaat Bacaan 10 Disember 2010
Sumber : JAIS

Categories: Khutbah Jumaat
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: