Home > Tauhid / Akidah > Kenali Dirimu, Kenali Tuhanmu… (1/2)

Kenali Dirimu, Kenali Tuhanmu… (1/2)


“Dan pada diri kamu adakah tiada kamu melihat (dalil-dalil sebagai bukti)…” (Adz-Dzariyat : 21)

Berkata ‘ArifbiLlah : Sesiapa yang mengenal dirinya akan mengenal ia akan Tuhannya.”

Wahai saudaraku, kenalilah dirimu!

Siapakah diri kita ini, sehingga mengenalnya kita, nescaya kita dapat mengenal Tuhan. Inilah yang perlu kita fahami dan membuat kajian yang mendalam dengan penuh keinsafan dan kerendahan hati agar kita dapat menemukan kunci kebahagiaan insan.

Pengenalan diri telah menjadi permulaan wahyu yang diturunkan dari langit kepada penghuni di bumi yang kerdil ini.

Firman Allah :
“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhan kamu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah…” (Al-‘Alaq : 1-3)

Diri insan adalah pintu untuk seseorang hamba itu menempuh ke Alam KeTuhanan. Manusia tidak akan dapat mengenal hakikat Tuhannya yang hakiki melalui pintu yang lain. Pintu yang lain hanya memberi jawaban kepada kebenaran wujud-Nya, kebijaksanaan-Nya dan Kekuasaan-Nya. Insan masih teraba-raba dengan beberapa persoalan terhadap sifat KeTuhanan-Nya yang amat hebat.

Firman Allah Ta’ala :
Wahai manusia, sesungguhnya kamu fakir kepada Allah, dan Allah Maha Kaya dan Maha Terpuji.” (Al-Faathir : 15)

Renungkanlah dirimu sedalam-dalamnya dengan akal yang dikurniakan Tuhan agar kamu menjadi hamba yang berilmu. Siapa yang benar mengenal dirinya, akan binasalah dirinya, tenggelamlah ia dalam lautan kefakiran, tenggelamlah ia dalam lautan ketiadaan keakuan.

Telah dikiaskan oleh para kekasih Allah tentang wujud makhluk ini. Bagaikan seorang yang menyusur sebatang anak sungai dan melihat imej penuh sepohon kayu didalam air, apabila ia menempuhnya, pohon kayu tadi tiada memberi apa-apa halangan. Begitulah hakikat wujud makhluk ini, ia kelihatan ada tetapi kewujudannya bagaikan bayang-bayang.

Didalam kitab Kasyaful Asrar dinyatakan bahawa wujud insan adalah bayang-bayang kepada wujud Tuhan. Tiada akan wujud bayang-bayang ini jika tiada yang empunya bayang-bayang, tiada bergerak bayang-bayang melainkan bergeraknya tuan empunya bayang-bayang.

Syeikh Abdul Malik Abdullah (Tok Pulau Manis) dalam syarah Al-Hikam Syeikh Ibnu ‘Athaillahmengatakan dalam matan yang pertama bahawa insan itu perlulah memahami bahawa ia adalah fakir, lemah, jahil, buta, tuli, bisu dan segala apa yang dimilikinya adalah hak milik Allah SWT. Justeru itu mereka yang mengenal dirinya wajib atasnya merendah diri dan merasa amat berhajat kepada Allah. Ia tidak boleh takabur dengan amalnya kerana amalnya adalah datang dari kurniaan Tuhan, bukannya dari kekuatan dirinya.

Allah itu ghaib, bagaimana mahu mencapai-Nya? Wujud Allah itu penuh rahsia, bagaimana mahu mencari-Nya? Allah itu tidak berjisim, bagaimana mahu melihat-Nya? Inilah persoalannya, namun setiap persoalan ada jawabannya.

Para ‘arifbillah telah mengeluarkan kata-kata hikmah mereka bahawa pintu jawaban kepada soalan tersebut adalah dengan mengenal diri. Diri manusia adalah pintu untuk mengenal Tuhan yang Ghaib, sesiapa yang mendalami dirinya sebenarnya ia sedang mendalami rahsia Tuhan.

Adam dicipta dari tanah, ia adalah sarung untuk ditempatkan ruh. Ruh adalah rahsia Tuhan yang tinggi. Allah menyatakan wujud-Nya di alam ini dengan kenyataan wujud makhluk-Nya. Manusia yang berakal yang berpegang kepada hukum logik tidak boleh menolak kewujudan Tuhan. Mereka yang menolak kewujudan Tuhan ialah mereka yang menentang logik mereka.

Hukum akal tidak menerima setiap sesuatu yang wujud tanpa ada yang menciptanya. Hujah mereka yang mengatakan setiap yang wujud wajib dapat dilihat adalah amat lemah. Kerana banyak perkara di alam ini diakui kewujudannya tetapi tidak dapat dilihat seperti perasaannya sendiri iaitu sedih, gembira, dengki, dendam, rindu, cinta dan sebagainya. Begitu juga dengan kewujudan nyawa dalam badannya, kewujudan fikiran pada otaknya. Kewujudan udara di sekelilingnya, kewujudan gelombang dan pelbagai lagi.

Janganlah kita membohongi diri kita, janganlah kita melawan suara hati kita, janganlah kita melawan suara fitrah kita bahawa diri ini ada penciptanya, diri ini ada yang sentiasa memelihara, diri ini ada yang menentukan kehidupannya. Apa yang perlu bagi kita bukannya membahaskan perkara yang sudah nyata, tetapi kita melangkah lagi ke dalam lautan pengenalan diri-Nya dengan meneroka diri ini agar bertambah cinta dan kasih pada-Nya, sehingga diri ini fana dalam lautan diri-Nya. 

Apabila kamu memandang diri kamu, memandang kewujudan dirimu, maka kamu wajib memahami bahawa kamu ada pemiliknya. Wujud kamu menyatakan wujud diri-Nya. Dia ghaib dan kamu nyata, Dia hakikat dan kamu syariat, Dia adalah wujud dan kamu adalah bayang bagi wujud-Nya. Lihatlah diri kamu lagi, pandanglah segala sifat yang ada pada diri kamu, lihatlah matamu, lihatlah telingamu, lihatlah mulutmu, lihatlah akalmu, lihatlah gerak diammu, lihatlah rasa hatimu. Semuanya tidak lain melainkan kenyataan akan Sifat-Sifat-Nya. 

Dia menyatakan sifat Ma’ani-Nya yang tujuh kepada dirimu agar mengenal dan mencintai-Nya. Dia memberitahu kamu dengan bahasa yang hanya difahami oleh mereka yang merindui-Nya, mereka yang mempunyai ilmu tentang-Nya. Dia seolah mengatakan :
Wahai hambaku, padamu Aku telah menyatakan segala Sifat-Sifat Diri-Ku. Aku Tuhan yang melihat dan Aku nyatakan pada matamu, Aku Tuhan yang mendengar, Aku nyatakan pada telingamu, Aku Tuhan yang berkata-kata, Aku nyatakan pada suara dari mulutmu, Aku berilmu dan Aku nyatakan pada akal kamu, Aku berkuasa dan Aku nyatakan pada gerak diam kamu, Aku berkehendak dan Aku nyatakan pada hati kamu”. 

Fahamilah lebih dalam lagi wahai insan bahawa apabila kamu melihat, bukan matamu yang melihat, ia hanya alat. Hakikat yang melihat adalah ruh dan hakikat penglihatan yang ada pada ruh daripada Aku. Apabila kamu mendengar, bukan telinga kamu yang mendengar, ia hanyalah alat sahaja, hakikat yang mendengar ialah ruh dan hakikat pendengaran itu dari Aku. Begitulah sifat-sifat yang pada dirimu tiada lain adalah hakikat dari Diri-Ku. Aku yang menciptakan makhluk dan segala sifatnya agar makhluk mengetahui kewujudan-Ku dan mengenali-Ku.”
Fahamilah bahawa Ruh dan segala sifat yang dimilikinya adalah dicipta oleh Allah, bukanlah ia sifat Allah yang Qadim, ia adalah baharu. Ruh dicipta dengan memiliki sifat-sifat KeTuhanan bagaikan seorang anak yang memiliki sifat ayah dan ibunya, walaupun tidak sama tapi mempunyai iras. Begitulah sifat Tuhan dengan hamba-Nya, walaupun mempunyai persamaan dari bahasa dan sifatnya tetapi amat berlainan dari segi hakikatnya.

Apabila kita mengatakan sifat wujud, ia juga ada pada makhluk namun wujud diri-Nya amat berlainan dengan wujud makhluk-Nya. Kewujudan-Nya bersifat dengan sifat Salbiah (menafikan segala sifat yang tidak layak bagi Tuhan), Istighna (Kaya) yang tiada pada wujud makhluk. Wujud makhluk ada permulaan sedangkan wujud-Nya tiada permulaan (Qadim). Inilah kehebatan-Nya dan amatlah lemah bagi akal memikirkannya untuk sampai kepada kemuncak rahsia-Nya. Namun akal tidak boleh menerima Tuhan yang menciptanya lemah sepertinya.

Seorang hamba tidak boleh menerima pencipta-Nya juga dicipta. Jika Dia dicipta, dimanakah sifat kehebatan-Nya sebagai Tuhan dan apakah beza kewujudan-Nya dengan hamba-Nya. Sebelum huruf-huruf yang lain dihadapannya, adanya huruf alif dan sebelum huruf alif ia bermula dengan titik dan titik tiada permulaan.

Setiap persoalan dalam kehidupan yang tidak sampai kepada Tuhan, ia tiada memberi jawaban yang haq, ia belum sampai kepada hakikat ilmu. Setiap persoalan yang masih bertanya ‘siapakah sebelum Tuhan’, melambangkan tiada kematangan pada akalnya. Dimana akal wajib menerima bahawa setiap sesuatu itu perlu ada kesudahannya, dan kesudahan dalam KeTuhanan ialah wajib menerima sifat Kaya Tuhan yang layak Dia mengaku sebagai Tuhan dan kita sebagai hamba-Nya.  

Wujud makhluk menerima kebinasaan sedangkan wujud-Nya tidak menerima binasa, tiada akhirnya. Alangkah tenang dan rendah hati ini apabila Tuhan yang kita sembah tiada binasa sebagaimana makhluk-Nya. Jika Dia binasa apa akan terjadi pada alam dan diri hamba-Nya. Kepada siapa lagi untuk mereka bergantung dan mengadu, siapakah yang akan membalas kezaliman, kehinaan, penipuan, penyiksaan, fitnah yang dikenakan kepada hamba-hamba-Nya yang lemah dalam kehidupan ini? Siapakah yang akan membalas segala kebaikan hamba-Nya yang sanggup berkorban untuk kesenangan orang lain, yang sentiasa membantu insan yang lemah, yang sangat amanah, yang sangat mencintai orang miskin dan anak yatim, mereka yang membela nasib kehidupan manusia, mereka yang banyak menabur bakti dalam kehidupannya?

Manusia perlukan keadilan dan kekalnya diri-Nya tanpa binasa telah memberi jawaban bahawa keadilan akan dilaksanakan walau satu zarah sekalipun. Jika Dia juga binasa, makhluk tidak boleh menerima-Nya sebagai Tuhan, wajib bagi kewujudan-Nya kekal. Kewujudan-Nya tetap tidak menyamai makhluk-Nya. Dia terkaya dari segala yang terkaya, Dia berlainan dari segala yang berlainan. Dia tidak berjisim, Dia tidak berjirim, dengan sifat ini Dia tidak memerlukan tempat, tidak memerlukan ruang, tidak terikat dengan sifat atas, kanan, kiri, bawah dan atas
Bersambung…

Sumber Artikel : Kuliah Ad-Deen


Categories: Tauhid / Akidah
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: