Home > Adab / Akhlak, Fadhail Amal > Peringatan Nabi Berkaitan Akhlak

Peringatan Nabi Berkaitan Akhlak

Assalamualaikum.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”

Kita sebagai umat nabi Muhammad SAW perlulah sentiasa mengambil perhatian berhubung dengan akhlak. Berikut dikongsikan beberapa hadis Rasulullah SAW dan huraiannya berkaitan dengan akhlak. Sama-sama kita hayati!

1- Menjaga Imej Agama

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

”Sesungguhnya Allah SWT telah menyerahkan agama itu pada diri seseorang, maka tidak baik agama itu melainkan dengan ketinggian dan keelokkan akhlak. Adakah kamu mengelokkan agama kamu dengan kedua-dua sifat mulia ini? ” (Riwayat at-Tabrani)

Huraian

  • Akhlak yang mulia merupakan perhiasan diri selain daripada cerminan agama yang dianuti.
  • Islam memerintahkan penganutnya agar sentiasa memperelokkan akhlak mereka dan menjauhi segala sifat-sifat yang buruk sehingga menjadi fitnah pada agama. Contohnya banyak berlaku dalam kehidupan umat Islam hari ini yang menyalahtafsirkan ajaran agama dan melakukan berbagai perbuatan buruk dan zalim yang didakwa dilakukan di atas nama Islam.
  • Allah mengetahui segala yang tersirat di dalam hati manusia. Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dalam melakukan segala sesuatu agar tidak menjatuhkan maruah diri, agama dan masyarakat sekeliling.

2- Berakhlak Baik Dan Meninggalkan Perkara Yang Tidak Bersangkutan Dengannya

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

”Orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya dan sebaik-baik manusia daripada kalangan kamu ialah mereka yang paling baik kepada isterinya.” (Riwayat Abu Daud)

Huraian

  • Seorang mukmin yang sebenar akan melakukan kebaikan terhadap manusia tanpa mengharapkan balasan melainkan keredhaan daripada Allah S.W.T.
  • Perbuatan baik yang ikhlas adalah yang paling tinggi nilainya di sisi Allah.
  • Akhlak yang mulia menandakan kebaikan. Begitulah sebaliknya. Oleh itu umur yang berkat ialah orang yang hidupnya dipenuhi dengan jasa bakti dan kebaikan yang menjadikan masyarakat di sekelilingnya sayang terhadapnya dan merasa kehilangan apabila ketiadaannya. Bak kata pepatah”harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”.
  • Begitu juga dalam kehidupan berumahtangga, suami isteri akan kekal bahagia jika di antara satu sama lain saling hormat-menghormati serta kasih mengasihi di antara satu sama lain. Mereka akan disayangi oleh anak-anak dan kaum keluarga.

3- Mengekalkan Akhlak Yang Baik

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

”Bukankah aku telah memberitahu kamu semua tentang orang yang diharamkan masuk ke neraka atau orang yang diharamkan ke atasnya neraka? Mereka ialah orang yang berdamping rapat dengan orang ramai (baik pergaulannya), hatinya tenang, berlemah lembut serta mudah dibawa berunding.” (Riwayat at-Tarmizi)

Huraian

  • Setiap Muslim hendaklah sentiasa beramal dengan ajaran Islam yang sebenar serta bergaul rapat dengan masyarakat dengan menggunakan budi bahasa yang lembut, selalu bertolak ansur, tolong menolong dan bantu membantu dan tidak melakukan perkara-perkara yang menimbulkan sakit hati orang lain dan mendatangkan dosa seperti berbuat khianat, merompak, menipu dan seumpamanya.
  • Tabiat manusia adalah berhubungan rapat dengan keteguhan iman dan kesabarannya. Jika baik akhlak seseorang itu maka dia akan selamat daripada balasan api neraka dan begitulah sebaliknya kerana baik buruknya seseorang terletak pada sejauhmana pandangan masyarakat umum terhadap dirinya selain daripada penilaian yang dihitung oleh Allah S.W.T sendiri.

4- Mukmin Yang Berakhlak Mendapat Darjat Yang Tinggi

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya seseorang mukmin itu dapat mencapai darjat orang yang berpuasa yang mendirikan sembahyang ditengah malam disebabkan akhlaknya yang mulia”. (Riwayat Abu Daud)

Huraian

  • Allah S.W.T. memberi ganjaran yang amat tinggi kepada orang yang berakhlak mulia, setaraf dengan orang yang berpuasa serta mendirikan sembahyang di tengah malam.
  • Setiap Muslim hendaklah berusaha mempertingkatkan kualiti akhlaknya agar menjadi baik dan lebih baik sepanjang menjalani kehidupan di dunia ini kerana setiap amalan akan dihitung dan dihisab di akhirat kelak.
  • Mukmin yang mempunyai akhlak mulia, bukan sahaja mendapat kemulian di dunia, bahkan mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah di akhirat nanti.

5- Manusia Yang Dikasihi Dan Dibenci Oleh Nabi Saw

Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang paling aku kasihi di kalangan kamu dan orang yang paling dekat tempat duduknya denganku dihari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya. Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku pada hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap perkara sia-sia, dan berlagak angkuh, sombong malah ia merasa bangga dengan kesombongannya.” Para sahabat bertanya lagi, “wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui maksud perkataan orang-orang yang suka bercakap banyak yang sia-sia, dan yang berlagak angkuh dan sombong, tetapi apakah maksud orang yang bangga dengan kesombongannya? Jawab Rasulullah “ialah orang yang takbur.” (Riwayat at-Tarmizi)

Huraian

  • Orang yang berakhlak mulia adalah orang yang paling dikasihi oleh Rasulullah dan diberi tempat yang paling dekat dengan baginda di hari kiamat nanti.
  • Bercakap-cakap kosong atau perkara-perkara yang sia-sia dan membuat fitnah adalah perbuatan yang dilarang oleh agama kerana ia tidak mendatang apa-apa kebaikan bahkan bakal mengundang azab di hari akhirat kelak.
  • Islam juga melarang umatnya bersifat membangga diri dan memandang rendah serta menghina orang lain tetapi hendaklah bersifat tawaduk dan rendah diri demi menjaga hati dan perasaan orang lain.

6- Kesempurnaan iman

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang mempunyai akhlak mulia, orang-orang yang terpilih antara kamu ialah mereka yang baik pergaulan serta hubungannya dengan isteri-isteri mereka.” (Riwayat At – Tirmidzi)

Huraian

  • Kesempurnaan iman seseorang itu adalah dinilai dari segi akhlaknya yang mulia.
  • Para suami dituntut oleh Islam supaya berlaku adil dan baik terhadap isteri serta bijaksana dalam mengendalikan urusan rumahtangga.
  • Asas keluarga bahagia adalah membentuk keluarga dengan sifat takwa dan mempunyai ilmu pengetahuan dunia dan akhirat.

7- Syafaat rasulullah

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

“Aku adalah sebagai penjamin yang memberi jaminan untuk seseorang memperolehi sebuah rumah di halaman syurga iaitu bagi orang yang meninggalkan perbuatan berbantahan sekalipun perbantahan itu benar, dan juga sebuah rumah di pertengahan syurga bagi orang yang meninggalkan perbuatan dusta sekalipun dengan tujuan bergurau senda, dan juga sebuah rumah di puncak syurga bagi orang yang memperbaiki akhlak dan berbudi mulia.” (Riwayat Abu Daud)

Huraian

  • Orang yang suka bertengkar walaupun di dalam perkara yang baik adalah dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya kerana ia adalah antara perbuatan yang keji yang boleh merosakkan hubungan baik di dalam masyarakat.
  • Orang yang suka bergaduh, berdusta dan tidak berakhlak mulia tidak akan mendapat jaminan dan syafaat daripada Rasulullah s.a.w di akhirat kelak.
  • Islam melarang umatnya berdusta kerana berbuatan tersebut akan membawa kepada fitnah yang menimbulkan permusuhan seterusnya boleh mencetuskan huru-hara di dalam masyarakat.
  • Kita hendaklah berusaha untuk memperbaiki akhlak dari semasa ke semasa iaitu dengan meninggalkan segala perbuatan yang dilarang agama di mana dengan itu barulah seseorang itu dikatakan layak mendapat syafaat daripada Rasulullah sebagaimana yang tersebut di dalam hadith tersebut.

8- Kepentingan Berakhlak Mulia

Daripada Abdullah bin Amru bin al-’As r.a, katanya,

“Bukanlah rasulullah s.a.w seorang yang bersifat keji dan baginda tidak pernah melakukan perkara-perkara yang keji. Baginda bersabda, “Sesungguhnya orang-orang yang terpilih antara kamu ialah orang-orang yang mulia akhlaknya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Huraian

  • Rasulullah adalah manusia yang paling sempurna. Baginda terpelihara dari sifat-sifat keji dan tidak pernah melakukan perbuatan keji.
  • Orang-orang yang berakhlak mulia adalah menjadi pilihan Allah dan mereka diberikan beberapa keistimewaan di dunia dan kedudukan yang tinggi di akhirat.
  • Kita hendaklah sentiasa berusaha menghindarkan diri daripada semua sifat-sifat yang buruk dan keji serta memperbaiki kualiti diri dengan menambahkan amal ibadat dan mengamalkan sifat-sifat mulia dari semasa ke semasa.

9- Kemulian Diri Dengan Berakhlak Baik

Rasulullah saw. Bersabda bermaksud:

“Sebesar-besar kebajikan itu ialah berakhlak dengan akhlak yang baik, dan dosa itu ialah perasaan bimbang dalam jiwa dan engkau tidak suka keadaan itu diketahui oleh orang lain”. (Riwayat Muslim)

Huraian

  • Seseorang yang berakhlak mulia akan mendapat pahala dan boleh mendatangkan kebaikan untuk diri sendiri dan kebajikan kepada orang lain.
  • Orang yang melakukan dosa tidak akan mendapat ketenangan jiwa didalam hidupnya.
  • Berakhlaklah dengan akhlak yang mulia kerana ia sebesar besar kebajikan dan janganlah melakukan dosa kerana dosa itu ialah azab seksa, yang dirasai baik didunia mahupun diakhirat.

10- Menjaga akhlak

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

”Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia berkata perkara yang baik atau diam. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan jirannya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian maka hendaklah ia memuliakan tetamunya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Huraian

  • Islam adalah agama yang mengajar umatnya nilai peradaban yang tinggi serta sopan santun yang terpuji. Maka individu yang benar-benar beriman semestinya akan mengamalkan segala ajaran Islam untuk menjaga keselamatan dirinya iaitu dengan memelihara percakapannya demi menjaga hubungan baik dengan jiran-jiran dan sahabat-sahabatnya sesuai dengan keadaan masing-masing.
  • Sebelum berkata hendaklah berfikir terlebih dahulu, bila didapati tidak ada bahaya kerananya, berkatalah, tetapi jika sebaliknya diamlah kerana diam yang tepat pada waktunya adalah sifat orang yang terpuji melainkan jika diam dari mengatakan yang hak dan menegur sesuatu yang salah kerana diam seperti ini adalah diam yang dicela oleh agama.
  • Setiap umat Islam hendaklah bertimbang rasa dalam pergaulan sesama jiran kerana jiran adalah orang yang paling dekat selain daripada sanak-saudara yang tinggal di sekeliling.
  • Memuliakan tetamu pula maksudnya ialah melakukan kebaikan kepada mereka sebagai orang yang datang berkunjung ke rumah di mana selaku tuan rumah hendaklah melayan tetamu mereka dengan senang hati, sopan dan memberikan jamuan kepada mereka sesuai dengan keadaan dan kemampuan. Manakala bagi tetamu pula hendaklah sebaik mungkin tidak sampai menyusahkan tuan rumah.

11- Sikap Yang Baik


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

“Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar. Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredhaannya di dalam hatinya pada hari Qiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya(ketika melalui pada hari Qiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu.” (Riwayat Ibnu Abi Dunya)

Huraian

  • Berbuat baik dan memberi keselesaan kepada orang lain akan diganjari Allah dengan balasan yang berlipat ganda sama ada berupa pahala, kebaikan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
  • Semua ini akan dapat dilakukan sekiranya seseorang itu mempunyai keimanan dan keikhlasan di hatinya sehingga segala tindakan-tindakan yang dilakukannya sentiasa melahirkan kebaikan pada dirinya dan dalam hubungannya dengan orang lain serta masyarakat di sekelilingnya.
  • Demikian juga kita dilarang agar jangan membalas kejahatan orang lain dengan kejahatan juga tetapi hendaklah membalasnya dengan kebaikan seperti api yang menyala dan membakar nescaya akan terpadam apabila disirami air. Maka begitulah dengan kebaikan, lambat laun akan melembutkan hati yang keras dan menghapuskan kejahatan yang melanda.
  • Sebaliknya jika kecenderungan berbuat perkara-perkara yang jahat terus dibiarkan menguasai diri maka akan rosaklah segala kebaikan yang pernah dilakukan kerana lazimnya kejahatan itu biarpun hanya sekali dilakukan ia mudah dilihat (diketahui) berbanding dengan banyaknya kebaikan yang pernah dilakukan oleh seseorang itu. Bak kata pepatah Melayu “ Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali”.
  • Sesungguhnya keimanan itu sentiasa terbuka untuk ditingkatkan sebaliknya iman akan merosot sekiranya kita melakukan perbuatan maksiat.


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


About these ads
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: