Home > Tauhid / Akidah > Kenali Dirimu, Kenali Tuhanmu… (2/2)

Kenali Dirimu, Kenali Tuhanmu… (2/2)

Jika Dia nyatakan melalui kalam Al-Quran melalui lisan Rasul-Nya yang mulia bahawa Dia berada di‘arasy, adapun istiwa’, Rasul dan para sahabat menyerahkan makna kepada Diri-Nya. Begitu juga jika Dia mengatakan bahawa Dia bercakap dengan Musa (a.s) di Bukit Tursina atau mengatakan turun ke langit pertama pada waktu malam, atau mengatakan Dia dekat dengan hamba-Nya atau mengatakan diri-Nya di sebelah kanan, atau mengatakan Dia ketawa, wajib diri kita menerimanya dan menyerahkan makna kepada Diri-Nya dan tidak mentakwilkan sebagai sama dengan sifat makhluk. Apabila Dia mengatakan di ‘atas’, (maka) ‘atas’ yang layak bagi sifat diri-Nya, bukannya ‘atas’ sebagaimana yang difahamkan makhluk.
Begitu juga dengan sifat-sifat yang lain, ia tetap tidak sama dengan makhluk kerana kewujudan-Nya adalah bersifat dengan sifat yang tiada pada makhluk.
Golongan yang menyamakan sifat Tuhan sebagaimana sifat makhluk seperti duduknya sama seperti makhluk, atau mengatakan atas sebagaimana atasnya makhluk, turun bagaimana turunnya makhluk atau ketawa sebagaimana makhluk adalah golongan yang terkeluar dari pegangan sejati seorang mukmin. Ini adalah pegangan mujassimmahyang menyamakan Tuhan dengan makhluk. Jika Tuhan memerlukan tempat sebagaimana tempatnya makhluk, Dia adalah lemah dan berlawanan dengan sifat Kaya-Nya iaitu Qiamuhubinafsih iaitu berdiri dengan sendirinya tanpa berhajat kepada makhluk, sedangkan makhluk berhajat kepada-Nya.
Jika ada golongan yang mengatakan Allah berada di atas ‘arasy, sebagaimana makhluk, ia hendaklah memahami bahawa ‘arasy  adalah makhluk, ia bersifat baharu. Jika Allah berada di ‘arasy atau di langit, sebelum Allah menciptakan ‘arasy, diri-Nya ada di mana? Jika Dia berada di ‘arasy, besar manakah ‘arasyuntuk menampung kebesaran Tuhan, berapakah ukuran lebar dan panjangnya? Jika Tuhan boleh diukur panjang dan lebar, bermakna Tuhan mempunyai jisim sebagaimana makhluk-Nya sedangkan ia bertentangan dengan firman-Nya bahawa Dia tidak menyamai makhluk-Nya.
Begitu juga dengan firman-Nya :
Aku berada dimana kamu berada…” (Al-Hadid : 4), adakah Dia bersama dengan hamba-Nya di sebelah atas, atau di kanan atau di kiri atau di belakang atau di bawah atau dalam diri, tiadalah kita ketahui bagaimanakah yang dikatakan kehampiran sebagaimana firman-Nya,
Aku lebih dekat denganmu lebih dari urat leher kamu…” (Qaaf : 16)
Justeru itu wahai diriku dan hamba-hamba-Nya, bertakwalah kepada-Nya dan terimalah bahawa Dia adalah Tuhan yang memiliki segala sifat yang kaya, dan akal tidak mampu pergi lebih jauh untuk membahaskan sifat Kaya Tuhan, sebagaimana kata Saidina Abu Bakar r.a : Lemah dari segala pendapat itulah pendapat”.
Sebaiknya kita menyerah akan maknanya kepada diri-Nya Yang Agung apabila kita bertemu dengan ayat yang kita tidak fahami seperti ayat Mutasyabihah, kerana Dia yang lebih mengetahui tentang Diri-Nya, Sifat-Nya, Af’al-Nya dan Asma’-Nya. Namun, hendaklah kita menghormati para ulama yang mentakwilkan dengan tujuan mensucikan Tuhan dari disifatkan seperti makhluk, supaya terselamat umat ini dari terjerumus ke lembah kesesatan dalam kefahaman mengenai Tuhan.
Banyak perkara di alam ini yang dinyatakan oleh diri-Nya tidak dapat dihuraikan oleh akal, apalagi tentang kehebatan diri-Nya. Manusia tidak (mampu) memberi jawaban jika ditanya persoalan ruh didalam dirinya. Dimanakah ia berada dalam diri, bagaimanakah rupanya? Berapa beratkah ia? Begitu juga apabila kita ditanyakan tentang udara, bagaimanakah wujudnya? Dimanakah letaknya, di atas, di bawah, di kanan atau di kiri? Insan tidak dapat melihatnya tetapi boleh mengetahui kewujudanya dengan pelbagai cara. Ia berada didalam diri dan diluar insan, dan insan tidak boleh hidup tanpanya.
Insan juga boleh mengetahui adanya angin apabila melihat pohon bergoyang. Insan hanya boleh melihat dalil tetapi tidak mampu meneroka lebih jauh melebihi kemampuan akal yang diberi. Diri-Nya mencipta makhluk seperti udara supaya insan memahami bahawa ada perkara dalam kehidupan seharian tidak mampu mereka lihat dan memahaminya dan menjawab persoalan mengenainya.
Begitulah juga sifat ma’ani-Nya iaitu melihat, mendengar, berkata-kata, berilmu, berkudrat, beriradat dan hidup. Walaupun Dia menyatakan sifat ini pada makhluk-Nya namun ia tiada persamaan dengan makhluk pada hakikatnya. Sifat melihat Tuhan tidak sama dengan makhluk, Dia tidak memerlukan mata, Dia tidak terbatas, tiada apa yang tersembunyi dari penglihatan-Nya sama ada yang nyata atau yang ghaib, sama ada yang kita lahirkan atau yang kita sembunyikan.
Begitu juga sifat-sifat-Nya yang lain dimana ia melazimi sifat ma’anawiyah. Namun apa yang perlu kita fahami bahawa segala sifat makhluk ini adalah takluk pada sifatwahdaniah iaitu satunya Tuhan. Apabila dirimu wahai insan memahami hakikat wahdaniah ini, dirimu akan melihat kekuasaan-Nya dan fanalah segala kekuatan yang ada pada makhluk. Segala gerakdiam dan kelakuan di alam ini adalah takluk dibawah qudrat iradah-Nya. Tidak bergerak satu zarah pun dari gerak alam ini melainkan dengan izin-Nya. Inilah pegangan ahli Tauhid yang hakiki sehingga mereka tidak bergantung hati mereka kepada sesuatu yang lain, mereka tidak takut pada yang lain, mereka tidak meminta pada yang lain, mereka tidak mencintai yang lain melainkan Allah.
Dirimu dengan Diri-Nya tidak pernah bercerai walaupun satu saat. Setiap degupan jantungmu, setiap hembusan nafasmu, setiap pandanganmu, setiap pendengaranmu, setiap gerak hatimu, setiap ilmumu adalah dibawah taklukdiri-Nya. Dia Tuhan yang mencipta kamu, Dia adalah Rabb yang sentiasa memelihara, Dia tidak mengantuk atau tidur, Dia sentiasa mengawasi dan memerhati hamba-Nya. Tidak bergerak dirimu melainkan dari gerak-Nya, tiada melihat kamu melainkan dari melihat-Nya, tiada mendengar kamu melainkan dari pendengaran-Nya, tiada berilmu kamu melainkan dari ilmu-Nya.
Hakikat diri mu kosong (fakir), segala gerak dan fungsi jasadmu adalah dari gerak dan sifat ruh, dan segala gerak dan sifat pada ruhmu adalah dari Tuhanmu. Begitulah Dia amat hampir dengan hamba-Nya yang Dia sentiasa bersama dalam segala kelakuan hamba-Nya.
Firman-Nya :
Dan Dia bersama kamu dimana kamu berada.” (Al-Hadid : 4)
Dirimu dengan Tuhanmu tidak pernah berpisah tetapi sifat dirimu tidak bersatu dengan Tuhanmu. Engkau hanya menyatakan wujud dan sifat-Nya tetapi bukannya diri-Nya sebagaimana berlakunya salah faham dikalangan pencari dan pencinta diri-Nya. Mereka tidak faham terdapatnya mufaraqah(garis pemisah) yang amat halus diantara sifatmu dengan sifat Tuhan. (Bandingannya) bagaikan air laut dengan air sungai yang bertemu di muara, ia bersatu pada penglihatan tetapi berpisah pada hakikat.
Dalam kitab Kasyaful Asrar diterangkan dengan kiasan asap dengan api. Apabila kita melihat asap di udara, dengan sendirinya kita mengatakan bahawa adanya api. Ini disebabkan asap dengan api tidaklah berpisah tetapi kedua unsur ini tidak bersatu. Asap tetap asap, api tetap api. Begitu juga cahaya dengan lampu, cahaya keluar dari lampu tetapi lampu bukannya cahaya dan cahaya bukannya lampu. Bersatu bukannya bermakna dirimu asal Tuhanmu, kamu adalah baharu dan Diaqadim. Ruh dan segala sifat yang dimiliki adalah baharu, ia dicipta oleh-Nya namun dirimu tidak berpisah dari segala apa yang kamu miliki, atau perbuatan kamu melainkan dari izin-Nya.
Firman-Nya :
Aku yang menjadikan kamu dan segala perbuatan kamu”. (As-Shafaat : 96)
Tiada boleh kita melihat, mendengar, bercakap, berilmu, berkuasa, berkehendak, hidup melainkan dengan diri-Nya. Insan memerlukan 9 sifat Iftiqar diri-Nya untuk hidup di alam ini iaituWahdaniah(ﻭﺣﺪﺍﻧﻴ), Qudrat (ﻗﺪﺭ), Iradat (ﺇﺭﺍﺩ), Ilmu (ﻋﻠ), Hayat (ﺣﻴﺎ), Kaunuhu Qaadiran (ﻛﻮﻧﻪ ﻗﺎﺩﺭ), Kaunuhu Muriidan (ﻛﻮﻧﻪ ﻣﺮﻳﺪ), Kaunuhu ‘Aliman (ﻛﻮﻧﻪ ﻋﺎﻟﻤ) dan Kaunuhu Hayyan (ﻛﻮﻧﻪ ﺣﻴ). Segala sifat yang ada pada kita adalah baharu kerana sifat qadim tidak layak berada di tempat yang baharu iaitu alam ini, namun segala sifat dan kehidupan kita ini berada dibawah takluk kudratiradah dan ilmu-Nya. Ia takluk dalam sifat wahdaniah iaitu Tuhan yang satu.
Segala ilmu yang ada pada alam ini dari apa jua bangsa, sama ada ilmu yang berbentuk keduniaan atau akhirat adalah dari Ilmu Tuhan yang satu. Persoalan ini perlu difahami dengan teliti agar kita tidak menjadi seperti kaum Jabariah yang mentafsirkan manusia bagaikan kapas, tiada memiliki apa-apa kekuatan dan tidak bertanggungjawab diatas apa-apa yang berlaku, semuanya Tuhan sehingga meninggalkan ikhtiar dan usaha.
Begitu juga dengan fahaman Qadariah yang mengatakan bahawa apa yang berlaku sama ada baik atau buruk, gagal atau berjaya adalah dari manusia itu sendiri, tiada hubungan dengan Tuhan. Pegangan Ahli Haq berada ditengah-tengah fahaman ini dimana mereka tidak meninggalkan ikhtiar dan usaha kerana ia adalah takdir yang ditetapkan oleh Allah,  namun dalam hakikatnya Allah yang menentukan segalanya. Misalnya bila perut terasa lapar, dengan segala sifat yang dicipta oleh Tuhan, insan wajib berusaha mencari makanan kerana ia takdir untuk menghilangkan lapar. Apabila kita mendapat makanan, kita disuruh bersyukur kerana hakikat yang mengenyangkan perut kita adalah Allah, bukannya makanan.
Mengharapkan kenyang semata-mata dengan menyerahkannya kepada Allah tanpa mahu berusaha adalah fahaman Jabariah. (Sebaliknya) apabila kenyang dengan tidak melihat hakikat kenyang dan bertemu rezeki adalah dari Allah (tetapi) melihat kepada daya usaha dan kebijaksanaan dirinya adalah fahaman Qadariah. Justeru, berhati-hatilah wahai saudaraku agar engkau tidak terjerumus dalam pegangan batil ini. Ia tidak bersumber dan tidak menepati kehendak Pencipta.
Contoh tauhid yang hakiki ditunjuk-Nya melalui perjalanan Rasul-Rasul-Nya, sahabat-sahabat Nabi dan para kekasih-Nya. Fahamilah wahai saudaraku tentang hakikat dirimu agar engkau tidak derhaka kepada Tuhanmu, agar engkau tidak takabur dengan-Nya sehingga lupa kepada-Nya, sehingga tidak mematuhi perintah-Nya.
Untuk memahami persoalan KeTuhanan ini, tidaklah cukup hanya berdiri dipintu ilmu, dipintu perbahasan, dipintu Ilmu Kalam atau Ilmu Usul, kerana (adanya) beberapa perkara yang tidak boleh dijelaskan dengan akal dan lisan tetapi dapat dihuraikan melalui pembukaan hati (mukasyafah) melalui jalan para ahli sufi. Segala Ilmu KeTuhanan adalah dalam milik diri-Nya. Para ahli sufi mendalami ilmu KeTuhanan dengan Tuhan sendiri melalui tajalli ke dalam hati. Mereka dipanggil para ‘ArifbiLlah iaitu orang yang benar-benar kenal akan Tuhan. Inilah ilmu yang paling tinggi dalam martabat ilmu yang dimiliki oleh insan di dunia ini. Hal ini perlu dirujuk kepada ahlinya.
Oleh itu, amatlah penting untuk kita memahami penghuraian sifat-sifat Allah melalui jalan Sifat 20 dan pengenalan diri agar sempurna martabat Ilmu Yakin yang wajib difahami dan dipegang oleh para mukmin yang mengharap keredhaan Tuhan. Kita juga wajib memahami pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah dengan sebaik-baiknya dan aqidah yang batil agar dengan ilmu yang kita miliki menjadi cahaya dalam kehidupan ini.
Wallahu ‘alam. 
Kitab Cahaya Rabbani – Perisai Diri Para Salik
al faqir Ibrahim Mohamad Asy-Syathari

Sumber Artikel : Kuliah Ad-Deen


Categories: Tauhid / Akidah
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: