Home > Khutbah Jumaat > Khutbah Jumaat Minggu Ini – "Menghargai Cuti Persekolahan"

Khutbah Jumaat Minggu Ini – "Menghargai Cuti Persekolahan"

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian ,

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memperbanyakkan amal soleh dan berusaha memperbaiki diri pada setiap detik dan masa sebelum ajal yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T datang menjemput kita.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Cuti persekolahan hujung tahun sememangnya merupakan waktu yang amat dinanti-nantikan oleh sebahagian ibubapa dan juga semua anak-anak yang bersekolah. Ini adalah kerana waktu ini para ibubapa sudah merancang percutian anak-anak mereka sama ada untuk pergi melancong, berkelah, pulang ke kampung halaman dan sebagainya. Perkara-perkara seperti ini jika dirancang dan dilakukan mengikut lunas-lunas Islam sudah tentu memberikan banyak kebaikan kepada anak-anak disamping dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama keluarga dan saudara-mara. Islam sebagai agama persaudaraan amat menekankan betapa pentingnya hubungan persaudaraan sesama insana sebagaimana firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 21:

“Dan orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan (iman, silaturrahmi dan lain-lain), dan takut kepada (kemurkaan) Tuhan mereka, serta bimbang kepada hitungan amal yang sukar (pada hari Kiamat)”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Tidak dinafikan juga terdapat ibubapa yang tidak mengambil peduli tentang cuti persekolahan anak-anak mereka. Kerana itu sering kita dapati anak-anak remaja berpeleseran di kompleks-kompleks membeli-belah, di dataran-dataran dan sebagainya tanpa sebarang halatuju yang bermanfaat. Perwatakan mereka juga berubah seolah-olah mereka bukan lagi seorang pelajar yang terikat dengan disiplin-disiplin ilmu. Kita harus menyedari bahawa cuti persekolahan bukanlah bermakna membiarkan anak-anak hidup sebebas-bebasnya kerana ini hanya akan mengundang banyak perkara negatif dalam diri mereka. Kita harus sedar bahawa anak-anak mudah terpengaruh dengan arus globalisasi yang membawa masuk pelbagai bentuk budaya negatif dan bertentangan dengan budaya murni umat Islam. Antaranya seperti budaya songsang, kes-kes buli, pergaduhan, vandalisme, mencuri, membunuh dan sebagainya. Ini seterusnya akan memburukkan lagi masalah moral dan sosial yang telah berlaku di dalam masyarakat kita hari ini.

Isu-isu berkaitan perlakuan negatif di kalangan pelajar sejak kebelakangan ini sudah semakin hangat diperkatakan dan amat membimbangkan banyak pihak. Budaya berjinak-jinak dengan rokok di kalangan pelajar sekolah semakin berleluasa. Gejala merempit juga didapati berlaku di kalangan mereka sehingga sebahagian daripada mereka ditangkap oleh pihak berkuasa. Tidak kurang pula pelajar-pelajar yang suka melepak di kaki-kaki lima mahupun di pusat-pusat membeli-belah sama ada pada waktu persekolahan apatah lagi pada hujung-hujung minggu. Perkara ini sekiranya dibiarkan berlarutan sudah tentu akan mendatangkan kesan yang amat buruk kepada generasi yang akan datang.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah S.W.T,

Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

“Rebutlah lima perkara sebelum berlakunya lima perkara; masa mudamu sebelum tiba masa tuamu, masa sihatmu sebelum tiba masa sakitmu, masa kayamu sebelum tiba masa fakirmu, masa lapangmu sebelum tiba masa sibukmu dan masa hidupmu sebelum tiba kematianmu.”

(Riwayat Al-Baihaqi)

Hadith ini mengingatkan kepada kita agar sentiasa mensyukuri dan menghargai nikmat masa yang telah dianugerahkan. Sesungguhnya masa yang dianugerahkan ini terlalu cepat meninggalkan kita. Masa tidak akan menunggu kita, sebaliknya kitalah yang mesti mengejarnya. Justeru kita sebagai ibubapa yang prihatin dengan masa depan anak-anak, seharusnya berusaha menanamkan sifat menghargai masa dan membudayakannya dalam kehidupan seharian mereka. Anak-anak harus dididik bagaimana untuk memanfaatkan masa yang ada dengan perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan. Mereka juga harus sentiasa diingatkan betapa masa yang telah berlalu pergi tidak akan kembali lagi. Masa itu diibaratkan seperti emas yang amat berharga; yang mesti dipelihara dengan sebaik-baiknya oleh setiap orang yang memilikinya. Hukama’ ada menyebutkan;

“Waktu itu umpama mata pedang, jika kamu tidak memotongnya maka ia akan memotong kamu”.

Justeru cuti sekolah yang ada ini seharusnya tidak disia-siakan, bahkan mestilah digunakan dengan sebaik-baiknya oleh semua pihak untuk membina generasi yang benar-benar memiliki sahsiah dan jati diri yang tinggi. Dalam masa yang sama, program-program yang dijalankan ini secara langsung akan dapat mengelakkan anak-anak daripada membazirkan masa dan terjebak dengan perkara-perkara negatif.

Kini, kita dapati pelbagai pihak telah berusaha melaksanakan program-program motivasi dan peningkatan jati diri kepada anak-anak remaja yang masih di alam persekolahan, sama ada oleh individu-individu, Badan-badan NGO mahupun agensi-agensi kerajaan. Menjelang cuti persekolahan ini juga kita dapati bermacam-macam program ditawarkan dan disediakan untuk anak-anak mengisi cuti persekolahan mereka. Ianya secara tidak langsung dapat membantu para ibubapa yang tidak berkesempatan merancang cuti persekolahan anak-anak mereka disebabkan bebanan kerja, kesibukan berniaga dan lain-lain dengan aktiviti yang berfaedah dan berguna untuk anak-anak. Antara aktiviti yang ditawarkan sepanjang cuti persekolahan ini adalah;

Pertama : Kem Motivasi Pelajar.

Kedua : Program Hafaz Al-Quran.

Ketiga : Program belajar Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.

Keempat : Program Khemah Ibadah.

Kelima : Program Usrah Pelajar.

Keenam : Program Daurah di masjid-masjid terpilih anjuran JAIS dan lain-lain.

Program-program sebegini seharusnya diambil peluang oleh para ibubapa supaya melibatkan anak-anak yang sedang dalam cuti persekolahan, agar cuti yang mereka lalui akan lebih bermakna.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Ibubapa mempunyai tanggungjawab yang besar dalam membentuk keperibadian anak-anak mereka. Anak-anak adalah amanah Allah S.W.T yang mesti dijaga dan dipelihara dengan sebaiknya. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Anfal ayat 28:

” Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar “.

Tanggungjawab ini tidak sewajarnya diserahkan kepada pihak sekolah semata-mata. Malah ibubapalah yang seharusnya memainkan peranan yang lebih besar dalam membentuk anak-anak mereka. Maka cuti persekolahan ini adalah waktu yang paling sesuai untuk ibubapa mengambil sepenuhnya tanggungjawab ini. Rancanglah cuti mereka agar dipenuhi dengan perkara-perkara yang bermanfaat sama ada dengan melakukan aktiviti keluarga, menghantar mereka ke kursus-kursus motivasi, kelas-kelas tuisyen dan sebagainya.

Kita menyeru kepada semua pihak seperti Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), masjid-masjid dan sekolah-sekolah agar memainkan peranan yang lebih pro-aktif setiap kali menjelangnya cuti persekolahan. Mereka boleh merancang program-program yang serupa sebagaimana yang dijalankan oleh Badan-badan NGO atau yang lainnya. Pihak PIBG tentu menyedari bahawa tidak semua ibubapa berkemampuan menghantar anak-anak mereka ke program-program anjuran pihak-pihak swasta kerana memerlukan kos yang agak tinggi. Justeru PIBG dengan bantuan pihak sekolah, pihak Jabatan Pelajaran mahu pun orang ramai bolehlah merancang suatu program yang bermanfaat di sepanjang musin cuti persekolahan.

Sidang Jumaat yang Dirahmati Allah,

Pada masa ini, program seperti SPIES, Daurah dan Tunas Ilmuan Negeri Selangor ketika ini juga sebenarnya telah memberikan sumbangan yang bermakna kepada pembinaan sahsiah anak-anak kita. Dengan ini, cuti persekolahan yang dilalui oleh pelajar-pelajar sekolah akan menjadi lebih bermakna.

Sesungguhnya tanggungjawab dan peranan kita sebagai ibubapa amatlah besar terhadap anak-anak yang merupakan amanah daripada Allah S.W.T. Namun masa yang diberikan untuk menunaikan tanggungjawab ini adalah amat terbatas. Al-Syahid Imam Hasan Al-Banna pernah mengatakan bahawa kewajipan kita adalah lebih banyak berbanding masa yang ada pada kita. Oleh kerana itu, setiap masa dan detik yang kita lalui seharusnya dipergunakan dengan sebaiknya agar kita tidak lagi dipersoalkan di hari akhirat nanti.

“Mereka beriman kepada Allah dan Hari Penghabisan, mereka menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah perkara yang munkar dan bersegeralah mengerjakan pelbagai kebajikan; mereka itu termasuk orang-orang yang soleh”.

(Surah Ali-Imran:114)

KHUTBAH KEDUA

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujianMu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Sumber : JAIS


Categories: Khutbah Jumaat
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: