Home > *Solat Fardhu Berjemaah > Jom Ke Masjid Siri 5 : Kelebihan Solat Berjemaah (6)

Jom Ke Masjid Siri 5 : Kelebihan Solat Berjemaah (6)

Kelebihan Solat Isyak, Subuh dan Asar Berjemaah

Sebagai tambahan kepada kelebihan yang telah disebutkan pada siri-siri yang lepas, terdapat banyak hadis yang menerangkan bahawa solat Isyak, Subuh dan Asar yang dilakukan secara berjemaah mempunyai banyak kelebihan dan besar ganjarannya. Kelebihan-kelebihan yang dimaksudkan antaranya ialah:

Solat Isyak berjemaah seperti solat separuh malam. Solat Subuh berjemaah seperti solat semalaman.

Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

Daripada Abu Hurairah RA, katanya: “Rasulullah SAW telah bersabda: “Jika manusia mengetahui kelebihan yang tersirat disebalik solat Isyak dan Subuh yang didirikan secara berjemaah nescaya mereka akan (bertungkus lumus) mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak”

Berkata Imam Nawawi dalam mengulas hadis tersebut: “Pengajaran di dalam hadis ini ialah Rasulullah bersunguh-sungguh menggalakkan umatnya supaya datang ke masjid atau tempat yang seumpamanya untuk solat Isyak dan Subuh secara berjemaah”

Selain itu, Imam Muslim juga ada meriwayatkan hadis yang bermaksud:

Daripada Abdul Rahman bin Abu Amrah RA, katanya: “Suatu malam Uthman bin ‘Affan RA telah masuk ke dalam masjid selepas selesai didirikan solat Maghrib. Lantas dia pun duduk berseorangan. Lalu aku pun datang mendekatinya dan duduk disampingnya. Tiba-tiba dia berkata kepadaku: “Wahai anak saudaraku! Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang bersolat Isyak secara berjemaah maka (ianya akan diberikan ganjaran) seperti solat sunat separuh malam dan sesiapa yang bersolat Subuh secara berjemaah nescaya (ianya akan diberikan ganjaran) seperti mendirikan solat sunat sepenuh malam”

Malaikat mengiringi orang yang mula-mula sampai ke masjid.

Di antara dalil yang menunjukkan betapa besarnya kelebihan datang ke masjid untuk melaksanakansolat subuh berjemaah ialah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Ibnu Abi ‘Asim dan Imam Abu Nu’aim yang bermaksud:

Daripada Miitham RA, katnya: “Telah sampai kepadaku suatu hadis daripada Rasulullah yang berbunyi: “Sesungguhnya seorang Malaikat akan datang berpagi-pagi dengan bederanya ke masjid sambil menemani orang yang mula-mula sekali datang ke masjid pada pagi itu. Malaikat itu berterusan menemani orang tersebut dengan benderanya sehingga orang itu kembali kerumahnya. Sesampai di rumahnya Malaikat itu akan masuk ke dalam rumah orang tadi bersama-sama bendera yang dibawanya. (Begitulah juga) syaitan akan berpagi-pagi datang ke pasar dengan benderanya sambil menemani orang yang paling awal sampai ke pasar pada pagi itu. Syaitan berterusan menemaninya sehingga apabila orang tersebut sampai ke rumahnya maka syaitan akan turut masuk ke dalamnya bersama-sama dengan bendera yang dibawanya”.

Cuba perhatikan betapa tinggi dan hebatnya kemuliaan yang diberikan oleh Allah SWT kepada mereka yang mula-mula sampai ke masjid untuk menunaikan solat Subuh Berjemaah!

Solat Subuh Berjemaah akan ditulis bersama solat golongan Abrar (Golongan yang suka melakukan kebajikan dan ibadah) dan bersama utusan Allah.

Hadis berikutnya akan menyedarkan kita lagi betapa perlunya sebagai seorang muslim bersungguh-sungguh mengambil berat dengan Solat Subuh berjemaah. Hadis yang menceritakan kelebihan seperti yang tercatat di atas ialah riwayat daripada Imam al-Thabrani yang bermaksud:

Daripada Abu Umamah RA daripada Nabi SAW, sabdanya: “Sesiapa yang berwudhu’ kemudian dia datang ke masjid, lantas bersolat sunat subuh dua rakaat, kemudia dia duduk menanti sehinggalah dia menunaikan solat subuh berjemaah, maka dituliskan baginya solat subuh pagi itu bersama solat golongan Abrar dan dianya juga ditulis termasuk dalam kalangan utusan Allah”.

Solat Subuh Berjemaah berada dalam jaminan keamanan Allah SWT

Di antara dalil yang menunjukkan besarnya kelebihan solat Subuh Berjemaah ialah penegasan

Daripada Rasulullah SAW bahawa mereka yang menunaikan solat Subuh Berjemaah akan mendapat jaminan keamanan dan pemliharaan daripada Allah SWT. Hakikat ini adalah berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam al-Thabrani yang bermaksud:
Daripada Abu Bakrah RA katanya: “Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa yang solat Subuh berjemaah maka dia berada di dalam jaminan keamanan dan pemeliharaan Allah SWT. Sesungguhnya sesiapa yang memperlekeh dan mempermainkan jaminan Allah SWT nescaya Allah akan menghumbankannya ke dalam Neraka”.

Berkata al-Allamah Abdul Rahman al-Mubarakfuri ketika menghuraikan hadis ini: “Yang dimaksudkan dia berada dalam jaminan Allah SWT ialah berada di dalam tanggungan dan pemilharaanNya di dunia dan juga akhirat.

Al-Allamah al-Manawi pula berkata: “Ulama’ telah memberikan dua pentafsiran kepada maksud sabda Rasulullah SAW yang berbunyi: “Maka sesiapa yang mempermainkan jaminan Allah SWT nescaya Allah SWT akan menghumbankan mukanya ke dalam Neraka”. Dua pentafsiran itu ialah:

  1. Yang dimaksudkan dengan jaminan Allah SWT atau Tanggungan Allah: “Solat Subuh berjemaah menuntut jaminan keamanan daripada Allah SWT. Maka kesimpulannya ialah: “Jangan kamu meninggalkan solat Subuh berjemaah dan jangan kamu memperlekehkan dan memandang rendah kemuliaannya, nanti akan terbatal dan terungkai perjanjian jaminan keamanan di antara kamu dengan Tuhan kamu, lantaran itu Allah SWT akan menghumbankan muka-muka kamu semua ke dalam Api Neraka”.
  2. “Sesiapa yang bersolat Subuh berjemaah, nescaya dia memperolehi jaminan keamanan di dunia dan akhirat dari Allah SWT. Justeru itu, jangan kamu semua mengkhianatinya dengan apa cara sekalipun. Sesungguhnya jika kamu melakukannya, takut nanti Allah SWT akan menghumbankan muka-muka kamu semua ke dalam Neraka”.

Solat Subuh Berjemaah diberi pahala seperti mengerjakan Haji dan Umrah

Kelebihan seperti ini memang tidak terdapat pada solat-solat fardhu yang lain. Oleh kerana itulah bila kita datang solat waktu subuh, kita akan dapati tiang-tiang masjid lebih banyak daripada ahli jemaahnya. Rupa-rupanya makin besar pahala, makin sedikit bilangan ahli jemaahnya. Ini mungkin kerana syaitan bekerja keras bagi memastikan umat islam tidak datang untuk solat Subuh Berjemaah!

Imam al-Thabrani juga ada meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud:

Daripada Abu Umamah RA, katanya: “Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa yang solat Subuh berjemaah kemudian setelah selesai solat dia terus duduk mengingati Allah sehingga terbit matahari. Kemudian dia menunaikan solat sunat dua rakaat maka dia akan kembali (ke rumahnya pagi itu dengan diberi ganjaran pahala) seperti pahala menunaikan Haji dan Umrah”.

Hadis di atas juga telah dikuatkan oleh hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi yang bermaksud:
Daripada Anas RA, katanya: “Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa yang solat Subuh berjemaah kemudia dia terus kekal mengingati Allah SWT sehingga terbit matahari, selepas itu dia solat sunat dua rakaat, nescaya akan diberi baginya pahala menunaikan haji dan umrah”. Berkata Anas RA: “Rasulullah SAW telah bersabda: “Sempurna, sempurna, sempurna!”.

Berkata al-Allamah Abdul Rahman al-Mubarakfuri: “Perkataan ‘sempurna’ itu ialah sifat bagi Haji dan Umrah yang diulang sebut sebanyak 3 kali oleh Rasulullah SAW bertujuan bagi menguatkan keyakinan bahawa pahala yang bakal diterima ialah seperti pahala melakukan haji dan Umrah dengan sempurna”.

Pertemuan Malaikat Malam dan Malaikat Siang ketika Solat Subuh dan Asar

Pertemuan para Malaikat yang bertugas pada waktu malam dan para Malaikat yang bertugas waktu siang memberi pengertian betapa besarnya kelebihan solat Subuh dan Asar berjemaah kerana mereka bukan semata-mata bertemu di saat itu, tetapi mereka akan menjadi saksi kepada sesiapa saja yang mendirikan solat sSubuh dan Asar secara berjemaah. Bukan itu saja, bahkan mereka akan memohon keampunan untuk mereka semua. Semuanya telah diterangkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis-hadis sahih.

Dalil yang menunjukkan berlaku pertemuan di antara para Malaikat ini di waktu solat Subuh ialah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud:

Daripada Abu Hurairah RA, katanya: “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Solat berjemaah lebih afdhal daripada solat yang dilakukan oleh sesiapa saja dari kalangan kamu secara bersendirian sebanyak 25 kali ganda dan sesungguhnya Malaikat malam dan Malaikat siang bertemu ketika solat Subuh”. Kemudian Abu Hurairah berkata: ” Justeru itu bacalah jika kamu kehendaki ayat al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya solat Subuh secara berjemaah itu akan disaksikan oleh para Malaikat”.

Dalil yang menunjukkan berlakunya pertemuan mereka ketika solat Subuh dan Asar ialah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud:

Daripada Abu Hurairah RA, katanya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “Bersilih ganti datang kepada kamu Malaikat malam dan Malaikat siang lalu mereka bertemu ketika solat Subuh dan Asar. Kemudian ketika naik Malaikat malam ke langit, maka bertanyalah Allah SWT kepada mereka sedangkan Allah SWT Maha Mengetahui segala tindak tanduk mereka: “Bagaimanakah keadaan hambaKu ketika kamu meninggalkan mereka?” Lalu para Malaikat pun menjawab: “Kami telah tinggalkan meraka dalam keadaan mereka bersolat dan ketika mula-mula mendatangi mereka, meraka juga sedang bersolat”.

Imam al-Nawawi berkata dalam mengulas hadis ini:
“Sesungguhnya pertemuan para Malaikat malam dan Malaikat siang ketika solat Subuh dan Asar adalah menandakan betapa Allah SWT Maha Lembut dan Maha Bertimbang Rasa dengan hambaNya yang mukmin. ianya juga merupakan suatu penghormatan dari Allah bagi mereka yang beristiqomah menunaikan solat fardhu berjemaah, kerana menjadikan pertemuan dan perpisahan para Malaikat pada waktu-waktu solat berjemaah iaitu ketika mereka sedang duduk berkumpul melakukan ketaatan terhadap Allah SWT. Justeru itu, secara tidak langsung maka jadilah para Malaikat ini sebagai saksi kepada hambaNya yang mukmin di dalam melakukan ibadah solat Subuh dan Asar atau ibadat-ibadat yang lain di saat itu”.

Adapun dalil yang menunjukkan para Malaikat memohon keampunan bagi mereka yang solat Subuh dan Asar berjemaah ialah hadis yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah yang bermaksud:

“Lalu para Malaikat menjawab:” Ketika kami datang menemui mereka, mereka sedang solat dan ketika kami meninggalkan mereka, mereka juga sedang solat. Oleh itu, berikanlah keampunan untuk mereka pada hari pembalasan kelak”.

Alangkah beruntungnya mereka yang para Malaikat mendoakan keampunan untuknya. Ya Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang! Jadikanlah kami sebahagian daripada mereka! amin..

Wallua’lam.

InsyaAllah bersambung..


http://www.facebook.com/plugins/like.php?href=http%3A%2F%2Fal-ehsaniah.blogspot.com&layout=standard&show_faces=false&width=450&action=like&colorscheme=light&height=35


About these ads
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: