Archive

Archive for the ‘*Solat Fardhu Berjemaah’ Category

Muhasabah Diri Melalui Azan

Azan dalam Islam bermaksud memaklumkan. Ia sinonim dengan bilal atau muazzin yang bertujuan untuk mengajak sekalian umat Islam mengerjakan Rukun Islam kedua.

Ia juga sebagai tanda masuknya waktu solat dan beralihnya peredaran masa daripada subuh, tengahari, petang, malam hinggalah ke awal pagi keesokan harinya.

Namun, cuba kita tanyakan diri, apakah yang kita lakukan sebaik sahaja terdengarnya azan?

Adakah kita mendiamkan diri sambil menghayati setiap kalimah azan yang dilaungkan oleh bilal dan menjawabnya satu persatu?

Atau terus bangun untuk membersihkan diri dan mengambil wudhu’ serta bersedia untuk mengerjakan solat?

Mungkinkah hanya membiarkan seruan azan itu berlalu begitu sahaja tanpa menghiraukannya?

Bagaimana pula dengan azan melalui corong radio mahupun televisyen, berapa ramai yang terus menghayati dan berapa kerat pula yang terus menukar siaran sebaik sahaja azan ke udara?

Mari kita berkongsi sedikit waktu untuk menyelidiki apa yang tersirat di sebalik makna panggilan azan itu melalui makna dalam bahasa.

ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar
ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar

Sebutan empat kali “ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar” ini menunjukkan betapa Agungnya ALLAH SWT, lantas menyedarkan kita betapa kebesaranNya mengatasi segala apa yang ada di langit dan di bumi.

Waktu ini seharusnya fikiran kita difokuskan pada fitrah kejadian seorang manusia sebagai khalifah. Tinggalkan segala hal duniawi dan terus menunaikan kewajipan untuk sujud kepadaNya tanpa sebarang alasan.

Aku naik saksi tiada Tuhan selain ALLAH
Aku naik saksi tiada Tuhan selain ALLAH

Sebutan sebanyak dua kali “Aku naik saksi tiada Tuhan selain ALLAH” yang memberi kesaksian tentang sifat keEsaan Allah. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain ALLAH.

Lantas menyedarkan kita tentang syahadah kita. Sesungguhnya dengan solatlah syahadah kita terjaga. Dari solat yang khusyuklah syahadah memelihara kita. Lalu apakah alasan kita untuk mengelak dari melakukan hal yang paling utama dari segala perkara yang utama di dunia ini?

Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH
Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH

Sebutan sebanyak dua kali “Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH” ini memberi kesaksian tentang kerasulan Rasulullah saw. Mengingatkan kita betapa Nabi Muhammad saw. itu sebenar-benarnya utusan dan kekasih ALLAH SWT.

Selepas solat sebaiknya berselawatlah kepada Rasul Junjungan kita dan para keluarga mahupun sahabat Baginda saw..

Pengorbanan dan akhlak Nabi saw. menjadi contoh bagi sekalian umat. Betapa sayangnya Nabi pada umat Baginda sehingga nafas terakhirnya diakhiri dengan kalimah “ummati..ummati..“.

Syafaatnya antara rahmat yang diberi pada umatnya. Lantas ringankanlah diri berselawat kepadanya. Cinta kita pada Baginda saw. masih tidak setanding cinta Baginda saw. pada kita.

Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH
Marilah mendirikan solat

Sebutan dua kali “Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH dan Marilah mendirikan solat” adalah mengajak untuk menunaikan solat.

Sebaiknya solat itu adalah solat berjemaah. Solat adalah penghubung seorang hamba dengan Tuhannya.

Sudah ditetapkan ada lima waktu solat fardhu perlu ditunaikan. Seandainya kita mengelak dengan pelbagai alasan sekalipun ia tetap dikira sebagai ‘hutang’ di sisi ALLAH.

Kita sebagai hamba perlu melunaskan kewajipan sebelum ALLAH swt. melunaskan untuk kita (Azab Neraka).

Bilakah agaknya kita betul-betul bersedia untuk menunaikan solat dengan sempurna?

Adakah kita mempunyai waktu yang cukup untuk menggantikan segala solat yang telah tertinggal?

Sesungguhnya hari ini tidak akan sama dengan semalam dan jauh berbeza dengan esok. Tidak sama pagi yang ada matahari dan malam yang bertemankan bulan.

Lalu solatlah diawal waktu dan gantikanlah solat yang telah tertinggal.

Marilah menuju kejayaan
Marilah menuju kejayaan

Sebutan dua kali “Marilah menuju kejayaan” yang sama banyak dengan panggilan solat.

Sesungguhnya orang yang menang dan berjaya di sisi ALLAH ialah orang yang tetap mengerjakan solat dengan hati yang khusyuk.

Ini juga menunjukkan Islam menggalakkan umatnya untuk mencapai kejayaan yang pasti bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat sana.

Kejayaan yang sebenar-benarnya bukan sahaja dari berapa banyak harta kita, tetapi betapa kita menjagaNya di hati kita dengan menunaikan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Sebaik-baiknya tinggalkan dahulu kerja mencari harta untuk dunia untuk mengerjakan solat sebagai bekalan di akhirat sana sejurus sahaja seruan azan dilaungkan.

ALLAH Maha Besar, ALLAH Maha Besar
Tiada Tuhan selain ALLAH

Kita diingatkan kita sekali lagi betapa besar dan agungnya ALLAH SWT. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH. Manusia itu mudah lupa dan lemah, tetapi ALLAH itulah sumber kekuatan kita.

Solat yang sempurna dapat mencegah diri dari melakukan perbuatan cela.

Kalaulah diri mudah mengikut ajakan teman-teman walaupun pujukan tanpa sebarang alat pembesar. Kenapa azan yang dilaungkan dengan lantang langsung tidak terendah oleh akal dan fikiran apalagi jasad?

Walhal, Syaitan sekalipun akan berlari bertempiaran tatkala terdengar laungan azan menunjukkan betapa azan ini mampu memberi rasa GENTAR pada syaitan.

Adakah kita ingin menjadi lebih teruk daripada makhluk tersebut, tiadakah rasa gentar dan takut dalam hati kita tatkala nama ALLAH dilaungkan?

Ingatlah, selagi kita terdengar kalimah ALLAH dari azan yang dilaungkan, persiapkan diri untuk solat.

Kerana kita tidak tahu sampai bilakah lagi laungan ini akan kedengaran di cuping telinga.

Andai panggilan menghadapNya sudah tiba, sudah tentu kita tidak mampu menangguhkannya apalagi mengelak.


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35

Mengapa 27 Kali Ganda? : (1) Menjawab Seruan Azan

February 27, 2011 Leave a comment

Assalamualaikum.

Kelebihan Pertama : Menjawab Seruan Azan

Berkata al-Hafiz Ibnu Hajar mengenai kelebihan yang pertama: “Menjawab seruan muazzin dengan niat ingin menunaikan solat fardhu secara berjemaah”

Ulasan

Maksud Azan

Dari segi bahasa : Memberi tahu
Dari segi Istilah Syarak : Memberitahu waktu solat dengan menggunakan lafaz tertentu

Berkata Imam al-Qurtubi dan ulama’ lainnya: Azan, walaupun sedikit sahaja kalimahnya, tetapi terkandung di dalamnya persoalan-persoalan mengenai akidah. Buktinya ialah azan itu dimulai dengan ucapan takbir Allahu Akbar yang mengandungi makna dan erti kewujudan Allah SWT dan kesempurnaanNya. Kemudian kalimah berikutnya menyimpan makna ketauhidan kepada Allah SWT dan menafikan syirik kepadaNya. Setelah itu ianya mempastikan kebenaran kerasulan Nabi Muhammad SAW. Selepas itu azan mengajak kepada ketaatan khusus iaitu ibadah solat kepada Allah SWT. Ianya disebut mengiringi ucapan penyaksian terhadap kerasulan Rasulullah SAW, kerana ibadah ketaatan tidak dapat diketahui melainkan dengan perantaraan Rasulullah SAW. Kalimah berikutnya mengajak kepada kejayaan iaitu kebahagiaan kekal abadi, yang ditujukan kepada kewujudan Alam Akhirat.

Akhirnya azan diakhiri dengan diulangi kembali lafaz pertama tadi sebagai menguatkan lagi persoalan akidah yang utama iaitu kewujudan Allah SWT. Dengan gema seruan azan tercapai matlamat untuk memberitahu masuknya waktu solat, mengajak kepada solat berjemaah dan menzahirkan syiar Islam.

Berdasarkan kepada ulasan Imam al-Qurtubi itu, peranan azan di dalam mengajak manusia kepada solat berjemaah sangat besar. Oleh kerana itulah, Islam memberi ganjaran yang sangat besar bagi sesiapa yang menjawab seruan azan dan kemudiannya datang ke masjid untuk solat berjemaah.

Berdasarkan kata-kata al-Hafiz Ibnu Hajar di atas, pengajaran yang diambil oleh seseorang mukallaf yang menjawab azan dengan niat ingin menunaikan solat fardhu secara berjemaah adalah lebih afdhal daripada seorang yang menjawab azan tetapi di dalam hatinya tidak ada pun niat ingin melaksanakan solat tersebut secara berjemaah.

Bahkan Rasulullah SAW memberi amaran yang sangat keras kepada sesiapa yang mendengar azan tetapi tidak datang solat berjemaah. Ini terkandung di dalam sabdanya yang telah diriwayatkan oleh Imam Daaruqutni yang bermaksud:

Daripada Abdullah bin Abbas RA, daripada Nabi SAW, sabdanya: “Sesiapa yang mendengar azan, tetapi tidak menjawabnya, maka tidak sempurna atau tidak diterima solatnya melainkan jika dia uzur”

Dalam hadis lain Rasulullah SAW telah menegaskan dengan keras bahawa sesiapa yang enggan datang ke masjid walaupun setelah mendengar azan, maka dia adalah munafik. Hadis ini telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam at-Thobraani yang bermaksud:

Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Munafik ialah sesiapa yang mendengar seruan Allah yang mengajak kepada solat berjemaah, tetapi dia tidak menjawabnya”

Apabila seorang mukallaf mengambil berat dengan solat berjemaah dan sentiasa datang ke masjid, pada kebiasaannya bila dia mendengar azan, dia akan segera menjawabnya dengan penuh khusyuk dan penuh rasa tanggungjawab. Dia akan meninggalkan segala kerja-kerja dunianya dan terus segera bersiap sedia untuk solat berjemaah selepas azan dikumandangkan. Sikap seperti ini sudah tentu tidak wujud dalam diri seorang munafik yang tidak ada niat dan keinginan untuk melaksanakan solat fardhu secara berjemaah. Justeru itu, sudah tentu orang yang menjawab azan dengan niat ingin menunaikan solat fardhu berjemaah lebih afdhal daripada orang yang menjawab azan tetapi tidak ada niat tersebut.

Menjawab Azan

Mengenai lafaz yang digunakan untuk menjawab azan, Imam Muslim telah menyebutkan di dalam kitab sahihnya, hadis yang telah diriwayatkan daripada Umar bin Al-Khattab RA yang bermaksud:

“Berkata Umar: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Apabila muazzin berkata : الله اکبر,الله اکبر maka kata olehmu: الله اکبر,الله اکبر, apabila dia berkata: اشهد ان لا اله الا الله, maka kata olehmu: اشهد ان لا اله الا الله, apabila dia berkata: اشهد ان محمدا رسول الله, maka kata olehmu: اشهد ان محمدا رسول الله, apabila dia berkata: حى على الصلاة, maka jawab olehmu: لا حول ولا قوة الا بالله, apabila dia berkata: حى على الفلاح, maka jawab olehmu: لا حول ولا قوة الا بالله, apabila dia berkata: الله اکبر,الله اکبر, maka kata olehmu: الله اکبر,الله اکبر. Akhir sekali apabila muazzin mengucapkan: ان لا اله الا الله, maka dia hendaklah menjawab juga: ان لا اله الا الله. Sesungguhnya sesiapa yang mengucapkan kesemua ungkapan-ungkapan di atas dengan ikhlas daripada hatinya, nescaya dia akan dimasukkan ke dalam syurga”

Kelebihan menjawab azan sangat besar fadhilatnya sebagaimana yg telah termaktub di dalam kitab-kitab hadis yang muktabar. Berikut dinyatakan sebahagian daripadanya:

Hadis Pertama

Daripada Abdullah bin Amru bin al-‘As RA katanya: “Sesungguhnya suatu hari aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu mendengar azan yang dikumandangkan oleh muazzin, maka hendaklah kamu menjawab azan seperti ucapan yang dilakukan oleh muazzin. Kemudian berselawatlah ke atas diriku. Sesungguhnya sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak sekali nescaya Allah SWT akan selawat yakni menurunkan rahmat ke atasnya sebanyak sepuluh kali. Selepas itu pohonlah kepada Allah SWT bagi diriku al-Wasilah. Sesungguhnya al-Wasilah itu merupakan suatu kedudukan atau darjat yang sangat istimewa dan tertinggi di dalam syurga yang hanya layak untuk salah seorang saja daripada hamba-hamba yang sangat mulia di sisi Allah di akhirat kelak dan aku mengharapkan bahawa akulah hamba itu. Justeru itu, sesiapa yang memohon untukku al-Wasilah, nescaya dapatlah baginya syafaatku” (Hadis riwayat Imam Muslim di dalam kitab sahihnya)

Hadis Kedua

Daripada Jabir bin Abdillah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa yang berdoa ketika mendengar seruan azan dengan doa: “Ya Allah, Tuhan yang telah mensyariatkan seruan Azan dan sembahyang yang didirikan, kurniakanlah kepada penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w. ketinggian dan kelebihan serta kedudukan yang terpuji yang Engkau telah janjikan” nescaya dia akan mendapat syafaatku pada hari kiamat kelak”. (Riwayat Imam Bukhari di dalam kitab sahihnya)

Selain ganjaran pahala yang besar yang diperolehi dengan menjawab azan dan kelebihan berdoa memohon al-Wasilah untuk Rasulullah SAW selepas azan, para jemaah juga berpeluang merebut masa keemasan. Maksud masa keemasan ini ialah Rasulullah SAW telah memberitahu kita di dalam hadis bahawa selang masa di antara Azan dan Iqamah merupakan masa mustajab untuk berdoa. Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Tidak akan ditolak permohonan doa (yang dilakukan) ketika selang masa di antara Azan dan Iqamah. Lalu para sahabat bertanya: “Apakah yang sepatutnya kami pohon, ya Rasulullah!” Jawab Rasulullah: “Mintalah kepada Allah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat”.

Wallahu’alam. InsyaAllah bersambung..


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


Mengapa 27 Kali Ganda? : *Pendahuluan

February 20, 2011 Leave a comment

Assalamualaikum.

Pembaca yang dihormati dan dikasihi sekalian,

Catatan ini adalah sambungan daripada siri Jom Ke Masjid sebelum ini. InsyaAllah di bawah tajuk ini (Mengapa 27 Kali Ganda?) saya akan menjadikannya suatu catatan bersiri. Ianya akan mengupas kelebihan 27 kali ganda itu sendiri.

Mengapa 27 Kali Ganda?

Ada sebahagian ulama’ telah membuat kajian, mencari alasan dan sebab mengapa Rasulullah SAW menyatakan bahawa solat fardhu berjemaah lebih afdhal 27 atau 25 kali ganda berbanding solat bersendirian. Kesimpulan yang mereka dapat ialah kerana terdapat pada solat berjemaah itu 27 atau 25 kelebihan lain yang tidak terdapat pada solat bersendirian. Salah seorang ulama’ yang berbuat sedemikian dari kalangan mereka ialah al-Hafiz Imam Ibnu Hajar al-Asqalaai.

Di dalam kitabnya Fathu al-Baari, al-Hafiz Imam Ibnu Hajar telah menyebutkan satu persatu 27 kelebihan yang terdapat pada solat berjemaah yang tidak terdapat pada solat bersendirian sebagaimana berikut:

  1. Menjawab Seruan Azan
  2. Bersegera Datang Ke Masjid
  3. Berjalan Ke Masjid
  4. Berdoa Ketika Masuk Masjid
  5. Solat Tahiyatul Masjid
  6. Menunggu Didirikan Solat Berjemaah
  7. Para Malaikat Mendoakan Keampunan dan Rahmat Untuknya
  8. Para Malaikat Menjadi Saksi Mereka
  9. Menjawab Iqamah
  10. Terselamat Daripada Gangguan Syaitan
  11. Berdiri Sambil Menanti Takbiratul Ihram
  12. Mendapat Takbiratul U’la Bersama Imam
  13. Membetulkan Saf Solat dan Memenuhkannya
  14. Menjawab Kata-Kata Imam Ketika Bangkit dari Ruku’
  15. Selamat Daripada Terlupa dan Menolong Imam Dengan Mengingatkannya
  16. MemperolehiKhusyu’ dan Terselamat Daripada Perkara yang Melalaikannya
  17. Mengelokkan Keadaan Solat
  18. Para Malaikat Mengerumuni Mereka
  19. Mempelajari Tajwid Al-Quran, Rukun Dan Sunat Solat
  20. Menzahirkan Syi’ar-Syi’ar Islam
  21. Menyulitkan Syaitan Melakukan Godaan
  22. Menyelamatkan Diri Daripada Sifat Munafik Dan Menghapuskan Buruk Sangka
  23. Menjawab Salam Imam
  24. Saling Mendapat Manfaat Di Antara Satu Sama Lain Ketika Berdoa, Berzikir dan Dari Segi Keberkatan
  25. Merapatkan Hubungan Silaturrahim Dan Berdisiplin Dengan Waktu Solat
  26. Mendengar Dan Memberi Perhatian Bacaan Imam
  27. Mengucap Amin Bersama Imam

Di atas adalah 27 kelebihan yang disebutkan di dalam Kitab Fathu al-Baari. Untuk lebih memahaminya, insyaAllah saya akan catatkan pula dalil dan ulasan setiap satu kelebihan tersebut pada siri-siri yang berikutnya.

Wallahu’alam. InsyaAllah bersambung..


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


Jom Ke Masjid Siri 5 : Kelebihan Solat Berjemaah (6)

January 26, 2011 Leave a comment

Kelebihan Solat Isyak, Subuh dan Asar Berjemaah

Sebagai tambahan kepada kelebihan yang telah disebutkan pada siri-siri yang lepas, terdapat banyak hadis yang menerangkan bahawa solat Isyak, Subuh dan Asar yang dilakukan secara berjemaah mempunyai banyak kelebihan dan besar ganjarannya. Kelebihan-kelebihan yang dimaksudkan antaranya ialah:

Solat Isyak berjemaah seperti solat separuh malam. Solat Subuh berjemaah seperti solat semalaman.

Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

Daripada Abu Hurairah RA, katanya: “Rasulullah SAW telah bersabda: “Jika manusia mengetahui kelebihan yang tersirat disebalik solat Isyak dan Subuh yang didirikan secara berjemaah nescaya mereka akan (bertungkus lumus) mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak”

Berkata Imam Nawawi dalam mengulas hadis tersebut: “Pengajaran di dalam hadis ini ialah Rasulullah bersunguh-sungguh menggalakkan umatnya supaya datang ke masjid atau tempat yang seumpamanya untuk solat Isyak dan Subuh secara berjemaah”

Selain itu, Imam Muslim juga ada meriwayatkan hadis yang bermaksud:

Daripada Abdul Rahman bin Abu Amrah RA, katanya: “Suatu malam Uthman bin ‘Affan RA telah masuk ke dalam masjid selepas selesai didirikan solat Maghrib. Lantas dia pun duduk berseorangan. Lalu aku pun datang mendekatinya dan duduk disampingnya. Tiba-tiba dia berkata kepadaku: “Wahai anak saudaraku! Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang bersolat Isyak secara berjemaah maka (ianya akan diberikan ganjaran) seperti solat sunat separuh malam dan sesiapa yang bersolat Subuh secara berjemaah nescaya (ianya akan diberikan ganjaran) seperti mendirikan solat sunat sepenuh malam”

Malaikat mengiringi orang yang mula-mula sampai ke masjid.

Di antara dalil yang menunjukkan betapa besarnya kelebihan datang ke masjid untuk melaksanakansolat subuh berjemaah ialah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Ibnu Abi ‘Asim dan Imam Abu Nu’aim yang bermaksud:

Daripada Miitham RA, katnya: “Telah sampai kepadaku suatu hadis daripada Rasulullah yang berbunyi: “Sesungguhnya seorang Malaikat akan datang berpagi-pagi dengan bederanya ke masjid sambil menemani orang yang mula-mula sekali datang ke masjid pada pagi itu. Malaikat itu berterusan menemani orang tersebut dengan benderanya sehingga orang itu kembali kerumahnya. Sesampai di rumahnya Malaikat itu akan masuk ke dalam rumah orang tadi bersama-sama bendera yang dibawanya. (Begitulah juga) syaitan akan berpagi-pagi datang ke pasar dengan benderanya sambil menemani orang yang paling awal sampai ke pasar pada pagi itu. Syaitan berterusan menemaninya sehingga apabila orang tersebut sampai ke rumahnya maka syaitan akan turut masuk ke dalamnya bersama-sama dengan bendera yang dibawanya”.

Cuba perhatikan betapa tinggi dan hebatnya kemuliaan yang diberikan oleh Allah SWT kepada mereka yang mula-mula sampai ke masjid untuk menunaikan solat Subuh Berjemaah!

Solat Subuh Berjemaah akan ditulis bersama solat golongan Abrar (Golongan yang suka melakukan kebajikan dan ibadah) dan bersama utusan Allah.

Hadis berikutnya akan menyedarkan kita lagi betapa perlunya sebagai seorang muslim bersungguh-sungguh mengambil berat dengan Solat Subuh berjemaah. Hadis yang menceritakan kelebihan seperti yang tercatat di atas ialah riwayat daripada Imam al-Thabrani yang bermaksud:

Daripada Abu Umamah RA daripada Nabi SAW, sabdanya: “Sesiapa yang berwudhu’ kemudian dia datang ke masjid, lantas bersolat sunat subuh dua rakaat, kemudia dia duduk menanti sehinggalah dia menunaikan solat subuh berjemaah, maka dituliskan baginya solat subuh pagi itu bersama solat golongan Abrar dan dianya juga ditulis termasuk dalam kalangan utusan Allah”.

Solat Subuh Berjemaah berada dalam jaminan keamanan Allah SWT

Di antara dalil yang menunjukkan besarnya kelebihan solat Subuh Berjemaah ialah penegasan

Daripada Rasulullah SAW bahawa mereka yang menunaikan solat Subuh Berjemaah akan mendapat jaminan keamanan dan pemliharaan daripada Allah SWT. Hakikat ini adalah berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam al-Thabrani yang bermaksud:
Daripada Abu Bakrah RA katanya: “Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa yang solat Subuh berjemaah maka dia berada di dalam jaminan keamanan dan pemeliharaan Allah SWT. Sesungguhnya sesiapa yang memperlekeh dan mempermainkan jaminan Allah SWT nescaya Allah akan menghumbankannya ke dalam Neraka”.

Berkata al-Allamah Abdul Rahman al-Mubarakfuri ketika menghuraikan hadis ini: “Yang dimaksudkan dia berada dalam jaminan Allah SWT ialah berada di dalam tanggungan dan pemilharaanNya di dunia dan juga akhirat.

Al-Allamah al-Manawi pula berkata: “Ulama’ telah memberikan dua pentafsiran kepada maksud sabda Rasulullah SAW yang berbunyi: “Maka sesiapa yang mempermainkan jaminan Allah SWT nescaya Allah SWT akan menghumbankan mukanya ke dalam Neraka”. Dua pentafsiran itu ialah:

  1. Yang dimaksudkan dengan jaminan Allah SWT atau Tanggungan Allah: “Solat Subuh berjemaah menuntut jaminan keamanan daripada Allah SWT. Maka kesimpulannya ialah: “Jangan kamu meninggalkan solat Subuh berjemaah dan jangan kamu memperlekehkan dan memandang rendah kemuliaannya, nanti akan terbatal dan terungkai perjanjian jaminan keamanan di antara kamu dengan Tuhan kamu, lantaran itu Allah SWT akan menghumbankan muka-muka kamu semua ke dalam Api Neraka”.
  2. “Sesiapa yang bersolat Subuh berjemaah, nescaya dia memperolehi jaminan keamanan di dunia dan akhirat dari Allah SWT. Justeru itu, jangan kamu semua mengkhianatinya dengan apa cara sekalipun. Sesungguhnya jika kamu melakukannya, takut nanti Allah SWT akan menghumbankan muka-muka kamu semua ke dalam Neraka”.

Solat Subuh Berjemaah diberi pahala seperti mengerjakan Haji dan Umrah

Kelebihan seperti ini memang tidak terdapat pada solat-solat fardhu yang lain. Oleh kerana itulah bila kita datang solat waktu subuh, kita akan dapati tiang-tiang masjid lebih banyak daripada ahli jemaahnya. Rupa-rupanya makin besar pahala, makin sedikit bilangan ahli jemaahnya. Ini mungkin kerana syaitan bekerja keras bagi memastikan umat islam tidak datang untuk solat Subuh Berjemaah!

Imam al-Thabrani juga ada meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud:

Daripada Abu Umamah RA, katanya: “Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa yang solat Subuh berjemaah kemudian setelah selesai solat dia terus duduk mengingati Allah sehingga terbit matahari. Kemudian dia menunaikan solat sunat dua rakaat maka dia akan kembali (ke rumahnya pagi itu dengan diberi ganjaran pahala) seperti pahala menunaikan Haji dan Umrah”.

Hadis di atas juga telah dikuatkan oleh hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi yang bermaksud:
Daripada Anas RA, katanya: “Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa yang solat Subuh berjemaah kemudia dia terus kekal mengingati Allah SWT sehingga terbit matahari, selepas itu dia solat sunat dua rakaat, nescaya akan diberi baginya pahala menunaikan haji dan umrah”. Berkata Anas RA: “Rasulullah SAW telah bersabda: “Sempurna, sempurna, sempurna!”.

Berkata al-Allamah Abdul Rahman al-Mubarakfuri: “Perkataan ‘sempurna’ itu ialah sifat bagi Haji dan Umrah yang diulang sebut sebanyak 3 kali oleh Rasulullah SAW bertujuan bagi menguatkan keyakinan bahawa pahala yang bakal diterima ialah seperti pahala melakukan haji dan Umrah dengan sempurna”.

Pertemuan Malaikat Malam dan Malaikat Siang ketika Solat Subuh dan Asar

Pertemuan para Malaikat yang bertugas pada waktu malam dan para Malaikat yang bertugas waktu siang memberi pengertian betapa besarnya kelebihan solat Subuh dan Asar berjemaah kerana mereka bukan semata-mata bertemu di saat itu, tetapi mereka akan menjadi saksi kepada sesiapa saja yang mendirikan solat sSubuh dan Asar secara berjemaah. Bukan itu saja, bahkan mereka akan memohon keampunan untuk mereka semua. Semuanya telah diterangkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis-hadis sahih.

Dalil yang menunjukkan berlaku pertemuan di antara para Malaikat ini di waktu solat Subuh ialah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud:

Daripada Abu Hurairah RA, katanya: “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Solat berjemaah lebih afdhal daripada solat yang dilakukan oleh sesiapa saja dari kalangan kamu secara bersendirian sebanyak 25 kali ganda dan sesungguhnya Malaikat malam dan Malaikat siang bertemu ketika solat Subuh”. Kemudian Abu Hurairah berkata: ” Justeru itu bacalah jika kamu kehendaki ayat al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya solat Subuh secara berjemaah itu akan disaksikan oleh para Malaikat”.

Dalil yang menunjukkan berlakunya pertemuan mereka ketika solat Subuh dan Asar ialah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud:

Daripada Abu Hurairah RA, katanya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Bersilih ganti datang kepada kamu Malaikat malam dan Malaikat siang lalu mereka bertemu ketika solat Subuh dan Asar. Kemudian ketika naik Malaikat malam ke langit, maka bertanyalah Allah SWT kepada mereka sedangkan Allah SWT Maha Mengetahui segala tindak tanduk mereka: “Bagaimanakah keadaan hambaKu ketika kamu meninggalkan mereka?” Lalu para Malaikat pun menjawab: “Kami telah tinggalkan meraka dalam keadaan mereka bersolat dan ketika mula-mula mendatangi mereka, meraka juga sedang bersolat”.

Imam al-Nawawi berkata dalam mengulas hadis ini:
“Sesungguhnya pertemuan para Malaikat malam dan Malaikat siang ketika solat Subuh dan Asar adalah menandakan betapa Allah SWT Maha Lembut dan Maha Bertimbang Rasa dengan hambaNya yang mukmin. ianya juga merupakan suatu penghormatan dari Allah bagi mereka yang beristiqomah menunaikan solat fardhu berjemaah, kerana menjadikan pertemuan dan perpisahan para Malaikat pada waktu-waktu solat berjemaah iaitu ketika mereka sedang duduk berkumpul melakukan ketaatan terhadap Allah SWT. Justeru itu, secara tidak langsung maka jadilah para Malaikat ini sebagai saksi kepada hambaNya yang mukmin di dalam melakukan ibadah solat Subuh dan Asar atau ibadat-ibadat yang lain di saat itu”.

Adapun dalil yang menunjukkan para Malaikat memohon keampunan bagi mereka yang solat Subuh dan Asar berjemaah ialah hadis yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah yang bermaksud:

“Lalu para Malaikat menjawab:” Ketika kami datang menemui mereka, mereka sedang solat dan ketika kami meninggalkan mereka, mereka juga sedang solat. Oleh itu, berikanlah keampunan untuk mereka pada hari pembalasan kelak”.

Alangkah beruntungnya mereka yang para Malaikat mendoakan keampunan untuknya. Ya Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang! Jadikanlah kami sebahagian daripada mereka! amin..

Wallua’lam.

InsyaAllah bersambung..


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


Jom Ke Masjid Siri 4 : Kelebihan Solat Berjemaah (3-5)

January 17, 2011 Leave a comment

Assalamualaikum.
Alhamdulillah, ikuti sambungan siri Jom Ke Masjid!.

Ketiga

Allah SWT Merasa Hairan Dengan Solat Berjemaah

Hadis berikut ini menerangkan bahawa Allah SWT sendiri merasa hairan dan takjub apabila ditunaikan solat fardhu secara berjemaah. Hadis ini juga menjadi dalil betapa besarnya kelebihan yang bakal diterima bagi mereka yang menjaga solat berjemaah. Hadis ini telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud:

Daripada Abdullah bin Umar RA, katanya: “Suatu hari saya dengar Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT sangat hairan dan takjub dengan solat yang didirikan secara berjemaah”.

Alangkah bahagia dan beruntungnya mereka yang melakukan suatu amalan yang Penciptanya sendiri merasa hairan, kagum dan takjub dengan amalannya!!.

Keempat

Keampunan Bagi Orang Yang Solat Berjemaah Selepas Menyempurnakan Wudhu’

Rasulullah SAW telah memberitakan bahawa solat berjemaah yang didirikan melalui perantaraan wudhu’ yang sempurna akan menjadi sebab yang kukuh bagi Allah mengampunkan dosa hambanya. Ini juga salah satu kurniaan dari Allah SWT yang menandakan besarnya kelebihan solat berjemaah. Dalam hal ini, Imam Muslim telah meriwayatkan satu hadis yang bermaksud:

Daripada Uthman bin ‘Affan RA, katanya: “Suatu hari saya telah dengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berwudhu’ untuk solat, lalu menyempurnakan wudhu’nya, kemudia dia terus berjalan untuk mendirikan solat fardhu, lalu dia pun menunaikannya bersama orang lain atau secara berjemaah atau di masjid nescaya Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosanya”.

Kelima

Bertambah Kelebihan Solat Berjemaah Dengan Bertambahnya Bilangan Ahli Jemaah

Kita sebagai umat Islam perlu mengambil berat dan bersungguh-sungguh menjaga solat berjemaah kerana Allah SWT akan menggandakan kelebihan solat berjemaah dengan bertambahnya bilangan ahli jemaah. Dalam hal ini, Imam Abu Daud telah meriwayatkan satu hadis yang bermaksud:

Daripada Ubai bin Ka’ab RA, daripada Rasulullah SAW, sabdanya: “Sesungguhnya solat berjemaah yang dilakukan oleh dua orang lelaki lebih afdhal di sisi Allah berbanding kedua-duanya melakukannya secara bersendirian. Begitu juga solat berjemaah tiga orang lelaki lebih afdhal di sisi Allah SWT berbanding solat berjemaah yang dilakukan oleh dua orang lelaki sahaja. Semakin ramai jemaah maka ianya semakin disukai di sisi Allah SWT”.

Perhatikan juga riwayat daripada Imam al-Bazzar yang bermaksud:

Daripada Qabath bin Asyim al-Laithi RA, daripada Rasulullah SAW, sabdanya: “Solat dua orang lelaki yang diimami oleh salah seorang daripada mereka lebih afdhal di sisi Allah berbanding solat yang dilakukan oleh empat orang lelaki tetapi dilakukan secara bersendirian. Solat empat orang lelaki yang diimami oleh salah seorang daripada mereka lebih afdhal di sisi Allah SWT berbanding solat yang dilakukan oleh lapan orang lelaki tetapi dilakukan secara bersendirian. Solat lapan orang lelaki yang diimami oleh salah seorang daripada mereka lebih afdhal di sisi Allah SWT berbanding solat yang dilakukan oleh seratus orang lelaki tetapi dilakukan secara bersendirian”.

Kesimpulannya berdasarkan kepada hadis di atas, marilah kita semua datang ke masjid untuk solat berjemaah kerana semakin ramai ahli jemaah maka semakin banyak pahala dan ganjaran yang kita dapat. Janganlah kita mencipta berbagai alasan bertujuan untuk mengelakkan diri kita daripada datang ke masjid untuk solat berjemaah kerana yang ruginya adalah diri kita sendiri!!

Wallahua’lam.

bersambung..


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


Jom Ke Masjid Siri 3 : Kelebihan Solat Berjemaah (1-2)

January 13, 2011 Leave a comment

Di antara anugerah Allah SWT yang terbesar kepada hambanya ialah memperuntukkan ganjaran berlipat kali ganda untuk mereka yang melakukan solat berjemaah. Pengurniaan ini bermula semenjak terikatnya hati seseorang hamba Allah dengan masjid, kemudian disusuli dengan tindakan menuju ke masjid kerana ingin melakukan solat berjemaah, seterusnya berurutan dan berurutan di mana penghujungnya ialah selesainya hamba Allah itu dari solat jemaahnya dan kembalinya ke rumah.

Dalam pada itu pula, Allah SWT juga telah memperuntukkan pahala istimewa kepada hambaNya yang melaksanakan solat Subuh, Asar dan Isyak secara berjemaah. Untuk lebih meyakinkan lagi perhatikan hadis-hadis daripada Rasulullah SAW yang telah menceritakan tentang kelebihan solat fardhu berjemaah di bawah tajuk-tajuk seperti berikut:

Pertama

Kelebihan Solat Berjemaah Berbanding Solat Bersendirian

Di antara kelebihan yang sudah dimaklumi ialah bergandanya pahala solat berjemaah berbanding solat bersendirian. Mengenai kelebihan ini, Imam Bukhari telah meriwayatkan suatu hadis sahih yang bermaksud :

Daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, katanya: “Suatu hari saya telah dengar Rasulullan SAW bersabda : “Solat berjemaah lebih afdhal daripada solat bersendirian sebanyak 25 kali ganda”.

Terdapat di dalam hadis lain sesungguhnya solat berjemaah lebih afdhal daripada solat bersendirian sebanyak 27 kali ganda. Hadis ini antaranya telah diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari yang bermaksud :

Daripada Abdullah bin Umar RA, daripada Rasulullah SAW, sabdanya: “Solat berjemaah lebih afdhal daripada solat bersendirian 27 kali ganda”.

Ada kalangan ulama telah menghuraikan dan menyatukan kembali percanggahan yang berlaku di antara dua riwayat ini. Masing-masing telah memberikan alasan-alasan mereka mereka yang tersendiri. Kesimpulan secara keseluruhannya perbezaan bilangan fadhilat adalah bergantung kepada keadaan orang yang solat dan jenis solat itu sendiri. Mereka yang khusyuk dalam solatnya dan menyempurnakan segala bacaan dalam solat sudah pasti akan mendapat lebih fadhilat berbanding mereka yang sebaliknya. Ahli jemaah yang ramai, tempat yang mulia seperti Masjidil Haram dan Imam yang alim sudah pasti lebih banyak fadhilat berbanding dengan yang sebaliknya. Justeru itu, ada setengahnya mendapat fadhilat 27 kali ganda dan setengahnya pula mendapat 25 kali ganda.

Kedua

Tinggal di Bawah Naungan Allah SWT di Hari Akhirat Kelak

Hadis berikutnya menerangkan bahawa sesiapa yang bersangatan rindunya untuk ke masjid semata-mata kerana ingin melakukan solat secara berjemaah, sesungguhnya Allah SWT akan meletakkan hambaNya itu di bawah naunganNya di Padang Mahsyar kelak pada hari yang tidak ada naungan melainkan naunganNya sahaja.

Janji Allah SWT ini telah disebutkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim yang bermaksud :

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW, katanya: “Ada tujuh golongan manusia yang akan ditempatkan oleh Allah di bawah naunganNya pada hari yang tidak ada naungan melainkan naungan Allah iaitu: Imam yang adil, pemuda yang membesar (Hidup) dalam keadaan (sentiasa menjaga) ibadatnya kepada Tuhannya (iaitu Allah), lelaki yang hatinya sentiasa bertaut kepada masjid-masjid (Allah), dua orang lelaki lelaki yang saling berkasih sayang kerana Allah (iaitu) keduanya bertemu dan berpisah kerana Allah, lelaki yang digoda (untuk berzina) oleh mana-mana perempuan yang memiliki kedudukan dan kecantikan, lalu dia menjawab:”sesungguhnya aku takut kepada Allah”, lelaki yang suka bersedekah secara sembunyi-sembunyi sehinggakan tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya dan (akhir sekali ialah) lelaki yang sentiasa mengingati Allah ketika bersendirian, lalu mengalirlah air mata dari kedua-dua matanya (kerana takutkan Allah)”.

Dalam satu riwayat daripada Imam Malik pula bermaksud :

“Lelaki yang hatinya bertaut dengan masjid (iaitu bermula dari) apabila dia keluar dari masjid sehinggalah dia kembali (semula) kepadanya”.

Berkata Imam al-Nawawi ketika mentafsirkan sabda Nabi SAW tersebut; “Maknanya ialah bersangatan mengingati masjid dan sentiasa beristiqamah pergi ke masjid kerana solat berjemaah. Bukan ianya bermaksud berterusan duduk dalam masjid”.

Al-Allamah al-‘lini ketika mengulas mengenai pengajaran yang dapat disimpulkan daripada sabda Nabi SAW tadi pula berkata: Dalam hadis diterangkan kelebihan yang bakal diperolehi bagi sesiapa yang beristiqomah ke masjid untuk solat berjemaah. Kelebihan sedemikian diberikan kerana masjid adalah rumah Allah, rumah bagi setiap yang bertaqwa. Memang sudah menjadi adat dan kelaziman orang yang diziarahi akan menghormati orang yang bertandang. Justeru itu, cuba bayangkan bagaimana penghormatan yang akan kita dapat daripada seMulia-Mulia yang paling mulia, iaitu Allah SWT Yang Maha Mulia!!.

bersambung..

http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35

Jom Ke Masjid Siri 2 : Nilai Solat Berjemaah di sisi Masyarakat Kita Masa Kini

January 12, 2011 Leave a comment

Dewasa ini kita dapati dengan ketara kebanyakan umat islam kurang perasaan ingin berlumba-lumba khususnya dalam menunaikan  solat fardhu secara berjemaah.

Mungkinkah perkara ini berlaku disebabkan kefahaman dalam mazhab kita yang menghukumkan solat fardhu secara berjemaah ini hanya fardhu kifayah maka mereka dengan mudah membuat kesimpulan bahawa menunaikan solat fardhu secara berjemaah ini cukuplah dengan orang lain yang melakukannya sahaja. Ada dikalangan mereka pula yang membuat pantun ringkas yang berbunyi “Fardhu Kifayah, Orang Buat Aku Tak Payah”. Bagi yang muda berkata “biarlah orang-orang tua yang buat”. Bagi yang tua pula berkata “takpelah nanti dah pencen baru nak nak tumpu masa sepenuhnya di masjid”.

Kesan daripada fahaman sedemikian, masyarakat kita terlalu memandang sepi dan mudah dengan solat berjemaah solah-olah ianya tidak ada nilai dalam kehidupan mereka. Justeru itu, bila kita bertandang ke mana-mana masjid pun di negara kita hari ini, kita akan dapati bilangan ahli jemaah cukup mendukacitakan. Kadang-kadang ada setengah masjid, tiang lebih banyak dari ahli jemaahnya.

Cuba kita perhatikan dua hadis berikut yang mempunyai kaitan dengan perbincangan kita sekarang iaitu :

Hadis Pertama

Daripada Abu Mas’ud al-Ansori RA, katanya “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah merapatkan bahu-bahu kami ketika hendak didirikan solat sambil Baginda SAW bersabda: “Betulkan, penuhkan dan rapat-rapatkan saf-saf solat kamu. Jangan jadikannya bengkang bengkok, nescaya nanti akan berselisih hati-hati kamu. Hendaklah saf paling dekat dengan aku terdiri daripada orang cerdik pandai dan matang fikirannya dari kalangan kamu. Kemudian hendaklah mengikuti saf seterusnya orang yang baligh tetapi belum matang pemikirannya atau orang-orang yang hampir mencapai umur baligh. Kemudian hendaklah mengiringi saf seterusnya kanak-kanak yang telah mumayyiz dan yang sepertinya”. Berkata Abdullah bin Mas’ud: “Aku melihat kamu semua hari ini sangat kuat berselisih dan bertelingkah”. (Hadis riwayat Imam Muslim)

Hadis Kedua

Daripada Abdullah bin Umar RA, katanya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Betulkan, penuhkan dan rapat-rapatkan saf-saf solat kamu, samakan kedudukan antara bahu-bahu kamu, penuhkan semua ruangan-ruangan kosong yang terdapat dalam saf, bersopan santunlah dengan saudara-saudara kamu ketika melurus dan merapatkan saf dan jangan sekali kali membiarkan ruangan-ruangan kosong dalam saf terdedah kepada syaitan. Sesiapa yang memenuhkan saf dan merapatkannya nescaya Allah SWT akan menyambungkan rahmatNya bagi orang tersebut dan sesiapa yang memutuskan saf nescaya Allah SWT akan memutuskan rahmatNya dan inayahNya daripada orang tersebut”. (Hadis riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih)

Ulasan
Dalam hadis pertama kita dapati bahawa Rasulullah SAW telah menjanjikan bahawa saf solat yang bengkang bengkok akan membawa kepada perpecahan dalaman iaitu hati. Kata sebahagian ulama’, bila hati tidak bersatu maka perpaduan tidak akan wujud. Seterusnya ia akan membawa kepada perselisihan dan pertlingkahan di dalam masyarakat islam.

Dalam hadis kedua pula, Rasulullah SAW telah menjanjikan bahawa saf yang tidak rapat akan membawa kepada putusnya hubungan dengan Allah SWT. Ini berlaku kerana bila solat tidak rapat maka syaitan akan datang mengambil tempat itu. Lalu dia melalaikan ahli jemaah sehingga mereka tidak lagi mengingati Allah SWT. Ini menyebabkan terputus hubungan mereka dengan Allah SWT. Dua janji buruk ini, jika benar-benar berlaku, maka ianya sudah cukup untuk menghancurkan kekuatan umat islam dan melemahkan mereka selemah-lemahnya.

Persoalannya adakan dua janji buruk tersebut sudah tertimpa ke atas masyarakat kita atau sebaliknya? Untuk menjawab persoalan ini, marilah kita cuba meninjau bagaimanakah kedudukan dan keadaan umat islam masa kini?

Bila kita perhatikan dan amati, kesimpulan akan kita perolehi bahawa umat islam sekarang sangat-sangat menyedihkan. Di sana sini umat Islam hidup dalam kehinaan, samada kehinaan itu berpunca daripada tindakan dan strategi tersusun yang dirancang oleh pihak musuh Islam atau disebabkan oleh budaya hidup umat islam itu sendiri. Kita lihat di mana-mana sahaja umat Islam hidup berpecah belah dan jauh daripada rahmat Allah SWT. Ini semua terjadi tidak lain dan tidak bukan adalah disebabkan mereka meninggalkan sunnah-sunnah Rasulullah SAW pada umumnya dan solat berjemaah khususnya.

Dalam konteks solat fardhu berjemaah, mereka bukan sahaja memutuskan atau membengkang-bengkokkan saf solat, malah langsung tidak mewujudkan apa-apa saf solat kerana mereka tidak menghadiri solat berjemaah!. Ini membawa maksud mereka sekarang sedang berada di dalam perpecahan yang dahsyat dan perselisihan yang berganda-ganda!!!..

Untuk keluar daripada kepompong masalah dan penyakit tersebut, formula terbaiknya ialah kita semua umat Islam perlu kembali berlumba-lumba menunaikan solat berjemaah. Kita perlu menghormati sesiapa sahaja yang berjuang mengajak umat Islam kepada solat berjemaah, memberi kerjasama yang padu dan sebaik-baiknya kepada mereka dan sebagainya.

Kita ajak mereka bersama-sama menghadap ke arah kiblat, sebagai lambang bersatunya hati kita di atas dasar sebenar iaitu sama-sama mempunyai matlamat yang satu iaitu mencari keredhaan Allah SWT.

Semasa kita solat, bukan hanya dada dan muka sahaja kita hadapkan ke arah kiblat, malah setiap anggota badan kita daripada  hujung rambut sampailah hujung kaki, semuanya kita hadapkan ke arah kiblat. Ini bermakna kalau kita benar-benar ingin mengamalkan ajaran Islam yang syumul dalam seluruh kehidupan kita, maka asasnya adalah bermula daripada solat berjemaah.

Bila kita mampu beristiqamah dengan solat berjemaah barulah kita mampu kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah di dalam perkara-perkara ekonomi, sosial, politik, ketenteraan dan sebagainya. Bila kita sudah mengamalkan Islam dalam seluruh sistem kehidupan kita, maka di saat itu, barulah kita akan berjaya mencapai matlamat utama iaitu “mendapat keredhaan Allah SWT di dunia dan akhirat”. Bertitik tolak dari sinilah maka “hidup di dunia dihormati kawan dan digeruni lawan, hidup di akhirat mendapat Syurga Allah SWT” InsyaAllah, amin..

bersambung..
http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.